Skandal Watergate adalah skandal politik yang berlaku dalam tahun 1970-an akibat daripada kejadian pecah masuk ke dalam ibu pejabat Jawatankuasa Kebangsaan Demokrat di kompleks pejabat Watergate dan cubaan pentadbiran Presiden Richard Nixon menutup penglibatannya hingga menyebabkan dia terpaksa meletakkan jawatan.

Presiden Nixon cuba menutup skandal ini selama dua tahun. Skandal ini akhirnya membawa kepada perletakan jawatannya sebagai presiden pada 9 Jun 1974. Dia merupakan satu-satunya presiden Amerika Syarikat yang meletakkan jawatan.

Perkara ini bermula dengan penangkapan lima orang lelaki kerana memecah masuk ibu pejabat Jawatankuasa Demokrat Kebangsaan (DNC) di kompleks Watergate pada 17 Jun 1972. Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berjaya mengaitkan wang tunai yang ditemui pada pencuri kepada dana yang digunakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Semula Presiden (CREEP), iaitu sebuah organisasi rasmi kempen Nixon. Pada bulan Julai 1973, disebabkan semakin banyak bukti, termasuk testimoni yang diberikan oleh bekas kakitangan dalam penyiasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Senat Watergate, mendedahkan bahawa Presiden Nixon mempunyai sistem pita rakaman di pejabat dan dia telah merekodkan banyak perbualan. Rakaman daripada pita ini mengaitkan presiden, mendedahkan dia cuba untuk menutup perkara-perkara yang meragukan (dan melanggar undang-undang) yang berlaku selepas pecah masuk.

Selepas beberapa siri perbicaraan mahkamah yang panjang dan memenatkan, Mahkamah Agung Amerika Syarikat sebulat suara memutuskan bahawa presiden perlu menyerahkan pita-pita rakaman itu kepada penyiasat kerajaan; yang kemudian dipatuhi olehnya.

Nixon yang hampir pasti dipecat di Dewan Perwakilan A.S. dan berkemungkinan besar disabitkan kesalahan itu di Dewan Senat A.S. akhirnya meletak jawatan presiden pada 9 Ogos 1974. Penggantinya, Gerald Ford kemudian memaafkan Nixon.

Perkataan Watergate secara khusus merujuk kepada Watergate Hotel di Washington D.C. Hari ini ia satu istilah merujuk kepada konspirasi politik, rasuah, penggunaan harta awam untuk kepentingan peribadi dan secara umumnya penyalahgunaan kuasa politik.

Pecah masuk

sunting
 
Kompleks Watergate

Kejadian ini dilakukan pada 17 Jun 1972. Tindakan ini adalah untuk mencuri maklumat daripada Parti Demokrat dan memintas sistem komunikasi Parti Demokrat. Presiden Nixon adalah daripada Parti Republik.

Kejadian pecah masuk Watergate disebabkan persaingan hebat politik 1960-an. Menjelang tahun 1972, ketika Presiden Nixon masuk bertanding untuk dipilih semula sebagai presiden, Amerika Syarikat terlibat dalam Perang Vietnam (1955-1975) dengan perpecahan dalam negara yang mendalam. Dalam suasana politik yang teruk seperti itu, kempen presiden memerlukan taktik agresif pengintipan haram. Pada bulan Mei 1972, ahli-ahli Jawatankuasa Pemilihan Semula Presiden (dikenali sebagai Creep) memecah masuk ke ibu pejabat Jawatankuasa Kebangsaan Demokratik di Watergate, serta mencuri salinan dokumen-dokumen rahsia dan memasang alat pengintipan pada telefon.

Pemasangan alat pengintipan telekomunikasi gagal berfungsi dengan baik. Jadi pada 17 Jun kumpulan pemecah masuk itu kembali ke bangunan Watergate. Ketika mereka bersiap sedia untuk memecah masuk ke dalam pejabat dengan alat pengintipan baru, seorang pengawal keselamatan menyedari kehadiran mereka di dalam bangunan. Pengawal itu menghubungi polis, yang tiba tepat pada masanya untuk menangkap mereka.

Mereka yang ditangkap pada 17 Jun 1972 di pejabat Watergate Jawatankuasa Demokratik Kebangsaan adalah:

  1. Bernard L. Barker – seorang agen hartanah dari Miami, Florida. Dia merupakan bekas agen CIA. Barker dikatakan terlibat dalam insiden Bay of Pigs pada 1962.
  2. Virgilio R. Gonzales – seorang tukang kunci dari Miami, Florida. Gonzalez adalah pelarian dari Cuba selepas rampasan kuasa oleh Castro.
  3. James W. McCord – seorang penyelaras keselamatan daripada Jawatankuasa Kebangsaan Republikan (RNC) dan Jawatankuasa Pilihan Raya Semula Presiden. McCord juga adalah bekas agen FBI dan CIA. Dia dipecat daripada jawatannya di RNC dan CREEP sehari selepas pecah masuk.
  4. Eugenio R. Martinez – bekerja dengan sebuah firma hartanah. Dia mempunyai hubungan dengan CIA dan orang buangan Cuba yang anti-Castro.
  5. Frank A. Sturgis – bekerja dengan firma hartanah yang sama dengan Martinez, dia juga mempunyai hubungan dengan CIA dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti anti-Castro.

