Heckler & Koch HK416
Heckler & Koch Model 416 atau HK 416 merupakan sejenis karbin yang direkacipta semula oleh Heckler & Koch yang merupakan asas kepada sistem raifal M16, atau lebih tepat lagi karbin M4, yang merupakan sistem raifal utama bagi infantri Amerika Syarikat hari ini. Pembaharuan yang dilakukan oleh HK terhadap pengoperasian sistem M16 atau M4 bukannya sesuatu perkara yang perlu diperbesar-besarkan atau dijadikan sesuatu isu. Sistem ini telah diakui kebolehannya oleh pasukan elit Delta Force Amerika yang menggunakannya semasa kempen di Iraq dan Afghanistan.
Heckler & Koch HK416 | |
---|---|
Fail:HK416Carbine.jpg | |
Jenis | Raifal Tempur, Karbin |
Tempat asal | Jerman Amerika Syarikat |
Sejarah perkhidmatan | |
Dalam perkhidmatan | 2005-kini |
Digunakan oleh | Jerman, Malaysia, Norway, Taiwan, Amerika Syarikat, Indonesia, Belanda |
Sejarah pengeluaran | |
Pereka | Heckler & Koch |
Pengeluar | Heckler & Koch |
Jumlah dibina | Tidak diketahui |
Aneka | D10RS (laras 10"), D145RS (laras 14.5"), D165RS (laras 16.5"), D20RS (laras 20") |
Spesifikasi | |
Berat | 3.31 kg (laras 10 inci), 3.5 kg (laras 14.5 inci) |
Panjang | 686 / 785 1 E-3 m |
Panjang laras | 267 mm (10.5 in), 368 mm (14.5 in), 419 mm (16.5 in), 508 mm (20 in) |
Kartrij | 5.56 x 45 mm NATO |
Aksi | Sistem gas, bolt berputar, kebolehan menembak (semi-auto, semburan automatik) |
Kadar tembakan | 700-900 butir/min |
Sistem suapan | 30 butir peluru dalam kelopak |
Penglihatan | Pejera dram (belakang) dan pejera tiang (hadapan) yang boleh dilipat. |
Sejarah
suntingProgram Model 416 bermula setelah HK diberikan tugas oleh pihak Amerika untuk mempertingkatkan sistem persenjataan utama mereka, khasnya M4 dan M16. HK melaksanakan beberapa siri ujian serta uji nilai yang mempunyai tujuan bagi mengumpul maklumat berkenaan sistem M4. Dari hasil kajian yang dilakukan, terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh raifal versi M16 dan M4 ini. Antaranya ialah sistem alat kerja dan kitaran mekanikal yang terdapat pada raifal tersebut. Sistem kitaran gas operasi pada M16 sebenarnya adalah sistem gas yang mula diperkenalkan pada tahun 1955 oleh seorang jurutera raifal bernama Eugene Stoner. Sistem ini mempunyai pengoperasian gas yang pada ketika itu dianggap unik, iaitu sebahagian kecil daripada tekanan gas dari laras raifal yang terhasil semasa tembakan dijalankan, disalur keluar melalui satu lubang kecil di bahagian hadapan laras dan disemburkan secara terkawal ke belakang untuk menolak perumah dan bolt ke belakang. Gas ini disalurkan ke belakang dari laras melalui satu tiub aluminium yang memanjang, dari bawah pejera hadapan sehinggalah pada bahagian badan utama raifal dan akan menolak perumah serta membuka kekunci kebuk laras melalui proses putaran kepala bolt. Pada awal pengenalannya, sistem ini direka dalam bentuk raifal AR-15 buatan syarikat persenjataan Armalite, tetapi sebaik sahaja ia digunakan secara meluas oleh pihak tentera Amerika serta seluruh dunia, raifal tersebut telah dikenali sebagai M16. Di awal pengunaannya terdapat beberapa masalah yang menyebabkan raifal tersebut kerapkali mengalami masalah hentian. Setelah kajian demi kajian dilakukan, masalah tersebut telah dikenalpasti. Antaranya berpunca dari kotoran yang banyak di dalam tiub gas kerana jenis peluru digunakan mempunyai belerang yang menghasilkan karbon yang tinggi serta menghasilkan terlalu banyak asap. Dengan penggunaan