SEJARAH PERKEMBANGAN BANDARAYA IPOH sunting

Nama Ipoh diambil sempena nama sejenis pokok. Ipoh dikenali sebagai ‘Bandaraya Bijih Timah Negara’ disebabkan oleh aktiviti perlombongan disini suatu ketika dahulu.

Bandaraya Ipoh hari ini merupakan sebuah bandaraya yang diiktiraf sebagai ibu negeri Perak kerana disinilah pusat bagi perkhidmatan, pentadbiran, perdagangan dan perindustrian dijalankan. Jika dilihat dari segi sejarah, bandaraya Ipoh mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Secara geografinya, bandaraya Ipoh terbahagi dua oleh Sungai Kinta dan dikenali sebagai pekan lama dan pekan baru.

Sejarah perkembangan bandar Ipoh bermula di pekan lama ketika era perlombongan bijih timah. Ketika pemerintahan Raja Melayu, Ipoh hanyalah sebuah perkampungan yang kecil. Perubahannya hanya mula berlaku ketika pemerintahan kerajaan Inggeris kira-kira tahun 1877. Sejak itu, ia mula bertukar menjadi bandar dan menjadi tumpuan umum terutama sekali kaum Cina yang datang dari Pulau Pinang untuk mencuba nasib di Perak. Banyak rumah kedai mula dibina dan bandar Ipoh menjadi semakin membangun.

Pada tahun 1890, bandar Ipoh mula menjadi bandar kedua terbesar di Perak selepas Taiping. Kebangkitan bandar Ipoh ini dapat dilihat dengan terbinanya rumah kelab, panggung wayang Cina dan pasar yang besar. Pada tahun 1892, bandar Ipoh talah mengalami kebakaran besar dan telah memusnahkan hampir satu pertiga daripada rumah-rumah yang ada di sini.

Namun begitu, pada tahun 1893, kemusnahan itu telah dibaiki dengan terbinanya banyak rumah batu yang lebih baik sebagaimana yang dapat dilihat dengan jelas kini. Pembinaan rumah kedai turut bertambah dengan pesatnya kesan daripada pembinaan jalan keretapi Lembah Kinta di antara Ipoh dan Batu Gajah yang digunakan untuk membantu industri perlombongan dan perniagaan berjalan dengan lebih lancar.Disebabkan kebanyakan aktiviti perdagangan dan perniagaan berlaku di sebelah barat Sungai Kinta, maka kawasan berkenaan telah di rezabkan sebagai kawasan bangunan pentadbiran dan institusi oleh kerajaan Inggeris dan kebanyakan kesan peninggalan bangunan warisan masih dapat dilihat dengan jelas di sekitar kawasan ini .