Zaman Tiga Kerajaan (Cina Tradisional: 三國, Cina Ringkas: 三国, pinyin: Sānguó) ialah sebahagian zaman Enam Dinasti yang merupakan zaman perpecahan dalam sejarah China. Dengan erti kata ilmiah yang sebenar, ia merujuk kepada tempoh enam puluh tahun antara pengasasan Kerajaan Wei pada tahun 220 sehingga penaklukan Kerajaan Wu oleh Dinasti Jin pada tahun 280. Bagaimanapun banyak orang, termasuk ahli-ahli sejarah China, mengundurkan titik permulaan zaman ini sehingga Pemberontakan Serban Kuning pada tahun 184.

Sejarah China
Sejarah China
Sejarah China
PURBA
3 Tokoh Mulia & 5 Maharaja
Dinasti Xia 2100–1600 BCE
Dinasti Shang 1600–1046 BCE
Dinasti Zhou 1045–256 BCE
 Zhou Barat
 Zhou Timur
   Zaman Musim Bunga dan Musim Luruh
   Zaman Negara Berperang
Maharaja
Dinasti Qin 221 BCE–206 BCE
Dinasti Han 206 BCE–220 CE
  Han Barat
  Dinasti Xin
  Han Timur
Tiga Kerajaan 220–280
  Wei, Shu & Wu
Dinasti Jin 265–420
  Jin Barat 16 Kerajaan
304–439
  Jin Timur
Dinasti-dinasti Utara & Selatan
420–589
Dinasti Sui 581–618
Dinasti Tang 618–907
  ( Zhou Kedua 690–705 )
5 Dinasti &
10 Kerajaan

907–960
Dinasti Liao
907–1125
Dinasti Song
960–1279
  Song Utara Xia Barat
  Song Selatan Jin
Dinasti Yuan 1271–1368
Dinasti Ming 1368–1644
Dinasti Qing 1644–1911
MODEN
Republik China 1912–1949
Republik Rakyat China
1949–kini
Republik
China

(Taiwan)
1945–kini

Ketiga-tiga kerajaan itu ialah:

Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dengan negeri-negeri yang lain dalam sejarah China yang mempunyai nama yang sama, ahli-ahli sejarah telah menambahkan askara awalan pada nama masing-masing seperti yang berikut:

Istilah "Tiga Kerajaan" pada dirinya merupakan suatu salah terjemahan kerana setiap negeri itu kemudian diketuai bukan oleh raja, tetapi oleh seorang Maharaja yang menuntut diri sebagai pewaris Dinasti Han yang sah. Walaupun begitu, istilah "Tiga Kerajaan" telah menjadi suatu istilah piawai di kalangan ahli-ahli kaji Cina.

Bahagian awal tempoh yang "tidak rasmi" antara tahun 190 dan tahun 220 ditandakan oleh persaingan huru-hara sesama diri antara hulubalang-hulubalang di merata-rata kawasan di China. Bahagian pertengahan tempoh antara tahun 220 dan tahun 263 ditandakan oleh penyusunan ketenteraan yang lebih stabil antara tiga buah negeri pesaing, iaitu Kerajaan Wei (魏), Kerajaan Shu (蜀), dan Kerajaan Wu (吳). Bahagian akhir tempoh ini ditandakan oleh kejatuhan ketiga-tiga negeri: pertamanya, pemusnahan Shu oleh Wei (263), dan kemudiannya penggulingan Wei serta pemusnahan Wu oleh Dinasti Jin masing-masing pada tahun 265 dan tahun 280.

Walaupun Zaman Tiga Kerajaan agak singkat, zaman sejarah ini telah diolah secara romantik dalam kebudayaan-kebudayaan China, Jepun, Korea, dan Vietnam. Ia telah diraikan dan dipopularkan oleh opera, budaya rakyat, novel dan lebih terkini, oleh filem, siri televisyen serta permainan video. Yang paling terkenal ialah Hikayat Tiga Kerajaan, sebuah huraian cereka tentang zaman ini yang banyak mendasarkan sejarah. Rekod sejarah yang berwibawa tentang zaman ini ialah karya Sanguo Zhi oleh Chen Shou, bersama-sama anotasi Pei Songzhi yang kemudian untuk teks tersebut.

Zaman Tiga Kerajaan merupakan zaman yang paling berdarah dalam sejarah Cina. Walaupun banci yang diadakan pada akhir Dinasti Han Timur melaporkan jumlah penduduk sebanyak kira-kira 56 juta orang, banci yang diadakan pada awal dinasti Jin Barat (selepas Jin menyatukan China) hanya melaporkan jumlah penduduk sebanyak 16 juta orang, suatu pengurangan sebanyak 40 juta orang atau kira-kira 71%. Dengan perbezaan sebegitu besar, walau jika ketidaktepatan laporan-laporan banci diambil kira, adalah selamat untuk menyimpulkan bahawa sebahagian besar penduduk Cina telah dihapuskan semasa perang-perang yang tetap pada sepanjang zaman ini.