yang berterusan, asap atau karbon yang melekat pada tiub gas menyebabkan ia mudah tersumbat. Masalah ini kemudiannya telah berjaya diselesaikan oleh pakar persenjataan Amerika. Setelah Amerika memperkenalkan sistem M4 yang mempunyai saiz laras yang lebih pendek, masalah ini timbul semula. Paling buruk sekali ialah apabila digunakan ketika beroperasi di kawasan yang berpasir atau berdebu. Hentian yang dihadapi dikatakan bertambah buruk, memandangkan ia mempunyai laras yang lebih pendek yang menjadikan saluran gas di atas laras juga adalah pendek. Ini dianggap sebagai punca kegagalan karbin tersebut untuk berfungsi dengan baik. Ini kerana bagi sistem M16, hubungan antara perumah bolt, panjang laras, kedudukan lubang gas pada laras serta kekuatan tekanan gas yang dihasilkan oleh belereng mempunyai hubungkait secara langsung dengan prestasi kitaran mekanikal senjata. Sebarang perubahan pada berat peluru dan kualiti belerang, panjang laras atau kedudukan liang gas di laras akan mengubah kekuatan tekanan yang memasuki tiub gas dan tolakan ke perumah bolt belakang. Memandangkan sistem M4 mempunyai panjang laras yang lebih pendek serta kedudukan liang keluar gas yang tidak sama dengan raifal M16 tentunya ia bakal mengundang masalah seperti tekanan gas akan menolak perumah bolt lebih awal dan tekanan gas yang menghambur ke belakang adalah lebih kuat dari yang sepatutnya. Selain masalah penukaran saiz, laras raifal M4 yang diperbuat dari logam jenis Krom Molibdenum Vanadfium akan mengubah keadaannya apabila suhu mencecah 1100 darjah dan boleh mengakibatkan menghadapi masalah seperti laras akan retak atau pecah.
Rekabentuk Model 416
suntingAtas masalah ini, HK merangka satu sistem bagi mengatasi masalah sistem alat kerja M4 yang mempunyai kaitan dengan tekanan gas yang tidak efektif. Dengan pengenalan sistem DIGS atau Direct Impulse Gas System, masalah halangan pada M4 tidak berlaku lagi. Ini kerana, sistem DIGS tidak menggunakan gas yang keluar dari lubang khas ke belakang rumah melalui tiub. Selain DIGS, sistem piston serta rod dan spring telah menggantikan tiub aluminium yang sedia ada pada raifal versi M4 atau M16. Bahagian hadapan saluran gas mempunyai satu lubang kecil bagi melepaskan tekanan berlebihan ke udara semula. Berbanding pada M4 yang menggunakan gas yang di sembur ke belakang ke rumah bolt, tekanan gas pada Model 416 hanya menolak kepala bolt ke belakang yang kemudiannya menolak rod panjang. Rod kemudiannya akan menolak perumah bolt ke belakang. Perkara yang positif berkenaan sistem DIGS ini ialah semburan karbon mahupun haba tidak sampai ke bahagian alat kerja senjata. Tekanan, haba dan karbon hanya akan dipindahkan pada kepala bolt manakala kuasa tolakan pula berpindah pada rod dan perumah. Ini menjadikan karbon tidak akan mengotorkan sistem mekanikal pada badan raifal dan secara langsung akan mengurangkan masalah mencuci raifal bagi anggota di baris hadapan. Satu lagi kelebihan yang ada pada sistem ini ialah dengan menghapuskan sistem tiub saluran, raifal boleh digunakan untuk melepaskan tembakan walaupun dari dalam air ataupun ketika anggota yang bersenjatakan sistem ini baru sahaja keluar dari dalam air dan melepaskan tembakan tanpa mengosongkan laras dari halangan air di dalamnya. Laras raifal juga telah digantikan dengan laras buatan HK yang jauh lebih tebal dan terkenal dengan ketahanannya dan mengikut firma tersebut, piawaian yang ditetapkan.
