Makam Mahsuri

makam di Langkawi, Kedah, Malaysia

Makam Mahsuri merupakan tempat yang dipercayai di mana Mahsuri binti Pandak Maya dikuburkan di Pulau Langkawi, Kedah.

Ia terletak sekitar 12km dari Kuah dan terletak dalam kawasan kompleks Kota Mahsuri, Mukim Ulu Melaka. Cerita rakyat menyatakan Mahsuri dikuburkan di tempat dia melepaskan nafas terakhirnya selepas dia dihukum bunuh di Padang Mat Sirat.[1][2]

Makam Mahsuri telah dibina semula dan dilengkapi dengan muzium, teater traditional dan rumah Kedah yang mewakili rumah binaan Langkawi yang popular ketika itu, dikatakan dibina di bekas tapak rumah Mahsuri. Sebuah perigi yang digelar perigi Mahsuri turut terdapat dalam kompleks tersebut.

Legenda sunting

Mahsuri ialah anak perempuan kepada pasangan yang berpindah dari Negeri Pulau Bukit ke Pulau Langkawi, Kedah Darul Aman untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Dia ialah perempuan yang paling cantik di seluruh Langkawi dan berkahwin dengan seorang tentera bernama Wan Darus (atau Wan Derus). Namun begitu, suaminya terpaksa berperang mewakili pihak Kedah dalam beberapa siri pertempuran yang diketuai oleh Tunku kudin melawan penjajah Thailand. Wan Darus meninggalkan Mahsuri yang sedang hamil di bawah jagaan ibu bapa Mahsuri. Pada masa ini, Mahsuri berkawan dengan seorang pengembara muda yang juga seorang seniman yang bernama Deraman. Isteri pembesar Diraja Dato’ Kerma Jaya bernama Wan Mahura cemburu dengan kecantikan Mahsuri. Dia menyebarkan khabar angin bahawa Mahsuri tidak setia dan mempunyai hubungan sulit dengan Deraman semasa ketiadaan Wan Darus.

Akhirnya, khabar angin berkembang cukup kuat sehingga penduduk kampung secara terbuka menuduh beliau berzina. Mahsuri mengaku dia tidak bersalah, tetapi tiada siapa yang percaya lantas Mahsuri diikat pada sebatang pokok di Padang Mat Sirat oleh tentera-tentera bawahan Dato’ Kerma Jaya lalu ditikam tetapi tidak berjaya membunuhnya. Selepas setiap pelaksanaan percubaan bunuh gagal, Mahsuri memberitahu mereka untuk membunuh beliau dengan keris warisan keluarganya. Apabila dia ditikam, darah putih mengalir dari luka, menandakan dia tidak bersalah. Beberapa ekor burung terbang di atas jasad Mahsuri. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Mahsuri mengutuk Langkawi menjadi padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan (bermaksud bahawa Langkawi tidak akan aman selama tujuh keturunan).

Selepas kira-kira, dalam bulan November 1821, Kerajaan Kedah kemudian dijajah oleh negara Thai. Pihak British yang terlebih dahulu berjanji membantu Kedah melawan Thailand sebelum itu mengambil sikap berlepas tangan. Sultan Kedah berhasrat meminta bantuan ketenteraan daripada Sultan Perak namun semuanya sudah terlambat.

Langkawi mempunyai penduduk seramai empat ribu orang pada masa ini dan beribu-ribu lagi yang tinggal di Pulau Telibun dan Pulau Terutau. Kapal-kapal Eropah terutama dari Belanda, Perancis dan Portugal yang berlabuh di Pulau Langkawi membeli lada-lada di Langkawi yang mana lada Langkawi dianggap paling baik di seluruh dunia bertindak menjauhkan diri dari pulau tersebut. Penduduk kampung di Padang Mat Sirat membakar sawah padi mereka sendiri untuk tidak membiarkan stok makanan mereka jatuh ke tangan tentera zalim Thailand yang terkenal menyeksa orang Melayu. Dato’ Kerma Jaya dibantu oleh penolongnya yang cekal, Dato’ Panglima Hitam. Mereka berdua menyusun dan mengarahkan pertahanan seluruh pulau dan perairan sekelilingnya diperketat. Gendang raya di Masjid Mukim Temonyong yang terletak di atas bukit dipukul dengan paluan lagu perang. Hujan panas turun renyai-renyai.

