Sri Krishna Caitanya

Śrī Kṛṣṇa Caitanya (juga dieja sebagai Sri Krishna Caitanya) atau Śrī Caitanya Mahāprabhu (1486 –1533) merupakan seorang sadu (sadhu) Hindu kurun ke-16. Caitanya dianggap sebagai pelopor pergerakan Kṛṣṇa Bhakti (Krishna Bhakti) dan salah seorang tokoh utama Gaudiya Vaishnavisme

Sri Krishna Caitanya dan Nityananda Mahaprabhu
Sri Krishna Caitanya

Caitanya merupakan tokoh utama mazhab Bhakti iaitu cinta untuk Tuhan berasaskan kepada falsafah Bhagavata Purana dan Bhagavad Gita, yang mengutarakan falsafah Vedanta yang dikenali sebagai Achintya Bhedā Bheda. Sri Krishna merupakan Dewa pilihan Caitanya dan dia telah memulakan nyanyian suci mantera Hare Krishna dan menghasilkan karya Sanskrit bernama Śikṣāṣṭakam atau Caitanyaśikṣāṣṭaka (Lapan Ayat Suci untuk Penuntut). Caitanya juga dipuja sebagai jelmaan Śrī Kṛṣṇa dan Śrīmati Radhārani dalam satu jasad. Caitanya juga dikenali sebagai Gauranga (atau Gora) dan Nimāi.  

Riwayat Caitanya Mahaprabhu

sunting

Kehendak Zaman

sunting

Navadvīp terletak lebih kurang 75 batu di utara Kolkata, di sisir sungai Ganga di daerah Nadia. Dalam kurun ke-15, Navadvip merupakan sebuah pekan yang besar yang menjadi pusat perdagangan dan ilmu. Navya-Nyaya, sebuah sistem logik yang baru, yang telah lahir di Mithila, telah diperkenalkan di Nadia sebelum itu. Sistem ini telah diperkembangkan oleh ramai pendeta-pendeta, yang diketuai oleh Gangesa (lebih kurang 1200 Masihi). Penuntut-penuntut dari serata benua India, datang ke Navadvip untuk mempelajari Nyaya. Masyarakat Nadia yang kaya-raya menyokong dan membantu perkembangan ilmu di pekan ini.

Menjelang kurun ke-15, meskipun Nadia menjadi pusat ilmu pengetahuan, perkembangan kerohanian hampir telah terencat. Disebabkan kejatuhan agama Tantra, arak dan daging menjadi satu kebiasaaan. Malah dalam kalangan pendeta Brahmin juga, agama telah menjadi hanya ritualisme yang hambar tanpa sebarang disiplin moral atau kerohanian. Pendeta-pendeta yang bongkak dengan ilmu, melupakan diri dengan arak dan kehidupan berfoya-foya. Meskipun agama Vaishnava merupakan agama utama di Nadia, cinta atau Bhakti kepada Tuhan telah dilupakan.

Keadaan ini amat menyedihkan seorang pencinta Tuhan yang sejati bernama Advaita Acharya. Beliau berdoa kepada Sri Krishna untuk mengembalikan cinta ketuhanan di hati penduduk Nadia. "Wahai Krishna, jika Kau menjelma semula,barulah manusia dapat diselamatkan!" Demikian, Advaita Acharya sering berdoa. Mendengar doa ikhlas ini, Tuhan menjelma sebagai Śrī Caitanya Mahāprabhu.

Kelahiran dan Zaman Kanak-kanak

sunting

Śrī Kṛṣṇa Caitanya telah lahir pada 4 Februari 1486, pada hari bulan purnama di Mayapur, di pekan Navadvīp di Bengal, India. Ayahnya, Sri Jagannath Misra, merupakan seorang pendeta di Navadvīp dan ibunya bernama Śacī Devi. Jagannath Misra dan Śacī mempunyai lapan orang anak perempuan dan seorang anak lelaki bernama Visveswara. Kesemua anak perempuan mereka telah meninggal dunia. Caitanya lahir sebagai anak kesepuluh. Visveswara menjadi seorang sadu ketika berumur enam belas tahun. Jagannath Misra menamakan anak kesepuluhnya sebagai Vishvambara menurut carta kelahirannya. Śacī pula, menamakannya sebagai Nimāi. Namun, semasa upacara Upanayana, Nimāi dinamakan sebagai Gauranga kerana kulitnya yang cerah.

