Sejarah Revolusi Alor Setar

Ramai orang terkejut [1] apabila mengetahui bandar Alor Setar rupanya lebih tua daripada usia Washington DC, ibu negara Amerika Syarikat. Alor Setar juga dikatakan dibuka lebih awal daripada Sydney, bandar raya terbesar di Australia.

Alor Setar atau sebelumnya dikenali Kota Setar diasaskan pada 31 Disember 1735 oleh Alhmarhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'azzam Shah II, iaitu Sultan Kedah ke-19.

Washington diasaskan pada 1775 manakala Sydney 1778. Ini bermakna Alor Setar lebih 40 tahun usianya sebelum kelahiran Washington dan kira-kira 45 tahun lebih tua daripada kota raya Sydney yang mempunyai empat juta penduduk.

Menjelang 31 Disember ini genaplah 271 tahun usia Alor Star, iaitu pusat pentadbiran kelapan Kesultanan Negeri Kedah. Bandar ini melalui sejarah yang panjang kerana pernah lumpuh setelah dimusnahkan semasa serangan askar Bugis pada 1770 dan tentera Siam pada 1821.

Selain bandar pentadbiran, Alor Star juga lahir sebagai bandar pertanian kerana dikelilingi oleh sawah padi serta pernah menjadi pelabuhan bagi kapal dagangan yang menyusuri Sungai Kedah melalui Kuala Kedah dan Selat Melaka.

Limbung Kapal merupakan tempat membina dan membaiki kapal dan tongkang dan nama itu masih kekal sampai sekarang sementara Pekan Cina dan Pekan Melayu berhampiran Tanjung Chali di pinggir Sungai Kedah merupakan pekan asal bandar Alor Setar. Sepanjang tempoh 268 tahun kewujudannya, Alor Star melalui pelbagai peristiwa dan sejarah yang menarik untuk direnungi bersama.

Pada abad ke-18 iaitu Mac 1770, armada Bugis pimpinan Raja Haji menyerang Kedah, memusnahkan Istana Kota Setar dan Balai Besar. Pada April 1771, termeterai perjanjian pertama antara Inggeris yang diketuai oleh Kapten Francis Light dengan Sultan Abdullah Mukaram Shah bagi menamatkan pengaruh Bugis di Kedah.

Istiadat pertabalan Sultan Ahmad Tajudin Halim Shah II, Sultan Kedah ke-22, berlangsung di Balai Besar pada 17 Mac 1805. Pada 12 November tahun tersebut, tentera Siam atau Ligor menyerang dan menduduki Kota Kuala Kedah serta memusnahkan bandar Alor Setar. Peperangan itu menyebabkan Sultan Ahmad Tajudin terpaksa berhijrah ke Pulau Pinang dan seterusnya ke Melaka. Dalam tempoh itu Alor Setar terbiar selama 20 tahun.

Pada 17 Mei 1897 kerajaan Siam menyerahkan kembali wilayah Perlis dan Setul (Satun) yang terpisah sejak 1841 kepada kerajaan Kedah dan penyerahan jajahan takluk itu berlangsung di Balai Besar. Upacara bersejarah itu disaksikan oleh Raja Muda Kedah Tuanku Abdul Aziz yang mewakili Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Perkahwinan lima orang putera dan puteri Sultan Abdul Hamid Halim Shah pada 15 Jun 1904 turut mewarnai sejarah Alor Setar apabila upacara berlangsung 90 hari dan 90 malam serta menelan belanja RM3 juta.

Sementara itu pada 25 Julai 1905, badan perundangan negeri - Majlis Mesyuarat Negeri ditubuhkan dan Tuanku Abdul Aziz (Raja Muda) dilantik sebagai presiden pertama majlis itu. Berikutan termeterainya Perjanjian Bangkok pada 7 Julai 1909, upacara rasmi penyerahan negeri Kedah daripada naungan Siam kepada Inggeris berlangsung di Balai Besar pada 15 Julai 1909.

Bandar Alor Setar juga pernah jatuh ke tangan tentera Jepun pada 13 Disember 1941 selepas kemaraan tentera tersebut dari utara Tanah Melayu dalam Perang Dunia Kedua.

Selepas tewas perang, peristiwa pentadbiran tentera Jepun menyerahkan kuasanya kepada pentadbiran tentera Siam untuk mentadbir Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu berlangsung di Padang Court pada 18 Oktober 1946.

Alor Setar turut mencatat sejarah apabila perhimpunan raksasa di Padang Court dihadiri lebih 10,000 rakyat Kedah kerana menentang gagasan Malayan Union ciptaan Inggeris. Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri pertama) mengetuai perhimpunan itu bersama pengasas-pengasas UMNO lain termasuk Datuk Onn Jaafar dan Datuk Senu Abdul Rahman. Bandar ini juga mencatat sejarah dalam bidang politik apabila Persidangan Agung UMNO yang keempat berlangsung di Balai Besar dan Sultan Kedah, Sultan Badlishah diberi penghormatan untuk merasmikan perhimpunan itu yang dipengerusikan oleh Datuk Onn.

Pada 20 Februari 1959, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah Almarhum Sultan Badlishah ditabal sebagai Sultan Kedah dalam istiadat gilang-gemilang di Balai Besar.

