Pulau Pinang
Pulau Pinang (Jawi: ڤولاو ڤينڠ) merupakan negeri di Malaysia dan merupakan sebahagian daripada Negeri Kedah sebelum diambil oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) dan dijadikan tanah jajahan Mahkota British. Negeri ini terbahagi kepada dua bahagian oleh Selat Melaka (lihat peta) iaitu seberang pulau dan Seberang Perai dengan adanya jambatan dan feri di laut Prai, Glugor dan Bagan Dalam. Negeri ini juga merupakan petempatan British yang pertama di Semenanjung Malaysia dan satu-satunya negeri yang berpisah dua belah di Malaysia.
Pulau Pinang ڤولاو ڤينڠ | |
---|---|
Pulau Pinang Pulau Mutiara ڤولاو ڤينڠ ڤولاو موتيارا | |
Moto: Bersatu dan Setia | |
Lagu: Untuk Negeri Kita | |
![]() | |
Koordinat: 05°24′09″N 100°21′54″E / 5.40250°N 100.36500°EKoordinat: 05°24′09″N 100°21′54″E / 5.40250°N 100.36500°E | |
Negara | Malaysia |
Ibu negeri | George Town, Pulau Pinang |
Bandar terbesar | Seberang Perai |
Kerajaan | |
• Jenis | Sistem berparlimen |
• Yang di-Pertua Negeri | Ahmad Fuzi Abdul Razak |
• Ketua Menteri | Chow Kon Yeow |
Luas | |
• Jumlah | 1,048 km2 (405 batu persegi) |
Paras tertinggi | 833 m (2,733 ft) |
Penduduk (2020)[2] | |
• Jumlah | 1,740,405 |
• Kepadatan | 1,659/km2 (4,300/batu persegi) |
Indeks Pembangunan Manusia | |
• IPM (2018) | ▲ 0.838 sangat tinggi [3] |
Zon waktu | UTC+08:00 (WPM) |
Poskod | |
Kod panggilan | 04 |
Huruf pertama plat kenderaan | P |
Laman web | www |
Nama Pulau Pinang ini diambil daripada nama pokok pinang (areca catechu). Ia juga dipanggil Tanjung Bidara sebelum dikenali Pulau Pinang. Terdapat banyak pantai terletak di Pulau Pinang.
Laporan Sosioekonomi Negeri 2017 yang diterbitkan pada 26 Julai 2018 melaporkan bahawa Pulau Pinang mempunyai KDNK per kapita sebanyak RM49,873 pada 2017.[4]
Negeri Pulau Pinang juga merupakan negeri majoriti penduduk Cina di Malaysia. Di sini juga menjadi Chinatown utama negara Malaysia.
Asal-usul nama
Pulau Pinang pada awalnya dikenali sebagai Pulau Ka Satu. Seorang pelayar yang bernama Ragam menamakannya sedemikian kerana inilah satu-satunya pulau besar yang terasing yang ditemui beliau sewaktu berulang-alik berdagang dari Lingga ke Kedah. Nama Pulau Ka Satu terus digunakan sehinggalah namanya diubah kepada Pulau Pinang disebabkan banyaknya pokok pinang yang tumbuh di pulau itu.[5]
Sejarah
Bukti arkeologi menunjukkan Pulau Pinang dan Seberang Perai telah\ dihuni sejak zaman prasejarah lagi. Bukti pertama prasejarah negara ditemui di Guar Kepah, Seberang Perai pada tahun 1860. Berdasarkan timbunan cengkerang kepah dan kerang yang di dalamnya ditemui rangka manusia dengan alat batu, manik, pecahan tembikar dan sisa makanan, dijangkakan tapak di Guar Kepah ini berusia sekurang-kurangnya sekitar 3,000 hingga 4,000 tahun. Manakala penemuan alat batu beliung di beberapa tempat di Pulau Pinang merupakan merupakan bukti Neolitik iaitu bukti dari era pertanian yang awal yang dijangkakan berusia sekurang-kurangnya 5,000 tahun yang lalu.
