Muzium Warisan Melayu

muzium di Universiti Putra Malaysia

Latar Belakang sunting

Kampus UPM Serdang telah sekian lama menjadi medan lakaran pencapaian terbaik UPM di dalam pelbagai bidang. Setelah sekian lama, UPM kini bakal meletakkan nama seiring dengan institusi pengajian tinggi lain di dalam pengajian warisan dan budaya menerusi penubuhan Muzium Warisan Melayu. Muzium Warisan Melayu ialah sebuah muzium yang terletak di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.[1]

Idea penubuhannya yang dicetuskan sendiri oleh Naib Canselor UPM, iaitu Prof Dato’ Dr Mohd Fauzi bin Ramlan menunjukkan betapa UPM kini serius menggembleng usaha pemuliharaan dan pemeliharaan warisan Melayu di negara ini. Penubuhan sebuah muzium dilihat sebagai suatu pendekatan yang tepat kerana umum mengetahui betapa peranan muzium adalah sebagai sebuah institusi pengajian tidak formal yang bukan sahaja memberi pendidikan kepada orang ramai, malah muzium mampu mendekati pelbagai lapisan masyarakat menerusi aktiviti-aktiviti pengembangan yang bersesuaian. Membuka pintunya secara tidak rasmi menerusi majlis pelancaran 'soft launching' pada 8 April 2014, Muzium Warisan Melayu tidak pernah menoleh ke belakang lagi di dalam menyampaikan wadahnya sebagai jendela masa silam yang membawa orang ramai menjejak warisan bangsa Melayu yang semakin dilupakan.

Sehingga bulan Disember 2014, muzium ini telah menerima kunjungan tidak kurang daripada 25,000 orang yang terdiri daripada pengunjung tempatan dan tidak kurang juga pengunjung dari luar negara. Malah, kunjungan ke Muzium Warisan Melayu dijadikan agenda wajib bagi mahasiswa UPM yang mengikuti kursus-kursus tertentu seperti Tamadun Islam dan Tamadun Asia, Perbandingan Budaya, dan juga Pelancongan Warisan. Sebagai sebuah muzium yang ditadbir urus oleh sebuah institut pengajian tinggi, pendekatan yang diambil bagi muzium ini sedikit berbeza dengan muzium-muzium di luar sana, kerana muzium ini menekankan fungsinya sebagai institusi pengajian tidak formal, sama ada pembelajaran menerusi lawatan ke muzium, penyelidikan berteras akademik dan juga penganjuran program dan aktiviti yang bersifat mendidik masyarakat mengenai warisan Melayu.

Lokasi muzium yang strategik di laluan utama menghala ke pusat akademik kampus menjadikannya mudah diakses oleh pengunjung dari luar. Malah, terdapat kemudahan papan tanda yang memudahkan pengunjung menentukan lokasi muzium ini. Kemudahan lain yang boleh didapati di muzium ini termasuklah tandas awam, capaian WiFi percuma, pentas seni, laman warisan, dan juga warung yang menyediakan menu-menu tradisional Melayu.  

Mengenai Muzium sunting

Pameran tetap di muzium ini dirangka khusus bagi memberi gambaran penuh mengenai kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Pameran tersebut dibahagikan kepada dua, iaitu pameran di dalam galeri dan juga pameran di luar galeri yang berkonsep terbuka dan hands on. Pameran di dalam galeri menumpukan kepada koleksi artifak-artifak terpilih yang dibahagikan pula kepada empat segmen pameran. Segmen-segmen tersebut merangkumi;                           

Busana & Tekstil sunting

Pameran koleksi busana beserta aksesori yang dipakai sebagai pelengkap gaya wanita dan jejaka Melayu tradisi, pelbagai jenis dan rupa tekstil yang terdapat di alam Melayu, hasil seni dan kerajinan tangan wanita Melayu seperti sulaman tangan, seni tekatan, dan lain-lain. Setelah melihat setiap koleksi yang dipamerkan, pengunjung pasti akan dapat membayangkan keanggunan wanita Melayu dan juga kesegakan jejaka Melayu dahulu kala.

Manuskrip sunting

Segmen ini penting, kerana di sinilah dipamerkan kebijaksanaan dan ketinggian ilmu yang pernah dicapai oleh masyarakat Melayu dahulu. Koleksi manuskrip-manuskrip bertulisan tangan yang dipamerkan di sini merupakan koleksi tunggal yang seumpama dengannya, dan merangkumi pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Terdapat manuskrip yang membicarakan tentang ilmu perubatan, pelayaran, ilmu hisab, pertarungan, dan lain-lain lagi.

Senjata & Alat Tempur sunting

Mempamerkan pelbagai jenis senjata yang digunakan oleh masyarakat Melayu tradisional, dari senjata kecil seperti badik, hinggalah senjata api seperti meriam.Bagaimanapun, koleksi paling penting bagi segmen ini pastilah keris, kerana kepentingan keris di alam Melayu sehingga diangkat sebagai simbol kekuasaan. Terdapat lebih 30 bilah keris yang dipamerkan di sini, dan setiap satunya mempunyai keistimewaan tersendiri.