Zaman kanak-kanak Nimāi penuh dengan kenakalan. Beberapa peristiwa yang berlaku meningatkan zaman kanak-kanak Sri Krishna. Nimai juga seorang yang sangat bijak lagi cekap. Memorinya yang tajam amat mengagumkan. Beberapa tanda-tanda luar biasa sering kelihatan pada badannya. Ketika Nimāi sedang tidur, suatu aura seperti cahaya bulan terapung atas badannya. Śacī khuatir anaknya telah dirasuki roh jahat. Selepas berunding dengan seorang bomoh, dia bernazab untuk mempersembahkan makanan kepada Dewi Saṣṭi untuk menyelamatkan anaknya. Ketika Śacī membawa persembahan untuk Dewi itu, Nimāi merampas makanan itu dan memakannya. Pada suatu hari yang lain, Nimāi menangis tanpa henti. Akhirnya, dia berkata bahawa dia ingin memakan makanan yang telah dimasak oleh dua orang Brahmin bernama Jagadis dan Hiranya. Ibu bapanya terperanjat mendengar permintaan pelik Nimāi. Apabila Jagadis dan Hiranya mendengar tentang permintaan Nimāi, mereka bergegas ke rumahnya membawa makanan yang mereka telah sediakan untuk pemujaan.Mereka menyuap Nimāi, yakin bahawa Bala Gopala sedang memakan pemberian mereka.

Nimāi juga gemar bernyanyi lagu-lagu suci dan menari dengan kawan-kawannya.

Apabila Nimāi membesar, beb erapa tindakannya menyebabkan ibu bapanya terperanjat. Śacī mengikuti hukum kasta dengan ketat. Nimāi sering mengejek ibunya mengenai ini dengan melanggari hukum kasta dan berkata bahawa 'Kebersihan luaran adalah suatu delusi".

Ketika Nimāi berumur tujuh tahun, abangnya Viśveśvar yang berumur enam belas tahun, menjadi seorang sadu dan meninggalkan rumah mereka. Kejadian ini amat menyedihkan Jagannatha Misra dan Śacī. Nimāi juga menjadi sedikit serius selepas itu. Dia mula memberikan perhatian kepada pelajarannya. Nimāi seorang Śrutidhara (seorang yang mempunyai kuasa untuk memahami dan mengingati sesuatu yang didengarnya hanya sekali). Dalam masa yang singkat, dia menguasai pelajarannya. Semasa berumur sembilan tahun, Nimāi menerima benang sucinya dan memulakan pelajaran kitab suci Veda.

Zaman Remaja

sunting

Tidak lama selepas upacara Upanayana Nimāi, Jagannatha Misra meninggal dunia. Śacī menjadi ketua keluarga mereka dan dia menguruskan pendidikan Nimāi di bawah seorang pendeta terkenal bernama Pandit Gangadas. Nimāi menjadi pelajar terbaik Gangadas dan dia mengalahkan pelajar-pelajar lain dalam perdebatan. Selepas menguasai tatabahasa dan kesusasteraan Sanskrit, Nimāi mempelajari ilmu logik daripada seorang cendikiawan terkenal bernama Vāsudeva Sārvabhauma.

Ketika menamatkan pendidikan formal, Nimāi telah terkenal sebagai seorang pendeta yang hebat. Semasa berumur enam belas tahun, Nimāi memulakan sebuah ṭol (sekolah Sanskrit). Tidak lama kemudian, Nimāi berkahwin dengan Laksmi, anak Vallabhacharya, seorang pendeta terkenal.