Kelima-lima lelaki ini disabitkan dengan cubaan pecah masuk dan cubaan memasang alat pengintipan. Mereka dijatuhi hukuman oleh juri pada 15 September. Selain mereka berlima, dua orang lain yang dijatuhi hukuman adalah:

  1. G. Gordon Liddy – dari Washington, penasihat kepada Jawatankuasa Kewangan untuk Pilihan Raya Semula Presiden, bekas ejen FBI, bekas pegawai Perbendaharaan, dan bekas kakitangan Rumah Putih. Semasa siasatan, Liddy enggan menjawab soalan dan dipecat daripada jawatannya.
  2. E Howard Hunt Jr. – dari Washington, bekas konsultan Rumah Putih dan kakitangan CIA. Hunt adalah seorang penulis novel perisikan dan pernah bekerja dalam pengubahan status rahsia Kertas Pentagon.

Pada mulanya kaitan mereka dengan presiden tidak jelas, namun syak wasangka timbul apabila penyiasat menemui salinan nombor telefon jawatankuasa pemilihan semula Rumah Putih pada barang-barang pemecah masuk. Pada bulan Ogos, Nixon telah memberikan ucapan di mana dia bersumpah bahawa kakitangannya di White House tidak terlibat dalam kejadian pecah masuk. Kebanyakan pengundi percaya kepadanya, dan pada bulan November presiden telah dipilih semula dengan kemenangan besar.

Cubaan menutup skandal

sunting

Tidak lama selepas kejadian beberapa bukti telah menunjukkan Nixon tidak bercakap benar. Contohnya beberapa hari selepas kejadian pecah masuk, Nixon mengatur untuk membayar wang yang banyak kepada pemecah masuk. Dia dan pembantunya kemudian mengarahkan CIA untuk menghalang siasatan FBI terhadap jenayah itu. Kesalahan yang lebih serius dalam kes ini adalah penyalahgunaan kuasa presiden dan halangan menjalankan proses keadilan. . Sementara itu, tujuh orang telah didakwa atas tuduhan yang berkaitan dengan kejadian Watergate. Atas gesaan pembantu Nixon, lima mengaku bersalah dan mengelak perbicaraan; dua yang lain telah disabitkan pada Januari 1973.

Menjelang waktu itu, semakin ramai orang termasuk wartawan Washington Post Bob Woodward dan Carl Bernstein, hakim perbicaraan John J. Sirica dan ahli-ahli Jawatankuasa Siasatan Senat mula mengesyaki bahawa cerita besar di sebalik kejadian yang berlaku. Pada masa yang sama, beberapa konspirator mengalami tekanan dalam cubaan menutup kes itu. Beberapa pembantu Nixon, termasuk peguam Rumah Putih John Dean, memberi keterangan di hadapan juri besar mengenai jenayah presiden, mereka juga memberi keterangan bahawa Nixon secara diam-diam telah merakam setiap perbualan yang berlaku di Pejabat Oval. Jika pendakwa boleh mendapatkan pita itu, mereka akan mempunyai bukti yang presiden bersalah.

Nixon bertungkus-lumus untuk melindungi pita-pita itu semasa musim panas dan luruh tahun 1973. Peguamnya berhujah bahawa keistimewaan eksekutif presiden membenarkan Nixon untuk menyimpan pita-pita itu, tetapi Sirica, jawatankuasa Senat dan pendakwa khas bebas Archibald Cox berazam untuk mendapatkan pita-pita itu. Apabila Cox enggan menyerah kalah untuk mendapatkan pita-pita rakaman itu, Nixon mengarahkan bahawa Cox dipecat, yang membawa perletakan jawatan beberapa pegawai Jabatan Kehakiman sebagai tindakan protes. Akhirnya, Nixon bersetuju untuk menyerahkan beberapa pita tetapi tidak kesemuanya.

Pada awal tahun 1974, usaha-usaha menutup skandal menunjukkan kegagalan. Pada 1 Mac, juri yang dilantik oleh seorang pendakwa khas yang baru mendakwa tujuh bekas pembantu Nixon atas pelbagai tuduhan yang berkaitan dengan skandal Watergate. Juri yang tidak pasti jika mereka boleh mendakwa presiden menamakan Nixon salah seorang "pengomplot bersama yang tidak didakwa."

Pada bulan Julai, Mahkamah Agung mengarahkan Nixon untuk menyerahkan pita-pita rakaman. Walaupun presiden melengahkan arahan mahkamah, Dewan Rakyat mengundi untuk mensabitkan Nixon bersalah atas tuduhan menghalang proses keadilan, penyalahgunaan kuasa, usaha mahu menutup skandal dan beberapa pelanggaran terdapat Perlembagaan negara. Akhirnya, pada 5 Ogos, Nixon menyerahkan pita-pita rakaman, yang memberikan bukti yang tidak dapat dinafikan terhadap penglibatan dia dalam jenayah Watergate. Berdepan dengan sabitan kesalahan oleh Senat, presiden meletak jawatan pada 8 Ogos.

Enam minggu selepas itu, presiden baru Gerald Ford (1913-2006) mengangkat sumpah yang memberi keampunan kepada Nixon atas jenayah yang dia telah lakukan semasa memegang jawatan. Beberapa pembantu Nixon tidak begitu bertuah: Mereka yang disabitkan kesalahan yang sangat serius dan dihantar ke penjara persekutuan. Nixon sendiri tidak pernah mengakui telah melakukan kesalahan jenayah, walaupun dia mengakui menggunakan pertimbangan yang tidak wajar. Penyalahgunaan kuasa presiden oleh Nixon memberi kesan negatif terhadap politik Amerika dengan mewujudkan suasana sinis dan kesangsian. Ketika ramai rakyat Amerika berasa amat kecewa dengan kesan Perang Vietnam, Watergate menambahkan lagi kekecewaan dalam iklim negara diburukkan dengan kesukaran hidup.