Rumah Kordoba (atau Rumah Cordoba) dan kini dipanggil Park51 adalah pusat Islam yang dicadang dibina di Bandaraya New York berhampiran dengan kawasan runtuhan Pusat Dagangan Dunia New York yang musnah diserang pada 11 September 2001. Pusat Islam 13 tingkat bernilai AS$100 juta ini direkabentuk dengan memiliki auditorium dengan 500 tempat duduk, teater, pusat seni persembahan, pusat kesihatan, kolam renang, gelanggang bola keranjang, penjagaan kanak-kanak, kedai buku, kelas masakan, studio, tempat makan dan ruangan sembahyang yang boleh memuatkan 1,000 hingga 2,000 orang.

Gambaran artis untuk Pusat Islam Park 51.

Pembinaan bangunan ini diluluskan oleh Majlis Perbandaran New York tetapi dibantah oleh ramai orang di Amerika Syarikat dengan alasan tidak menghormati sensitiviti mangsa serangan 11 September yang didakwa perbuatan ekstrimis Islam. Bekas Speaker Dewan Perwakilan A.S. Newt Gingrich berkata pusat Islam ini akan "menjadi ikon kemenangan orang Islam yang menyemarakkan mereka untuk mencabar peradaban Amerika."[1] Para penentang pusat Islam ini cuba mendapatkan resolusi mengisytiharkan bangunan yang hendak dimusnahkan untuk membina pusat Islam sebagai bangunan bersejarah tetapi ditolak oleh Suruhanjaya Pemuliharaan Bangunan New York.

Rancangan untuk membina Rumah Kordoba mula dibuat pada bulan Disember 2009 di satu lokasi yang sudah digunakan oleh orang Islam sebagai tempat sembahyang. Pengurus projek mahukan projek ini menjadi wadah untuk dialog antara agama yang menggalakkan keamanan, toleransi dan persefahaman di kalangan penduduk di Bandaraya New York, Amerika dan dunia. Pusat Islam ini akan dibangunkan mengikut model pusat kebudayaan Yahudi di New York.

Nama Kordoba dipilih sempena bandar Kordoba dalam kurun ke-8 hingga ke-11, di mana ia menjadi model kepada kehidupan aman orang Islam, Kristian dan Yahudi. Bagaimanapun cadangan pembinaan ini mencetuskan kontroversi di dalam negara apabila para penentang meluahkan rasa bimbang ia merujuk kepada penawanan Islam ke atas bandar Kristian Cordoba di Sepanyol. Penyokong pusat Islam ini menyeru rakyat Amerika agar menghayati Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika Syarikat serta peluang untuk orang Islam menunjukkan nilai-nilai keamanan Islam dan komitmen mereka kepada toleransi dan kepelbagaian.

Bantahan ke atas pusat Islam ini mula dicetuskan oleh satu kempen yang dibuat oleh penulis blog Pamela Geller, seorang pengkritik Islam dan pengasas bersama pertubuhan Stop Islamization of America (Hentikan Islamisasi Amerika) dan terus menarik perhatian negara termasuk sokongan daripada Datuk Bandar New York Michael Bloomberg dan bantahan daripada bekas Datuk Bandar Rudolph Guilani. Ia juga menarik komen daripada Presiden Barack Obama, Sarah Palin dan Newt Gingrich. Tinjauan menunjukkan kebanyakan rakyat Amerika dan penduduk New York menentang pembinaan projek itu sementara kebanyakan penduduk Manhattan menyokong.

Penggerak sunting

Rumah Kordoba adalah projek bebas yang diusahakan oleh orang Islam Amerika. Projek ini diketuai oleh Imam Feisal Abdul Rauf dan Sharif El-Gamal. Imam Feisal adalah seorang yang memperjuangkan pluralisme dan toleransi antara agama. Beliau juga bercakap bagi pihak Jabatan Negara A.S mengenai isu-isu Islam dan Amerika Syarikat kepada negara-negara Islam.

Keperluan masjid sunting

Terdapat lebih kurang 1 juta orang Islam di kawasan sekitar Bandaraya New York dan bandar-bandar satelitnya dan beberapa ratus ribu di Bandaraya New York sahaja. Orang Islam di bandar ini terdiri daripada doktor, peguam, peniaga, pemandu teksi, guru dan pelajar. Penduduk Islam yang semakin bertambah di kawasan Manhattan menyebabkan keperluan kepada tempat beribadah. Walaupun sudah ada dua buah masjid di kawasan persekitaran ia tidak dapat menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah. Masjid al-Farah misalnya hanya boleh memuatkan 65 orang dan perlu membuat tiga hingga empat kali sembahyang Jumaat. Sebuah lagi masjid di Jalan Warren hanya boleh memuatkan 1,500 orang jemaah dan ada yang terpaksa bersembahyang di jalan.

