Aci sesondol atas atau Sesondol atas (OHC) merupakan konfigurasi rangkaian injap yang menempatkan aci sesondol di dalam kepala silinder, di atas kebuk pembakaran, serta menggerakkan injap atau tapet secara lebih terus daripada enjin injap atas (OHV) yang menggunakan rod penolak. Jika dibandingkan dengan sistem OHV dengan bilangan injap yang sama, komponen gerakan salingan pada sistem OHC adalah kurang serta mempunyai jumlah jisim yang lebih ringan. Walau sistem ini lebih rumit daripada OHV, kebanyakan pengeluar enjin boleh menerima pertambahan kerumitan untuk memperoleh prestasi enjin yang lebih baik serta keupayaan rekaan enjin yang lebih fleksibel. Satu lagi kelebihan dari segi prestasi boleh didapati hasil konfigurasi rongga optimum yang lebih baik melalui reka bentuk aci sesondol atas. Dengan ketiadaan rod penolak yang mengganggu, rekaan kepala silinder aci sesondol atas boleh menggunakan rongga yang lebih lurus dan lebih lawas.

Keratan rentas kepala silinder yang menunjukkan dua aci sesondol — satu untuk injap masukan dan satu lagi untuk injap ekzos.

Sistem OHC boleh digerakkan dengan cara yang sama seperti sistem OHV, termasuklah penggunaan tali sawat pemasa, rantai, atau dalam kes yang lebih jarang, gear.

Selain berupaya untuk menggunakan berbilang injap (3, 4 atau 5) sesilinder, kebanyakan enjin OHC hari ini menggunakan pemasaan injap boleh laras untuk menambah baik kecekapan dan kuasa enjin. OHC juga membolehkan kelajuan enjin yang lebih tinggi dicapai berikuran jisim komponen sistem injap yang berkurangan.

Terdapat dua jenis rekaan sistem aci sesondol atas: aci sesondol atas tunggal (SOHC), serta aci sesondol atas berkembar (DOHC).

Aci sesondol atas tunggal sunting

 
Kepala silinder enjin sesondol atas tunggal dari model 1987 Honda CRX Si.

Aci sesondol atas tunggal (SOHC) merupakan rekaan di mana satu aci sesondol ditempatkan di dalam kepala silinder. Bagi enjin sebaris, ia bermaksud terdapat hanya satu aci sesondol di dalam kepala silinder, manakala dalam enjin V atau enjin rata pula terdapat dua aci sesondol: satu bagi setiap baris silinder.

Rekaan SOHC mempunyai kurang jisim komponen salingan berbanding rekaan OHV. Ia membenarkan kelajuan enjin yang lebih tinggi, sekaligus menambah keluaran kuasa bagi kadaran kilasan yang diberi. Sesondol menggerakkan injap secara terus ataupun melalui lengan jumpelang, tidak seperti enjin injap atas yang mempunyai tapet, rod penolak yang panjang, serta lengan jumpelang bagi memindahkan pergerakan sesondol pada injap. Jika digunakan bagi rekaan enjin berbilang injap, rekaan SOHC menawarkan tahap kerumitan yang kurang berbanding rekaan rod penolak.

Aci sesondol atas berkembar sunting

 
Pandangan atas bagi kepala enjin Suzuki GS550 yang menunjukkan dua aci sesondol dan gegancu pacuan.

Rekaan aci sesondol atas berkembar (DOHC) dikenali melalui penggunaan dua aci sesondol di dalam kepala silinder, satu untuk injap-injap masukan dan satu lagi untuk injap-injap ekzos. Bagi enjin V dan enjin rata pula, jumlah aci sesondol yang digunakan ialah empat dan bukannya dua, iaitu dua aci sesondol bagi setiap baris silinder.

Walaupun enjin DOHC sering dikaitkan dengan enjin berbilang injap, masih terdapat sesetengah pengeluar yang lebih gemar menggunakan rekaan SOHC bagi rekaan empat injap sesilinder. Honda, misalnya, menggunakan rekaan SOHC 4 injap sesilinder bagi beberapa keluarga enjin terbarunya seperti enjin Siri L pada Honda City dan enjin Honda R pada Honda Civic bagi mengurangkan kos keseluruhan. Juga, tidak semua enjin DOHC merupakan enjin berbilang injap—DOHC lazim digunakan dalam rekaan kepala silinder dua injap sesilinder selama berdekad sebelum kepala silinder berbilang injap dicipta. Walau bagaimanapun, pada masa sekarang rekaan DOHC sinonim dengan kepala silinder berbilang injap, memandangkan hampir kesemua enjin DOHC moden mempunyai antara tiga hingga lima injap sesilinder.[1]

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Tan, Paul. "SOHC vs DOHC Valvetrains: A Comparison". Paultan.org. Dicapai pada 2010-11-07.

Pautan luar sunting