Selamat Datang ke Portal Binatang
سلامت داتڠ کڤورتل بيناتڠ
Kepelbagaian jenis binatang
Kepelbagaian jenis binatang

Binatang atau haiwan ialah organisma eukariot multisel di dalam alam biologi Animalia. Dengan beberapa pengecualian, binatang mengambil bahan organik, menghirup oksigen, berupaya untuk bergerak, boleh membiak secara seksual dan melalui peringkat ontogenetik di mana badan mereka terdiri daripada sel sfera yang berongga, blastula semasa perkembangan embrio. Lebih daripada 1.5 juta spesies binatang hidup telah diterangkan—yang mana sekitar 1 juta adalah serangga—tetapi dianggarkan terdapat lebih daripada 7 juta spesies haiwan secara keseluruhannya. Binatang mempunyai julat panjang dari 8.5 mikrometer (0.00033 in) hingga 33.6 meter (110 ka). Mereka juga mempunyai saling tindak yang kompleks di antara satu sama lain dan persekitaran mereka, serta membentuk siratan makanan. Kajian saintifik mengenai binatang dikenali sebagai zoologi.

Kebanyakan spesies binatang hidup berada dalam Bilateria, suatu klad di mana makhluk tersebut mempunyai pelan tubuh badan bersimetri secara dwisisi. Bilateria termasuklah protostomia dan deuterostomia. Di dalam protostomia terdapat haiwan-haiwan seperti nematod (cacing gelang), artropod, platyhelminthes (cacing pipih), anelid dan moluska, manakala deuterostomia pula mencakupi ekinoderma dan kordata (termasuklah vertebrat). Bentuk hidupan yang ditafsirkan sebagai binatang purba terdapat dalam biota Ediakara yang wujud pada zaman Prakambria akhir. Filum binatang moden terbentuk jelas dalam rekod fosil sebagai spesies laut semasa letupan Kambria, yang mula berlaku sekitar 539 juta tahun lalu. 6,331 kumpulan gen yang terdapat pada semua haiwan hidup telah dikenal pasti; ini mungkin timbul daripada nenek moyang tunggal yang hidup 650 juta tahun dahulu.

Rencana pilihan
Arnab di Montana
Arnab di Montana

Arnab adalah sejenis haiwan mamalia yang tergolong dalam famili Leporidae yang tergolong dalam order Lagomorpha. Arnab mudah dikenali dengan telinganya yang panjang dan tirus, gigi acip tengah yang ketara dalam mulut, kaki belakangnya yang besar berbanding kaki depan, serta ekornya yang pendek. Arnab boleh hidup secara liar mahupun dijadikan haiwan peliharaan atau ternakan yang memberikan sumber makanan kepada manusia.

Dalam bahasa Melayu, perkataan "arnab" berasal daripada bahasa Arab, iaitu arnab (أرْنَب). Perkataan "kelinci" pula lebih banyak digunakan dalam bahasa Indonesia, dan berasal daripada bahasa Belanda, yakni istilah konijntje yang bererti "anak arnab". Apapun, ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat Nusantara mula mengenali arnab atau kelinci daripada perdagangan antarabangsa pada zaman silam, padahal di Pulau Sumatera ada satu spesies arnab asli (Nesolagus netscheri) yang baru ditemui pada tahun 1972. Nama saintifik famili "Leporidae" pula berasal dari perkataan lepus, iaitu arnab dalam bahasa Latin.

Arnab tinggal di kawasan padang rumput, hutan, gurun, tundra dan tanah lembap mengikut kesesuaian spesiesnya. Kebanyakan spesies arnab tinggal dalam sarang bawah tanah yang dimasuki melalui lubang, kecuali genus Lepus yang bertempat tinggal di atas tanah dengan kawasan rumput yang rata sebagai sarang. Kebanyakan spesies arnab tinggal secara berkelompok. (Rencana penuh...)
Gambar pilihan
Helang botak

Helang botak (Haliaeetus leucocephalus) adalah sejenis burung helang daripada genus Haliaeetus yang terdapat di benua Amerika Utara. Burung ini merupakan burung kebangsaan dan simbol bagi negara Amerika Syarikat.

(Kredit gambar: Saffron Blaze)

Kategori