Shu Han (Hanzi: 蜀漢) (221 - 263) adalah sebuah negara yang didirikan oleh Liu Bei pada tahun 221, Zaman Tiga Kerajaan dalam sejarah China. Shu Han menuntut diri sebagai waris Dinasti Han yang ditamatkan oleh kerajaan Cao Wei. Liu Bei menjadi raja dengan gelaran Zhaoliedi (Hanzi: 昭烈帝). Dua tahun kemudian, Raja Zhaolie meninggal dan digantikan oleh anaknya, Liu Chan dengan gelaran Houzu (Hanzi: 後主).

Peta Tiga Kerajaan negara pada tahun 262 M

Raja Houzu adalah seorang raja yang tidak cekap. Empat puluh tahun kemudian, baginda menyerah tanpa syarat kepada kerajaan Cao Wei dan Zaman Shu Han berakhir secara rasmi.

Sejarah

sunting

Semasa kemerosotan Dinasti Han, Liu Bei, saudara jauh kepada maharaja, mengumpulkan banyak orang yang berupaya dan dengan nasihat Zhuge Liang, mula-mulanya menaklukkan sebahagian kota Jingzhou dan kemudiannya, Yizhou dan Hanzhong. Daripada wilayah-wilayah ini, beliau memantapkan kedudukannya di China pada tahun-tahun terakhir Dinasti Han.

Pada tahun 219, Lü Meng dari Wu menyerang dan menaklukkan Jingzhou, dengan Guan Yu, jeneral yang setia kepada Liu Bei, dihukum mati oleh askar-askar Wu. Selepas Cao Pi dari Wei merampas takhta daripada Maharaja Xian pada tahun 220 dan mengisytiharkan Dinasti Wei, Liu Bei mengisytiharkan diri sebagai bakal maharaja Han dan raja China yang sebenar. Walaupun Liu Bei sering dianggap sebagai pengasas "Dinasti Shu Han", beliau sendiri tidak pernah menuntut diri sebagai pengasas dinasti yang baru. Sebaliknya, beliau menuntut diri sebagai hanya meneruskan warisan maharaja-maharaja Han yang lebih awal.

Pada tahun 222, pertempuran utama yang pertama dalam Zaman Tiga Kerajaan bermula. Liu Bei menyerang Kerajaan Wu dengan melebihi 40,000 orang askar dalam Pertempuran Yiling untuk membela kematian jeneralnya, Guan Yu. Bagaimanapun, akibat kesilapan taktik yang teruk, barisan kemnya dibakar sama sekali dan sebahagian besar angkatan tenteranya dihapuskan. Walaupun demikian, Liu Bei terselamat dan melarikan diri ke Baidi, akan tetapi setahun kemudian, beliau jatuh sakit dan meninggal dunia di sana. Beliau diwarisi oleh anak lelakinya, Liu Shan.

Zhuge Liang, Canselor Shu, berdamai dengan Wu sebagai ganti untuk membalas dendam kerana memutuskan bahawa penaklukan Cao Wei adalah jauh lebih penting. Mengikut jangkaannya, beliau bukan sahaja dapat memperoleh tanah-tanah subur di utara tetapi juga dapat menggulingkan kerajaan Wei serta memulihkan Dinasti Shu-Han. Sungguhpun beliau membuat banyak serangan di utara, beliau gagal setiap kali dan akhirnya mati, akibat penyakit, semasa percubaannya yang ketujuh. Jiang Wei, pewarisnya, juga mencuba banyak kali tetapi diundurkan setiap kali. Usaha-usaha ini untuk menaklukkan Wei menghabiskan sumber-sumber dan bakat-bakat ketenteraan Shu yang akhirnya membawa kepada kejatuhannya.

Pada tahun 263, Wei mengambil kesempatan daripada kelemahan Shu untuk menyerang. Strategi-strategi yang bijak oleh Zhong Hui dan Deng Ai, jeneral-jeneral dari Wei, menyebabkan penaklukan Hanzhong yang pantas serta yang kemudian, Chengdu, ibu kotanya. Jiang Wei menyerah kalah kepada Zhong Hui dan mencuba menghasut Zhong Hui supaya memberontak terhadap Deng Ai, dengan harapan untuk memulihkan Shu Han apabila tertimbul huru-hara yang menyusul, lalu memulihkan Maharaja Liu Shan. Bagaimanapun, rancangannya gagal dan beliau dibunuh, bersama-sama dengan Zhong Hui dan Deng Ai, oleh askar-askar mereka. Selepas itu, Maharaja Liu Shan dihantar ke Luoyang, ibu kota Wei, dan di sana baginda dianugerahkan dengan gelaran Duke Anle (安樂公) (secara ironi, Anle mempunyai sebutan yang tepat sama dengan 'keselesaan') dan dibenarkan bersara dengan aman.

Walau bagaimanapun, Shu bukan sahaja sebuah negara perang. Pada masa keamanan, Shu memulakan banyak projek pembinaan pengaliran dan jalan raya yang bertujuan untuk memperbaik ekonomi Shu. Banyak daripada kerja raya itu masih wujud dan digunakan secara meluas. Misalnya, Empangan Sembilan Batu masih wujud berhampiran dengan Chengdu di provinsi Sichuan. Kerja-kerja raya ini membantu memperbaik ekonomi China Barat Daya dan boleh diberikan penghargaan kerana memulakan sejarah kegiatan ekonomi di kawasan Sichuan.

Tokoh-tokoh

sunting

Lihat juga

sunting