Walaupun (atau mungkin juga disebabkan oleh) perpecahan politik pada zaman ini, terdapat kemajuan-kemajuan teknologi yang amat terkenal. Lembu kayu yang direka oleh Zhuge Liang telah disarankan sebagai perintis kereta sorong. Dalam Kerajaan Wei, terdapat Ma Jun, jurutera jentera yang bijak yang telah dianggap oleh banyak orang sebagai setaraf dengan pendahulunya, Zhang Heng. Ma Jun ialah pereka:

Kejatuhan kuasa dinasti

sunting
 
Tiga Kerajaan pada tahun 262 sebelum penaklukan Shu.

Apa yang dianggap secara tradisi sebagai permulaan Zaman Tiga Kerajaan yang "tidak rasmi" ialah Pemberontakan Serban Kuning yang diketuai oleh Zhang Jiao pada tahun 184. Pemberontakan selama setahun itu memusnahkan China Utara, apabila Jalan Keamanan, mazhab agama Zhang, bertempur dengan angkatan tentera Empayar Han yang lemah di bawah He Jin. Jalan Keamanan  terdiri terutamanya daripada petani-petani yang amat terjejas di bawah sistem pemerintahan yang korup dan oleh itu, mudah dipengaruhi oleh gagasan Zhang Jiao tentang sebuah "dunia yang baru dan aman". Pemberontakan itu tamat dengan kematian Zhang Jiao, akibat penyakit, tetapi huru-hara yang ditimbulkan oleh pemberontakan, bersama dengan bencana alam yang melanda China pada tempoh yang sama, menyahstabilkan Dinasti Han dan mentakdirkan kejatuhannya. Pemberontakan itu juga menyebabkan kerajaan pusat memberikan lebih banyak kuasa ketenteraan kepada kerajaan-kerajaan tempatan yang kemudian menjadi salah satu punca zaman peperangan yang menyusul.

Rentetan peristiwa yang mengakibatkan kejatuhan kuasa dinasti dan kebangkitan Cao Cao adalah amat rumit. Kemangkatan Maharaja Ling pada Mei 189 mengakibatkan sebuah keregenan yang tidak stabil di bawah Jeneral Agung He Jin serta pembaharuan persaingan antara puak-puak sida-sida dengan birokrasi awam. Selepas pembunuhan He Jin, Kolonel-Leftenan Retainer Yuan Shao, sekutu utamanya, mengetuai sebuah pembunuhan beramai-ramai sida-sida di dalam istana-istana empayar yang terletak di Luoyang, dan menyebabkan Dong Zhuo, jeneral sempadan, masuk ke kota itu dari sempadan barat laut China. Ketika itu, China sedang menghadapi puak Qiang, orang gasar yang kuat di bahagian timur laut dan oleh itu, angkatan tentera Dong Zhuo merupakan sebuah angkatan tentera elit yang terlatih. Ketika tiba di Luoyang, angkatan tenteranya menewaskan kedua-dua angkatan tentera di sana dengan mudah dan Dong Zhuo menguasai istana empayar. Peristiwa ini memulakan zaman perang saudara di seluruh China.

Dong Zhuo kemudian memanipulasikan pewarisan takhta supaya bakal Maharaja Xian boleh naik takhta sebagai ganti kepada abang tirinya. Sedangkan Dong Zhuo bercita-cita tinggi, beliau benar-benar menginginkan seorang maharaja yang lebih berupaya. Dalam suatu kejadian di Luoyang ketika beliau berhadapan dengan dua orang putera Maharaja Ling yang dilindungi oleh sepasukan askar yang kecil dan yang sedang melarikan diri dari kawasan perang, keangkuhan dan sikap mengancam Dong Zhuo mengakibatkan pewaris takhta yang sah menjadi kaku kerana ketakutan. Adik tirinya itu, bakal Maharaja Xian, kemudian membalas dengan tenang dan berkuasa, dan memerintah Dong Zhuo supaya melindingi keluarga diraja itu bersama pasukan askar mereka balik ke Istana Empayar.

Sedangkan Dong Zhuo pada asalnya hendak mengasaskan semula kuasa Empayar Han dan mengatasi semua pertikaian politik dengan wajar, keupayaan politiknya terbukti lagi teruk berbanding dengan kepimpinan ketenteraannya. Tingkah lakunya semakin ganas dan autoritarian, dan beliau menghukum mati atau membuang semua penentangnya, selain daripada menunjukkan kehormatan yang semakin kurang terhadap Maharaja. Beliau tidak mengendahkan semua etiket diraja dan kerap kali membawa senjata masuk ke istana empayar secara terbuka. Pada tahu 190, seangkatan tentera campuran yang diketuai oleh Yuan Shao dibentuk antara hampir semua pihak berkuasa di provinsi-provinsi timur untuk menentang Dong Zhuo. Tekanan yang semakin meningkat daripada kekalahan berulang kali di barisan hadapan selatan terhadap angkatan tentera Sun Jian memaksa Maharaja Han dan kemudiannya Don Zhou sendiri berundur ke Chang'an di barat pada Mei 191.

