Laika Siberia Barat

baka anjing dari Rusia

Laika Siberia Barat[a] ialah satu baka anjing pemburu jenis spits. Terbitan Rusia menyatakan bahawa istilah laika Siberia Barat digunakan dengan longgar untuk anjing pemburu yang berasal dengan orang Mansi dan orang Khanty di Ural dan di Siberia Barat, tetapi tiada piawaian atau pendaftaran baka ini sehingga tahun 1930. Kemudian, Perang Dunia Kedua mengganggunya buat sementara, tetapi pembiakbakaan sistematik dengan pendaftaran bersambung selepas peperangan berakhir, tahun pada 1946. Ini merupakan masa buat baka ini mula memperoleh kemodenannya. Sebelum itu, para pemburu hanya mengenali laika Mansi dan laika Khanty. Pada awal tahun 1960, ramai pemburu di Ural masih lebih menggunakan istilah laika Mansi, apabila memperkatakan laika Siberia Barat.[1] Dalam bahasa Rusia, istilah layka berasal daripada perkataan layatʹ yang memaksudkan "menyalak". Perkataan layka hanya memaksudkan "penyalak". Mana-mana laika pemburu ialah anjing penuding penyalak (dengan menuding haiwan sasaran dengan menyalak dan menunggu dengan haiwan tersebut[2]). Ia merupakan baka anjing serba guna bergantung pada kegunaan dan persekitaran, tetapi di sesetengah bahagian negara itu ia menjadi lebih khusus.[3]

Laika Siberia Barat
Seekor laika Siberia Barat jantan
Negara asalRusia
Anjing (Canis lupus familiaris)

Sejarah sunting

Laika menyerupai anjing yang pada asalnya mendampingi manusia sejak prasejarah di seluruh dunia sehingga terganti oleh baka bertelinga senget yang dikhususkan untuk jenis perburuan tertentu. Di bahagian besar kurang berpenghuni di Rusia, proses ini berlaku pada waktu lebih lewat dan jenis laika asli masih kekal bersama dengan para pemburu di provinsi-provinsi utara dan timur laut pedalaman di negara itu.[4]

Pembasian hutan di tanah untuk pertanian dan pengindustrian pada lewat abad ke-19 dan awal abad ke-20 mempercepat penggantian laika dengan anjing lain yang popular pada masa itu. Para pakar Rusia pada lewat abad ke-19 membezakan berbelas-belas keragaman laika asli, setiap satu berkaitan dengan kelompok etnik orang peribumi tertentu di Eropah timur laut dan di Siberia, tetapai tidak keragaman yang telah dianggap sebagai baka tulen atau berpedigri.[5] Orang Rusia mencuba untuk menyelamatkan sesetengah laika pemburu daripada kepupusan dengan membawa anjing-anjing itu dari bahagian pedalaman berlainan Rusia ke bandar-bandar di bahagian Eropah negara itu dan membiakbakakan anjing-anjing itu dengan sebagai baka tulen. Mulai tahun 1930-an dan terutamanya selepas Perang Dunia Kedua, mereka mengasaskan empat baka sebagai baka tulen: laika Karelia-Finland, laika Rusia-Eropah, laika Siberia Barat, dan laika Siberia Timur. Kesemuanya anjing penuding penyalak dan tingkah laku perburuan masing-masing pada umumnya adalah serupa. Kesemuanya diturunkan daripada jenis-jenis laika asli yang disampelkan secara terpilih dari wilayah-wilayah besar dan dikelompokkan ke dalam empat baka untuk pembiakbakaan di kenel-kenel.[6] Antara keempat-empat itu, laika Siberia Barat menjadi yang paling poular dan menjelang masa kini, ia merupakan laika paling banyak jauh daripada angka aslinya di Rusia.[7]

Penampilan sunting

 

Laika tergolong dalam kumpulan baka primitif utara yang mengekalkan trait-trait leluhur liarnya, serigala, dari segi penampilan dan tingkah laku. Ia merupakan anjing dengan muncung menirus, tubuh agak renceng atau hampir berbentuk segi empat sama, dan kerap berwarna kelabu atau kelabu bercampur dengan merah seperti warna umum lapis bulu serigala. Ia merupakan anjing jenis paria bersaiz kecil hingga sederhana.[4]

