Satoshi Tajiri (田尻 智 ‘’Tajiri Satoshi’’, lahir pada tarikh 28 Ogos 1965) ialah pencipta Pocket Monters, yang akhirnya dipendekkan menjadi Pokémon sahaja. Pada peringkat awal, Pocket Monsters Red dan Pocket Monsters Green (kedua-duanya dicipta oleh beliau) diterbitkan di Jepun pada awal tahun 1996. Francais media tersebut akhirnya tiba di Barat pada tahun 1998 dan dikenali sebagai Pokémon Red dan Pokémon Blue. Baru-baru ini, Satoshi Tajiri (bersama-sama dengan presiden Nintendo iaitu Satoru Iwata) telah menjadi penerbit eksekutif bagi satu permainan Game Boy Advance bertajuk “ScrewBreaker” (スクリューブレイカー 轟振どりるれろ sebutannya ialah “Su-Ku-Ri-Yū-Bu-Re-I-Kā G­ōshin Do-Ri-Ru-Re-Ro”). Permainan ini dinamakan Drill Dozer untuk pasaran di luar Jepun.

Satoshi Tajiri telah didiagnosiskan sebagai menghidap penyakit sindrom Asperger. Pegawai-pegawai Nintendo menyatakan bahawa Satoshi Tajiri seorang yang sangat kreatif dalam mengemukakan idea tetapi “hidup keseorangan” dan sedikit “aneh”. Satoshi Tajiri mempunyai perwatakan-perwatakan yang konsisten dengan sindrom Asperger.

Semasa Satoshi Tajiri masih kecil, beliau tinggal di pinggir kota Tokyo dan sangat suka mengumpul serangga. Satoshi Tajiri mengumpul serangga dengan memburunya di padang rumput, hutan dan kolam. Satoshi Tajiri selalunya mencari serangga-serangga baru dan menjumpai kaedah baru untuk menarik perhatian kumbang. Satoshi Tajiri sangat berminat dengan serangga, sehinggakan rakan-rakannya sering menggelarnya Dr. Bug.

Satoshi Tajiri tidak suka sekolah. Bapanya mahu beliau menjadi seorang juruelektrik, tetapi Satoshi Tajiri tidak mahukan cita-cita ini. Pada penghujung tahun 1970, padang-padang rumput dan kolam-kolam yang Satoshi Tajiri bermain dahulu telah dimajukan untuk membentuk apartmen dan kawasan meletak kereta dan pada masa ini idea awal Pokémon mula terbentuk. Satoshi Tajiri mahukan kanak-kanak moden mendapat peluang untuk memburu serangga sama seperti apa yang dilakukannya ketika kecil. Satoshi Tajiri memasuki dunia permainan ketika beliau berada dalam sekolah teknik. Satoshi Tajiri sering menghabiskan masanya di arked permainan. Beliau sangat berminat bermain arked sehinggakan satu pusat permainan itu sanggup memberinya sebuah mesin “Space Invaders” untuk dibawa pulang ke rumahnya.

Pada tahun 1982, Satoshi Tajiri dan rakan-rakannya menubuhkan sebuah majalah permainan yang diberi nama Game Freak. Salah seorang daripada rakan-rakannya dalam Game Freak itu ialah Ken Sugimori iaitu orang yang bertanggungjawab melukis kesemua gambar-gambar Pokémon. Pada awal tahun 1980, Satoshi Tajiri membangunkan dan menerbitkan permainan pertamanya bertajuk “Quinty” untuk syarikat Sega setelah memenangi satu peraduan mencipta permainan video yang ditaja oleh Sega. Satoshi Tajiri mendapat hadiah tempat pertama dalam pertandingan tersebut. Pada tahun 1991, Satoshi Tajiri mengetahui tentang Game Boy. Apabila beliau pertama kali melihat “Link Cables” pada Game Boy, beliau membayangkan serangga-serangga bergerak melalui penyambung tersebut dan idea Pokémon dilahirkan. Projek permainan ini telah diberi beberapa dana kewangan awal dan sedikit konsep asas daripada studio pereka permainan, “Creatures”. Satoshi Tajiri menamakan syarikat yang sedang dibangunkannya ini sebagai “Game Freak Inc.”, bersempena dengan nama majalah ciptaannya, dan akhirnya nama ini kelihatan di kesemua skrin permulaan permainan Pokémon.

Satoshi Tajiri meneruskan pekerjaannya di syarikat Nintendo dan menghabiskan masa selama enam tahun berikutnya untuk membangunkan Pokémon. Beliau berkawan dengan Shigeru Miyamoto, seorang genius yang mencipta permainan Mario, The Legend of Zelda, Pikmin dan Donkey Kong. Shigeru Miyamoto juga menjadi mentor kepada Satoshi Tajiri dalam pembuatan permainan “Pocket Monsters Red” dan “Pocket Monsters Green”. Sebagai memperingati jasa Satoshi Tajiri dan Shigeru Miyamoto dalam membangunkan Pokémon, maka dalam anime Pokémon, watak Ash Ketchum dalam versi Jepun diberikan nama “Satoshi” manakala Gary Oak dalam versi Jepun diberi nama “Shigeru”.

Lihat juga

sunting

Pautan keluar

sunting
  • [1]. “Temubual dengan Satoshi Tajiri”.