Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin Aljoofre

Memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir dan seterusnya meyambung Sarjana Syariah juga di Mesir (Feqh Perbandingan Mazhab).

Pernah menuntut dan memperolehi ijazah dan sanad dari para guru di Malaysia, Singapura, Arab Saudi dan Mesir.

Pengalaman berdakwah, membentangkan kertas kerja, mengendalikan latihan dan kursus motivasi, serta mengajar secara formal dan tidak formal lebih 15 tahun di pelbagai tempat di Malaysia, Singapura, United Kingdom, Republik Ireland, Republic Czech, USA, Australia, Jordan, Jepun, UAE, India, dan kepada para mahasiswa Nusantara di Universiti Al-Azhar.

Pernah berkhidmat sebagai Konsultan Syariah kepada Syarikat Salamfone serta Mantop Consultancy and Training. Dalam aktiviti kemasyarakatan beliau adalah Presiden Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM), Mantan Timbalan Presiden Ikatan Ilmuwan Sunni Malaysia (SUNNI), dan Ahli Jawatankuasa Induk Lajnah Al-Aqsa, Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, serta aktif dalam misi keamanan dan kemanusiaan di seluruh dunia.

Kerap kali muncul di kaca TV melalui slot "Bro Syed" dalam rancangan "Nasi Lemak Kopi O", rancangan “Tanyalah Ustaz”, “Hujah”, dan "Usrah" di TV9, rancangan “Assalamualaikum” dan “Muhasabah” di TV Alhijrah, rancangan "Alhidayah" di TV3, rancangan "Syamail", "Cahaya Lirik", "Salam Muslim", "Hajat", dan "Himpunan Murabbi" di Astro Oasis, rancangan "Selamat Pagi Malaysia", mengendalikan rancangan "Salam Baitullah" di TV1, juga pernah menjadi pengisi tetap rancangan mingguan di Radio IKIM.fm, seperti “Baiti Jannati" dan "Tarbiyah", serta "Kuliah Subuh" di Salam.fm. Merupakan kolumnis beberapa majalah seperti Anis, Tarbawi dan lain-lain. Telah menghasilkan album sulungnya, "Ratib Alhaddad" (2012) terbitan UNIC Records, dan tampil bersama kumpulan UNIC dalam album "Doa" (2013) serta "Zikir Munajat" (2016).

Antara buku tulisan beliau adalah "Nawaitu, Niatku", "Kun Anta" (bersama Heliza Helmi dan Faris Zulkharnane) dan "#DEEP" (bersama Ustaz Dusuki Abdul Rani).

Kini merupakan Ahli Lembaga Pengarah Akademi Darul Ulum, Pengarah Nur el-Hikmah Publication, serta Penasihat Syariah UNICdotMy Pro, seorang pendakwah yang aktif ke seluruh negara dan menetap di Kuala Lumpur bersama isteri dan empat orang anak.