Nimāi memulakan lawatan ke tempat-tempat lain untuk mengalahkan pendeta-pendeta di sana. Selepas kejayaannya sebagai seorang pendeta yang tiada tandingan, Nimāi pulang ke Nadia. Di sana, berita kematian isterinya menantinya. Lakshmi telah mati dipatuk ular. Nimāi, dengan tenang, meneruskan kerja di ṭol Sanskritnya. Namun, tidak lama kemudian, Śacī, sekali lagi mengatur pekahwinan Nimāi dengan Viṣṇupriya, gadis seorang pendeta terkenal yang kaya.

Lawatan ke Gaya dan Transformasi

sunting
 
Kumpulan Sankirtana Caitanya dan Nityananda

Beberapa lama selepas lawatannya, Nimāi melawat Gayā, tempat ibadat yang utama bagi Dewa Gadādhar (Viṣṇu). Semasa lawatan ini, selepas melakukan semua upacara agama, dia sedang bersembahyang di Viṣṇupāda (tempat yang mempunyai jejak tapak kaki Tuhan). Nimāi mendapat suatu pengalaman mistik yang ganjil yang menggubah dirinya. Dia mendesak Īśvara Purī (pengikut Mādhavendra Purī) yang telah berkenalan dengannya dan ketika itu berada di Gayā untuk memberinya mantera suci Kṛṣṇa. Īśvara Purī menerima Nimāi dan memberinya mantera suci itu. Peristiwa ini menggubah Nimāi sepenuhnya. Kini, dia merasakan penderitaan kaum Gopi akibat perpisahan dengan Śrī Kṛṣṇa. Demikian, berakhirnya kehidupan pendeta Nimāi dan seorang rasul cinta Śrī Kṛṣṇa lahir.

Selepas peristiwa di Gayā, Nimāi enggan untuk pulang ke Nadia. Dengan payah, pengikut-pengikutnya menasihatinya untuk berjumpa dengan ibunya. Kasih untuk ibunya, menghalang Nimāi daripada merantau ke Vṛndāvan. Apabila dia pulang ke Nadia, dia telah berubah sama sekali. Sehingga itu, dia seorang yang ceria dan penuh kenakalan. Kini, siang malam dia murung memikirkan tentang Śrī Kṛṣṇa. Bibirnya hanya menyebut 'Kṛṣṇa!'.

Pendedahan Diri

sunting

Perubahan ini amat merisaukan semua orang. Namun, pelajar-pelajarnya enggan untuk meninggalkannya. Atas permintaan mereka, Nimāi memulakan satu kumpulan Sankirtana.Tidak lama kemudian, pekan Nadia dibanjiri dengan nyanyian 'Hari-bol'.

Selepas ini, Nimāi sering mengalami kebahagiaan rohani, sehingga orang menganggapnya tidak siuman dan gila. Namun, kesaktian rohani yang terpancar pada dirinya, mengubah siapa saja yang disentuhnya. Dengan sentuhan sucinya, Nimāi mengubah kesadaran orang yang beriman maupun kafir. Śrīvās seorang yang beriman, Advaitācārya pula seorang pendeta dan ketua masyarakat Vaiṣṇava, pemerintah Muslim bernama Kāzi, dua orang penjahat bernama Jagāi dan Madhāi ialah antara orang-orang beruntung yang menerima karunia Nimāi. Demikian, Nimāi mendedikasikan kelahirannya untuk menghidupkan semua kesadaran dan cinta bhakti kepada Tuhan yang tertinggi.

Menurut Caitanya-Bhagavat, pada suatu hari, Caitanya memberitahu Advaita Acharya berulang kali bahwa dia akan lahir semula dan melakonkan Lila-Nya kembali, dan dalam kelahiran itu, dia akan menarik ramai orang dengan nyanyiannya.[1]

Ketika ini, Caitanya mendapat pengikut setia dan temannya Nityānanda atau Nitāi. Haridās (seorang Muslim) dan Murāri Gupta ialah antara pengikut-pengikut setianya.