Pihak pengurusan projek Park51 membeli kawasan di 45 Park Place pada bulan Julai 2009 untuk tujuan orang Islam bersembahyang. Ruang di 45 Park Place kini boleh memuatkan sekitar 450 orang setiap hari Jumaat. Ia juga berada di kedudukan strategik bagi mereka yang tinggal di Manhattan, Brooklyn dan Staten Island.[2]

Tentangan sunting

Para penentang pusat Islam ini pada asasnya menggunakan alasan kedudukan pusat Islam ini yang berdekatan dengan kedudukan runtuhan akibat serang 11 September 2001. Antara mereka yang menentang adalah keluarga mangsa serangan yang berpendapat kedudukan pusat Islam itu tidak sensitif kerana serangan 11 September disebabkan oleh radikal Islam.

Pengasas bersama kumpulan 9/11 Families dor a Safe & Strong Amerika, Debra Burlingame, memanggil cadangan membina pusat Islam itu sebagai penghinaan besar terhadap mereka yang terbunuh pada hari serangan tersebut.[3] Beliau berkata:

Ini adalah tempat yang berada 600 meter dari tempat di mana hampir 3,000 orang diletupkan oleh ekstrimis Islam .... ia rancangan yang sangat sensitif dan berani ... bagi mereka untuk membina masjid ... agar mereka boleh berada berhampiran tempat kekejaman yang berlaku ... Ideanya adalah untuk membina satu institusi agama yang menyokong kuat undang-undang syariah yang digunakan oleh pengganas sebagai justifikasi untuk apa yang mereka lakukan ... untuk membina bangunan di mana hampir 3,000 orang meninggal, itu adalah pencabulan bagi saya.[4]

Antara ahli politik yang menentang adalah bekas calon Naib Presiden 2008 Sarah Palin, bekas calon Presiden 2008 Senator John McCain dan bekas Speaker Dewan Perwakilan Newt Gingrich.

Newt Gingrich berkata:

Rumah Kordoba adalah istilah yang menghina. Ia merujuk kepada Kordoba, ibu kota yang dijajah oleh orang Islam, yang memberi simbol kemenangan mereka ke atas orang Kristian Sepanyol dengan mengubah sebuah gereja kepada sebuah kompleks masjid ketiga terbesar di dunia... setiap pejuang Islam di dunia mengiktiraf Kordoba sebagai simbol penaklukan oleh orang Islam.

Di kalangan masyarakat Islam juga terdapat mereka yang menentang pembinaan pusat Islam ini. Mereka mengkritik pembinaan pusat Islam sebagai tidak sensitif kepada masyarakat umum Amerika. Antaranya adalah penulis Raheel Raza dan Tarek Fatah, ahli lembaga Kongres Islam Kanada yang berkata:

New York kini menawarkan sekurang-kurangnya 30 buah masjid jadi ia tidak seperti ada keperluan mendesak bagi umat Islam mencari tempat sembahyang. Kami Muslim tahu ... masjid yang dimaksudkan itu adalah sebagai provokasi yang sengaja, untuk memprovokasi orang kafir. Cadangan ini dilakukan dengan niat buruk, ... seperti Fitnah yang jelas dilarang dalam Quran .... Sebagai orang Islam kita kecewa bahawa saudara seagama kurang pertimbangan sesama rakyat yang lain, dan ingin melukakan mereka dan berpura-pura mereka mahu menolong menyembuhkan rasa sakit orang lain.[5]

Sokongan sunting

Mereka yang menyokong pembinaan pusat Islam ini juga terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga mangsa korban tragedi 11 September, ahli politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan kolumnis akhbar.

Kumpulan anti perang Septem 11th Families for Peaceful Tomorrows, telah mengeluarkan kenyataan menyokong pusat Islam dengan berkata "kami percaya dengan mengalu-alukan Pusat ini, yang bertujuan menggalakkan teleransi dan hormat antara agama, adalah selari dengan nilai-nilai asas Amerika iaitu kebebasan dan keadilan untuk semua," dan menambah ia akan menjadi "satu lambang kepada seluruh dunia yang Amerika menentang keganasan, tidak tolenran, dan tindakan perkauman dan kami mengakui kegiatan jahat segelintir tidak patut menyisihkan mereka yang tidak bersalah."