Selain daripada itu HK turut melaksanakan peningkatan yang lain seperti merekabentuk semula bahagian pengimbang tendangan belakang atau buffer dan spring tendang balas, penambahan komponen spring penolak pada bolt dan merekabentuk semula bahagian blok saluran keluar gas dari laras. Bahagian pengadang tangan Model 416 diubahsuai atau digantikan dengan sistem pengadang tangan yang mempunyai landasan Picatinny pada keempat-empat sudut. Pengadang tangan ini boleh dikeluarkan dari posisinya dengan membuka kuncian khas pada bahagian bawah tepi dengan sama ada menggunakan kuncian khas pada tali sling, atau kepala bolt. Tangkai pemegang hadapan turut dibekalkan oleh HK sebagai aksesori yang boleh dipasangkan pada landasan Picatinny di bahagian bawah laras. Bahagian pejera hadapan dan belakang juga ditukarkan dari versi asal M4. Pejera belakang ditukarkan kepada sistem pejera dram sepertimana yang terdapat pada raifal dan submesingan seperti MP5 dan HK 33. Pejera hadapan pula direka dalam bentuk pejera tiang yang boleh dilipatkan ke atas untuk digunakan atau ke bawah jika hendak menggunakan sistem penderia atau pejera optik. Terdapat juga versi yang mempunyai pejera hadapan sepertimana yang terdapat pada MP5. Kelopak yang sebelum ini diperbuat daripada aluminium juga telah digantikan dengan keluli tahan lasak agar ia mampu beroperasi dengan lebih efisyen. Bahagian udi teleskopik raifal direkasemula sepertimana versi M4 sebelumnya.
Model
suntingSelain versi bagi raifal tempur, Model 416 turut didatangkan dengan beberapa versi yang lain misalnya ke versi karbin yang mengikut kehendak atau citarasa pengguna. Antara model atau versi Model 416 ialah:
- D10RS (laras 10" inci, versi komando )
- D145RS (laras 14.5" inci, versi karbin)
- D165RS (laras 16.5" inci, versi raifal tempur)
- D20RS (laras 20" inci, versi LMG atau Sniper)
Pengguna
suntingKini, setelah sistem ini dihasilkan terdapat banyak pasukan-pasukan bersenjata diseluruh dunia menggunakan sistem ini. Misalnya pasukan polis khas GSG-9 dan KSK infantri Jerman telah menggunakan Model 416 bagi meningkatkan sistem persenjataan raifal yang sedia ada, G36. Selain Jerman, Amerika Syarikat juga memiliki sistem ini dan kini digunakan oleh pasukan elit Delta Force serta DEVGRU/SEAL Team Six bagi menggantikan senjata HK XM8 yang telah dibatalkan programnya, diikuti oleh Malaysia iaitu Pasukan Gerakan Khas Polis Diraja Malaysia dan Taiwan oleh pasukan pengawal pantai. Norway bakal menggunakan Model 416 bagi menggantikan Heckler & Koch G3 pada tahun 2008. Pasukan khas Indonesia iaitu Detasemen Jala Mengkara (Denjaka) Korps Marinir TNI-AL juga telah menggunakan senjata Model 416 dan Poland serta Turki juga memperolehi Model 416.
Lihat juga
suntingPautan luar
suntingWikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Heckler & Koch HK416. |
- Official page
- HK416 development story from Larry Vickers Diarkibkan 2007-04-09 di Wayback Machine
- Modern Firearms page
- Heckler and Koch HK416 Enhanced Carbine
- Military.com article on HK416
- Aftenposten: Arvtageren til AG-3 (Norwegian report on the army's new standard rifle) (Norway)
- Mil.no (Norwegian Armed Forces official website): Adjø til AG-3 ("Goodbye to AG-3", a short presentation of the new HK416) Diarkibkan 2007-04-19 di Wayback Machine (Norway)
- Mil.no (Månedens gadget: Gadget of the month ) Diarkibkan 2007-09-30 di Wayback Machine (Norway)
- Heckler & Koch DE article on the Norweigian HK416
- The USA's M4 Carbine Controversy, includes the HK416
Senarai senjata api | |
---|---|
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z - Lain-lain. |