Luak
Luak adalah bahagian pentadbiran bagi kawasan yang terpengaruh dengan Adat Perpatih di Malaysia iaitu di Negeri Sembilan dan sebahagian kecil Melaka. Ia ditadbir oleh seorang ketua digelar Undang atau Penghulu[1]. Di Negeri Sembilan terdapat dua jenis luak iaitu Luak Berundang dan Luak Tanah Mengandung. Tampin juga dianggap sebagai luak tetapi diperintah oleh Tunku Besar Tampin. Sebelum dijajah Inggeris, luak-luak ini bertaraf negeri dan mempunyai kuasa mutlak dengan Undang atau Penghulu menjadi pemimpin[2].
Negeri Sembilan
suntingTerdapat tiga jenis luak di Negeri Sembilan, iaitu:
- Luak Berundang ialah luak-luak adat yang dipimpin oleh seorang Undang. Ada empat buah luak yang dinamakan sebagai Luak Berundang iaitu luak Jelebu, luak Johol, luak Rembau dan luak Sungai Ujong. Dua daripada luak-luak ini turut menaungi beberapa luak kecil, seperti luak Linggi di bawah Sungai Ujong, dan luak-luak Gemencheh, Ayer Kuning dan Pasir Besar di bawah Johol.
- Luak Tanah Mengandung dinamakan kepada luak-luak yang melingkungi wilayah diraja Negeri Sembilan iaitu Seri Menanti. Luak-luak ini bernaung di bawah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Pemimpin luak-luak ini bergelar Penghulu. Luak yang menganggotai Luak Tanah Mengandung ini ialah luak Gunung Pasir, luak Inas, luak Jempol, luak Terachi dan luak Ulu Muar. Luak Tanah Mengandung merupakan serambi bagi Luak Berundang, di mana menjadi tempat persinggahan Dato' Undang sebelum ke Seri Menanti menghadap Yang di-Pertuan Besar[3].
- Wilayah Adat Tampin, turut dikenali sebagai Luak Tampin merupakan luak yang dipimpin oleh pembesar bergelar Tunku Besar, yang pada asalnya sebahagian daripada luak Rembau[4].
Melaka
suntingTerdapat sebuah luak berada dalam negeri Melaka era moden kini, iaitu Luak Naning. Luak ini tidak termasuk dalam wilayah Negeri Sembilan moden. Luak ini terletak di bahagian utara negeri Melaka. Sebelum dijajah Belanda dalam abad ke-17, Naning adalah salah satu anggota persekutuan Negeri Sembilan tua. Pemimpin adat luak ini ialah Penghulu Naning; namun kadangkala disebut juga Datuk Undang Naning. Gelaran bagi Penghulu Naning ialah Datuk Orang Kaya Seri Maharaja Merah dipilih dari kalangan anggota suku Biduanda[5].
Sebuah badan pengurus bernama Lembaga Adat Naning dibenarkan tubuh oleh Perlembagaan Negeri Melaka sebagai sebuah institusi adat[6]. Namun, sebarang anugerah berbentuk darjah kebesaran tidak diiktiraf[6][7].
Lihat juga
suntingRujukan
sunting- ^ Wan Kamal Mujani, Wan Hamdi Wan Sulaiman, Ermy Azziaty Rozali (2015). Sistem Federalisme dalam Adat Perpatih di Negeri Sembilan.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
- ^ "luak". Malaycivilization. Dicapai pada 14 November 2020.
- ^ Nor Razifah Haji Abd Wahab (1994). Adat Perpatih : Struktur Organisasi, Sistem Sosial dan Perlantikan Undang (PDF). Kertas Projek Sarjana Muda Undang-Undang. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. m/s. 19.
- ^ "Luak Tampin". Malaycivilization. Dicapai pada 14 November 2020.
- ^ "Luak Naning". Malaycivilization. Dicapai pada 14 November 2020.
- ^ a b Fairuz Zaidan (29 April 2016). "Pemberian gelaran di luar institusi adat salah - KM". Berita Harian. Dicapai pada 27 November 2020. Cite has empty unknown parameter:
|dead-url=
(bantuan) - ^ Amir Mamat (20 Julai 2016). "Pulangkan anugerah Naning atau letak jawatan Sidang - KM". Berita Harian. Dicapai pada 27 November 2020. Cite has empty unknown parameter:
|dead-url=
(bantuan)