Jibrail

(Dilencongkan daripada Malaikat Jibril)

Malaikat Jibril (atau Jibrail - ﺟﺒﺮﺍﺀﻳﻞ/ﺟﺒﺮﻳﻞ juga Gabriel dalam bahasa Inggeris) adalah malaikat yang dipercayai oleh orang-orang Islam dan agama samawi lain yang bertugas bagi menyampaikan wahyu kepada para nabi dan rasul. Mengikut Al-Quran, Malaikat Jibril juga merupakan ketua kepada keseluruhan para Malaikat. Di dalam teks Zabur, Taurat dan Injil, ada juga yang menerangkan bahawa Malaikat Jibril merupakan ketua kepada kesekalian para Malaikat.

Allah SWT selesai menciptakan Jibril dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124,000 sayap).

Malaikat Jibril Di Dalam Al-Quran

sunting

Malaikat Jibril adalah malaikat yang bertugas menyampaikan wahyu dan mengajar para nabi dengan izin Allah. Malaikat Jibril adalah satu dari tiga malaikat yang namanya disebut dalam al-Quran. Nama Malaikat Jibril disebut di dalam al-Quran iaitu:

" Katakanlah (wahai Muhammad): Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman. " - (Surah Al-Baqarah: 97)[1]

" Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka dia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir. " - (Surah Al-Baqarah: 98)[2]

" Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya), kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara yang menyusahkan Nabi) dan jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya dan selain dari itu Jibril serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman dan malaikat-malaikat juga menjadi penolongnya " - (Surah At-Tahrim: 4)[3]

Kisah Malaikat Jibril

sunting

Malaikat Jibril juga sering disebut dalam hadis dan kisah para nabi memandangkan Jibril sering turun ke bumi dan berubah menyerupai manusia (lazimnya lelaki) untuk mudah bertemu dengan para nabi. Antaranya adalah peristiwa ketika Jibril bertanyakan Nabi Muhammad s.a.w. tentang Iman, Islam dan ihsan serta tanda hari kiamat. Jibril juga pernah mengiringi Nabi Muhammad s.a.w. dalam Isra' dan Mikraj iaitu perjalanan malam dari Makkah ke Baitulmaqdis lalu naik ke langit .

Bentuk Asli Malaikat Jibril

sunting

Dikatakan Jibril menampakkan bentuk aslinya kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w. sebanyak 2 kali :

  1. ketika turunnya wahyu pertama di gua Hira'
  2. ketika Isra' dan Mikraj

Tetapi secara keseluruhannya, Malaikat Jibril turun ke baginda Muhammad s.a.w. sebanyak 124,000 kali, tidak seperti nabi yang lain. Nabi Isa a.s. hanya ditemui 10 kali oleh Malaikat Jibril manakala Nabi Musa a.s. beberapa puluh kali. Jibril jugalah malaikat yang menyampaikan berita kelahiran Nabi Isa kepada ibunya Siti Maryam .

Lihat juga

sunting
  1. Rukun Iman

Rujukan

sunting
  1. Kerajaan Arab Saudi Kementerian Hal Ehwal Islam, Wakaf, Dakwah dan Nasihat

Nota kaki

sunting