Antara pedagang berbangsa Inggeris yang paling awal menemui Pulau Pinang ialah Kapten James Lancaster. Kapal The Edward Bonaventure milik pedagang tersebut adalah di antara tiga kapal yang dihantar oleh Britain dalam misi perdagangan ke Hindia Timur pada tahun 1591. Berdasarkan catatan pelayaran kapten tersebut, beliau menemui Pulau Pinang selepas singgah beberapa bulan di Pulau Rimau yang terletak di selatan Pulau Pinang pada bulan Jun 1593. Dalam perjalanan meninggalkan Pulau Rimau itulah beliau menemui Pulau Pinang yang kelihatan tidak berpenghuni.
Satu daftar ukur tanah dan kawasan yang bertarikh 1795 menyebut kawasan Datok Keramat telahpun dihuni sejak tahun 1705 berdasarkan penemuan kawasan perkampungan orang Melayu dan tanah perkuburan seluas 18 ekar di kawasan tersebut. Penempatan-penempatan juga turut dibuka oleh orang Melayu di Batu Uban, Sungai Kluang dan beberapa kawasan lain. Di Seberang Perai pula, sewaktu diambil alih oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1800, masih dipenuhi hutan dengan penduduknya dianggarkan berjumlah antara 2 hingga 3 ribu orang.[5]
Pulau Pinang yang pada asalnya kepunyaan Kesultanan Kedah, dipajak kepada Syarikat Hindia-Timur British (SHTI) pada 1786 oleh Sultan Muhammad Jiwa, Sultan Kedah, sebagai gantian untuk mendapat perlindungan pihak British daripada serangan Siam dan Burma. Pada 11 Ogos 1786, Kapten Francis Light, yang dikenali sebagai pengasas Pulau Pinang, menamakan pulau itu sebagai Pulau Prince of Wales sempena nama Raja Muda Britain. Penempatan di Tanjung Penaga yang terletaknya di hujung timur laut pulau dinamakan "Georgetown", iaitu nama Raja George III dari Britain.
Kedudukan pulau di permulaan Selat Melaka telah membangkit minat Syarikat Hindia-Timur British untuk menggunakannya sebagai sebuah pelabuhan untuk kapal-kapal perdagangan dan juga sebagai sebuah pangkalan tentera laut.
Tanpa pengetahuan Sultan Muhammad Jiwa, Light telah membuat perjanjian pemberian perlindungan askar tanpa kebenaran Syarikat Hindia-Timur British. Apabila syarikat gagal dalam membantu Kedah sewaktu ia diserang oleh Siam, Sultan Kedah cuba mengambil kembali pulau pada 1790. Malangnya, pencubaan itu gagal dan Sultan Muhammad Jiwa terpaksa menyerahkan hak kepada syarikat itu dengan hanya bayaran kehormat sebanyak 6,000 dolar Sepanyol setahun. Bayaran ini dinaikkan kepada 10,000 dolar kemudian, dengan penyerahan Seberang Perai (Province Wellesley) pada 1800. Sehingga hari ini, pembayaran diteruskan oleh kerajaan pusat Malaysia yang membuat pembayaran kepada negeri Kedah tetapi telah dinaikkan sebanyak Ringgit Malaysia, 10 juta pada tahun 2018.
Pada 1826, negeri Pulau Pinang, bersama-sama dengan Melaka dan Singapura, menjadi sebahagian Negeri Selat di bawah pentadbiran British di India. Negeri ini menjadi tanah jajahan pemerintahan British pada tahun 1867. Pada 1946, Pulau Pinang menjadi sebahagian Malayan Union, sebelum menjadi sebuah negeri di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan Pulau Pinang menjadi salah satu daripada 13 negeri di dalam Persekutuan Malaysia sewaktu penubuhannya pada tahun 1963.
Pulau Pinang ialah sebuah pelabuhan bebas sehingga 1969. Walaupun kehilangan taraf pelabuhan bebas, zon perdagangan bebasnya yang terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di selatan pulau menjadi salah satu daripada pusat-pusat perkilangan elektronik yang terbesar di Asia dari 1970-an sehingga akhir 1990-an.
Pada tahun 2004, ketidakpuasan terhadap kemerosotan ekonomi Pulau Pinang telah mengakibatkan kempen media untuk mengembalikannya kepada zaman kegemilangannya.