Seluruh negeri Kedah porak-peranda dan rakyat Kedah termasuk Langkawi diseksa hidup-hidup sehingga mati oleh tentera Thai. Serangan Thailand yang telah lama diduga oleh orang-orang Melayu terutamanya oleh orang-orang yang pernah berulang alik ke Setol dan Legor, ditentang seberapa terdaya. Bagi pihak kerajaan Thai, Langkawi merupakan satu benteng Kedah yang paling kuat dan lebih sukar daripada menakluki seluruh tanah besar Kedah. Di Langkawi, Thai melancarkan gerakan “Bumi Hangus” yang dahsyat sehingga sehelai kangkong laut pun tidak dibiarkan menghijau di pantai Padang Mat Sirat. Berkoyan-koyan beras di gudang milik Dato’ Kerma Jaya yang dikumpul untuk menyara anak-anak buah dan orang-orang pelarian telah dibakar oleh tentera Thai. Sedang asapnya menggulung naik ke langit, hujan lebat telah turun dengan tiba-tiba. Beras yang seharusnya menjadi abu tertinggal menjadi beras berwarna hitam seperti arang. Apabila hari hujan, beras terbakar ini boleh dipungut di celah-celah pasir-pasir yang dinaungi oleh pohon-pohon kelapa. Dibawah pohon-pohon kelapa itu terbujur kubur-kubur kesatria dan serikandi yang telah terkorban. Setengahnya bernisan, banyak yang tidak.

Orang-orang tua lelaki dan perempuan, serta anak-anak berselerak tidak tentu arah. Yang baru balik dari laut mengalami depresi kerana belum kering kain di pinggang terpaksa turun ke perahu pula dan terus berkayuh ke tengah laut. Yang muda-muda di arah mempertahan kampung bersama satria-satria Dato’ Kerma Jaya dan Dato’ Panglima Hitam. Orang-orang perempuan dan kanak-kanak dikawal oleh orang-orang tua berhanyut ke tengah lautan luas supaya tidak dapat ditawan oleh tentera-tentera Thai. Dari jauh mereka memandang asap yang menggulung, membakar bumi Langkawi. Sesetengahnya bernasib baik sampai di Pulau Pinang bertemu dengan pelarian-pelarian yang lebih ramai dari tanah besar Kedah. Sebahagian daripada mereka bertemu dengan perahu-perahu dari Kuala Kedah yang ingin menuju ke Langkawi lalu dinasihati supaya penumpang perahu-perahu tersebut mengubah fikiran dan menuju ke Selatan sahaja. Sebahagian pelarian lagi membawa diri mengikut arus laut sehingga tiba ke Siak dan Acheh.

Di Pulau Langkawi, perjuangan tidak kenal batasan sebab laut berkelilingan. Yang tidak bernasib baik di tawan oleh pihak Thai kemudian dibunuh di tengah laut. Yang berumur panjang di cucuk cuping telinga dengan rotan sega, diseret supaya menaiki perahu beramai-ramai. Apabila salah seorang tawanan terjatuh, maka tawanan-tawanan lain turut merendahkan diri kerana rotan seutas mencucuk cuping telinga mereka. Seperti ikan yang dikarang, orang-orang ini dibawa ke Negeri Melayu Legor menjadi orang suruhan pembesar-pembesar Melayu Legor yang mengkhianati bangsa sendiri, dan mereka menjadi penari wayang "Lakorn" di sana.

Sebelum berakhir tahun 1821, sekurang-kurangnya dua kali lagi angkatan tentera Thai dari Negeri Melayu Legor menyerang Pulau Langkawi secara besar-besaran. Pemerintah Legor amat marah kepada Langkawi bukan sahaja kerana keindahan dan kemasyhuran Langkawi tetapi juga kerana penghasilan dari Pulau Langkawi ini amat hebat sekali kualitinya. Apabila pelarian-pelarian dari Kuala Kedah berhijrah ke Langkawi, benteng pulau bertambah kuat dan serangan-serangan hendap ala Langkawi iaitu bertindak dari sebalik pulau-pulau yang berselerak memberi pukulan hebat kepada tentera-tentera Thai dan Legor.

