Baba dan Nyonya atau Peranakan Cina adalah segolongan keturunan kaum Cina yang unik kedudukannya di kalangan kaum Cina di dalam kumpulan etnik yang dinamakan Peranakan yang terdapat di Semenanjung Tanah Melayu, tertumpu di Negeri-negeri Selat, khususnya di negeri Melaka, Pulau Pinang di Malaysia dan Republik Singapura. Mereka juga dapat ditemukan di negara Gajah Putih (Thailand) khususnya di Tanjung Salang (Phuket) dan Rundung (Ranong) .Bagaimanapun, sebahagian mereka enggan mengakui bahawa mereka adalah orang Cina tetapi sebaliknya mendakwa bahawa mereka adalah rakyat British dan amat berbangga dengan kedudukan ini. Tambahan pula, mereka mengeji pendatang-pendatang Cina yang baru,  dan mempunyai kelab tersendiri yang tidak membenarkan pendatang-pendatang Cina masuk. Mereka memanggil diri mereka sebagai "Baba" atau "Peranakan" kerana kebudayaan mereka, yang berasal daripada warisan tradisi Cina, mempunyai unsur-unsur pengaruh kebudayaan Melayu. Penyesuaian dan resapan budaya mereka terhadap suasana sosio-budaya di persekitaran mereka di zaman silam, iaitu melalui perkahwinan campur yang berlaku di antara kaum-kaum Cina dan Melayu, adalah punca utama mengapa generasi-generasi seterusnya memanggil mereka sebagai "Baba". Dari segi anutan, kebanyakannya masih mengekalkan agama tradisional Cina dan Buddha, namun telah ramai yang memeluk agama lain seperti Kristian dan Islam yang amat popular di kalangan remaja.[perlu rujukan]