Pengguna:26 Ramadan/Laman Utama/Kotak Pasir/Rencana pilihan/39

frames
frames

Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur, Malaysia adalah sepasang menara berkembar yang pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia sebelum diatasi oleh Taipei 101. Sungguhpun begitu, kedua-dua menara ini masih merupakan menara berkembar tertinggi di dunia dan juga merupakan bangunan tertinggi pada abad ke-20. Menara Berkembar Petronas memegang gelaran bangunan tertinggi dari tahun 1998 hingga 2004 dari segi ukuran dari aras pintu masuk utama hingga atas struktur, iaitu rujukan ketinggian asli yang digunakan oleh pertubuhan antarabangsa Majlis Bangunan Tinggi dan Habitat Bandar sejak tahun 1969 (tiga kategori ketinggian tambahan diperkenalkan ketika menara ini hampir disiapkan pada tahun 1996).

Menara yang direka oleh jurubina César Pelli dari Argentina ini, siap dibina pada tahun 1998 setelah menelan masa tujuh tahun sehingga menjadi bangunan tertinggi di dunia sewaktu disiapkan. Menara ini dibina di atas tapak lumba kuda Kuala Lumpur. Kedalaman batuan dasar menjadikan bangunan ini dibina pada tapak yang paling dalam di dunia. Tapak sedalam 120 meter itu memerlukan sejumlah konkrit yang berlebihan untuk dibina dalam masa 12 bulan oleh Bachy Soletanche. Menara setinggi 88 tingkat ini banyak dibuat daripada konkrit bertetulang dengan muka bangunan buatan keluli dan kaca yang direka untuk menyerupai motif kesenian Islam untuk mencerminkan agama Islam di Malaysia. Satu lagi pengaruh seni Islam dalam bangunan ini ialah keratan rentas kedua-dua menara yang berbentuk "Rub el Hizb", ditambah dengan bahagian bundar untuk memenuhi keperluan ruang pejabat. Menara 1 dibina oleh konsortium Jepun yang dipimpin oleh Hazama Corporation manakala Menara 2 dibina oleh dua kontraktor Korea Selatan, iaitu Samsung C&T dan Kukdong Engineering & Construction. Jejantasnya pula disiapkan oleh Kukdong.