Kelab Remaja Udara Malaysia

Latar Belakang Dan Founder

Kelab Remaja Udara Malaysia https://www.facebook.com/krummalaysiaofficial?__tn__=-UC atau ringkasannya KRUM diasaskan pada tahun 2014 oleh saudara Azhar bin Selamat, seorang pemimpin belia berasal dari Felda Bukit Besar di daerah Kulai, Johor. Beliau merupakan Founder dan Presiden Pertubuhan Aspirasi KARISMA Malaysia dan juga Founder merangkap mantan Presiden Persatuan Belia KARISMA Negeri Johor (2008 - 2016).

KRUM merupakan platform pemerkasaan kokurikulum pendidikan dan pembangunan generasi muda Malaysia di dalam bidang Penerbangan, Aero Angkasa, Angkasa Lepas dan Automasi Dron semenjak tahun 2014. Kelab ini aktif di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia dan juga Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seluruh negara.

Mohd Nor Azam bin Shuib, Pengetua di sekolah SMK Mutiara Rini 2, SMK Bukit Batu dan SMK Senai merupakan pengasas bersama di dalam mencetuskan perubahan nama KRUM dan pengisian aktivitinya.


Co-Founder Dan Penggerak KRUM

Selain Azhar dan Nor Azam sebagai pengasas utama, individu penting yang memainkan peranan besar di dalam kemajuan Kelab Remaja Udara Malaysia pada hari ini adalah Farah Nur Atikah selaku Setiausaha Kelab Remaja Udara Malaysia merangkap Pengarah Admin dan Data, Dr Hazariah binti Mohd Noh selaku Penasihat Utama dan juga Pengarah Komunikasi, Teknikal dan Pembangunan Aero Angkasa KRUM dari UniKL MIAT serta Wan Zaidi Wan Omar , pensyarah kanan di UTM Skudai. Selain itu, barisan fasilitator dan koordinator diketuai oleh Mirza Alif, Muhammad Yusri Yassin dan Mohd Zaki Salleh yang dibimbing oleh Azhar di dalam projek pembangunan pelapis juga membantu perkembangan kelab ini.


Jumlah Kelab Seluruh Malaysia

Sebanyak 360 buah sekolah di Kementerian Pendidikan Malaysia dan 55 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh Malaysia terlibat sebagai kelab di bawah program Kelab Remaja Udara Malaysia ini.


Sejarah

KRUM tercetus atas inisiatif Azhar sebagai pimpinan belia untuk membangunkan anak-anak Malaysia yang bersifat kompeten dan sentiasa bersedia bermula dari usia lebih awal. Beliau melihat keperluan kesedaran pelajar dan masyarakat umum terhadap pembangunan kerjaya bidang berteknologi tinggi perlu digerakkan segera untuk mengelakkan pelajar tiada arah bimbingan selepas tamat alam persekolahan. Sebagai pengasas dan pengarah operasi KRUM , Azhar menekankan konsep 7P (Pendedahan-Penerokaan-Pendidikan-Penyelidikan-Pembangunan-Pengaplikasian-Penempatan) sebagai mekanisme aktiviti kokurikulum kelab di sekolah.

Di peringkat awal, beliau menamakan program tersebut dengan nama Malaysia Young Aviator (2014 - 2015) menerusi kerjasama dengan beberapa kelab penerbangan di Senai Airport dan juga pengurusan Senai International Airport. Di peringkat awal, peserta program kelab ini diberi latihan hands on tentang kejuruteraan pesawat ringan dan kerjaya pilot. Jabatan Pendidikan Negeri Johor menerusi pegawainya, Encik Azman Ansar telah menyambut baik perancangan Azhar pada masa itu dan memulakan langkah menjadikan negeri Johor sebagai negeri perintis program kelab ini dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia. Beberapa sekolah menengah dan rendah di Johor telah mengambil peluang menubuhkan dan menyertai program kelab udara ini meliputi daerah Kulai, Johor Bahru, Pasir Gudang dan Kota Tinggi. Pengetua SMK Mutiara Rini 2, Mohd Nor Azam bin Shuib merupakan antara warga pendidik yang bekerjasama rapat dan aktif di dalam menggerakkan pendedahan awal aktiviti kelab udara tersebut.

Pada tahun 2016, Azhar dan Nor Azam bersepakat untuk mengubah nama Malaysia Young Aviator kepada Kelab Remaja Udara Malaysia (KRUM) bermula di SMK Bukit Batu, Kulai dan pada Mac 2017, Azhar telah menjemput aktor Saharul Ridzwan Hashim sebagai Duta KRUM. Idea penglibatan Saharul Ridzwan ini tercetus apabila isteri kepada Azhar melihat satu sesi wawancara Saharul Ridzwan menyatakan beliau memiliki Diploma Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat. Penglibatan aktor tersebut telah diperkenalkan di dalam satu majlis di UTM Semarak.

Pada tahun tersebut juga, Azhar mengasas dan menubuhkan pertubuhan yang dinamakan sebagai Kelab Rakan Udara Malaysia di bawah ROS. Di peringkat awal pertubuhan ini, Azhar telah menjalinkan kerjasama dengan UniKL MIAT, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai rakan strategik dalam mengelola dan menyediakan modul serta aktiviti untuk ahli KRUM. Dan seterusnya KRUM berkembang semakin baik di mana beberapa lagi IPTA, IPTS, akademi, agensi awam dan swasta serta syarikat industri penerbangan turut membantu perkembangan dan pembangunan Kelab Remaja Udara Malaysia. Di tahun 2017 ini juga, KRUM telah menjalankan beberapa siri pertandingan berkaitan dunia penerbangan di samping program utamanya iaitu KRUM Aviation Camp Peringkat Kebangsaan melibatkan pelajar-pelajar seluruh negara dengan setiap perkhemahan tersebut melibatkan 150 hingga 200 pelajar dan guru. UniKL MIAT Sepang dan Malaysia Airlines Academy (MABA) menjadi lokasi utama selain pernah dikendalikan juga di UTHM Parit Raja dan UTM Skudai. Aviation Camp Peringkat Kebangsaan tersebut mendapat sokongan dan pengiktirafan Kementerian Pendidikan Malaysia dan berterusan sehingga 2019 sebelum dihentikan sementara pada tahun 2020 sewaktu seluruh dunia dilanda ancaman wabak Covid 19. KRUM menjadi salah satu medium pemerkasaan elemen Sains Teknologi Kejuruteraan Matematik (STEM) pada tahun 2018.

Pada penghujung 2017, KRUM telah memulakan pendedahan awal teknologi dron kepada para pelajar. Pertandingan "National Discipline Drone Challenge 2017/2018" secara berpasukan di antara sekolah-sekolah rendah dan sekolah menengah telah diadakan di SMK Senai dan sejak itu, program aplikasi dron yang pelbagai telah menjadi antara aktiviti utama kepada ahli kelab KRUM ini di seluruh negara.

Pada hari ini, KRUM yang berpusat di Senai, Johor dan Subang, Selangor aktif memperkasakan pendidikan murid-murid Malaysia berkaitan pesawat seperti helikopter, pesawat kecil ringan, pesawat komersial seperti Boeing dan Airbus hingga ke pesawat ketenteraan, pelbagai aplikasi dron (coding, penggambaran, pertanian, pemeriksaan), roket dan satelit.