Ila ialah sumpah seorang suami untuk tidak bersetubuh dengan isterinya selama-lamanya atau melebihi empat bulan. [1]


Antara lafaz sumpah ila’ ialah:

a) lafaz sarih iaitu lafaz yang jelas seperti:

Aku tidak akan bersetubuh dengan kamu lebih dari empat bulan. Aku tidak akan jimak dengan kamu lebih dari empat bulan.

b) lafaz kinayah iaitu lafaz yang tidak menunjukkan ila’ kecuali dengan niat:

Aku tidak akan sentuh kamu selama empat bulan. Dalam lafaz ini sekiranya suami berniat makna sentuh itu ialah bersetubuh maka sahlah ila’ pada ketika itu.


Hukum dan syarat Ila’

Hukum ila’ adalah haram kerana ila’ ialah perbuatan yang memudharatkan si isteri dan juga ia merupakan sumpah untuk meninggalkan perkara yang wajib (bersetubuh).

Ila’ dikira terjadi dan sah apabila menepati syarat-syarat berikut:

Suami yang melakukan hubungan jenis adalah seorang lelaki yang ada keupayaan dan kemampuan. Bererti tidak sah ila’ dari suami yang mengidap unnah iaitu mati pucuk atau dalam tahanan (penjara) kerana sememangnya suami tersebut tidak berupaya melakukan jimak dengan isterinya. Suami yang berila’ tersebut adalah seorang yang berakal dan cukup umur.


Implikasi ila’

Terdapat dua implikasi yang timbul akibat perbuatan ila’ :

Sekiranya seorang suami yang telah melafazkan ila’ kemudian dia telah melanggar ila’nya itu dengan bersetubuh kembali dengan isterinya sebelum cukup tempoh empat bulan atau lebih maka dia tertakluk kepada hukum-hukum berikut:

a) dalam keadaan ketika si suami bersumpah dengan nama Allah untuk tidak bersetubuh dengan isterinya dalam tempoh empat bulan dan kemudian melanggarnya, maka dia wajib membayar kifarah yamin iaitu hukuman ke atas sumpah mengikut turutan berikut:

Memerdekakan seorang hamba Muslim. Memberikan makanan kepada sepuluh orang miskin, satu cupak setiap seorang. Memberikan pakaian kepada sepuluh orang miskin, setiap seorang satu pasang. Berpuasa selama tiga hari berturut-turut.

Apabila kifarat telah ditunaikan maka gugurlah ila’ dan suami dibenarkan bergaul semula dengan isterinya.


b) Sekiranya ila’ itu dibuat secara sumpah taklik maka apabila si suami menyetubuhi isterinya, jatuhlah talak ke atas isterinya itu.

c) Sekiranya ila’ itu dibuat (dilafazkan) secara nazar seperti kata suami; “Kalau aku menyetubuhi kamu dalam masa empat bulan maka aku wajib berpuasa selama sepuluh hari.” Maka, sekiranya suami menyetubuhi isterinya sebelum cukup tempoh yang disebutkan maka dia wajib membayar nazarnya dengan berpuasa selama sepuluh hari.

Sekiranya seorang suami yang telah berila’ dan dia tidak bersetubuh dengan isterinya sehingga tamat tempoh ila’ tersebut maka hukumnya gugur talak bain ke atas isteri sebagai balasan ke atas kezaliman suami terhadap isterinya dan sebagai rahmat kepada isteri untuk membebaskannya daripada suami dan membolehkannya berkahwin dengan lelaki yang lain pula.


Pautan luar

sunting