Menjadi Rahib

sunting

Dengan mendapatkan restu ibu dan isterinya, Caitanya mengambil inisiasi Saṁnyāsa dan menjadi seorang sadu. Dari Navadvīp, dia bertolak ke Kaṭva di mana seorang sadu hebat bernama Keśava Bhāratī berada. Untuk membuktikan kelayakannya dalam mengambil inisiasi Saṁnyāsa, Caitanya meletakkan sedikit gula di atas lidahnya untuk beberapa lama tanpa menunjukkan sebarang tanda mencair. Keśava Bhāratī memyempurnakan upacara inisiasi Saṁnyāsa dan menamakan Nimai sebagai Śrī Kṛṣṇa Caitanya.

Selepas menjadi seorang sadu, Caitanya bertemu dengan ibunya dan menyampaikan keinginannya untuk pergi ke Vṛndāvan. Namun, atas rayuan ibunya, Caitanya berjanji untuk tinggal di Nīlācal (Jagannātha Purī) di Orissa karena tempat itu lebih dekat dengan Navadvīp dibanding Vṛndāvan.

Di Jagannātha Purī

sunting

Selepas mengambil ikrar Saṁnyāsa, Caitanya bertolak ke Jagannātha Purī. Ini ialah lawatan pertamanya ke tempat itu. Salah satu peristiwa penting yang berlaku di sini ialah penukaran Vāsudeva Sārvabhauma, seorang pendeta hebat zaman itu. Sārvabhauma meninggalkan kepercayaan kepada falsafah Advaita Vedanta dan menjadi seorang Bhakta atau pemuja Śrī Kṛṣṇa.

 
Yogapith, Mayapur Yogapith, kuil Chaitanya Mahaprabhu di tempat lahirnya di Mayapur, West Bengal, dibina dalam tahun 1880-an oleh Bhaktivinoda Thakur

Lawatan ke India Selatan

sunting

Beberapa lama kemudian, Caitanya memulai perjalanan ke India Selatan. Dalam lawatan ibadah ini yang mengambil masa dua tahun, dia melawat Kanyākumārī (di Tamil Nadu) dan Uḍupi (di Karnataka). Pada masa ini juga, dia bertemu dengan Rāmānanda Roy, gabenor Vidyānagara (di Andhra Pradesh) di bawah pemerintahan raja Kalinga (Orissa) Pratāparudra. Dengan pengaruh Caitanya, Rāmānanda menjadi seorang pemuja Śrī Kṛṣṇa. Raja Pratāparudra juga tertarik dengan personaliti Caitanya, menjadi pengikutnya.

Dalam perjalanan dari Kanyakumari, Caitanya melawat kuil Adi-Kesava di Travancore. Di kuil ini, dia menemui sebuah karya unik bernama Brahma Samhitā. Karya tersebut mengandungi semua konsep dan ajaran Vaisnava dengan ringkas. Caitanya menyalin karya itu dan membawanya sebagai satu harta yang tidak ternilai. Satu lagi karya yang ditemuinya semasa merantau di India barat ialah karya Kṛṣṇa-Karṇāmṛta. Selain daripada Bhāgavata, Caitanya amat menggemari Kṛṣṇa Karṇāmṛta dan Brahma Samhitā.[2]

Selepas kembali ke Purī, Caitanya mengikuti perayaan Rathayātrā Jagannātha yang terkenal. Selepas itu, dia melawat Vṛndāvan dan lain-lain tempat di India Utara seperti Varanasi (Kasi) dan Prayag. Dalam lawatan ini, Caitanya mendapat tiga orang pengikut utamanya, Rūpa Gosvāmin, Sanātana Gosvāmin dan Jīva Gosvāmin. Ketiga-tiga pengikut ini memainkan peranan utama dalam membentuk falsafah Acintya Bhedā Bheda.

Pada masa Caitanya melawat Vṛndāvan di mana Śrī Kṛṣṇa menghabiskan zaman kanak-kanaknya, tempat itu berada dalam keadaan tidak terurus. Atas arahan Caitanya, Sanātana Gosvāmin mencari dan mengambil alih semua tempat-tempat yang berkaitan dengan riwayat Śrī Kṛṣṇa. Atas usaha ini, tempat-tempat suci itu diperbaiki dan dibuka untuk lawatan ibadah para pemuja.