Peralatan & Isi Rumah sunting

Segmen ini akan memberi sedikit gambaran mengenai isi di dalam rumah masyarakat Melayu tradisional. Koleksi-koleksi yang dipamerkan merangkumi pelbagai jenis seramik, perkakas yang diperbuat daripada tembaga, perak, dan lain-lain. Malah, terdapat juga koleksi khas yang membayangkan kehebatan pencapaian masyarakat Melayu dahulu kala seperti golek api yang pernah mendatangkan kekaguman kepada pengembara barat sekitar abad ke-17 yang lalu.

Pameran Luar sunting

Pameran luar pula merupakan apresiasi khas terhadap seni bina tradisional Melayu. Rumah-rumah tradisional Melayu terpilih dibuka dan dipasang semula di perkarangan muzium, menjadikannya sebuah Laman Warisan. Para pengunjung boleh menghayati seni binaan tradisional Melayu yang utuh dan unik dari luar dan dalam rumah-rumah tersebut. Setiap inci aspek binaan boleh diperhatikan dan dihayati falsafahnya, kerana masyarakat Melayu tradisional sangat memandang tinggi akan falsafah di sebalik pembinaan sesebuah rumah.  Rumah dianggap sebagai ibu kehidupan, kerana dari rumah lah sebuah keluarga di bina dan generasi dibentuk. Pada masa ini, terdapat empat buah rumah di Laman Warisan, iaitu

1.Rumah Datuk Raja Diwangsa Muhammad Yunus bin Jabar

  • Seni bina rumah beranjung Negeri Sembilan.
  • Dibina pada tahun 1925, di Kampung Merual, Seri Menanti, Negeri Sembilan.
  • Merupakan rumah pembesar istana, dan dibina di kawasan kaki bukit.

2.Rumah Uda Noh bin Kanda Jaafar

  • Seni bina rumah kutai dari Negeri Perak.
  • Dibina pada tahun 1901, di Kampung Pendiat, Bota Kanan, Perak.
  • Merupakan rumah seorang pendekar, dan dibina di tebing Sungai Perak.

3.Rumah Wan Muda bin Wan Hassan

 
Rumah Bujang Selasar Terengganu, Muzium Warisan Melayu UPM
  • Seni bina rumah bujang berselasar dari Negeri Terengganu.
  • Merupakan salah satu daripada empat jenis rumah tradisional Melayu terkenal di negeri ini, antaranya ialah rumah bujang berpeleh, rumah te'le dan rumah limas potong Belanda.
  • Keunikan rumah bujang berselasar adalah kerana tidak ada bilik selain mempunyai ruang serambi dinamakan selasar dan kebanyakan struktur binaannya tidak menggunakan paku sebaliknya pasak yang menjadikan rumah itu lebih teguh serta tahan.
  • Berusia hampir 200 tahun, dibina di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu, Terengganu.
  • Merupakan rumah seorang juragan, dan dibina di pesisir pantai.
  • Keunikanya seperti diperbuat daripada kayu cengal yang berlantaikan kayu seraya serta bertiang 12 selain lantainya yang berpasak dan berselak.
  • Ia kini akan menempatkan rumah Melayu lama 'Tok Tonso'.[2][3][4]

4.Rumah Penghulu Hj Ismail bin Khatib Bakar

 
Rumah Serambi Pahang Muzium Warisan Melayu UPM
  • Seni bina rumah serambi Pahang.
  • Berusia hampir 100 tahun, dibina di Kampung Kelola, Jerantut Pahang.
  • Merupakan rumah seorang penghulu, dan dibina di tebing Sungai Pahang.
  • Pemilihan rumah kepunyaan Penghulu Ismail Khatib Bakar itu dibuat berdasarkan keunikan seni binanya yang didirikan tanpa menggunakan paku, sebaliknya dipasak.
  • Ketahanan rumah yang dibina menggunakan teras kayu cengal dan merbau, yang merupakan antara kayu paling kukuh menyebabkan ia tidak rosak atau dimakan anai-anai.
  • Warisnya Zaharah Ismail, anak bongsu penghulu untuk menyerahkan rumah kepada UPM bagi tujuan pemuliharaan.
  • Ketahanan rumah itu yang tidak rosak atau beralih kedudukan meskipun 'diuji' dengan tiga kali banjir besar di Pahang iaitu pada tahun 1926, 1971 dan 2014.
  • Penghulu Mukim Kelola turut mempunyai pertalian darah dengan Tok Pahlawan Gendut iaitu pahlawan yang menentang Inggeris di Tanah Melayu pada zaman penjajahan Inggeris.

Rujukan sunting

Pautan luar sunting