Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin

Muhammad Tahir bin Syeikh Muhammad. atau dikenali dengan gelaran Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki Al-Azhari (8 Disember 1869 - 26 Oktober 1956), merupakan tokoh bidang Falak Syari di alam Melayu Nusantara yang telah memantapkan bidang fardu kifayah tersebut di rantau ini menerusi pengajaran, penggunaan dan penyibaran ilmu tentangnya di kalangan 'alim ulamak yang bertanggungjawab membuat taqwim Islam tempatan.

Kehidupan Awal sunting

Nama lengkap Syeikh Tahir Jalaluddin ialah Muhamad Tahir bin Syeikh Muhammad. Beliau dilahirkan pada hari Rabu, 5 haribulan Ramadhan, tahun 1286 Hijrah bersamaan 8 Disember 1869 Masehi di Empat Angkat (Ampek Angkek), Bukit Tinggi Sumatera Barat. Ayah beliau iaitu Syeikh Muhamad merupakan seorang ulamak terkenal di Sumatera. Di dalam masyarakat Minangkabau Syeikh Muhammad lebih dikenali dengan nama Tuanku Muhammad atau Tuanku Tjangking.

Beliau yatim ketika kecil lagi dan dibesarkan oleh keluarga pihak ibunya; dan apabila berumur hampir 12 tahun, telah dihantar ke Makkah untuk belajar dan mendalami ilmu-ilmu agama Islam. Beliau berada di Makkah selama lebih 12 tahun. Di antara bidang-bidang yang telah beliau perolehi dan perdalami ialah ilmu-ilmu al Qur'an, Hadith, Tauhid, Fiqah, Usul Fiqh, Nahu, Saraf, Bayan, Ma'ani, Badi', 'Arudh, Mantiq, Tafsir, Hisab Handasah dan Falak. Beliau banyak dipengaruhi oleh ilmu, pendekatan dan kealiman peribadi gurunya, Sheikh Ahmad Khatib iaitu saudara berpangkat sepupu dengannya yang pada waktu itu terlantik sebagai Mufti Mazhab Shafi'i di Masjidil Haram. Sheikh Tahir pulang ke Sumatra ketika berumur 24 tahun dan selepas 4 tahun di sana, sekali lagi berangkat ke Timur Tengah, kali ini ke Mesir.

Pengajian sunting

Bidang Falak telah beliau perdalami lagi semasa belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir selama 4 tahun (1314-1318 H. bersamaan 1893-1897 M.). Semasa di situ beliau menerima pengaruh daripada pemikiran Sayid Jamaluddin Al-Afghani dan Sheikh Muhammad Abduh, tokoh Gerakan Islah (Pembersihan) dan Reformasi Islam yang berjuang untuk membersihkan Islam daripada fahaman yang bercampur-baur adat-resam kuno, dan mengembalikan Islam ke landasan al-Qur'an dan Hadith yang suci. Lantaran kegiatan Sheikh Muhammad Tahir yang berkait dengan pemikiran Reformasi inilah, beliau dikenali juga sebagai ahli'Kaum Muda'atau golongan ulamak Reformis di kalangan masyarakat Melayu-Nusantara.

Semasa di Mesir beliau mula berdampingan dengan tokoh-tokoh perjuangan Islam -seperti Sheikh Muhammad Rashid Ridha -- yang bergiat dalam penulisan rencana-rencana melalui akhbar yang berunsur Islam, seperti Al-Manar. Sheikh Muhammad Tahir pernah juga menyumbangkan rencana-rencana ilmiah dalam akhbar tersebut. Pendekatan seperti ini telah beliau terapkan sekembalinya ke Tanah Melayu, dengan membuat banyak sumbangan kepada majalah-majalah Al-lmam dan Al-lkhwan (di bawah kelolaan Syed Sheikh Syed Ahmad Al-Hadi dan lain-lain rakannya, dan akhbar -Saudara.

Dalam zaman mudanya, Sheikh Tahir kerap berulang-alik ke Makkah dan Mesir, sama ada untuk membawa jemaah haji dari Sumatra ataupun untuk membuat perniagaan secara sampingan. Perkahwinan Sheikh Muhammad Tahir semasa zaman mudanya di Sumatra tidak kekal. Beliau bernikah dan bercerai sebanyak 5 kali semasa itu, di atas persetujuan pihak-pihak isteri berkenaan, kerana adat Minangkabau waktu itu sangat mendorong para wanita dan keluarga mereka untuk memperolehi zuriat daripada 'alim ulamak. Walau bagaimanapun, sistem Adat Perpatih yang kuat itulah juga di antara sebab-sebab Sheikh Tahir berpindah keluar dari daerah Minangkabau dan merantau ke Tanah Melayu mulai tahun 1317H/ 1899M.

Keluarga sunting

Perkahwinan Sheikh Muhammad Tahir pada 21 Jamadilawal 1317 H. bersamaan 28 September 1899 M., dengan isterinya yang keenam bernama Aishah binti Haji Mustafa, anak seorang saudagar dari Kuala Kangsar, Perak kekal sehingga akhir hayatnya. Mereka dikurniakan dengan enam orang anak -- iaitu Rahmah, Muhammad, Ahmad, Azizah, Hamdan dan Hamid. Menerusi asuhan ibu yang berdidikasi, didikan Sheikh Tahir yang unik, kemudahan pendidikan bercorak baru dan bakat serta rezekinya sendiri, maka anak Sheikh Tahir yang kelima, Tun Hamdan Sheikh Tahir terus meningkat dalam dunia pendidikan dan kerjayanya sehingga menjawat beberapa jawatan tinggi dan kini mendapat gelaran Tun serta menjadi Tuan Yang Terutama Yang dipertua Negeri Pulau Pinang.

