Retikulum (anatomi)

Reticulum merupakan kebuk pertama dalam salur alimentari seekor haiwan ruminan. Dari segi anatomi ia dianggap sebagai bahagian kecil retikulorumen di samping rumen. Kedua-dua anggota ini merupakan 84% daripada keseluruhan isipadu perut. Rumen terletak di dasar esofagus.

Retikulum sering digelar dengan julukan honeycomb (indung madu). Apabila dicuci dan dijadikan makanan, ia dipanggil "babat".

Retikulum menadah makanan yang berat atau tebal serta benda-benda asing. Di anggota ini juga berpuncanya penyakit benda keras dalam lembu dan disebabkan begitu dekat retikulum dengan jantung, penyakit ini boleh mengancam nyawa.

Anatomi sunting

Mukosa dalamannya mempunyai rupa indung madu. Apabila dilihat retikulum melalui ultrasonografi, ia merupakan struktur berbentuk bulan sabit dengan kontur yang licin.[1] Retikulum bersebelahan dengan diafragma, paru-paru, abomasum, rumen dan hati. Ketinggian kresta retikulum dan kedalaman strukturnya berbagai-bagai mengikut spesies haiwan ruminan.[2] Ruminan yang meragut rumput lebih tinggi krestanya daripada yang merenggut daun. Namun demikian, saiz retikulum amnya lebih kurang sekata bagi semua ruminan yang pelbagai saiz badan dan cara makannya.

Dalam seekor lembu dewasa, retikulum boleh menampung kira-kira lima gelen cecair. Rumen dengan retikulum lebih kurang sama struktur dan fungsinya, maka boleh dianggap sebagai organ yang sama dan hanya terpisah oleh selipat tisu otot.

Dalam ruminan yang kecil muda, alur retikulum terbentuk oleh lipatan otot retikulum, membolehkan susu melalui retikulorumen terus ke dalam abomasum.

Pencernaan sunting

Kandungan cecair retikulum memainkan peranan dalam mengasing-asingkan zarah, baik dalam ruminan bela jinak mahupun liar. Pengasingan berlaku melalui kontraksi dwifasa. Dalam kontraksi pertama dihantarnya zarah-zarah besar kembali ke dalam rumen sementara bukaan retikulum-omasum membolehkan laluan untuk zarah-zarah yang lebih halus. Dalam kontraksi kedua, retikulum mengecut sama sekali supaya retikulum yang kosong itu boleh diisi semula dengan kandungan dari rumen. Kemudian kandungan ini diisih-isihkan apabila kontraksi dwifasa berulang.[2] Kontraksi ini berlaku dalam selang sekata. Zarah yang paling padat boleh ditadah dalam struktur indung madu dan boleh didapati apabila haiwan disembelih. Pada ketika kontraksi retikulumlah benda-benda tajam boleh menembusi dinding dan menuju ke jantung. Sesetengah ruminan seperti kambing juga mengalami kontraksi ekafasa di samping kontraksi dwifasa.

Rujukan sunting

  1. ^ [Braun, U., and D. Jacquat. 2011. Ultrasonography of the reticulum in 30 healthy Saanen goats. Acta Veterinaria Scandinavica 53:19]
  2. ^ a b [Clauss, M., Hofmann, R. R., Streich, W. J., Fickel, J., and Hummel, J. 2009. Convergence in the macroscopic anatomy of the reticulum in wild ruminant species of different feeding types and a new resulting hypothesis on reticular function. Journal of Zoology. 281:26-38.]