Anyaman

menjalin atau menyilang serat atau akaran untuk membuat barang

Anyaman[1] atau penganyaman ialah satu kaedah menjalin yang mana produknya turut dipanggil sedemikian. Ia ialah kaedah menghasilkan perabot yang tertua dalam sejarah bertarikh sejauh 5,000 tahun lalu. Anyaman sulung kali didokumenkan dari Mesir Kuno, menggunakan bahan tumbuhan yang mudah dibentuk, namun pada zaman moden, ia dibuat dengan apa-apa bahan anyaman yang mudah dilentur.

Keranjang anyaman buluh di Rumah Adat Kampung Naga, Tasikmalaya, Jawa Barat, Indonesia.

Anyaman ini dibuat daripada bahan dasar tumbuhan, seperti dedalu, rotan, mensiang dan buluh, namun kini serat sintetik turut dipakai. Anyaman ini ringan sekali gus kukuh, membuatkan ia sesuai untuk barang dibawa ulang-alik.

Bahan anyaman

sunting

Penggunaan tali, akar dan rotan merupakan asas pertama dalam penciptaan kraftangan anyaman yang telah menjadi usaha tradisi sejak berabad-abad lalu. Bahan-bahan asas tumbuhan ini boleh ditemukan tumbuh meliar di sekitar hutan, paya, kawasan kampung dan di sekitar pasir pantai.

Pelbagai rupa bentuk kraftangan pula dapat dihasilkan melalui proses dan teknik anyaman dari jenis tumbuhan Pandanus (pandan dan mengkuang). Bentuk-bentuk anyaman dibuat berdasarkan fungsinya seperti dibentuk menjadi bakul, topi, tudung saji, tikar dan aneka rupa bentuk yang digunakan setiap hari.

Selain daripada tumbuhan jenis Pandanus, bahan asas lain yang sering digunakan ialah daripada pokok bertam, palma spesies Eugeissona tristis, dan nipah. Sekitar tahun 1756 hingga 1794, terdapat penggunaan 'tikar raja' yang diperbuat daripada rotan tawar dan anyaman daripada bemban.

Ia juga boleh dilihat pada rumah-rumah masyarakat zaman dahulu di mana dinding rumah mereka dianyam dengan buluh dan kehalusan seni anyaman itu masih bertahan sehingga ke hari ini. Rumah yang berdinding dan beratapkan nipah tidak panas kerana lapisan daun nipah yang tebal menebat pengaliran haba.

Pembuatan

sunting

Proses menganyam disebut juga sebagai menaja.[2] Untuk memulakan satu-satu anyaman, waktu yang baik ialah pada sebelah pagi atau malam. Dalam keadaan cuaca yang redup atau dingin, daun-daun lebih lembut dan mudah dibentuk tanpa meninggalkan kesan-kesan pecah.

Selain tikar yang datar dengan sifat dua dimensi, terdapat rupa bentuk anyaman tiga dimensi. Bentuk-bentuk anyaman begini biasanya digunakan oleh masyarakat pada masa dahulu untuk mengisi atau menyimpan bahan-bahan keperluan hidup dan kegunaan seharian ialah seperti bakul, tudung saji, kampit, kembal dan sebagainya.

Anyaman buluh dan bertam dibuat dengan cara susunan menegak dan melintang. Anyaman daun pandan dan mengkuang disusun silang dengan kedudukan menyerong. Anyaman kelarai pula disusun secara tunggal atau lepas (menyeluruh) atau disusun dalam ruang tertentu.

Rujukan

sunting
  1. ^ "anyaman". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
  2. ^ "taja". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.