Laika Siberia Barat ialah anjing bersaiz sederhana hingga besar. Jantannya setinggi 22–24 inci (56–61 cm) dan betinanya setinggi 20–23 inci (51–58 cm) pada paras bahu.[8]

  • Lapis bulu laika Siberia Barat ialah lapis bulu ganda dengan rerambut pengawal kasar dan lurus dan lapis bulu bawah tebal dan lembut. Rerambut pengawal di leher, di sekitar kepala, dan di bahu khususnya panjang dan kaku. Bersam dengan lapis bulu bawah sangat tebal, bulunya membentuk lingkaran yang membingkaikan muka anjing. Di ekor, rerambut pengawal dan lapis bulu bawah juga lebih panjang dan lebih tebal daripada yang di selebih tubuh. Pada musim sejuk, anjing yang tinggal dalam iklim sejuk menumbuhkan bulu di antara jari kaki. Walaupun kualiti lapis bulu berbeza-beza mengikut individu, anjing yang dibesarkan di negara-negara dengan iklim sejuk mempunyai lapis bulu lebih panjang dan lebih tebal daripada anjing yang tinggal dalam iklim suam dan panas atau anjing yang dibela di ruangan dalaman pada kebanyakan masa.
  • Warna lapis bulu paling umum merupakan kelabu serigala, merah pucat, dan putih. Lapis bulu kelabunya dapat terdiri daripada pelbagai cahaya warna daripada hampir putih hingga kelabu sangat gelap, hampir hitam. Kelabunya dapat bercampur dengan merah yang menghasilkan deretan cahaya warna keperang-perangan dan merah. Anjing dengan mana-mana warna lapis bulu tersebut mungkin mempunyai tompok-tompok putih yang berlainan saiz. Anjing merah pucat dan putih mungkin mempunyai hidung dan bibir perang. Anjing dengan mana-mana warna lapis bulu mempunyai corak "zonari" bagi taburan pigmen pada setiap rerambut pengawal. Ini bermaksud bahawa rerambut pengawal mempunyai jalur selang-seli (zon) dengan warna putih dengan hitam, perang, atau merah. Bulu dengan pigmen tertabur merata menandakan percampuran dengan baka selain laika.
  • Kepalanya berbentuk baji dalam bentuk segi tiga, rata di atas dan lebar di antara telinga. Pada laika Mansi, kepalanya lebih memanjang dengan muncung sepanjang tengkoraknya dari mata ke oksiput atau lebih panjang sedikit. Pada laika Khanty, kepalanya lebih lebar dan muncungnya sepanjang tengkorak atau lebih pendek sedikit. Bibirnya sentiasa rapat dan kurus. Set lengkap gigi besar dengan gigitan gunting adalah tipikal, tetapi anjing dengan gigitan selain itu juga ada. Piawaian hanya menerima gigitan gunting. Pada banyak anjing dengan gigitan gunting pada usia muda, gigitannya berubah mengikut umur dan menjadi gigitan selain itu menjelang usia 5–6 tahun.
  • Matanya berbentuk badam, bersaiz sederhana, terletak dalam-dalam, dan jelas condong. Warnanya antara perang dengan perang gelap. Anjing dengan mata kuning ambar dan/atau biru jarang ada, namun para pemburu percaya bahawa anjing dengan mata perang dan perang gelap merupakan anjing pemburu lebih baik. Menurut piawaian, mana-mana warna mata, kecuali perang dan perang cerah merupakan kecacatan.
  • Telinganya sentiasa tajam dan mengarah ke atas, tetapi saiz telinganya, sama ada dengan hujung tajam atau sedikit membulat, berbeza-beza. Pada umumnya, telinga laika Khanty adalah kecil hingga sederhana. Pada laika Mansi, telinganya sederhana hingga panjang. Teliganya dapat terletak tinggi-tingi dan rapat dengan satu sama lain atau sedikit berjarak.
  • Ekornya terangkat tinggi-tinggi dan melengkung ke arah belakang. Perincian strukturnya dan cara bawanya berbeza-beza sesama anjing asli. Pada kebanyakan anjing, hujung ekornya terletak di atas belakangnya, tetapi sesetengah anjing memiliki ekor yang tegar-tegar melengkung seperti mata kail. Dalam kalangan anjing asli, terdapat individu dengna ekor berbentuk sabit, tetapi ini dianggap sebagai kecacatan menurut piawaian baka moden.
  • Tubuhnya lebih panjang sedikit berbanding dengan ketinggian atau hampir seukuran. Ia memiliki sukuan hadapan dan suku belakang cukup berotot. Tungkainya lurus dan selari. Kaki hadapannya mengarah ke hadapan atau sedikit timur–barat dan tungkai belakangnya lurus, dan pada banyak anjing, sedikit berketing lembu. Piawaian baka menolak perkadaran tubuh segi empat sama, keting lembu, dan kedudukan timur–Barat bagi kaki hadapan. Penyudutan pada stifle terbentuk secara normal dan kelihatan seperti yang pada canid liar. Kakinya kuat, padat, dan memanjang. Jari kakinya kuat, kenyal, dan cukup melengkung.[9][8][10]

