Mencari Diri Dalam Diri (02. Jasad) Mencari Diri Dalam Diri ini berkisar kepada manusia dari segi zahir dan batin. Penciptaan manusia berkonsepkan nombor empat (4). Manusia terdiri daripada empat elemen iaitu tubuh atau jasad, hati, nyawa dan zat. Keempat-empat elemen ini membolehkan manusia hidup. Manusia ini terdiri daripada diri zahir dan batin. Dalam bab ini saya akan menerangkan tentang diri zahir manusia. Manusia yang pertama diciptakan oleh Allah adalah Adam. Adam diciptakan daripada unsur tanah. Jasadnya dicipta daripada tanah kemudiannya ditiupkan roh untuk membolehkannya hidup. Selepas Adam dan Hawa, manusia dilahirkan oleh ibu setelah dikandung selama 9 bulan 10 hari, akan tetapi ada juga dikandung sehingga 12 bulan. Selepas penciptaan Adam oleh Allah dengan menggunakan tanah, proses pencipta manusia terjadi melalui sperma lelaki dengan ovum perempuan dan disenyawakan di dalam rahim. Apabila sperma dan ovum bercantum ia akan bersenyawa yang kemudiannya menjadi gumpalan darah. Setelah menjadi gumpalan darah, ia akan menjadi ketulan darah dan menjdi tulang kemudian ia akan dibalut oleh daging. Apabila genap 100 hari, ia dipanggil zigot dalam bahasa sains, pada peringkat inilah ia ditiupkan roh. Dari hari ke hari ia akan bersifat dengan sifat manusia sehinggalah ketuban ibu pecah menandakan ia telah sampai tempoh untuk dilahirkan ke dunia. Seperti manusia yang berkonsep empat elemen, kejadian jasad juga begitu. Jasad manusia terdiri daripada empat unsur iaitu tanah, air, api, dan angin. Keempat-empat unsur ini membentuk kesatuan untuk menjana sistem tubuh badan manusia bagi membolehkan manusia melakukan aktiviti fisiologi seperti makan minum, bekerja, tidur, melakukan aktiviti seks dan sebagainya. Tanah pada badan manusia adalah daging, Air pada manusia adalah tulang, Api pada manusia adalah darah, dan angin pada tubuh manusia. Secara kasarnya manusia mempunyai empat bahagian dan tujuh anggota. Empat bahagian itu adalah kepala, bahu (dada hingga perut), perut, dan kaki. Keempat-empat bahagian ini mempunyai fungsi-fungsi tertentu iaitu bahagian kepala adalah untuk menempatkan otak manusia yang berperanan mengawal semua sistem badan manusia, berfikir dan menyimpan maklumat, sebagai pusat menerima maklumat pancaindera untuk diproses, dan mengawal aktiviti tindak balas saraf manusia. Bahagian bahu (dada hingga ke perut) adalah menempatkan tangan untuk melakukan kerja-kerja dan dada adalah tempat terpenting dalam tubuh badan manusia kerana menempatkan jantung hati. Jantung ini berperanan sebagai tempat nyawa dan roh manusia. Di jantung manusialah roh yang masuk ke dalam jasad kita semasa kita berusia 100 hari di dalam rahim ibu. Masih ramai lagi orang tertanya-tanya tentang tempat roh di dalam jasad manusia. Setelah saya mentelaah dan mengkaji, saya dapati roh itu berada di dalam lubuk jantung manusia. Semasa kita bernafas, kita menyedut gas oksigen dan gas ini akan masuk ke jantung sehingga membolehkannya mengepam darah melalui urat saraf ke seluruh tubuh. Setelah jantung berdegup barulah kita boleh bernyawa. Bahagian perut pula merupakan sebuah kilang pemprosesan yang mana ia menghadam makanan dan minuman, kemudiannya ditukar menjadi tenaga kepada manusia yang disalurkan ke dalam urat. Bahagian keempat iaitu kaki yang berperanan untuk berdiri, berjalan dan bekerja. Manusia mempunyai tujuh (7) anggota, anggota-anggota ini dibasuh semasa berwudhuk. Anggota tersebut adalah dua kaki, dua tangan, dua telinga, dan kepala. Setiap anggota kita mempunyai rahsia-rahsia Ketuhanan tertentu. Rahsia ini akan saya ceritakan pada penulisan seterusnya. [ $ufi Mud@]