Pada masa ini juga, Vallabhācārya (1473-1531 Masihi), seorang guru Vaiṣnava terkenal bertemu dengan Caitanya di Vṛndāvan.

Kesudahan

sunting

Caitanya Mahāprabhu menghabiskan tiga atau empat belas tahun akhirnya di Purī. Pada masa ini, dia sering berada dalam kebahagiaan rohani Kṛṣṇabhakti (cinta bhakti kepada Kṛṣṇa). Oleh itu, seseorang perlu berada bersama-samanya untuk menjaganya. Tugas ini diambil oleh Raghunāth Dās dan Svarūp Dāmodar.

Meskipun Caitanya seorang pendeta yang hebat, dia tidak meninggalkan banyak karya kecuali dua buah puisi suci - Caitanyaśikṣāṣṭaka dan Jagannāthastotra.

Terdapat dua versi tentang kesudahan kisah Caitanya. Menurut versi pertama, Caitanya telah manunggal dengan arca Jagannatha di kuil. Versi kedua menyatakan bahwa Dia turun ke dalam laut dan ghaib. Sejarawan Jadunāth Sarkār menyatakan bahawa tarikh sebenar Caitanya meninggal dunia ialah 14 Jun 1533.

Peliknya, Caitanya-caritāmṛta tidak mencatat apa-apa tentang berpulangnya Caitanya. Ini menyebabkan kematian Caitanya menjadi satu misteri. Terdapat beberapa orang sejarawan yang mengesyaki bahawa kemungkinan seesuatu perbuatan keji telah berlaku di kuil Jagannatha. Ramai dalam kalangan pegawai kuil itu cemburu dan menaruh perasaan dengki terhadap Caitanya. Kemungkinan mereka berkomplot dan membunuhnya. Bagi mengelakkan sebarang kontroversi, perkara tersebut mungkin telah disembunyikan.

Sebaik sahaja hidup Caitanya berakhir, semua pengikut dan temannya meninggalkan Puri dan berpindah ke Vrindavan. Krishna-Kirtana yang telah kedengaran di kuil Puri setiap hari juga dihentikan selama lima puluh tahun.[3]

Swami Vivekananda memujinya begini:

".... Baginda salah seorang guru Bhakti yang terhebat di dunia – Caitanya Mahaprabhu. Bhaktinya tersebar membanjiri seluruh bumi Bengal dengan membawa ketenangan untuk semua orang. Cintanya tidak mengenal batas . Orang alim, pendosa, Hindu atau Muslim, orang yang suci maupun tidak suci, dan pelacur – semua orang mendapat bagian dalam kasih sayangnya, semua orang mendapat bagian dari simpatinya. Malah sehingga ke hari ini, meskipun mazhabnya telah merosot, seperti semua yang dimakan masa, ia masih menjadi tempat berteduh untuk orang yang miskin, tertindas, orang terbuang, lemah, dan semua orang yang telah disingkirkan oleh masyarakat."

Sumbangan Caitanya Mahaprabhu

sunting

Penemuan Vrindavan

sunting

Tanpa Caitanya, Vrindavan tentu telah kekal sebagai sebuah hutan rimba. Vrindavan yang wujud hari ini adalah hasil penemuan Caitanya dan pengikut-pengikutnya. Apabila Caitanya melawat Vrindavan, ia hanya sebuah hutan yang terbiar. Dengan kesaktian rohaninya, Caitanya mengenalpasti tempat-tempat berhubung dengan hidup Sri Krishna. Kemudian, dia mengarahkan pengikutnya, Sanātana Gosvāmin untuk membaikpulih dan membina tempat-tempat itu. Caitanya juga merupakan orang pertama yang memahami maksud Vrindavan Lila oleh Sri Krishna.[4]