Pembiakan sunting

Kebanyakan laika Siberia Barat betina melalui estrus sekali setahun, biasanya pada Februari dan Mac. Sesetengah anjing betina melalui estrus pertama yang tetap menurut musim tertentu. Estrus pertama dapat berlaku pada usia satu hingga dua tahun setengah. Para pakar Rusia tidak mengesyorkan pembiakbakaan laika sehingga sekurang-kurangnya berusia dua tahun. Bilangan anak anjing dalam setiap perinduk berbeza-beza antara satu ekor dengan sembilan ekor, namun perinduk antara tiga ekor dengan tujuh ekor anak anjing merupakan yang paling kerap. Laika Siberia Timur betina merupakan ibu bagus dan, jika keadaan mengizinkan, menggali sarang peranakan sendiri, melahirkan anak, dan membesarkan anaknya tanpa sebarang pertolongan sebaik makanan tersedia.

Perwatakan dan tingkah laku sunting

Laika Siberia Barat sangat penyayang dan setia kepada tuannya. Kebanyakannya menyalak terhadap orang asing yang mendekati rumah. Sikapnya terhadap orang yang tidak dikenali berbeza-beza mengikut individu dan bergantung pada situasi. Sesetengah anjing menyalak dahulu dan kemudian menggoyangkan ekornya, menyapa tamu, dan mengizinkan belaian. Banyak laika Siberia Barat menjauhi orang asing, mengelak tangan, dan memerhatikan orang asing berkenaan dengan ragu. Sesetengah anjing pula menjadi bersikap pelindung terhadap tuannya, keluarga tuannya, dan harta benda. Banyak laika Siberia mengalami kesukaran untuk menerima tuan baharu dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri terhadap tempat baharu. Menurut piawaian, keagresifan terhadap orang yang tidak dikenali adalah tidak tipikal. Laika dewasa, terutamanya jantan, hanya patut berburu dengan anjing yang dibesarkan dalam rumah tangga sama. Laika Siberia Barat memiliki pertimbangan baik mengenai sahabat atau musuh dan semula jadi mampu membezakan antara buruan liar dengan haiwan bela jinak, dengan semudahnya belajar untuk membezakan haiwan ladang dan membiarkan haiwan ladang berkenaan dengan aman. Kucing serumah diterima, tetapi kucing terbiar bakal dilayan seperti buruan.

Kualiti utilitarian sunting

 
Laika yang memburu rakun

Laika Siberia Barat terutamanya merupakan anjing pemburu. Sesiapa yang berkeputusan untuk mendapatkan anak anjing baka ini patut menjangkakan keseluruhan trait spits pemburu tipikal. Ia anjing amat cerdas dan beremosi, tajam pemerhatian terhadap tabiat tuannya dan angin, kerap dapat meramalkan niat. Ia tidak teragak-agak untuk mengungkapkan perasaan kuatnya dengan menyalak dan mengeluarkan bunyi lain. Laika Siberia Barat bukan anjing yang sesuai di dalam kenel. Jika anjing ditinggalkan sendirian, berkurung di laman kecil atau di dalam kandang, sesetengah anjing melazimkan salakan, seakan-akan tanpa tujuan. Laika Siberia Barat yang kekal berkandang atau berpagar mencuba untuk menggali di bawah pagar atau memanjat ke atasnya. Sesetengah anjing yang tidak terlatih untuk berkandang mencuba untuk menggigit dawai dan dapat mencederakan giginya. Setelah bebas atau longgar, anjing berkenaan mungkin sukar dikawal buat sementara oleh sebab kerosakan mental. Ia bakal berlari terlalu jauh, mengejar haiwan lain dan boleh jadi mendapat masalah. Laika Siberia Barat yang kekal cukup disenamkan, sibuk dengan perburuan, dan interaksi dengan anjing lain, haiwan lain, dan orang puas, patuh, dan tidak menyalak tanpa sebab. Maka, untuk menggembirakan anjing dan tuannya, syarat persekitaran betul untuk perburuan dan peruntukan waktu untuk anjing berkenaan mesti dipenuhi.