Dong Zhuo sekali lagi menunjukkan kelemahanan keupayaan politiknya dengan memaksa berjuta-juta penduduk Luoyang supaya berhijrah ke Chang'an. Beliau kemudian membakar Luoyang untuk mengelakkan pendudukan kota itu oleh musuh-musuhnya dan dengan itu, memusnahkan kota terbesar China pada masa itu. Selain itu, beliau juga memerintah askar-askarnya supaya membunuh dan memancung kepala semua penduduk di sebuah desa supaya dapat menayangnya di Chang'an sebagai hiasan kenang-kenangan perang, dan berpura-pura mencapai kemenangan perang yang cemerlang terhadap musuh-musuhnya. Setahun kemudian, Dong Zhuo dibunuh dalam sebuah rampasan kuasa oleh Wang Yun dan Lü Bu (anak angkat Dong Zhuo).

Kebangkitan Cao Cao

sunting

Pada tahun 191, terdapat perbualan antara hulubalang-hulubalang campuran untuk melantik Liu Yu, salah seorang saudara diraja, sebagai Maharaja, akan tetapi pihak-pihak tersebut kemudian mula bergaduh. Kebanyakan hulubalang dalam campuran itu cuba mempergunakan keadaan ketakstabilan untuk memperluas kuasa ketenteraan masing-masing, berbanding dengan benar-benar mengingini pemulihan kuasa Dinasti Han. Empayar Han dibahagikan antara sebilangan hulubalang daerah:

  • Yuan Shao menduduki kawasan utara Ye dan melalui muslihat serta ugutan, mengambil alih kawasan orang atasannya, Han Fu, di sebelah utara Sungai Kuning, manakala Gongsun Zan menduduki kawasan sempadan utara.
  • Cao Cao yang berada betul-betul di selatan Yuan Shao, melawan Yuan Shu dan Liu Biao yang masing-masing menduduki kawasan-kawasan lembangan Sungai Huai dan Yangzi Pertengahan.
  • Lebih jauh di selatan, Sun Ce, hulubalang muda, yang mengambil alih selepas kematian Sun Jian yang tiba-tiba, sedang mengasaskan pemerintahannya di Yangzi Bawah, walaupun sebagai seorang bawahan kepada Yuan Shu.
  • Di barat, Liu Zhang menaklukkan provinsi Yizhou, manakala Hanzhong dan kawasan-kawasan barat laut China dikuasai oleh berbagai-bagai hulubalang yang lebih kecil, seperti Ma Teng dari Xiliang (kubu asal Dong Zhuo).

Dong Zhuo yang terlalu yakin akan kejayaan diri dibunuh oleh Lü Bu, anak angkatnya. Lü Bu yang kemudiannya diserang pula oleh Li Jue and Guo Si, kedua-duanya penyokong Dong Zhuo, melarikan diri ke kawasan Zhang Yang, salah seorang hulubalang utara. Beliau melindungi diri di sana buat tempoh yang singkat sebelum menyertai Yuan Shao, tetapi Lü Bu jelas terlalu berdikari untuk menjadi orang bawahan kepada sesiapa pun.

Pada Ogos 195, Maharaja Xian melarikan diri daripada kezaliman Li Jue di Chang'an dan membuat perjalanan yang berbahaya selama setahun ke arah timur untuk mencari-cari sokongan. Menjelang tahun 196 ketika baginda disambut oleh Cao Cao, kebanyakan pesaing yang lebih kecil telah diserap oleh kuasa-kuasa yang lebih besar ataupun dimusnahkan sama sekali. Xun Yu, penasihat utama Cao Cao, menasihatinya supaya menyokong Maharaja Xian yang merupakan maharaja yang sah kerana dengan berbuat demikian, beliau akan dapat menguasai hulubalang-hulubalang yang lain serta memaksa mereka mematuhi perintahnya atas nama pemulihan dinasti Han. Ini merupakan suatu langkah yang amat penting kepada Cao Cao.

Cao Cao yang kawasan penguasaannya merupakan perintis Kerajaan Wei mengerahkan seangkatan tentera pada musim sejuk tahun 189. Melalui beberapa pergerakan dan pertempuran yang strategik, beliau menguasai provinsi Dui dan menewaskan beberapa puak pemberontak Serban Kuning. Disebabkan oleh kejayaannya itu, beliau disertai oleh angkatan-angkatan tentera tempatan di bawah Zhang Miao dan Chen Gong dan dengan itu, buat pertama kali membentuk sebuah angkatan tentera yang benar-benar besar. Cao Cao meneruskan usahanya dan menyerap ke dalam tenteranya lebih kurang 300,000 ahli Serban Kuning serta sebilangan kumpulan tentera berasaskan suku kaum, khususnya di sebelah timur provinsi Qing. Pada tahun 196, beliau mengasaskan sebuah istana di Xuchang dan mengembangkan perkampungan-perkampungan pertanian ketenteraan (tuntian ) untuk membiayai tenteranya. Walaupun sistem itu mengenakan cukai yang berat (40% hingga 60% daripada hasil tanaman) ke atas petani-petani upahan, kesemua petani itu masih berasa gembira kerana dapat bekerja di bawah keadaan yang agak stabil pada masa yang huru-hara kerana diperlindungi oleh tentera yang profesional. Langkah ini kemudian dikatakan merupakan dasar utama Cao Cao yang kedua yang memberikan kejayaan kepadanya.

