Terasul

sistem rujukan kehormat di Brunei

Terasul merupakan sistem rujukan kehormat yang digunakan dalam pertuturan rasmi bahasa Melayu di Brunei bagi merujuk kepada orang-orang tertentu, terutama sekali kerabat diraja, pembesar dan orang-orang yang diberikan kehormatan. Ianya ialah frasa yang dibubuh sebelum menyebut atau menulis nama seseorang individu.[1] Penggunaan terasul bergantung kepada darjat, pangkat, kedudukan dan gelaran orang yang dirujuk.[1]

Kerabat diraja sunting

Terasul bagi kerabat diraja Brunei adalah seperti berikut:[2]

Kebawah Duli Yang Maha Mulia sunting

'Kebawah Duli Yang Maha Mulia' ialah terasul asas yang hanya digunakan bagi Sultan dan Raja Isteri. Penggunaan sebenar mengandungi frasa tambahan selepasnya, yang mana ianya bergantung sama ada telah berpuspa bagi Sultan atau 'dipuja' bagi Raja Isteri. Terasul penuh mengikut situasi adalah seperti berikut:

  • Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan — Sultan sebelum berpuspa
  • Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan — Sultan setelah berpuspa
  • Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Pengiran Isteri — isteri Sultan sebelum dipuja
  • Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri — isteri Sultan selepas dipuja
  • Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Raja — isteri kedua Sultan semasa Sultan berpuspa

Kebawah Duli sunting

'Kebawah Duli' hanya digunakan dalam 'Kebawah Duli Sultan' iaitu terasul bagi Sultan yang belum baligh.

Duli Yang Maha Mulia sunting

'Duli Yang Maha Mulia' hanya digunakan dalam 'Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Pengiran Isteri' iaitu terasul bagi isteri kedua Sultan setelah Sultan berpuspa.

Duli Yang Teramat Mulia sunting

  • Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Begawan Sultan — terasul Sultan apabila turun dari takhta
  • Duli Yang Teramat Mulia Paduka Suri Seri Begawan Raja — terasul isteri Sultan apabila Sultan turun dari takhta kerajaan
  • Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota — terasul putera mahkota
  • Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri — terasul isteri putera mahkota

Yang Teramat Mulia sunting

  • Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda — terasul putera Sultan yang gahara
  • Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri— terasul puteri Sultan yang gahara
  • Yang Teramat Mulia Pengiran Babu Raja — terasul bonda Raja Isteri

Yang Amat Mulia sunting

  • Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri — terasul isteri putera Sultan yang gahara
  • Yang Amat Mulia Pengiran Muda — terasul anak gahara lelaki kepada putera Sultan yang gahara
  • Yang Amat Mulia Pengiran Anak — terasul putera dan puteri Sultan yang tidak gahara; anak gahara perempuan kepada putera Sultan yang gahara; anak gahara kepada puteri Sultan yang gahara; anak gahara kepada putera atau puteri Sultan yang tidak gahara

Yang Mulia sunting

  • Yang Mulia Pengiran Anak — terasul anak Pengiran Anak yang isterinya Pengiran Anak
  • Yang Mulia Pengiran — terasul anak Pengiran Anak yang isterinya bukan Pengiran Anak; Pengiran Kebanyakan (Pengiran biasa)

Pembesar diraja sunting

Terasul bagi pembesar diraja adalah rujukan kehormat bagi orang-orang yang diberi kedudukan Wazir, Cheteria atau Manteri. Ianya seperti berikut:[2]

  • Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri — Wazir yang terdiri daripada putera Sultan yang gahara
  • Yang Teramat Mulia Seri Paduka — Wazir selain daripada putera Sultan yang gahara
  • Yang Amat Mulia Pengiran — Cheteria
  • Yang Dimuliakan Lagi Dihormati — Manteri Berchiri (Ketua Kepala Manteri, Kepala Manteri Ugama dan Kepala Manteri Empat)
  • Yang Dimuliakan — Manteri Berchiri selain daripada Ketua Kepala Manteri, Kepala Manteri Ugama dan Kepala Manteri Empat
  • Yang Mulia — Manteri Bertauliah

Setiap terasul di atas juga diikuti dengan gelaran kedudukan masing-masing dan bagi wazir putera Sultan yang gahara diikuti lagi dengan gelaran 'Pengiran Muda'. Contohnya, seorang putera Sultan yang gahara yang dikurniakan kedudukan wazir Temenggong dirujuk dengan terasul 'Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Temenggong Sahibul Bahar Pengiran Muda'.

Pembesar kerajaan sunting

Terasul bagi menteri kabinet ialah 'Yang Berhormat', sementara bagi pesuruhjaya tinggi atau duta besar terasulnya ialah 'Tuan Yang Terutama'. Bagi ahli-ahli Majlis-Majlis Mesyuarat, terasulnya adalah mengikut gelaran dan kedudukan masing-masing.

Orang awam sunting

Secara amnya orang awam juga mempunyai terasul atau rujukan kehormat, iaitu 'Yang Mulia'. Biasanya bagi lelaki, ianya diikuti dengan 'Awang' dan bagi perempuan 'Dayang'. Bagi Pengiran biasa yang tiada mempunyai apa-apa kedudukan, selepas 'Yang Mulia' diikuti dengan gelaran 'Pengiran', manakala bagi anak lelaki Pengiran yang belum berkahwin 'Pengiran' digantikan dengan 'Awangku' dan bagi anak perempuan 'Dayangku' digunakan.

Haji atau Hajah sunting

Bagi individu Islam yang sudah melaksanakan ibadah haji, adalah menjadi adat untuk individu tersebut diberikan gelaran 'Haji' bagi lelaki atau 'Hajah' bagi perempuan. Dalam pertuturan atau penulisan rasmi, gelaran ini dibubuh sebelum nama sebenar, iaitu selepas semua gelaran lain termasuk kata hormat serta gelaran diraja, kedudukan dan bintang kebesaran yang mungkin dimiliki olehnya.

Lihat juga sunting

Nota sunting

  1. ^ a b Al-Sufri, Mohd. Jamil (2002). Adat Istiadat Diraja Brunei. Bandar Seri Begawan: Jabatan Adat Istiadat Negara. m/s. 6. ISBN 9991734228.
  2. ^ a b Al-Sufri, Mohd. Jamil (2002). Adat Istiadat Diraja Brunei. Bandar Seri Begawan: Jabatan Adat Istiadat Negara. m/s. 6–13. ISBN 9991734228.

Rujukan sunting