Dalam ucapan beliau di majlis buka puasa bersama masyarakat Islam di Rumah Putih pada 13 Ogos 2010, Presiden Barack Obama menyatakan sokongan hak orang Islam untuk membina pusat Islam tersebut. Obama berkata "Orang Islam mempunyai hak yang sama untuk mengamalkan agama mereka seperti orang lain di dalam negara ini. Dan itu termasuk hak untuk membina tempat ibadat dan pusat kemasyarakatan di atas tanah persendirian di Manhattan, mengikut undang-undang dan ordinan tempatan."[6] Obama menjelaskan pada keesokan harinya yang beliau bercakap mengenai hak perundangan dan beliau "tidak mengulas dan tidak akan mengulas tentang kebijakan membina masjid di sana."

Datuk Bandar New York Michael Bloomberg adalah penyokong kuat projek terbabit dengan berkata tempat kemusnahan 11 September adalah lokasi sesuai bagi sebuah masjid kerana ia memberitahu dunia bahawa Amerika Syarikat mempunyai kebebasan beragama untuk semua orang. Beliau juga berkata:

Kerajaan tidak seharusnya memberitahu apa yang orang ramai harus sembahyang, atau di mana mereka harus bersembahyang. Kita mahu memastikan semua orang dari seluruh dunia berasa selesa datang ke sini, tinggal di sini, dan bersembahyang dengan cara mereka mahu.

Ibrahim Hooper, Pengarah Perhubungan Majlis Hubungan Amerika Islam (CAIR), menuduh kontroversi ini "dicetuskan" oleh "golongan fanatik". Beliau juga menegaskan penentangan hanya datang dari golongan minoriti yang lantang. Fareed Zakaria, wartawan Newswee dan CNN, juga menyokong masjid, dan mengembalikan anugerah berprestij yang diterima beliau pada tahun 2005 dari Kumpulan Anti-Fitnah (ADL), dan berkata bahawa beliau "secara peribadi dan sangat sedih" dengan bangkangan mereka terhadap masjid. Beliau menulis: "... Rauf, adalah seorang imam Muslim yang sederhana. Beliau (Rauf) memang ada mengatakan satu atau dua perkara tentang dasar luar negeri Amerika yang bagi saya terlalu kritis-tapi perkara itu anda juga boleh baca di The Huffington Post setiap hari. Mengenai Islam, subjek pakarnya, pandangan Rauf adalah jelas: beliau sentiasa mencela semua keganasan- seperti beliau lakukan lagi minggu lepas secara terbuka."

Kolumnis Errol Louis menulis yang sebuah masjid bernama Masjid Manhattan telah berdiri berdekatan dengan tapak Pusat Dagangan Dunia sejak 1970an dan kelab menari bogel New York Dolls juga berada di kawasan yang sama. "Minuman arak dan tarian bogel nampaknya tidak mengganggu kepekaan mereka yang membela kesucian tanah di sekitar tapak Pusat Dagangan Dunia."

Majalah The Economist mengkritik orang yang menentang projek itu dengan berkata "Setiap hujah yang dikemukakan untuk menghalang projek ini dalam beberapa cara bersandar pada idea salah bahawa semua orang Islam, dan Islam itu sendiri, berkongsi tanggungjawab, atau tercemar oleh, kekejaman 11 September."

Lihat juga sunting

Pautan luar sunting

Nota kaki sunting

  1. ^ Katakan tidak kepada masjid di "Ground Zero oleh Newt Gingrich, "...the mosque would become an icon of triumph, encouraging them in their challenge to our civilization."
  2. ^ "Soalan Lazim mengenai Park51". Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-08-27. Dicapai pada 2010-08-26.
  3. ^ Jacoby, Jeff (6 Jun 2010). The Boston Globe. "A mosque at ground zero?".
  4. ^ Green, Lauren (7 April 2010). "Plan to Build Mosque Near Ground Zero Riles Families of 9/11 Victims". Fox News.
  5. ^ Raza, Raheel; Fatah, Tarek (9 Ogos 2010). Ottawa Citizen. "Mischief in Manhattan".
  6. ^ Kenyataan Obama di Majlis Buka Puasa, 13 Ogos 2010.