Pada tahun 194, Cao Cao bertempur dengan Tao Qian dari Xuzhou. Walaupun Tao Qian menerima bantuan daripada Liu Bei dan Gongsun Zan, angkatan tentera Cao Cao kelihatan akan menakluki seluruh kawasan Xuzhou. Nasibnya, Cao Cao berundur selepas menerima berita bahawa Lü Bu telah menawan provinsi Yan semasa ketiadaannya. Dengan itu, permusuhan antara Cao Cao dengan Tao Qian dihentikan buat sementara. Tao Qian maut pada tahun yang sama, dan meninggalkan provinsinya kepada Liu Bei. Setahun kemudian pada tahun 195, Cao Cao berjaya menyingkirkan Lü Bu dari Yan. Lü Bu melarikan diri ke Xuzhou dan diterima oleh Liu Bei, dengan sebuah perikatan yang tidak berapa teguh dimulakan.

Di selatan, Sun Ce, ketika itu seorang jeneral yang bebas di bawah perkhidmatan Yuan Shu, menewaskan para hulubalang dari Yangzhou, termasuk Liu Yao, Wang Lang, dan Yan Baihu. Kecepatan penaklukan-penaklukannya menyebabkannya diberikan nama samaran "Dipertuan Kecil" (小霸王), suatu rujukan kepada mendiang Xiang Yu. Pada tahun 197, Yuan Shu yang berselisih faham dengan Cao Cao, Yuan Shao, dan Liu Bei, berasa yakin akan kejayaannya kerana penaklukan-penaklukan orang bawahannya itu. Oleh itu, beliau mengisytiharkan diri sebagai maharaja Dinasti Cheng. Malangnya, langkah itu merupakan suatu kesilapan besar dari segi taktik kerana ia mengakibatkan kemarahan banyak hulubalang, termasuk juga Sun Ce, orang bawahan Yuan Shu, yang menasihatinya supaya tidak berbuat demikian. Cao Cao memerintah Sun Ce supaya menyerang Yuan Shu. Sun Ce mematuhi perintahnya, tetapi meyakinkan Cao Cao supaya membentuk sebuah tentera campuran terhadap Yuan Shu terlebih dahulu, dengan Liu Bei dan Lü Bu merupakan sekutu. Diserang dari semua arah, Yuan Shu ditewaskan dan melarikan diri.

Lü Bu akhirnya mengkhianati Liu Bei dan menawan Xuzhou, selepas mengikat perikatan dengan saki-baki tentera Yuan Shu. Liu Bei melarikan diri ke kawasan Cao Cao dan diterimanya. Tidak lama kemudian, persediaan dibuat untuk menyerang Lü Bu. Angkatan tentera gabungan Cao Cao dan Liu Bei mengepung kota Pizhou, dengan pegawai-pegawai Lü Bu meninggalkannya. Angkatan tentera Yuan Shu tidak dapat datang untuk membantu kerana Yuan Shu pada dirinya diikat oleh askar-askar sendiri dan dibunuh bersama-sama banyak pegawainya yang lain. Oleh itu, lelaki yang dikenali sebagai hulubalang teragung tidak ada lagi.

Pada tahun 200, Dong Cheng, seorang pegawai Istana Empayar, menerima edik sulit daripada Maharaja Xian untuk membunuh Cao Cao. Dong Cheng bekerjasama dengan Liu Bei dalam usaha ini tetapi tidak lama kemudian, Cao Cao mendapat tahu tentang komplot itu dan menghukum mati Dong Cheng serta subahat-subahatnya. Hanya Liu Bei dapat hidup dan melarikan diri ke kawasan Yuan Shao di utara.

Selepas menyelesaikan hal-ehwal dalaman dengan istana, serta mengatasi provinsi-provinsi yang berjiran, termasuk sebuah pemberontakan yang diketuai oleh bekas ahli-ahli Serban Kuning, Cao Cao mengalihkan perhatiannya ke arah Yuan Shao di utara yang telah membunuh pesaing utaranya, Gongsun Zan, pada tahun yang sama. Yuan Shao yang berasal daripada golongan bangsawan yang lebih tinggi daripada Cao Cao, mengumpulkan seangkatan tentera yang besar dan berkhemah di tebing utara Sungai Kuning.

Pada tahun 200, selepas memenangi sebuah pertempuran yang muktamad terhadap Liu Biao di Shaxian serta menghancurkan pemberontakan-pemberontakan Xu Gong dan orang-orang lain, Sun Ce dicederakan oleh sebatang anak panah dan mengalami cedera parah. Pada saat-saat menghadapi kematian, beliau menamakan adiknya, Sun Quan, sebagai pewaris.

Selepas berbulan-bulan merancang, Cao Cao dan Yuan Shao bertemu secara besar-besaran di Guandu. Mengatasi bilangan askar Yuan yang jauh lebih tinggi (bilangan sebenar berbeza-beza, tetapi kenyataan bahawa Yuan Shao mempunyai jauh lebih banyak askar telah diterima secara sejagat), Cao Cao menewaskannya dengan muktamad dengan membakar bekalannya dan dengan itu, melumpuhkan angkatan tentera utara. Banyak askar Yuan Shao dibunuh, tetapi Liu Bei dapat melarikan diri ke kawasan Liu Biao di provinsi Jing.