Sebagai mana bandar Alor Setar, majlis kerajaan tempatan Daerah Kota Setar turut mengalami pertukaran nama kepada Majlis Perbandaran Kota Setar (MPKS) pada 1978. Sebelum itu, ia dikenali Lembaga Bandaran Alor Star. Bandar tertua di negara ini menyambut jubli perak apabila genap 25 tahun pemerintahan Sultan Abdul Halim pada 25 Julai 1983 dan pada 2 Jun 1990 pula berlangsung perayaan menyambut ulang tahun Bandar Alor Setar yang ke-250. Hasrat bagi menaik taraf MPKS kepada Majlis Bandaran Kota Setar (MBAS) tercetus apabila mendapat pelawaan daripada Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada bulan Ogos 2000.

Pada April 2001, taklimat diadakan dan mendapat persetujuan Majlis Penuh MPKS dan pada 29 April, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meluluskan cadangan itu sebelum permohonan rasmi dibuat kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 29 Ogos 2001. Ia kemudian diikuti dengan permohonan susulan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 27 Januari 2002. MPKS kemudian mengemukakan maklumat tambahan kepada kementerian pada 19 September 2002.

Antara kriteria yang diperlukan sebelum majlis perbandaran itu dinaikkan status sebagai bandar raya ialah bandar itu perlu menjadi pusat pentadbiran negeri, penduduknya tidak kurang 300,000 orang, mengalami perkembangan dan pembangunan ekonomi yang pesat, pusat perniagaan dan perindustrian serta mempunyai institusi kewangan yang kukuh selain ciri istimewa dari segi sejarah. Majlis perbandaran itu juga berkemampuan dari segi kewangan dengan hasil pendapatan tidak kurang RM80 juta setahun.

Alor Setar yang kini mempunyai kira-kira 300,000 penduduk berkembang mengikut arus peredaran masa. Daripada sebuah bandar pertanian kepada pusat perdagangan dan kewangan selain pusat pentadbiran tertua di rantau ini.

Kedudukan Kedah yang strategik dan kaya dengan hasil bumi, menjadikan negeri tertua ini sebagai pintu masuk yang menghubungkan antara timur dan barat melalui Selat Melaka, sekali gus menjadi lokasi yang ideal untuk dijadikan pelabuhan persinggahan di kalangan pedagang China, India dan Arab pada masa lampau.

Alor Setar mendapat pengiktirafan sebagai Majlis Bandaraya Alor Star pada 28 November 2003 selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, akan kekal ikatan sejarah dan tradisinya yang kukuh dari segi agama dan budaya.

Kenaikan taraf bandar raya ini juga seiring wawasan Kedah Maju 2010, pembangunan Kuala Kedah sebagai pelabuhan tukar barang, bandar diraja Anak Bukit, pembangunan Gunung Keriang, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim yang bakal mengadakan penerbangan haji terus ke Jeddah selain lapangan terbang terpenting di sebelah utara Semenanjung.

Ibu negeri Jelapang Padi ini memiliki keunikannya tersendiri, selain diwarnai oleh sawah yang menghijau dan menguning, Alor Setar mempunyai tarikan dari segi pelancongan kerana taman laut Pulau Payar yang kaya dengan keindahan batu karang turut dimasukkan dalam peta pentadbirannya.

Bangunan Balai Besar yang terletak di kawasan Kota Setar merupakan mercu tanda pentadbiran negeri pada zaman kesultanan Kedah yang mencatat pelbagai sejarah negeri. Kedudukannya berhadapan Masjid Zahir (masjid negeri) merupakan satu gambaran jelas pada masa lalu terdapat perhubungan simbiosis antara sistem pentadbiran negeri dengan agama Islam.

Alor Setar yang membangun daripada usaha para petani, peniaga dan pentadbir telah melalui perubahan dan pembangunan yang pesat mengikut rentak dan peredaran masa jika dibandingkan 10 atau 20 tahun yang lalu.

Antara bangunan sejarah yang masih dikekalkan ialah kawasan pentadbiran kesultanan Kedah termasuk Balai Besar, Istana Pelamin, Balai Nobat, Masjid Negeri, Bangunan Wan Mat Saman dan Balai Seni.

Selain itu, terdapat terusan Wan Mat Saman, Rumah Kelahiran Dr. Mahathir serta kediaman Tunku Abdul Rahman. Almarhum Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr. Mahathir (Perdana Menteri Pertama dan Perdana Menteri Keempat) ialah anak kelahiran Alor Star.

Sementara Wan Mat Saman pula merupakan Perdana Menteri Kedah yang pertama dan dianggap arkitek kepada pembangunan Kedah kerana turut merancang sistem pengairan untuk sawah padi menerusi pembinaan Terusan Mat Saman sepanjang 35 kilometer dari Alor Star ke kaki Gunung Jerai yang mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan.

Gabungan bangunan sejarah silam dengan keindahan alam semula jadi Pulau Payar, kos hidup yang rendah, pusat membeli belah termasuk Pekan Rabu yang sudah sinonim dengan bandar ini, merupakan aset penting di sektor pelancongan bagi bandar raya ini yang dulunya hanya sebuah `pekan di dalam sawah'.[2]

Rujukan sunting