Enjin dua lejang

(Dilencongkan daripada Dua lejang)

Enjin dua lejang mempunyai prinsip pengendalian yang berbeza daripada enjin empat lejang iaitu enjin dua lejang melengkapkan keempat-empat proses (masukan, mampatan, kuasa dan ekzos) yang dilakukan pada enjin empat lejang dalam setiap dua lejang, ataupun setiap satu putaran enjin sahaja. Ia dilakukan dengan menggunakan bahagian permulaan lejang mampatan bagi melaksanakan fungsi lejang masukan dan ekzos secara serentak. Dengan ini, enjin dua lejang menghasilkan kuasa spesifik yang lebih tinggi, menjadikannya sesuai bagi kerja-kerja ringan dan mudah alih seperti gergaji rantai sehinggalah kepada penggunaan berskala besar seperti lokomotif kereta api.

Dari segi pelinciran, enjin petrol dua lejang memerlukan minyak pelincir khas yang boleh terbakar, dikenali sebagai minyak 2T disebabkan operasi kitar dua lejang turut melibatkan ruangan dalam kotak engkol, tidak seperti kotak engkol enjin empat lejang yang terasing sepenuhnya daripada kebuk pembakaran. Pembakaran minyak 2T ini merupakan satu penyebab utama kepada pencemaran yang dihasilkan oleh enjin petrol dua lejang..

Penciptaan kitar dua lejang mula dilakukan oleh Dugald Clark sekitar 1880 dengan enjin yang mempunyai silinder pengepam berasingan. Enjin pengepaman kotak engkol, yang menggunakan kotak engkol sebagai pengepam, telah dicipta oleh Joseph Day (dan Frederick Cock bagi liang masukan kawalan omboh).


Kitar dua lejang

sunting

Enjin dua lejang beroperasi dengan hanya dua lejang, berbanding empat lejang bagi enjin kitar Otto:

  1. Kuasa/ekzos - Peringkat ini bermula sebaik sahaja campuran udara-bahan api terbakar, menyebabkan gas pengembangan mengembang dan memaksa omboh turun ke bawah, menghasilkan kuasa pada enjin. Gerakan omboh ke bawah juga memampatkan campuran udara-bahan api-pelincir, maka apabila omboh terus bergerak ke bawah sehingga membuka liang masukan dan liang ekzos, gerakan omboh ke bawah memaksa campuran udara-bahan api-pelincir yang segar masuk ke dalam kebuk pembakaran dan memaksa gas ekzos keluar.
  2. Masukan/mampatan - Omboh bergerak ke atas dan memampatkan campuran udara-bahan api-pelincir. Gerakan omboh ke atas menyebabkan tekanan udara di dalam kotak engkol menjadi rendah, membolehkan campuran udara-bahan api-pelincir dari karburetor masuk ke dalam kotak engkol melalui satu injap dedaun. Campuran udara-bahan api-pelincir termampat dibakar, dan kitar dua lejang berulang.

Kebaikan dan kelemahan enjin dua lejang

sunting

Enjin dua lejang adalah ringkas, maka kos membaik pulih enjin dua lejang adalah lebih murah berbanding enjin empat lejang. Selain itu, prinsip pengendalian enjin dua lejang juga menjadikannya sesuai bagi penggunaan yang memerlukan enjin yang mudah alih dan ringan seperti gergaji rantai dan mesin rumput. Enjin dua lejang juga boleh menghasilkan kuasa hampir dua kali ganda saiz enjin empat lejang yang sama, misalnya motosikal Honda CBR 150 4 lejang hanya menghasilkan kuasa sebanyak 18.98 bhp tetapi motosikal Honda NSR 150 2 lejang pula menghasilkan kuasa sebanyak 38 bhp.

Sungguhpun demikian, penggunaan enjin dua lejang semakin berkurangan disebabkan keluaran gas ekzos enjin dua lejang yang kurang mesra alam berbanding enjin empat lejang. Faktor-faktor utama yang menyebabkan penghasilan gas-gas ekzos yang mencemar udara oleh enjin dua lejang ialah pembakaran minyak 2T serta proses ekzos yang menyebabkan sebahagian campuran udara-bahan api-pelincir yang tak terbakar turut disingkirkan, mengurangkan kecekapan enjin.

Langkah-langkah yang diambil bagi meningkatkan kecekapan enjin dua lejang adalah seperti berikut:-

  • Injap kuasa dua lejang - Injap kuasa melaras saiz bukaan liang ekzos bagi kuasa yang optimum serta meningkatkan kecekapan enjin. Pada putaran enjin rendah, injap kuasa mengecilkan bukaan ling ekzos bagi mengelakkan pembaziran bahan api dan pelincir serta meningkatkan kilasan peringkat bawahan. Pada putaran enjin tinggi pula, injap kuasa membesarkan bukaan liang ekzos untuk penyingkiran gas ekzos yang lebih lawas, meningkatkan kuasa enjin.
  • Kebuk pengembangan - Kebuk pengembangan adalah ruangan pada paip ekzos enjin 2 lejang yang membonjol. Fungsinya adalah untuk meningkatkan kecekapan enjin melalui balikan gelombang tekanan gas ekzos.
  • Suntikan terus - Di dalam sesetengah enjin petrol dua lejang, minyak petrol disuntik secara terus ke dalam kebuk pembakaran manakala minyak enjin dua lejang disuntuk secara terus ke bahagian bergerak di dalam enjin seperti galas aci engkol. Melalui suntikan terus, penghasilan gas ekzos tercemar disebabkan pembakaran minyak enjin dua lejang dapat dikurangkan.
  • Penukar bermangkin - Penukar bermangkin dipasang bagi mengurangkan penghasilan gas-gas toksik yang mencemarkan udara di dalam gas ekzos.

Enjin diesel dua lejang

sunting

Enjin diesel dua lejang mempunyai reka bentuk yang berbeza daripada enjin petrol dua lejang. Di dalam enjin diesel dua lejang, udara masuk melalui liang masukan di bahagian tepi silinder dan tidak melalui kotak engkol. Bukaan liang masukan dikawal oleh omboh. Seperti juga enjin empat lejang diesel, enjin dua lejang diesel juga tidak mempunyai palam pencucuh dan minyak diesel disuntik ke kebuk pembakaran pada penghujung lejang mampatan. Semasa omboh turun ke bawah sehingga membuka liang masukan, injap ekzos turut terbuka dan udara bersih dari liang masukan akan memaksa gas ekzos keluar, menjadikan gas ekzos enjin diesel dua lejang lebih bersih daripada enjin petrol dua lejang.

Walau bagaimanapun, enjin ini memerlukan pengecas turbo untuk berfungsi mengepam masuk udara bersih ke dalam enjin. Oleh itu, enjin diesel dua lejang yang dilengkapi pengecas super dianggap sebagai enjin pernafasan biasa. Di dalam sesetengah kes, enjin diesel dua lejang yang sedia dipasang dengan pengecas super boleh dipasang dengan pengecas turbo bagi meningkatkan kuasanya.

Enjin diesel dua lejang lazimnya digunakan dalam aplikasi berat seperti lokomotif kereta api, janakuasa elektrik serta sebagai enjin kapal.

Sumber

sunting

Lihat juga

sunting

Pautan luar

sunting