Nama sebenar penyumbang ialah AZMAN BIN CHE MAN dan berasal dari Kampung Bedal, Kuala Krai, Kelantan. Dilahirkan pada tanggal 12 Mac 1972 sebagai anak ketujuh daripada lapan adik-beradik yang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang perempuan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Bedal sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Agama (Arab) Rahmaniah Kuala Krai sehingga tingkatan empat. Beliau kemudiannya menyambungkan pelajaran ke Sekolah Arab Maahad Muhammadi Kota Bharu dari tingkatan lima hingga enam bawah. Setelah mendapat keputusan Sijil Tinggi Ugama (STU), beliau melanjutkan pelajarannya ke Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Usuluddin (Akidah dan Falsafah). Setelah empat tahun berada di Mesir, beliau akhirnya pulang ke tanah air pada akhir tahun 1996 dengan membawa Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang berkenaan. Kesukaran mendapatkan pekerjaan selepas pulang ke tanah air, beliau telah berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai guru sambilan di Sekolah Menengah High Katholik, Petaling Jaya. Bagaimanapun, beliau tidak kekal lama dalam bidang perguruan apabila mengambil keputusan berhenti dan bekerja sebagai Pembantu Tadbir di Bahagian Pembangunan Sosial, Kebudayaan dan Kesenian Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ). Setelah bertugas selama dua tahun setengah di MPPJ, beliau berjaya mendapatkan pekerjaan di Utusan Malaysia sebagai wartawan. Tugas pertama beliau ialah membuat terjemahan daripada Bahasa Arab ke Bahasa Malaysia di bawah kelolaan Astora Jabat. Setahun kemudian beliau ditukar ke bahagian Berita selama setahun sebelum ditukar ke Utusan Malaysia cawangan Negeri Sembilan.