Semua Laika Siberia Barat secara semula jadi bersikap pelindung menentang haiwan liar, terutamanya pemangsa, dan sesetengah anjing bersikap pelindung menentang orang asing yang bertindak mencurigakan atau dengan ganas. Laika Siberia Barat sesuai sebagai anjing teman untuk kembara denai. Walau bagaimanapun, minatnya yang luar biasa terhadap hidupan liar memerlukan perhatian khusus kerana anjing itu mungkin mengejar sesetengah haiwan ke atas pokok dan tinggal jauh di belakang buat sementara. Laika Siberia Barat ialah anjing psikoterapi yang hebat untuk orang aktif sihat, yang suka berjalan atau berburu. Ia memerlukan senaman kerap antara musim perburuan dengan menjalani sesi berjalan untuk kekal sihat dan cergas.

 
Seekor anak laika Siberia barat betina berusia 4 bulan, di peringkat pembentukan naluri perburuan semula jadi yang unik

Baka anjing ini telah digunakan secara meluas untuk mengurangkan konflik manusia–beruang di Amerika Syarikat, di Kanada, dan di Jepun. Ia diperkenalkan pada tahun 2004 di Karuizawa, Jepun, sebuah bandar peranginan popular 170 km di barat laut Tokyo, sehingga berjaya mengurangkan bilangan insiden beruang daripada 255 pada tahun 2006 kepada empat pada tahun 2017.[11] Oleh itu, jika ada beruang berdekatan di dalam hutan, anjing ini merupakan yang terbaik untuk memberikan amaran cukup awal mengenai kehadiran beruang itu dan mungkin juga menunjukkan kepada anda seekor beruang yang dikejar ke pokok. Jika laika melihat beruang, ia bakal berlari ke arah beruang tersebut oleh sebab sifat tidak takut, dan bukan menjauh daripada beruang, dan akan menyalak berterusan. Apabila Laika menyalak terhadap beruang, suaranya berbunyi dengan nada mengancam seakan-akan ia menyalak terhadap manusia—sangat distingtif berbanding dengan apabila ia menyalak terhadap tupai yang cenderung bernada sekata dan berulang-ulang. Ia secara semula jadi mengejar tupai ke pokok dan buruan kecil lain. Anak anjing yang dibawa dan dilepaskan di hutan merupakan pendengar bunyi yang luar biasa sensitif dan akan mula mencari tupai pada usia 4 hingga 10 bulan. Orang Mansi, Orang Khanty, Orang Rusia, dan mana-mana kelompok etnik lain yang tinggal di Rusia menggunakan anjing sama untuk perburuan dan sebagai anjing amaran.

Sesetengah Laika Siberia Barat bekerja dengan baik dalam penggembalaan kawanan rusa kutub. Semasa sebarang aktiviti atau latihan, perburuan mengatasi segala hal lain. Orang Mansi tidak peduli jika laikanya meninggalkan kawanan rusa kutubnya buat sementara waktu, terutamanya jika laikanya menemukan buruan yang bernilai. Orang Mansi dan orang Khanty menggunakan rusa kutub dan, dalam sesetengah keadaan, kuda sebagai haiwan tarikan, tetapi anjing pemburu yang baik tidak pernah digunakan untuk menarik kereta luncur salji, yang dianggap seperti menggunakan keris bernilai untuk membelah kayu api. Jika anjing tarikan diperlukan, mereka menggunakan jenis anjing tegap dan lebih besar lain yang dipanggil dalam laika tarikan. Ini diamalkan terutamanya di tundra kutub yang merupakan tempat yang tidak menyediakan sebarang makanan untuk rusa kutub.

