Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi


Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi ialah sebuah sekolah rendah kebangsaan di Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Negeri Perak.

Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi
Lokasi
Lubok Merbau, Kuala Kangsar
 Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah Kebangsaan, Sekolah kerajaan
Ditubuhkan1890
PengetuaEncik Mohamad Husaini bin Saad PPT (Pengetua)

Sejarah sunting

Pada 1890 semasa zaman pemerintahan kolonial Inggeris, sebuah sekolah berdinding tepas dan beratapkan rumbia telah dibina secara bergotong-royong dan dinamakan Sekolah Melayu Lubok Merbau. Sejumlah 30 orang murid belajar dengan Guru Besar yang pertama iaitu Allahyarham Megat Abu Samah bin Megat Muhammad.

Guru Besar silih berganti sehinggalah Allahyarham Encik Aminuddin mengambil alih jawatan Guru Besar. Pada waktu ini, kerajaan Inggeris menggantikan bangsal dengan sebuah bangunan papan yang agak kukuh dan dapat memuatkan 90 orang murid. Apabila penduduk Lubok Merbau bertambah ramai, maka bilangan murid juga bertambah; sekolah tidak dapat lagi menampung murid yang berlebihan itu. Maka dalam tahun 1935 sewaktu Allahyarham Encik Abdul Rahman menjadi Guru Besar, sebuah lagi bangunan didirikan.

Selepas Jepun meninggalkan negara ini dalam tahun 1945, sekolah ini mengalami perubahan. Bangunan sekolah dibahagi dua. Bangunan lama dijadikan Sekolah Perempuan Lubok Merbau dengan Guru Besar pertamanya iaitu Puan Hajjah Saerah binti Alang Redan. Manakala bangunan yang agak baru mula dijadikan Sekolah Laki-Laki Lubok Merbau dengan Guru Besarnya Encik Harun bin Anjang Taksin.

Akibat murid yang bertambah ramai, ramai murid menghadapi masalah hadir ke sekolah. Akhirnya, sekolah ini membuka cawangannya di Kampung Tanah Merah khas bagi murid Darjah 1 hingga Darjah 3. Pada tahun 1950, Sekolah Melayu Tanah Merah mengasingkan diri dengan pentadbirannya sendiri.

Selepas kemerdekaan Malaysia, pentadbiran sekolah ini bertukar tangan. Pada tahun 1957, sekolah ini telah ditukarkan nama menjadi Sekolah Umum Laki-Laki Lubok Merbau dan Sekolah Umum Perempuan Lubok Merbau. Apabila bidang pendidikan semakin bertambah maju, sekolah sekali lagi menukar namanya kepada Sekolah Kebangsaan Laki-Laki Lubok Merbau dan Sekolah Kebangsaan Perempuan Lubok Merbau.

Perpisahan semenjak tahun 1942 rupanya ialah perpisahan sementara. Pada 12hb Januari 1962 setelah 20 tahun berpisah, kedua-dua bercantum kembali. Kali ini bernama Sekolah Kebangsaan Lubok Merbau.

Kemudian pada tahun 1969 dengan ihsan kerajaan, bangunan batu telah dibina. Ia terdiri daripada bilik-bilik darjah, pejabat dan sebuah kantin. Guru Besarnya, Tuan Haji Mior Lub Ahmad bin Mior Mohd. Amin begitu berbangga sekali hingga beliau bersara dalam tahun 1973.

Tuan Haji Mahmud bin Haji Mohd. Din pula mengambil alih jawatan Guru Besar hingga tahun 1977. Kemudian, Guru Besar baru pula didatangkan bagi menyumbang tenaga demi kepentingan pelajaran anak-anak Lubok Merbau. Beliau ialah Tuan Haji Mior Aris bin Mior Abu Bakar. Namun, beliau kemudian meletakkan jawatan Guru Besar dalam tahun 1978 dan berjaya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Lubok Merbau dan dilantik sebagai EXCO Negeri Perak.

Guru Penolong Kanan, Puan Hajjah Abidah binti Haji Nordin telah menjalankan tugas-tugas Guru Besar sehingga 14hb November 1978. Kemudian, Tuan Haji Zubir bin Ariffin menjadi Guru Besar sekolah ini. Pada awal bulan Januari 1979, padang bola baru dapat digunakan oleh murid-murid.

Pada 1hb Januari 1980, Tuan Haji Ahmad bin Said telah bertukar ke sekolah ini sebagai Guru Besar. Beliau begitu bernasib baik kerana pada zaman beliau, kerajaan telah menunaikan hajat penduduk Lubok Merbau yang menginginkan bangunan baru denga pembinaan sebuah bangunan batu dua tingkat diapit oleh sebuah kantin berlantaikan mozek. Wang yang dibelanjakan berjumlah RM 196,000. Ia mula digunakan pada 21hb Mei 1982 dan dirasmikan pada 6hb April 1983 oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Ramli Ngah Talib, PSM, SPCM, AMN, JP, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan ketika itu.