Memperkenalkan Bhakti dalam Tradisi Kesaduan

sunting

Sebelum Caitanya, kebanyakan golongan sadu mengikuti aliran Advaita Vedanta yang mengutamakan Ilmu. Di Benaras, sadu-sadu tradisional mempelajari teks Vedanta Sutras Badarayana dengan ulasan Sri Sankara. Semasa berada di Varanasi, Caitanya mengajar sadu-sadu ini bahawa maksud sebenar Vedanta Sutra Badarayana boleh difahami dengan menggunakan ulasan Badarayana sendiri. Menurut Chaitanya, Badarayana telah menulis Bhagavata Purana sebagai ulasan kepada Vedanta Sutranya. Oleh itu, golongan sadu digesa untuk mempelajari Bhagavata Purana demi memupuk Bhakti. Kehadiran Caitanya di Varanasi, mengubah ramai penduduknya untuk mengikuti jalan Bhakti.[5]

Menghidupkan Premābhakti

sunting

Sumbangan utama Caitanya kepada dunia kerohanian ialah ajaran Madhura Bhava atau Premābhakti.[6] Hidup Caitanya penuh dengan cinta dan kerinduan Radha untuk Krishna - secara teknikal, ini dikenali sebagai 'Premābhakti'. Kebanyakan Vaishnava Acharya lain hanya merujuk kepada Premābhakti dengan teragak-agak. Namun, Caitanya menyarankannya sebagai Bhakti yang terunggul. Dengan menjalani kehidupan sebagai seorang sadu yang sejati, Caitanya menunjukkan bahawa Premābhakti boleh menjadi satu disiplin rohani yang suci dan bebas daripada hawa nafsu atau kāma sepenuhnya.[7]Dalam hidupnya sendiri, Caitanya mengelakkan sebarang hubungan atau kaitan dengan kaum wanita. Malah, dia juga menegah pengikut-pengikut wanitanya untuk mendekatinya. Mereka hanya dibenarkan untuk melihatnya dari jauh. Pengikut-pengikutnya yang mengingkari disiplin ini, walaupun sedikit, dibuang daripada kumpulannya. Dengan mengajar keagungan nama Tuhan dan kepentingan hidup yang suci untuk menjadi kekasih Tuhan, Caitanya mengawal arus sensualisme yang melanda masyarakat ketika itu.[8] Menurut Swami Vivekananda, "Śrī Caitanya mempunyai semangat pelepasan yang kuat. Perempuan dan hawa nafsu tidak ada tempat dalam hidupnya." [9]

Permulaan Tradisi Bhakti

sunting

Tradisi yang dimulakan oleh Caitanya diikuti dengan ketat oleh enam orang pengikutnya di Vṛndāvan. Enam Gosvāmīs (Ketua kuil) ini ialah Rūpa, Sanātana, Jīva, Gopāla Bhatta, Raghunātha Bhatta dan Raghunātha Dās. Selepas zaman Caitanya, Vṛndāvan di utara, Navadvīp, Bengal di timur dan Purī di tenggara menjadi pusat Caitanya Vaiṣṇavisme. Ketiga-tiga pusat ini melahirkan tradisi keagamaan dan teologi yang agak berbeza.

Di Bengal, pergerakan Vaiṣṇava berkembang lebih seperti sebuah kultus Caitanya, berbanding satu tradisi agama Sri Krishna. Sumbangan utama pergerakan ini ialah perkembangan muzik suci atau Kīrtan yang diiringi dengan mainan peralatan muzik dan tarian.

Kelemahan manusia biasa untuk memahami iman yang sebenar, secara beransur-ansur menyebabkan kejatuhan akhlak yang seterusnya menyebabkan amalan-amalan serong. Beberapa tradisi yang yang tidak bermoral tumbuh seperti Sahajīyas, Kartābhajas, Vairāgi-Vairāgiṇīs dan sebagainya.[10] Namun, kurun ke-19 telah membawa pembaharuan dalam tradisi Bhakti. Pergerakan ini telah berkembang ke negara-negara Barat disebabkan aktiviti-aktiviti keagamaan dan kerohanian yang dimulakan oleh pemimpin-pemimpin Kesedaran-Krishna yang dikenali sebagai Iskcon. Demikian, usaha Caitanya untuk menukar Premābhakti kepada satu pergerakan besar telah berkembang dari sempadan India ke seluruh dunia.

