Pelancar Grenad Mk 19
Pelancar Grenad Mk 19 mulanya digunakan oleh bot peronda sungai Tentera Laut Amerika (dikenali sebagai Pibber) dan boleh melontarkan grenad 40mm dari jarak minimum 75 meter sehingga jarak maksimum 2,200 meter walaupun ia paling berkesan sehingga jarak 1,600 meter. Senjata ini kemudiannya diambil guna oleh Tentera Darat Amerika dan pasukan Marin. Grenad M430 yang digunakan menyebabkan kematian dalam lingkungan 5 meter dari titik impak dan mencederakan dalam lingkungan 15 meter dari titik impak.
Pembangunan senjata Mk.19 ini dimulakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat dalam tahun 1966 sebagai lanjutan pengalaman yang diperolehi dari Perang Vietnam. Sebelum itu, Tentera Laut Amerika Syarikat mencuba penggunaan beberapa senjata yang melontarkan peluru grenad jenis 40x46mm M406 dengan kelajuan rendah yang pada mulanya dibuat untuk kegunaan dengan pelontar grenad M79. Kesemua senjata tersebut tidak dapat melontarkan grenad kepada jarak yang diharapkan.
Pelontar grenad Mk.19 menggunakan peluru 40x53mm M384 dengan kelajuan tinggi, membolehkan pencapaian jarak lontaran yang lebih jauh dan mula dicuba dalam bulan Oktober 1967. Selepas ujian, pelontar grenad Mk.19 Mod.0 diterima untuk kegunaan pada awal tahun 1968, digunakan di atas bot peronda sungai dan juga di atas helikopter UH1 Huey Tentera Laut Amerika Syarikat.
Model Mk.19 mod.1 mula digunakan dalam tahun 1971 di Vietnam dengan penghantaran lebih 1000 pucuk senjata, terdiri daripada buatan baru ataupun dengan menaik taraf senjata dari Mod.0.