Geografi
Pulau Pinang merupakan salah satu daripada 13 negeri di Malaysia. Terletak di persisiran barat laut Semenanjung Malaysia, bersempadan dengan negeri Kedah di sebelah utara dan timur, negeri Perak di sebelah selatan dan perairan Selat Melaka di sebelah barat. Pulau Pinang terdiri daripada bahagian pulau dan juga tanah besar yang dikenali sebagai Seberang Perai. Keluasan kawasan pulau adalah 285 kilometer persegi yang terpisah sepenuhnya daripada Seberang Perai. Kedua-dua bahagian dihubungkan dengan perkhidmatan feri dan Jambatan Pulau Pinang yang panjangnya 13.5 kilometer.
Iklim
Suhu (siang) | 27°C-30°C |
Suhu (malam) | 22°C-24°C |
Curahan hujan | 2670 mm |
Kelembapan | 70%-90% |
Data iklim untuk Pulau Pinang | |||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Bulan | Jan | Feb | Mac | Apr | Mei | Jun | Jul | Ogo | Sep | Okt | Nov | Dis | Tahun |
Purata tinggi °C (°F) | 31.6 (88.9) |
32.2 (90) |
32.2 (90) |
31.9 (89.4) |
31.6 (88.9) |
31.4 (88.5) |
31.0 (87.8) |
30.9 (87.6) |
30.4 (86.7) |
30.4 (86.7) |
30.4 (86.7) |
30.7 (87.3) |
31.2 (88.2) |
Purata rendah °C (°F) | 23.2 (73.8) |
23.5 (74.3) |
23.7 (74.7) |
24.1 (75.4) |
24.2 (75.6) |
23.8 (74.8) |
23.4 (74.1) |
23.4 (74.1) |
23.2 (73.8) |
23.3 (73.9) |
23.3 (73.9) |
23.4 (74.1) |
23.5 (74.3) |
Curahan hujan mm (inci) | 68.7 (2.705) |
71.7 (2.823) |
146.4 (5.764) |
220.5 (8.681) |
203.4 (8.008) |
178.0 (7.008) |
192.1 (7.563) |
242.4 (9.543) |
356.1 (14.02) |
383.0 (15.079) |
231.8 (9.126) |
113.5 (4.469) |
2,407.6 (94.787) |
Purata hari hujan (≥ 1.0 mm) | 5 | 6 | 9 | 14 | 14 | 11 | 12 | 14 | 18 | 19 | 15 | 9 | 146 |
Jam cahaya matahari | 248.0 | 234.5 | 235.6 | 225.0 | 204.6 | 201.0 | 204.6 | 189.1 | 162.0 | 170.5 | 183.0 | 207.7 | 2,465.6 |
Sumber #1: National Environment Agency | |||||||||||||
Sumber #2: Hong Kong Observatory[6] |
Pecahan kawasan pentadbiran
Negeri Pulau Pinang dibahagikan kepada 5 daerah dan 81 mukim.