Sebagai ulamak dan pejuang agama, Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin telah menjelajah ke banyak tempat di alam Melayu-Nusantara termasuk Tanah Melayu, Sumatra, Singapura dan Kepulauan Riau. Semasa di Sumatra (1348 H./1927 M.) beliau pernah dipenjarakan oleh penjajah Belanda atas suatu tuduhan palsu, tetapi akhirnya telah dibebaskan selepas ditahan selama enam bulan. Beliau mempunyai semangat anti penjajah yang kuat, di samping mempunyai pendirian yang tegas dan keras dalam hal-hal keagamaan. Inilah di antara aspek peribadinya yang menyebabkan Sheikh Tahir tidak dapat menetap lama di sesuatu tempat, di samping adanya pergeseran dengan golongan ulamak 'Kaum Tua'.

Beliau menjadi Hakim Besar Mahkamah Syariah di Taiping, kemudiannya terlantik sebagai Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan selama 3 tahun, dalam zaman pemerintahan Sultan Idris. Walau bagaimanapun, fatwa-fatwa Sheikh Tahir tidak diterima oleh ulamak golongan 'Kaum Tua'. Beliau berkhidmat dengan negeri Johor Darul Takzim pada tahun 1335 H. (1914 M.), sebagai Pendidik dan Nazir sekolah-sekolah agama Johor selama 4 tahun; dan sekali lagi selama 3 tahun (1346-49 H./ 1925-28 M.). Dalam lingkungan masa yang sama, beliau sempat berkhidmat sebagai mudir (guru besar) Madrasah Haji Muhammad Taib, di Parit Jamil, Muar -- iaitu sebuah sekolah menengah agama yang memberi pengajaran-pembelajaran Islam yang menyeluruh sambil menekankan bahawa Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris hendaklah dipelajari untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Dalam dunia pendidikan Sheikh Tahir sentiasa mempunyai pemikiran dan pandangan yang jauh ke hadapan daripada pemikiran semasa dalam zamannya. Sheikh Tahir pernah bermastautin di Singapura untuk memberi sumbangan penulisan dan penerbitan majalah Al-Imam. Beliau berkhidmat di Madrasah Al-Masyhoor Pulau Pinang sebagai Pendidik dan Pengetua selama 3 tahun (1341-44 H./ 1920-23 M.), kemudian pulang ke Kuala Kangsar.

Sheikh Tahir ke Makkah sekali lagi pada tahun 1349 H. (1928 M.), kemudiannya bersara di Kuala Kangsar, Perak mulai tahun 1350 (1929). Namun begitu, beliau terus aktif sehingga akhir hayatnya sebagai ulamak-penulis dan ahli Falak Syar'i yang menabur khidmat baktinya kepada ramai penuntut yang kemudiannya menjadi ulamak.

Sumbangan sunting

Sheikh Muhammad Tahir telah melahirkan karya-karya yang meliputi beberapa bidang. Yang paling penting dari sudut Falak Syar'i ialah kitab Natijatul'Umur (diterbitkan pada tahun 1357 H./ 1936 M.) iaitu kira-kira untuk Taqwim Hijrah dan persamaannya dengan Taqwim Miladi (Masehi), hala kiblat, dan waktu solat untuk sepanjang zaman; dan Kitab Jadual Pati Kiraan iaitu panduan untuk menentukan waktu solat dan arah kiblat berserta logarithms untuk mengiranya (diterbitkan pada tahun 1362 H./ 1941 M.).

Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki Al-Azhari telah kembali ke rahmatullah pada pagi Jumaat 21 Rabiulawal 1377 (bersamaan 26 Oktober 1956) pada usia 87 tahun, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Baru, Kuala Kangsar, Perak. Jabatan Muzium Negara Malaysia telah mengistiharkan tempat pemakaman beliau sebagai makam bersejarah untuk memperingati jasa beliau. Kini Kerajaan Negeri Pulau Pinang menamakan sebuah Pusat Observatori di Pantai Acheh Pulau Pinang sebagai Pusat Falak Sheikh Tahir, bagi memperingati peranan dan ketokohan beliau dalam bidang Falak.

Penghormatan sunting

Pusat Falaq Sheikh Tahir yang mengambil sempena nama beliau yang terletak di Pantai Acheh Pulau Pinang tempat cerapan hilal dan kajian falaq oleh USM.


Rujukan sunting

  • Syeikh Tahir Jalaluddin Al-Azhari - Ahli falak dunia Melayu.
  • Jabatan Agama Islam Pulau Pinang
  • Cenderamata Majlis Memperingati Tokoh/ Ulama Islam Silam 1976/ 77 Sheikh Tahir Jalaluddin (1869-1956) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (21 Februari 1977).
  • Hamdan Hassan. Sheikh Tahir Jalaluddin, Pelopor Pembaharuan Pemikiran Islam di Malaysia. Dalam Dewan Bahasa, 1973, 405-419.
  • Mohd. Sarim Mustajab. Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Falaki: Pelopor Gerakan Isiah Islamiyah di Tanah Melayu. Dalam Malaysia in History. vol 20, no.2 (December 1977). 1-11.
  • Raja Mohd. Affandi. Sheikh Taliir Al-Azhari, Pemimpin Reformis Islam. Dalam Dewan Masyarakat, Januari 1977, 35-37.
  • Temubual dengan T.Y.T. Tun Dato'Seri (Dr.) Haji Hamdan bin Sheikh Tahir; pada 16 dan 20 September 1991 (bersamaan 8 dan 12 Rabiulawal 1412 H.) di "Seri Mutiara", Pulau Pinang.