Ajaran Caitanya Mahaprabhu

sunting

Macam manakah orang-orang duniawi boleh mendapat kebebasan? Caitanya berkata, "Seperti seorang isteri yang tidak setia berfikir tentang buah hatinya sementara tinggal dengan keluarganya, lakukan kerja-kerja kamu dan dengan senyap sentiasa ingati Tuhan."

Pada penghujung hidupnya, Caitanya memanggil teman-temannya, Svarūp dan Rāmānanda Roy dan berkata:

"Dalam zaman Kali, Ubat yang paling mujarab ialah Sankirtana nama Kṛṣṇa. Ia sama seperti upacara korban dalam Veda. Seorang yang melakukan korban ini dengan bersungguh-sungguh akan mencapai Tapak Teratai Kṛṣṇa. Dengan Sankirtana, manusia boleh membebaskan diri daripada dosa dan dunia. Sankirtana menyucikan jiwa. Nyanyikan nama-Nya ketika makan, tidur, di sana, di sini, dan di mana-mana sahaja. Tidak ada had atau halangan untuk menyanyikan nama-Nya. Nama-Nya mempunyai segala kesaktian (Sarva-sakti)."

Apakah caranya untuk meningkatkan minat terhadap nama-Nya? Seorang pencinta Tuhan, tanpa mengendahkan taraf dan statusnya, mestilah berendah diri seperti rumput. Dia mestilah sabar seperti pokok yang tidak merungut walaupun ketika ia ditebang atau meminta air walaupun ia sedang mati semasa kemarau, tetapi ia memberikan semua bahagiannya, menahan pancaran matahari dan hujan, tetapi memberi teduhan kepada orang lain. Seorang Vaishnava, tidak harus sombong akan kedudukannya. Dia mesti menghormati semua mahkluk hidup. Orang yang menyanyikan nama Krishna dengan cara ini, akan mendapat Prema.

Menurut Swami Vivekananda, "Vaiṣṇavisme mengajar bahawa 'tidak salah untuk menyayangi ibu, bapa, abang, suami, atau anak! Ianya tidak salah, jika kamu menganggap anak itu sebagai Kṛṣṇa atau apabila kamu memberinya makan, berfikir bahawa kamu sedang menyuap Kṛṣṇa!' Laungan Caitanya ialah, 'Pujalah Tuhan dengan pancaindera', bertentangan dengan Vedanta yang melaungkan, 'Kawallah pancaindera! Halang pancaindera!'"[11]

Pengaruh Caitanya

sunting

Selain pengaruhnya terhadap agama Hindu, Caitanya telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap kebudayaan di Bengal dan Orissa. Di Bengal dan Orissa, terutamanya, Caitanya dipuja sebagai seorang jelmaan Śrī Kṛṣṇa. Dia juga dikaitkan dengan gerakan Pembaharuan Bengal. Menurut Salimullah Khan, seorang ahli linguistik, "Kurun keenam belas merupakan zaman Caitanya Dev dan adalah permulaan Modenisasi Bengal."

Sebuah filem Bengali mengenai biografi Caitanya, Nilachaley Mahaprabhu (1957) telah diarahkan oleh Kartik Chattopadhyay.

Teks Utama

sunting

Caitanya Charanamrta

sunting

Ini ialah sebuah biografi Caitanya yang ditulis oleh Murari Gupta, seorang pengikut Caitanya. Karya ini tidak merakamkan bahagian akhir riwayat Caitanya, dan oleh itu dianggap tidak lengkap.