Daerah di Pulau Pinang | |||
---|---|---|---|
Daerah | Keluasan (km2)[7] | Populasi (2020)[8] | Mukim |
Barat Daya | 174.87 | 237,735 | 22 |
Seberang Perai Selatan | 242.27 | 422,985 | 16 |
Seberang Perai Tengah | 237.8 | 339,132 | 21 |
Seberang Perai Utara | 267.74 | 183,996 | 16 |
Timur Laut | 126.4 | 556,557 | 6 |
Bandar Utama
Demografi
Tahun | Pend. | ±% |
---|---|---|
1970 | 776,124 | — |
1980 | 900,772 | +16.1% |
1991 | 1,064,166 | +18.1% |
2000 | 1,231,209 | +15.7% |
2010 | 1,526,324 | +24.0% |
2020 | 1,740,405 | +14.0% |
Sumber:[2] |
Mengikut bancian penduduk Malaysia 2020, jumlah penduduk di Pulau Pinang ialah seramai 1,740,405 orang majoritinya di daerah Timur Laut iaitu 32 peratus dari jumlah penduduk. 91.9 peratus daripada jumlah penduduk merupakan warganegara manakala selebihnya merupakan bukan warganegara.[2]
Etnik
Negeri Pulau Pinang mempunyai penduduk berbagai etnik terdiri daripada Melayu, Cina, India, bumiputera selain Melayu dan lain-lain. Pulau Pinang juga merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang majoriti penduduknya beretnik Cina. Namun, peratusan penduduk beretnik Cina di Pulau Pinang semakin berkurang.[2]
Etnik | % |
---|---|
Bumiputera | 44.7 |
Cina | 44.9 |
India | 9.7 |
Lain-lain | 0.6 |
Pulau Pinang juga mempunyai komuniti Yahudi dan Armenia, tetapi selepas Perang Dunia Kedua dan penubuhan negara Israel, komuniti Yahudi dan Armenia Pulau Pinang hampir lenyap. Terdapat juga komuniti peniaga Arab, Jerman, Inggeris, dan Belanda di Pulau Pinang, selain itu Pulau Pinang mempunyai golongan ekspatriat yang besar, kebanyakannya berasal dari United Kingdom, Australia, negara-negara Eropah, dan Jepun.
Agama
Pada tahun 2020, majoriti penduduk Pulau Pinang beragama Islam iaitu 45.5 peratus dari jumlah penduduk diikuti agama Buddha yang dianuti 37.6 peratus penduduk. Antara agama lain yang dianuti penduduk Pulau Pinang termasuklah agama Hindu dengan 8.4 peratus dan agama Kristian dengan 4.3 peratus. Sebanyak 1.7 peratus penduduk Pulau Pinang tidak beragama atau tidak diketahui status agamanya.[2]
Kerajaan negeri
Negeri Pulau Pinang mempunyai Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) sendiri, akan tetapi kuasanya terhad apabila dibandingkan dengan pihak berkuasa kerajaan pusat.
Sebagaimana dengan negeri-negeri Malaysia yang lain, Majlis Mesyuarat Kerajaan terdiri daripada ahli-ahli yang dilantik daripada parti politik yang menjadi kerajaan. Ketua Majlis Mesyuarat Kerajaan ialah Yang di-Pertua Negeri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia.
Pada Mei 2005, terdapat permintaan daripada ahli-ahli UMNO, parti politik yang terbesar dalam kerajaan campuran, untuk menggilirkan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang di antara parti-parti komponen Barisan Nasional, akan tetapi cadangan itu ditolak oleh Perdana Menteri.
Terdapat satu majlis bandaraya dan satu majlis perbandaran di Pulau Pinang, iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai. Ahli majlis tempatan dilantik oleh kerajaan negeri sejak Pilihan Raya Kerajaan Tempatan dibatalkan dalam tahun 1960-an.
Negeri Pulau Pinang dibahagikan kepada lima pembahagian pentadbiran:
- Pulau Pinang ditabir oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang
- Daerah Timur Laut
- Daerah Barat Daya
- Seberang Perai ditabir oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai
- Seberang Perai Tengah
- Seberang Perai Utara
- Seberang Perai Selatan
Kebudayaan dan ekonomi
Pulau Pinang, yang juga digelarkan sebagai "Mutiara Timur" (Pearl of the Orient), merupakan sebuah syurga bagi pencinta-pencinta makanan yang datang dari seluruh Malaysia dan Singapura untuk menikmati gaya masakan yang istimewa. Makanan Pulau Pinang yang membayangkan pergaulan di antara kaum Cina, Melayu dan India, juga dipengaruhi kuat oleh makanan Thailand. Pulau Pinang adalah termashyur dalam makanan penjaja yang dijual dan dimakan di tepi jalan, terutamanya makanan mi dan makanan laut.