Pada tahun 202, Cao Cao mengambil kesempatan daripada kematian Yuan Shao serta perpecahan yang menyusul antara anak-anaknya untuk membuat kemaraan ke sebelah utara Sungai Kuning. Beliau menawan Ye pada tahun 204, dan menduduki provinsi-provinsi Ji, Bing, Qing, dan You. Menjelang akhir tahun 207, selepas sebuah serangan kilat terhadap puak gasar Wuhuan, Cao Cao mencapai keunggulan yang tidak dapat dipertikaikan di Dataran China Utara.

Cenuram Merah dan akibatnya

sunting
 
Tapak tradisi Cenuram Merah.

Pada tahun 208, tentera Cao Cao mara ke selatan dengan harapan untuk menyatukan empayar dengan cepat. Liu Cong, anak lelaki Liu Biao, menyerahkan wilayah Jing, dengan Cao Cao juga menangkap sebuah armada yang besar di Jiangling.

Bagaimanapun, Sun Quan, pewaris Sun Ce di Yangzi Bawah, masih terus menentang. Penasihatnya Lu Su mengikat perikatan dengan Liu Bei yang baru-baru ini melarikan diri dari utara. Zhou Yu, saudara sejati Sun Ce, dilantik untuk mengetuai angkatan tentera laut Sun Quan, bersama dengan Cheng Pu, pegawai veteran daripada keluarga Sun. Angkatan campuran mereka sebanyak 50,000 orang askar bertemu dengan armada serta 200,000 orang askar Cao Cao di Cenuram Merah (juga dikenali sebagai Chi Bi) pada musim sejuk tahun itu.

Selepas sebuah pertempuran permulaan yang kecil, suatu rancangan untuk membakar armada Cao Cao dijalankan untuk mengenakan kekalahan yang muktamad pada Cao Cao. Kejayaan rancangan itu memaksa Cao Cao berundur dalam keadaan kucar-kacir ke utara, dan membekalkan asas kepada negeri Shu dan Wu.

Selepas kepulangannya ke utara pada tahun 211, Cao Cao memuaskan diri dengan penyerapan kawasan-kawasan barat laut serta pengukuhan kuasanya. Beliau beransur-ansur menambahkan kuasa dan gelarannya, dan akhirnya menjadi Putera Wei pada tahun 217, suatu gelaran yang dianugerahinya oleh maharaja boneka Han yang dikuasainya.

Liu Bei, setelah menewaskan hulubalang-hulubalang Jing yang lemah, iaitu Han Xuan, Jin Xuan, Zhao Fan, dan Liu Du, masuk ke wilayah Yi, dan kemudian pada tahun 214 menggantikan Liu Zhang sebagai raja. Guan Yu, komandernya, ditinggalkan untuk mengetuai wilayah Jing.

Sun Quan yang pada tahun-tahun berselang terlibat dalam pertahanan Hefei di tenggara terhadap Cao Cao, kini mengalihkan perhatiannya kepada wilayah Jing dan Yangzi Tengah. Ketegangan antaranya dengan Liu Bei, sekutunya, semakin ketara. Pada tahun 219, selepas Liu Bei berjaya menawan Hanzhong daripada Cao Cao dan ketika Guan Yu terlibat dalam pengepungan Fancheng, Lü Meng yang merupakan panglima agung kepada Sun Quan secara rahsia menawan provinsi Jing serta menangkap dan membunuh Guan Yu.

Tiga maharaja

sunting

Pada bulan qamari pertama tahun 220, Cao Cao meninggal dunia dan anaknya Cao Pi memaksa Maharaja Xian supaya turun takhta pada bulan kesepuluh, dan dengan itu, mengakhiri Dinasti Han. Cao Pi menamai negerinya Wei, dan menjadikan diri sebagai maharaja di Luoyang. Pada tahun 221, Liu Bei menamakan diri sebagai Maharaja Han dalam suatu percubaan untuk memulihkan Dinasti Han yang jatuh. (Negerinya dikenali dalam sejarah sebagai "Shu" atau "Shu-Han".) Pada tahun yang sama, Wei menganugerahi Sun Quan dengan gelaran "Raja dari Wu". Setahun kemudian, askar-askar Shu-Han mengisytiharkan perang ke atas Wu dan mendatangi askar-askar Wu dalam Pertempuran Yiling. Di Yiling, Liu Bei ditewaskan dengan teruk oleh Lu Xun, komander Sun Quan, dan selepas terpaksa berundur ke Shu, mangkat di sana tidak lama kemudian. Selepas kemangkatan Liu Bei, Shu dan Wu menyambung semula hubungan persahabatan mereka sehingga menjejaskan Wei dan dengan itu, menstabilkan imbangan tiga pihak. Pada tahun 222, Sun Quan menarik balik perisytiharannya terhadap rejim Cao Pi dan kemudian mengisytiharkan diri sebagai maharaja di Wuchang pada tahun 229.

Kawasan utara pada keseluruhannya dikuasai oleh Wei, manakala Shu menduduki barat daya dan Wu menduduki kawasan tengah, selatan dan timur. Sempadan luar untuk negeri-negeri itu secara amnya terhad kepada takat peradaban Cina. Umpamanya, penguasaan politik Shu di sempadan selatannya dibatasi oleh puak-puak Tai di Yunnan dan Myanmar moden yang bersama-sama dikenali oleh orang Cina sebagai Orang Gasar Selatan (南蠻).

