Sepuluh peringkat genosid

Sepuluh peringkat genosid, pembasmian kaum atau penghapusan bangsa ialah satu alat ilmiah dan model polisi yang dicipta oleh Gregory Stanton, mantan presiden dan pengasas Genocide Watch. Dikenali dahulu sebagai lapan peringkat genosid, ia digunakan untuk menjelaskan bagaimana genosid berlaku. Peringkat genosid ini tidak selalu mengikut urutan tertentu, malah beberapa peringkat mungkin berlaku serentak. Model yang dicadangkan oleh Stanton ini bertujuan untuk mengkaji peristiwa dan proses yang membawa kepada genosid. Ia juga model yang berguna untuk menentukan cara mencegahnya.

Pada tahun 1996, Stanton menyampaikan taklimat "The 8 Stage of Genocide [Lapan Peringkat Genosid]" kepada Jabatan Negara Amerika Syarikat.[1] Dalamnya, beliau menyatakan bahawa pembasmian kaum berlaku dalam lapan peringkat yang "boleh dijangka tetapi bukan mustahil untuk dielakkan".[a][1] Ia dibentang tidak lama selepas genosid Rwanda, dan melibatkan analisis kejadian Holokus, genosid Kemboja dan genosid-genosid lain. Langkah-langkah campur tangan yang dicadangkan adalah yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan Amerika Syarikat dan NATO, atau mempengaruhi negara-negara Eropah lain untuk melaksanakannya, termasuklah pencerobohan tentera.

Stanton menyusun dan menerbitkan model itu buat kali pertamanya dalam Kuliah Faulds 1987 di Kolej Warren Wilson, juga dibentangkan kepada Persatuan Antropologi Amerika pada tahun 1987. Pada 2012, beliau menambah dua lagi peringkat, diskriminasi dan penganiayaan.[2]

Model Stanton meluas digunakan untuk mengajar pengajian perbandingan genosid di pelbagai jenis tempat, seperti kursus universiti hingga di muzium, tempat seperti Muzium Holokus dan Hak Asasi Manusia Dallas, AS.

Sepuluh peringkat sunting

# Peringkat Ciri-ciri Langkah-langkah pencegahan
1 Pengelasan Masyarakat terbahagi antara "mereka dan kita". "Langkah pencegahan utama pada peringkat awal ini ialah membangunkan institusi inklusif yang memupuk perpaduan."
2 Pelabelan "Apabila digunakan dengan kebencian, label mungkin akan diletak secara paksa pada kelompok paria..." "Untuk memerangi pelabelan, label benci boleh diharamkan sebagai ucapan benci dengan undang-undang."
3 Diskriminasi "Undang-undang atau pengaruh budaya mengecualikan sesetengah kelompok daripada hak awam penuh: undang-undang pengasingan atau aparteid, penafian hak mengundi". "Luluskan dan kuatkuasakan undang-undang yang melarang diskriminasi. Berikan kerakyatan penuh dan hak mengundi untuk semua kelompok."
4 Penafimanusiaan "Satu kelompok menafikan kelompok lain itu manusia. Ahlinya disamakan dengan haiwan, kutu, serangga atau penyakit." "Pemimpin tempatan dan antarabangsa harus mengecam penggunaan ucapan benci dan menjadikannya tidak boleh diterima budaya. Pemimpin yang menghasut genosid harus diharamkan ke luar negara dan aset-aset asing mereka dibekukan."
5 Pemakatan "Genosid selalu dipakat... Unit tentera khas atau militia sering dilatih dan bersenjata..." "PBB harus mengenakan sekatan senjata ke atas kerajaan dan rakyat negara yang terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai genosid, dan mewujudkan suruhanjaya untuk menyiasat pencabulan."
6 Polarisasi "Pelampau memisahkan kelompok... Pemimpin kelompok ditangkap dan dibunuh... undang-undang menghakis hak asasi dan kebebasan awam." "Mencegahnya seperti dengan melindungi pemimpin sederhana kelompok, atau membantu kumpulan hak asasi manusia... Rampasan kuasa oleh pelampau harus ditentang dengan sekatan antarabangsa."
7 Persediaan "Pembunuhan besar-besaran dirancang. Mangsa dikenal pasti dan dipisahkan kerana identiti kaum atau agama mereka..." "Pada peringkat ini, Darurat Genosid mesti diisytiharkan. Tekanan diplomatik penuh oleh organisasi serantau mesti dibuat, termasuk persediaan untuk campur tangan bagi mencegah genosid."
8 Penganiayaan "Pencabutan hak milik kelompok, pemindahan paksa, ghetto, kem tahanan". "Bantuan terus kepada kelompok mangsa, sekatan terhadap penganiaya, mengerah bantuan kemanusiaan atau campur tangan, perlindungan kepada pelarian."
9 Pembasmian "Pembunuhnya memanggilnya 'pembasmian' kerana mereka tidak percaya mangsa mereka itu benar-benar manusia". "Pada peringkat ini, hanya campur tangan bersenjata yang pantas dan tegas boleh menghentikan genosid. Zon selamat sebenar atau koridor pelarian harus diwujudkan dengan perlindungan antarabangsa yang bersenjata lengkap."
10 Penafian "Penjenayahnya... menafikan mereka telah melakukan sebarang jenayah..." "Balasan terhadap penafian ialah hukuman oleh tribunal antarabangsa atau mahkamah negara."