Batu Ferringhi, yang terletaknya di pantai utara Pulau Pinang, mempunyai banyak hotel yang moden dan merupakan pantai peranginan yang amat popular. Ramai pelancong juga melawati Georgetown, sebuah bandar yang bersejarah dan yang mengandungi rumah-rumah pelbagai kaum, termasuk orang Cina Selat, Melayu dan India, yang dibina pada abad kesembilan belas. Bangunan-bangunan kolonial British boleh juga didapati diantara kuil-kuil Cina dan India, dan masjid orang Melayu Islam. Kuil Kek Lok Si di Air Itam, Rumah Besar Cheong Fatt Tze di bandar, dan Kuil Ular di Bayan Lepas merupakan destinasi pelancong yang masyhur. Salah satu daripada mercu tanda yang utama ialah bangunan KOMTAR, bangunan yang tertinggi di Pulau Pinang.
Kegiatan perdagangan di negeri Pulau Pinang telah merosot dengan hebat bukan sahaja disebabkan oleh kehilangan taraf pelabuhan bebas, tetapi juga kerana kemajuan yang aktif di Pelabuhan Klang berdekatan ibu negara Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, masih terdapatnya sebuah terminal kontena di Butterworth yang meneruskan perkhidmatannya disebelah utara.
Pada hari kini, negeri Pulau Pinang merupakan ekonomi yang ketiga terbesar di antara negeri-negeri Malaysia, iaitu selepas Selangor dan Johor. Sektor pengeluaran merupakan sektor terutama dalam ekonomi negeri dengan sumbangan sebanyak 45.9% kepada keluaran negeri kasar pada tahun 2000. Perkembangan industrialisasi di bahagian selatan pulau amat pesat, dengan banyak kilang elektronik teknologi tinggi (seperti Intel, AMD, Motorola, Agilent, Hitachi, Osram, Bosch dan Seagate) yang terletaknya di Zon Perindustrian Bebas Bayan Baru.
Sektor-sektor utama yang lain dalam ekonomi Pulau Pinang termasuk sektor pelancongan, kewangan dan lain-lain perkhidmatan.
Pengangkutan
Pulau Pinang dikaitkan dengan tanah besar Semenanjung Malaysia melalui Jambatan Pulau Pinang yang disiapkan pada tahun 1985. Dengan panjangnya sebanyak 13.5 kilometer, jambatan ini merupakan salah satu daripada jambatan yang terpanjang di wilayah Asia. Perkhidmatan feri masih disediakan di antara:
- Georgetown dan Butterworth (yang mana stesen keretapi yang terdekat ditempatkan) di tanah besar; dan
- Georgetown dan Pulau Langkawi, sebuah pulau peranginan di utara.
Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ditempatkan di selatan George Town dan memberi kemudahan penerbangan antarabangsa ke London, Hong Kong, Singapura, Medan, Taipei, Bangkok, Seoul, Riau, Xiamen, dan Guangzhou.
Beca masih lagi boleh didapati dibeberapa tempat di Georgetown. Walau bagaimanapun, dengan ketibaan pengangkutan moden, beca semakin menjadi daya tarikan utama kepada pelancong. Malangnya, pengangkutan moden telah membawa masalah kesesakan trafik kepada George Town, disebabkan kebanyakan jalan di pusat bandaraya terlalu sempit kerana ketiadaan perancangan yang baik.
Penduduk terkenal
Lihat juga
Rujukan
- ^ "Laporan Kiraan Permulaan 2010". Jabatan Perangkaan Malaysia. m/s. 27. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Julai 2011. Dicapai pada 24 Januari 2011.
- ^ a b c d e f g "Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". Jabatan Perangkaan Malaysia. 2020. m/s. 40. Dicapai pada 2022-03-30.
- ^ "| Human Development Reports". hdr.undp.org.
- ^ https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=d21BMHFxZFBIcFlCNExIYUQ1cE92Zz09
- ^ a b "Sejarah - Kerajaan Negeri Pulau Pinang". Dicapai pada 2022-03-31.
- ^ "Climatological Information for Penang, Malaysia". Hong Kong Observatory. Dicapai pada 2010-10-30.
- ^ "Kependudukan Pulau Pinang" (PDF). Jabatan Perangkaan Malaysia Pulau Pinang. 2020. m/s. 1. Dicapai pada 2022-03-31.
- ^ "Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". Jabatan Perangkaan Malaysia. 2020. m/s. 54. Dicapai pada 2022-03-30.
- The Penang Tourism Action Council. "The 'Light' Years and Beyond" (2005).