Masjid Dato Undang Kamat

Masjid Dato Undang Kamat terletak di Simpang, Negeri Sembilan. Namanya diberi sempena nama penaungnya dan pemilik tanah yang mewakafkan tanahnya untuk pembangunan Masjid ini iaitu Dato Undang Kamat.

Dato Kamat ialah salah seorang Undang dari Luak di Negeri Sembilan. Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri dalam Malaysia yang masih mengekalkan sistem suku iaitu setiap sembilan suku yang menetap di Negeri Sembilan mempunyai Undang atau ketua suku.

Sejarah dan asal-usul pembinaan Masjid sunting

Secara literal, Masjid Dato Undang Kamat ini dikenali pada suatu masa dahulu dengan panggilan Masjid Batu disebabkan oleh struktur pembinaannya yang dibina daripada konkrit dan batu-bata.

Konsep rekaan sunting

Masjid ini mempunyai pelan dalaman berbentuk segi empat dengan mempunyai dua anak tangga ke pintu masuk utama. Masjid ini ditinggikan lebih kurang 1 meter (m) tinggi dari aras tanah dan mempunyai lantai konkrit berjubin. Keseluruhan masjid ini berukuran 6 m x 6 m persegi dan ketinggian mencecah 7 m tinggi hingga ke paras puncak bumbung.

Bangunan ini mempunyai bumbung berlapis tiga tingkat dan penampilannya agak dominan bukan kerana disebabkan oleh rupa bentuk bumbungnya seumpama rumah ibadat tetapi disebabkan oleh ukiran kerawang pada perabung yang menggambarkan motif sulur paut tumbuhan.

Ruang Mihrab pula agak terkeluar daripada ruang sembahyang utama yang ditutupi dengan kekubah. Ruang solat utama mempunyai empat tiang di bahagian tengahnya untuk menyokong dua lapis bumbung di bahagian atasnya.

Ruang sembahyang utama ini mempunyai sembilan pembukaan di tiga bahagian tepi dindingnya. Ia dikelilingi serambi berlantai jubin yang terbuka ke arah ruang kolam wuduk yang berada di arah kanan dinding kiblat.

Masjid ini tidak mempunyai menara masjid tetapi sebuah rumah taboh di bahagian kanan yang berada beberapa meter dari kolam wuduk. Rumah taboh ini agak kecil berukuran 1.5 meter persegi yang ditinggikan arasnya lebih kurang setengah meter dan disokong oleh 4 struktur tiang kayu. Masjid ini secara keseluruhannya dibina menggunakan keupayaan bahan dan teknologi terkini iaitu daripada struktur konkrit dan batu-bata.