Pada 16hb Mei 1989, Encik Abu Hassan bin Haji Ngah Habsah pula menjadi Guru Besar di sini. Sebuah bangunan tambahan hasil projek gotong-royong telah didirikan pada 3hb September 1989 bernilai RM 50,000. Daftar murid berjumlah 325 orang dengan 21 orang guru, seorang Pegawai Kerani, seorang Pembantu Am Rendah, 2 orang Pekerja Am dan seorang Jaga. Pada 1hb September 1990, sekolah ini telah dinaikkan taraf kepada ‘Gred B’.

Sebagaimana sekolah lain, Sekolah Kebangsaan Lubok Merbau juga tidak kurang melahirkan cendekiawan. Mereka berada di seluruh pelusuk tanah air. Antaranya ialah Almarhum Tuan Syeikh Idris al-Marbawi bin Haji Abdul Rauf, pengarang Kamus al-Marbawi yang ulung di seluruh Nusantara. Beliau juga merupakan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan yang pertama. Dato’ Kamaruddin bin Mohd. Arif, Duta Malaysia ke negara Jerman. Kolonel (B) Ahmad Shaharbi bin Shaari, KMN, AMN, AMP, Pengarah Pendidikan Perkhidmatan Sosial dan Masyarakat, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia. Allahyarham Dr. Syed Hussain Wafa, bekas Perancang Ekonomi Negeri Sabah.

Pada 26hb November 1991, pihak sekolah telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendidikan Perak berkenaan pertukaran nama sekolah kepada Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd. Idris al-Marbawi, iaitu sempena nama Tokoh Maal Hijrah pertama yang juga bekas murid sekolah ini dan nama ini kekal sehingga ke hari ini.

Senarai Guru Besar sunting

  1. Encik Megat Abu Samah bin Megat Muhamad (1890-1895)
  2. Encik Mohd. Saleh (1895-1897)
  3. Encik Aminuddin (1897-1899)
  4. Encik Megat Hasann(1899-1900)
  5. Tuan Haji Abdul Hamid bin Haji Abu Bakar (1900-1901)
  6. Encik Alang Mohd. Arof bin Bilal Bakar (1901-1903)
  7. Encik Kulub Ibrahim bin Abdul Rashid (1925-1928)
  8. Tuan Haji Abdul Hamid bin Haji Zainuddin (1928-1932)
  9. Encik Ayub bin Mohd. Sham (1932-1935)
  10. Encik Abdul Rahman bin Alang Isa (1935-1939)
  11. Encik Mohd. Wazid bin Haji Idris (1939-1942)
  12. Encik Harun bin Anjang Taksin (1942-1945)
  13. Encik Kulub Wahab bin Kulub Mohd. Sharif (1945-1946)
  14. Tuan Haji Mohd. Bakir bin Ahmad (1946-1953)
  15. Encik Muhammad bin Haji Jaafar (1954-1957)
  16. Tuan Haji Lub Ahmad bin Meor Mohd. Amin (1967-1973)
  17. Tuan Haji Mahmud bin Haji Mohd. Din (1974-1977)
  18. Tuan Haji Mior Aris bin Mior Abu Bakar (1977-1978)
  19. Tuan Haji Zubir bin Ariffin (1978-1979)
  20. Tuan Haji Ahmad bin Said (1980-1989)
  21. Encik Abu Hassan bin Haji Ngah Habsah (1989-1993)
  22. Encik Abdullah bin Hassan (1993-1998)
  23. Encik Jamalul Karib bin Anuar (1998-1999)
  24. Encik Mokthar bin Hussin (2000-2003)
  25. Puan Yuwangasihe binti Ngathimin (2004- 2010)
  26. Encik Mohamad Husaini bin Saad PPT (2010- 2016)
  27. Encik Shukri Bin Md.Ani (2016 - kini)

Guru Besar Sekolah Perempuan Lubok Merbau sunting

  1. Puan Hajjah Saerah binti Alang Redan (1942-1951)
  2. Puan Hajjah Salmah binti Ibrahim (1951-1954)
  3. Puan Hajjah Ramlah binti Mohd. Sharif (1954-1962)
  4. Puan Yuwangasihe binti Ngathimin (2004-2010)

Alamat sekolah sunting

Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi,
Lubok Merbau, 33010 Kuala Kangsar,
Perak Darul Ridzuan.
No. telefon: 05-7767199