Jumlah penduduk

sunting

Jumlah penduduk boleh disimpulkan daripada Sanguo Zhi, rekod rasmi Chen Shou. Dari segi tenaga manusia, Wei ialah negeri yang terbesar, dengan 660,000 buah keluarga dan 4,400,000 orang penduduk di dalam kawasannya. Sebagai perbandingan, Shu hanya mempunyai jumlah penduduk sebanyak 940,000 orang, manakala Wu mempunyai 2,300,000 orang. Oleh itu, Wei mempunyai melebihi 58% daripada jumlah penduduk dan sekitar 40% daripada jumlah kawasan China. Dengan sumber-sumber ini, Wei dianggarkan dapat mengerahkan seangkatan tentera sebesar 440,000 orang askar, manakala Shu dan Wu masing-masing hanya dapat mengerahkan 100,000 dan 230,000 orang askar. Oleh itu, perikatan Wu-Shu terhadap Wei terbukti merupakan suatu perikatan ketenteraan yang stabil; sempadan-sempadan asas Tiga Kerajaan dikekalkan hampir tanpa sebarang pertukaran selama melebihi empat puluh tahun.

Perdagangan dan pengangkutan

sunting

Dari segi ekonomi, pembahagian Tiga Kerajaan membayangkan suatu kenyataan yang sudah lama wujud. Juga pada zaman Song Utara, tujuh ratus tahun selepas kejatuhan Tiga Kerajaan, China masih boleh dianggap sebagai terdiri daripada tiga buah pasaran yang utama. (Status kawasan barat laut agak kabur kerana ia mempunyai hubungan dengan kawasan utara dan Sichuan). Bahagian-bahagian geografi ini ditegaskan oleh fakta bahawa semua laluan komunikasi utama antara ketiga-tiga kawasan utama adalah buatan manusia:

  1. Terusan Agung yang menghubungkait kawasan utara dengan kawasan selatan
  2. laluan air merentasi Tiga Gaung di Sungai Yangzi yang menghubungkait China selatan dengan Sichuan
  3. jalan kawasan luar bandar yang mengaitkan Sichan dengan kawasan barat laut.

Oleh itu, perpecahan China menjadi tiga buah entiti yang berasingan bukannya suatu perkara yang luar biasa dan telah juga dijangka oleh tokoh-tokoh seperti Zhuge Liang (sila lihat Rancangan Longzhong 隆中對).

Pengukuhan

sunting

Pada tahun 223, Liu Shan naik takhta Shu selepas kekalahan dan kemangkatan Liu Bei, bapanya. Kekalahan Liu Bei di Yiling mengakhiri tempoh permusuhan antara Wu dan Shu, dengan kedua-dua mereka mempergunakan peluang itu untuk menumpukan perhatian kepada masalah-masalah dalaman serta kepada Wei, musuh luar mereka.

Bagi Sun Quan, kemenangannya terhadap Shu menamatkan kebimbangannya terhadap perluasannya masuk ke provinsi Jing dan beliau dapat mengalihkan perhatiannya kepada puak-puak orang asli di tenggara yang bersama-sama dikenali sebagai kaum "Shanyue" oleh orang Cina (sila lihat Yue). Suatu rentetan kejayaan terhadap puak-puak pemberontak itu berakhir dengan kejayaannya pada tahun 234. Pada tahun itu, Zhuge Ke mengakhiri pengepungannya selama tiga tahun ke atas Danyang, dengan penyerahan 100,000 orang Shanyue. Antara bilangan ini, 40,000 orang Shanyue dikerahkan sebagai askar tambahan ke dalam angkatan tentera Wu. Pada masa yang sama, Shu juga menghadapi masalah dengan puak-puak orang asli di bahagian selatan. Puak Nanman di barat daya memberontak terhadap kuasa Han dan menawan serta menjarah kota Yizhou. Menyedari pentingnya kestabilan di selatan, Zhuge Liang memerintah kemaraan angkatan-angkatan tentera Shu dalam tiga jajaran terhadap puak Nanman. Beliau banyak kali bertempur dengan Meng Huo, ketua puak Nanman, sehingga akhirnya Meng Huo menyerah kalah. Walaupun demikian, seorang daripada puak Nanman dilantik sebagai pegawai dan tinggal di Chengdu, ibu kota Shu, dan puak Nanman dibenarkan membentuk batalion-batalion sendiri di dalam angkatan tentera Shu.

Ekspedisi Utara Zhuge Liang

sunting

Kempen-kempen Zhuge Liang di kawasan selatan akhirnya memberikan kejayaan kepada perikatan Wu-Shu, dan Shu kini mempunyai masa untuk bergerak ke kawasan utara. Pada tahun 227, Zhuge Liang memindahkan angkatan tentera Shu yang utama ke Hanzhong dan memulakan pertempuran dengan Wei untuk menguasai kawasan barat laut (sila lihat Ekspedisi Utara). Pada tahun berikut, beliau memerintah jeneral Zhao Yun supaya menyerang dari kawasan Gaung Ji sebagai suatu muslihat untuk mengalihkan perhatian Wei, manakala Zhuge sendiri mengetuai sebuah angkatan tentera yang utama ke Qishan. Bagaimanapun, barisan hadapan Ma Su mengalami sebuah kekalahan taktik di Jieting dan oleh itu, angkatan tentera Shu terpaksa mengundurkan diri.