Analisis sunting

Penyelidik-penyelidik genosid lain telah memberi tumpuan kepada suasana budaya dan politik yang membawa kepada pembasmian kaum. Pakar sosiologi, Helen Fein, menunjukkan bahawa sentimen antisemitisme yang wujud sebelum ini berkait rapat dengan peratusan orang Yahudi yang terbunuh di negara-negara Eropah semasa Holokus.[3] Dalam konteks statistik, ahli sains politik seperti Dr. Barbara Harff telah mengenal pasti ciri-ciri politik dalam negara yang berkorelasi dengan risiko genosid: peristiwa genosid sebelum ini tanpa sebarang hukuman, pergolakan politik, ideologi yang menyisih sesuatu kelompok, autokrasi, sempadan tertutup dan pencabulan hak asasi manusia secara besar-besaran.[4]

Model Stanton menyesuaikan faktor-faktor risiko dalam analisis Harff ke dalam struktur berproses. Contohnya:

  • Leo Kuper,[5] pakar sosiologi dari Afrika Selatan, berkata kegoyahan politik merupakan ciri "masyarakat terpecah" yang mempunyai perselisihan teruk, seperti dalam pengelasan.
  • Pemberian nama dan cara mengenal pasti ahli kelompok berlaku menggunakan pelabelan.
  • Kelompok yang disasarkan oleh negara ialah mangsa diskriminasi.
  • Ideologi penyisihan adalah penting untuk penafimanusiaan.
  • Rejim autokratik memupuk kumpulan kebencian bersatu untuk berpakat.
  • Golongan elit berpecah mengikut kaum ialah ciri polarisasi.
  • Keterbatasan perdagangan dan pengaruh luar ialah ciri persediaan.
  • Pelanggaran besar-besaran hak asasi manusia ialah contoh penganiayaan.
  • Pembasmian seluruh kaum/kelompok ataupun sebahagiannya merupakan genosid dalam undang-undang.
  • Kebebasan daripada hukuman selepas genosid sebelum ini adalah bukti penafian.

Stanton berkata bahawa "yang paling pentingnya, penawar terbaik genosid ialah mendidik orang awam dan memupuk toleransi dalam masyarakat serta budaya terhadap kepelbagaian kaum."[2]

Nota sunting

  1. ^ FBI mendapati terdapat peringkat yang agak serupa berlaku apabila kumpulan benci dibentuk

Rujukan sunting

  1. ^ a b "The 8 Stages of Genocide" (PDF). Genocide Watch. 1996.
  2. ^ a b Stanton, Gregory (2020). "The Ten Stages of Genocide". Genocide Watch. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 May 2020. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "tenstages" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  3. ^ Fein, Helen (1979). Accounting for genocide: Victims and survivors of the Holocaust. New York: Free Press.
  4. ^ Harff, Barbara (2003). "No Lessons Learned from the Holocaust? Assessing Risks of Genocide and Political Mass Murder since 1955". The American Political Science Review. 97 (1): 57–73. doi:10.1017/S0003055403000522. JSTOR 3118221.
  5. ^ Kuper, Leo (1981). Genocide (ed. 1982). New Haven: Yale. m/s. 58. ISBN 0-300-03120-3.

Bacaan lanjut sunting