Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Boestamam

Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Boestamam atau nama ringkasnya SMK Ahmad Boestamam, merupakan sebuah Sekolah menengah kebangsaan yang terletak di Jln Hj Mohd Ali.

Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Boestamam
Lokasi
 Malaysia Jln Hj Mohd Ali, 32000, Sitiawan, Perak Darul Ridzwan
Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah menengah kebangsaan, Sekolah kerajaan
Nombor sekolah6056911552
Kod sekolahAEA1110
Faks6056927724
Laman sesawang


Pada 2009, Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Boestamam memiliki 702 orang pelajar lelaki dan 733 orang pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 1435 orang. Ia mempunyai seramai 111 orang guru.2009

Sejarah sunting

Sebelum tahun 1972, sekeping tanah yang yang terletak antara pekan Sitiawan dan Kampung Koh dikenal pasti sebagai tapak sekolah. Kawasannya seluas 7 ekar dan terletak kira-kira 0.5km dari pekan sitiawan.

Pada 3hb. Januari 1972, seramai 314 orang murid dan guru seramai 18 orang telah berpindah dari Sekolah Menengah Rendah Sitiawan (aliran Inggeris; sekarang dikenali sebagai SMK Tok Perdana) ke bangunan baru SMK Sitiawan, iaitu murid-murid aliran Melayu sebelum ini yang menumpang di sekolah tersebut.

Pada permulaannya, SMK Sitiawan hanya terdiri daripada dua buah bangunan (12 bilik darjah), sebuah bengkel, sebuah asrama (lelaki) dan sebuah kantin. Pengetua pertama ialah Encik Meor Alif bin Meor Ahmad.

Pada tahun 1973, bilangan murid bertambah kepada 748 orang. Manakala guru turut bertambah kepada 31 orang. Sebuah kelas tingkatan lima sastera aliran Melayu dari SMJK Methodist (ACS) Kg Koh dipindahkan ke SMK Sitiawan.

Tahun 1974 ialah tahun akhir untuk ‘Kelas Peralihan’. Sebuah kelas Sains tingkatan 4 telah diadakan dengan mengambil murid-murid dari SM Pangkor, SM Raja Shahriman, Beruas dan SM Dato’ Idris, Pantai Remis. Sebuah bangunan baru yang terdiri daripada 11 buah bilik darjah dan 3 buah makmal (Fizik, Kimia dan Biologi) telah dibina. Sesi pagi untuk tingkatan 2 hingga 5 manakala sesi petang untuk tingkatan 1.

Pada tahun 1975, bilangan murid meningkat kepada 1127 orang dan guru seramai 41 orang. Pada 17hb. Januari 1984, SMK Sitiawan telah dirasmikan nama baru sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Boestamam, sempena nama Abdullah Sani bin Raja Kechil, iaitu penulis dan ahli politik pejuang kemerdekaan negara. Pada 1hb. Mac 1984, pengambilan pelajar pertama Tingkatan Enam Sastera bermula. Pada tahun yang sama juga sebuah bangunan baru 3 tingkat mula digunakan (Blok D sekarang).

Antara pengetua yang pernah berkhidmat di sekolah ini ialah Tn Hj Meor Alif b. Meor Ahmad (1972-1974), Tn Hj Hassan b. Md Johor (1974-1976), En. Mohd Zabidi b. Abd Latif (1976-1981), Tn Hj Sadli b. Ahmad (1981-1986), Datin Maliha bt. Abdul Wahab (1986-1987), Pn Normah bt. Mohamad (1987-1990), Tn Hj Ahmad Tajuddin b. Salleh (1991-1992), Tn Hj Mat Salleh b. Hanafi (1992-1995), Pn Che Aminah bt. Awang Kechil (Disember 1995 hingga 2004), En.Ahmad Rosidi b. Ramley, AMN (Julai 2004 hingga 2008), Pn. Noor Hayati bt Shafie (2008), Abdul Satar bin Abdullah (2008 hingga 2010), Pn. Hajah Noor Hayati bt. Shafie (2010 hingga 2015) dan Pn. Hajah Robiah bt. Yaakob (2015 hingga 2017).

Kini (tahun 2017), SMK Ahmad Boestamam telah berkembang pesat dengan mempunyai 5 buah blok bangunan (A, B, C, D dan E), sebuah dewan besar, bangunan komputer, 3 buah blok asrama, sebuah surau, sebuah dewan makan asrama, sebuah kantin dan kemudahan-kemudahan asas lain. Bilangan pelajar seramai 1554 orang. Bilangan guru pula seramai 120 orang dan kakitangan bukan guru 15 orang. Sebanyak 50 buah kelas menampung pelajar dari tingkatan 1 hingga 6 Atas dengan dua sesi persekolahan (pagi dan petang).

Pencapaian sunting

SMK Ahmad Boestamam pernah dinamakan sebagai sekolah bertaraf Lima Bintang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Ia juga pernah memenangi pertandingan peringkat negeri untuk kebersihan, keselamatan dan kecantikan landskap.

Pelajar-pelajar sekolah ini pernah menyertai Langkawi International Regatta, pertandingan pelayaran peringkat kebangsaan, bola sepak, badminton, hoki, taekwondo, catur dan silat.

Pada tahun 1995, SMK Ahmad Boestamam telah menjadi Johan Kejohanan Bolasepak MSS Perak dengan menewaskan juara bertahan Sekolah Menengah Gunung Rapat, Ipoh 1-0. Pasukan bola sepak SMAB juga merupakan juara bertahan daerah Manjung sejak tahun 1992.

Alamat sunting

Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Boestamam
Jln Hj Mohd Ali
32000, Sitiawan
Negeri Perak, Malaysia
Telefon = 6056911552
Faks = 6056927724

Pautan luar sunting