Selama enam tahun berikut, Zhuge Liang mencuba lagi banyak serangan, tetapi kesulitan-kesulitan bekalan mengehadkan keupayaannya untuk mencapai kejayaan. Pada tahun 234, beliau mengetuai serangan utara terbesarnya yang terakhir, dan tiba di Dataran Pertempuran Wuzhang di sebelah selatan Sungai Wei. Walaupun demikian, angkatan tentera Shu sekali lagi terpaksa berundur, akibat kematian Zhuge Liang pada tahun itu. Sima Yi dari Wei merasakan kematian Zhuge Liang dan memulakan sebuah serangan terhadap angkatan tentera Shu yang sedang berundur. Tentera Shu membalas denga hampir segera dan dengan itu, menakutkan Sima Yi yang mengesyaki bahawa pengunduran tersebut adalah suatu muslihat. Oleh itu, beliau membenarkan pengunduran angkatan tentera Shu tanpa halangan.

Pada keseluruhannya, Zhuge Liang membuat lima percubaan di utara, dengan hanya satunya berjaya. Beliau memperoleh Jiang Wei selepas sebuah komplot pembelotan yang berjaya. Percubaan-percubaan Zhuge Liang yang lain termasuk Chencang, Gunung Qi, Jieting (kempen bekalan) dan Dataran Wuzhang. Terdapat juga beberapa percubaan lain yang kurang penting di utara yang tidak membawa kepada sebarang hakikat yang utama. Selepas kematian Zhuge Liang, pembantunya Jiang Wan mengambil alih.

Wu dan perkembangan selatan

sunting

Pada tempoh serangan-serangan Zhuge Liang di kawasan utara, negeri Wu sentiasa mendapati diri dalam kedudukan yang memerlukannya mempertahankan diri daripada serangan-serangan utara. Selepas Pertempuran Cenuram Merah, kawasan-kawasannya di sekitar Hefei sering mengalami tekanan yang tetap daripada Wei dan merupakan tempat untuk banyak pertempuran yang sengit. Perang di kawasan tersebut bertambah buruk sehingga banyak penduduknya memilih untuk berhijrah ke sebelah selatan Sungai Yangzi. Selepas kematian Zhuge Liang, serangan-serangan ke atas kawasan Huainan bertambah buruk. Walaupun demikian, Wei tidak berupaya menempuh barisan pertahanan Wu di sepanjang Sungai Yangzi, termasuk kubunya di Ruxu.

Tempoh pemerintahan Sun Quan yang panjang di negeri Wu telah dianggap sebagai suatu zaman kemakmuran untuk negeri selatannya itu. Penghirahan dari utara dan penempatan kaum Shanyue menambahkan tenaga manusianya untuk pertanian, khususnya di sepanjang hilir Sungai Yangzi serta kawasan kekomanderan Kuaiji. Pengangkutan sungai berkembang maju, dengan pembinaan terusan-terusan di Zhedong dan Jiangnan. Perdagangan dengan Shu juga berkembang maju, dengan kemasukan kapas Shu yang banyaknya serta pembangunan industri-industri tembikar seladon dan logam. Pengangkutan lautan juga diperbaik sehingga pelayaran-pelayaran dapat dibuat sehingga ke Manchuria dan pulau Taiwan. Di selatan, pedagang-pedagang Wu tiba di Linyi (Vietnam selatan) dan Fu'nan (Kemboja). Ketika ekonomi Wu menjadi makmur, demikian juga kesenian dan kebudayaannya. Di delta Yangzi, pengaruh-pengaruh Buddhisme yang awal tiba di selatan dari Luoyang (sila lihat Buddhisme di China).

Kemerosotan dan keakhiran Tiga Kerajaan

sunting

Sejak dari akhir dekad 230-an, ketegangan mula muncul antara suku Cao dan suku Sima. Selepas kematian Cao Zhen, perpecahan antara Cao Shuang dan Komander Agungnya, Sima Yi, mengakibatkan Cao Shuang melantik penyokong diri untuk jawatan-jawatan penting, dengan Sima Yi diketepikan kerana dianggap sebagai suatu ancaman. Kuasa suku Sima, salah satu keluarga pemilik tanah yang terbesar dalam Dinasti Han, telah diperkukuh oleh kejayaan ketenteraan Sima Yi. Selain itu, Sima Yi adalah seorang ahli strategi dan ahli politik yang amat berupaya. Pada tahun 238, beliau mematahkan pemberontakan Gongsun Yuan dan membawa kawasan Liaodong ke bawah kuasa pusat secara langsung. Akhirnya, beliau mengakali Cao Shuang dalam permainan rebut kuasa. Mengambil kesempatan yang diwujudkan oleh sebuah rombongan orang-orang sesuku empayar ke perkuburan Gaoping, Sima menjalankan sebuah pemberontakan kilat di Luoyang, dan menghapuskan kuasa puak Cao Shuang. Banyak orang membantah terhadap kuasa keluarga Sima yang berketerlaluan, antaranya Tujuh Tokoh Bijaksana Dusun Buluh. Xi Kang, salah satu tokoh bijaksana tersebut, dihukum mati oleh Sima Yi sebagai sebahagian penyingkiran selepas kejatuhan Cao Shuang.