Dalam satu serangan dalam bulan Disember tahun itu, angkatan Thai telah mendapat bantuan daripada tentera-tentera Melayu negeri Setol dan Lungu. Satu angkatan Thailand berjaya mendarat hingga ke Ulu Melaka. Di Ulu Melaka mereka dapati orang-orang Melayu telah meninggalkan rumah dan berkumpul di Masjid Raya Ulu Melaka. Masjid itu lantas dibakar supaya rentong bersama dengan manusia di dalamnya, namun api yang dinyalakan angkatan Thai tidak marak. Kawasan masjid tersebut telah musnah dijilat api tetapi masjid sendiri tidak terbakar dan manusia-manusia di dalamnya menyerah diri kepada Tuhan dengan tenang. Apabila masuk waktu Zohor, imam memerintahkan bilal melaungkan azan dan ketika itulah tentera-tentera Thai mengundurkan diri berpusu-pusu lari ke arah pantai tempat perahu-perahu mereka bertambat.

Sebahagian besar orang-orang Ulu Melaka tidak muat di dalam masjid itu. Mereka yang bersembunyi di luar masjid menggempur tentera-tentera Thai yang sedang berkeliaran supaya lebih cepat sampai ke pantai. Di sana perahu-perahu mereka sudah pun dirampas oleh orang-orang Melayu. Dari masjid Ulu Melaka ke pantai jaraknya ialah sejauh kira-kira empat batu tetapi dalam gegak gempita tentera-tentera Thai bertempiaran lalu memberi kesempatan kepada orang-orang Melayu menggunakan istinggar, senapang patah, rentaka, panah beracun dan bom tangan. Hampir kesemua mayat tentera Thailand yang gugur dalam serangan ke atas Masjid Raya Ulu Melaka dibiarkan reput lalu dijadikan kompos sebagai baja pokok-pokok kelapa dan lada yang ditanam semula selepas serangan. Ketika bumbung Masjid Raya Ulu Melaka ini diganti dengan yang baharu beberapa bulan sesudah serangan pihak Thai, tiangnya yang berusia seratus enam puluh tahun ketika itu masih terdapat kesan asap dan jelaga.

Setelah serangan ke atas masjid tersebut, Dato’ Kerma Jaya menyusun rapi angkatan laut Langkawi supaya keselamatan penduduk-penduduk terjamin dan musuh tidak akan telus ke darat dengan tidak disedari. Seperti yang diduga, satu angkatan Thai telah tiba sekali lagi pada penghujung Disember 1821 dan berlakulah satu pertarungan yang paling hebat dalam sejarah Pulau Langkawi. Pertempuran sengit antara angkatan Dato’ Kerma Jaya dengan angkatan Thailand berlaku di Selat Bagalah Balik iaitu antara Pulau Besar Langkawi dengan Pulau Bumbun. Kedua-dua pihak telah kehilangan banyak jiwa dan dalam pertempuran inilah Dato’ Kerma Jaya mendapat luka parah. Beliau tidak menghiraukan kesakitan yang dialaminya terus memekik arahan supaya pengikutnya terus berjuang. Tiba-tiba badannya terlontar ke dalam laut dan tidak dapat diselamatkan. Dato’ Panglima Hitam turut mendapat luka-luka parah di dadanya dan menghembuskan nafas terkhir sama sehari dengan Dato’ Kerma Jaya. Dato’ Panglima Hitam sempat di bawa ke darat dan di kebumikan di Telaga Tujuh tempat yang sentiasa sejuk di pinggir Gunung Mat Chincang. Di Tanjung Tirai terdapat sebuah kubur sepanjang tiga depa. Nisannya dapat dilihat dari laut tegap di atas bukit. Kononnya ialah kubur Dato’ Kerma Jaya, tetapi disangsikan oleh anak cucunya kerana Dato’ Kerma Jaya berkubur di laut.

Keluarga Mahsuri melarikan diri ke tempat asal mereka di Negeri Pulau Bukit, yang mana akhirnya negeri tersebut turut dijajah oleh Thailand dan diserap menjadi sebahagian daripada wilayah Thailand sehingga hari ini. Kerajaan Thai menukar nama Negeri Pulau Bukit kepada Phuket dalam usaha menyebarkan budaya dan pengaruh bangsa dan bahasa Thai dalam kalangan penduduk asli bangsa Melayu di negeri tersebut.

Rujukan sunting

Pautan luar sunting