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: لايکا سيبيريا بارت; Rusia: за́падносиби́рская ла́йка, rumi: zapadnosibírskaja lájka; bahasa Inggeris: West Siberian laika

Rujukan sunting

Bahasa Rusia sunting

  • Dmitrieva-Sulima, M., "Laika dan Perburuan Dengannya", Sankt-Peterburg, 1911. Diterbitkan semula oleh Aquarium, Moscow, 2003.
  • Ioannesyan, A. P., "Bahan tentang Pembiakbakaan Anjing Pemburu", "Laika Siberia Barat", halaman 29–32, Moscow, 1990.
  • Vakhrushev, I. I. dan M. G. Volkov, "Laika Pemburu", Zagotizdat, Moscow, 1945.
  • Voilochnikov, A. T. dan Voilochnikova, S.D. "Laika dan Perburuan Dengannya", Lesnaya Promyshlennost, Moscow, 1972.
  • Voilochnikov, A. T. dan Voilochnikova, S.D. "Baka Laika Main Yang Terbaik?", "Perburuan dan Industri Perburuan", keluaran 10, halaman 30–31, 1972.
  • Voilochnikov, A. T. dan Voilochnikova, S.D. "Laika Pemburu", Lesnaya Promyshlennost, Moscow, 1982.

Bahasa Inggeris sunting

  • Cherkassov, A. A., 1884, "Notes of an East Siberian Hunter", A. S. Suvorin, Sankt-Peterburg. Diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Vladimir Beregovoy dan Stephen Bodio dan diterbitkan oleh AuthorHouse, Bloomington, Indiana, Amerika Syarikat, 2012.
  • Beregovoy, Vladimir, "Hunting Laika Breeds of Russia", Crystal Dream Publishing, Amerika Syarikat, 2001.

Bahasa Jerman sunting

  • Jagdlaikarassen Russlands, 2013, Verlag Laika-Klub, Jerman, ISBN 1-59146-037-9, diterjemahkan ke dalam baha Jerman oleh Tina dan Edda Thalis, Christine dan Dieter Klingelhoeller.

Kutipan sunting

  1. ^ Dikutip oleh Vladimir Beregovoy - Pengarang, Penterjemah, Penasihat Laika Siberia Barat, dan Kurator Persatuan Anjing Asli Primitif Antarabangsa.
  2. ^ Dikutip oleh Vladimir Beregovoy.
  3. ^ Beregovoy, Vladimir (2001). Hunting Laika Breeds of Russia (dalam bahasa Inggeris). Amerika Syarikat: Crystal Dreams Publishing. m/s. vi–vii. ISBN 1-59146-037-9.
  4. ^ a b Beregovoy, Vladimir (2001). Hunting Laika Breeds of Russia (dalam bahasa Inggeris). m/s. v.
  5. ^ Dmitrieva-Sulima, M. (1911). Laika dan Perburuan Dengannya (dalam bahasa Rusia). Moscow, Rusia: Diterbitkan semula pada 2003 oleh Aquarium.
  6. ^ Voilochnikov, A. T. dan S. D. Voilochnikova (1982). Laika Pemburu (dalam bahasa Rusia). Moscow, Rusia: Lesnaya Promyshlennost.
  7. ^ Beregovoy, Vladimir (2001). Hunting Laika Breeds of Russia (dalam bahasa Inggeris).
  8. ^ a b Ioannesyan, A. P. (1990). Bahan tentang Pembiakbakaan Anjing Pemburu, Laika Siberia Timur (dalam bahasa Rusia). Moscow. m/s. 29–32.
  9. ^ Beregovoy, Vladimir (2001). Hunting Laika Breeds of Russia (dalam bahasa Inggeris).
  10. ^ Voilochnikov, A. T. dan S. D. Voilochnikova (1982). Laika Pemburu (dalam bahasa Rusia). Rusia.
  11. ^ The Japan Times - dogs help resort town coexist with nature (Inggeris). Dicapai pada 5 Januari 2024.

Pautan luar sunting