Caitanya-caritāmṛta

sunting

Riwayat Caitanya yang paling popular telah ditulis oleh Kṛṣṇa Dās Kavirāj (1517-1582) dalam bahasa Bengali dan Sanskrit. Kṛṣṇa Dās berpendidikan dalam Sanskrit dan Bahasa Persia. Semasa muda, Kṛṣṇa Dās banyak menulis dalam Bahasa Sanskrit. Atas permintaan golongan Vaishnava di Vrndavan, beliau menulis karya terulungnya, Caitanya-caritāmṛta, ketika usianya lanjut dan menyiapkannya pada 1581, setahun sebelum kematiannya.[12] Walaupun Kṛṣṇa Dās tidak pernah bertemu dengan Caitanya, beliau telah mendengar tentang riwayatnya daripada gurunya, Raghunāth Dās Gosvāmi (1494-1586), seorang teman dan pengikut setia Caitanya. Beliau juga mengumpul bahan-bahan daripada Caitanya Charanamrta oleh Murari Gupta dan biografi oleh Svarup Damodara yang telah mengenali Caitanya. Karya ini merakamkan riwayat penuh Caitanya dan juga memberikan falsafah Bhakti dengan terperinci. Caitanya-caritāmṛta juga menjadi teks Gaudiya Vaishnava yang mengandungi metafizik, ontologi dan estetik yang diperkembangkan oleh para Goswami.

Pada tahun 1970-an, A.C.Bhaktivedanta Swami Prabhupada, pengasas ISKCON (juga dikenali sebagai pergerakan Hare Krishna), telah menerbitkan edisi Inggeris dengan ulasannya dalam 17 jilid. Edisi ini telah diedarkan dengan luas di seluruh dunia.

Sri Caitanya Mahaprabhu - His Life, Religion & Philosophy

sunting

Ini ialah sebuah buku bahasa Inggeris oleh Swami Tapasyananda, seorang sadu Ramakrishna Order. Buku ini ialah sebenarnya petikan riwayat, agama dan falsafah Caitanya daripada 'Bhakti Schools of Vedanta' oleh Swami Tapasyananda. Pendapat yang popular ialah falsafah Vedanta dan Bhakti adalah bertentangan antara satu sama lain. Seringkali Vedanta dihubung kaitkan dengan falsafah Advaita Vedanta oleh Acharya Sri Sankara. Ajaran dan pengalaman Sri Ramakrishna dan Swami Vivekananda menunjukkan bahawa sebenarnya Bhakti juga adalah satu aspek Vedanta. Acharya-Acharya falsafah Bhakti seperti Sri Ramanuja, Sri Madhva, Sri Nimbarka, Sri Vallabha, dan Sri Caitanya telah memperkayakan falsafah Vedanta dengan memberi interpretasi dan ulasan berlainan kepada Prasthanatraya.

Caitanya-caritāmṛta telah diterjemahkan oleh Jadunāth Sirkār, seorang sejarahwan dan pengikut fahaman Caitanya. Selain itu, Sisir Kumār Ghose telah mengeluarkan edisi ringkas bernama 'Lord Gauranga'.

Chaitanya Bhagavat

sunting

Biografi ini ditulis oleh Vrindavana Das.

Pautan Luar

sunting

Lihat juga

sunting

Nota Kaki

sunting
  1. ^ Vrindavan Das, Chaitanya-Bhagavat
  2. ^ Swami Harshananda, The Concise Encyclopaedia of Hinduism
  3. ^ Swami Tapasyananda, Sri Caitanya Mahaprabhu, ms.64
  4. ^ Swami Saradananda, Sri Ramakrishna The Great Master, Vol.1, ms.258
  5. '^ Swami Tapasyananda, Bhakti Schools of Vedanta', p.289
  6. ^ Swami Saradananda, Sri Ramakrishna The Great Master, Vol.1, ms.258
  7. ^ Swami Harshananda, The Concise Encyclopaedia of Hinduism Vol.3 p.316
  8. ^ Swami Saradananda, Sri Ramakrishna The Great Master, Vol.1, ms.258
  9. ^ The Complete Works of Swami Vivekananda/Volume 5/Conversations and Dialogues/II - V Shri Surendra Nath Sen
  10. ^ Swami Harshananda, The Concise Encyclopaedia of Hinduism Vol.3 p.316
  11. ^ The Complete Works of Swami Vivekananda/Volume 8/Sayings and Utterances
  12. ^ Swami Tapasyananda, Sri Caitanya Mahaprabhu, ms.1