Kejatuhan Shu

sunting

Kemerosotan yang dialami oleh suku Cao juga dialami oleh Shu. Selepas kematian Zhuge Liang, jawatannya sebagai Leftenan Canselor diberikan kepada Jiang Wan, Fei Yi, dan kemudiannya Dong Yun secara berturut-turut. Akan tetapi selepas tahun 258, politik Shu semakin dikuasai oleh puak sida-sida dan amalan rasuah semakin meningkat. Walaupun terdapat usaha-usaha yang penuh bertenaga oleh Jiang Wei, anak didik Zhuge, Shu tidak berupaya mencapai sebarang kejayaan yang muktamad terhadap Wei.

Pada tahun 263, Wei melancarkan sebuah serangan tiga penjuru, dengan hakikat bahawa angkatan tentera Shu terpaksa berundur dari Hanzhong. Jiang Wei tergesa-gesa menempatkan angkatan tenteranya di Jiange tetapi dirusuki oleh Deng Ai, komander Wei, yang telah memarakan angkatan tenteranya dari Yinping merentasi wilayah yang dahulu dianggap tidak boleh dilalui. Menjelang musim sejuk tahun itu, ibu kota Chengdu jatuh, akibat serangan yang strategik oleh Deng Ai dari Wei. Maharaja Liu Shan menyerah kalah dan Kerajaan Shu berakhir selepas 43 tahun.

Kejatuhan Wei

sunting

Cao Huan naik takhta pada tahun 260 selepas Cao Mao dibunuh oleh Sima Zhao. Tidak lama kemudian, Sima Zhao meninggal dunia dan gelarannya sebagai Lord Jin diwarisi oleh anak lelakinya, Sima Yan. Sima Yan dengan segera berkomplot untuk menjadi Maharaja tetapi menghadapi tentangan yang hebat. Walaupun demikian, Cao Huan atas nasihat daripada para penasihatnya memutuskan bahawa cara yang terbaik untuknya ialah untuk turun takhta, berbeza dengan keputusan Cao Mao, pendahulunya, yang membawa maut. Sima Yan merampas takhta pada tahun 264 dan secara berkesan, menggulingkan Dinasti Wei serta mengasaskan Dinasti Jin. Keadaan ini adalah suatu pengulangan sejarah yang serupa sahaja dengan penggulingan Maharaja Xian dari Dinasti Han oleh Cao Pi, pengasas Dinasti Wei.

Kejatuhan Wu

sunting

Selepas kematian Sun Quan dan kemahkotaan Sun Liang yang muda sebagai maharaja pada tahun 252, kerajaan Wu memasuki suatu zaman kemerosotan yang tetap. Kejayaan Sima Zhao dan Sima Shi untuk mematahkan pemberontakan-pemberontakan di kawasan Huainan mengurangkan sebarang peluang Wu untuk memperluas pengaruhnya. Kejatuhan Shu menandakan pertukaran dalam politik Wei. Sima Yan (cucu lelaki Sima Yi), selepas menerima penyerahan Liu Shan, menggulingkan maharaja Wei dan mengisytiharkan Dinasti Jin pada tahun 264. Dengan itu, penguasaan kawasan utara oleh keluarga Cao tamat selepas 46 tahun.

Selepas kebangkitan Jin, Maharaja Sun Xiu dari Wu mangkat, dan menteri-menterinya memahkotai Sun Hao. Sun Hao merupakan seorang pemuda yang mempunyai harapan tetapi selepas naik takhta, beliau menjadi seorang penzalim, dan membunuh atau membuang sesiapa yang berani menentangnya di dalam istana.

Pada tahun 269, Yang Hu, komander Jin di selatan, mula membuat persediaan untuk menyerang Wu dengan membina sebuah armada serta menugasi Wang Jun untuk melatih askar-askar tentera lautnya di Sichuan. Empat tahun kemudian, Lu Kang, jeneral agung Wu yang terakhir, meninggal dunia tanpa sebarang pewaris yang berupaya. Serangan terancang Jin akhirnya dijalankan pada musim sejuk tahun 279. Sima Yan melancarkan lima buah serangan serentak di sepanjang Sungai Yangzi dari Jianye ke Jiangling semasa armadanya di Sichuan belayar ke hilir menuju ke provinsi Jing. Di bawah tekanan serangan yang sebegitu besar, tentera Wu dihancurkan dan Jianye jatuh pada bulan ketiga dalam tahun 280. Maharaja Sun Hao menyerah kalah dan diberikan sebuah tanah feudal untuk menyara diri. Ini menandakan keakhiran zaman Tiga Kerajaan serta permulaan suatu tempoh rehat sebelum kemunculan lagi suatu zaman yang kelam-kabut selama 300 tahun.


Didahului oleh
Dinasti Han
Tiga Kerajaan
220 – 280
Diikuti oleh:
Dinasti Jìn

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting
  • Hill, John E. 2004. The Peoples of the West from the Weilue ( 魏略 ) by Yu Huan ( 魚豢 ) : A Third Century Chinese Account Composed between 239 and 265.  Draf beranotasi terjemahan bahasa Inggeris boleh didapati di sini.
  • Chen Shou. "Sanguo Zhi"

Pautan luar

sunting