Terier Ireland
Terier Ireland[a] atau terier merah Ireland[b] ialah satu baka anjing dari Ireland, salah satu daripada banyak baka terier. Terier Ireland dianggap sebagai salah satu baka terier terlama. Pertunjukan anjing Dublin pada tahun 1873 merupakan yang pertama untuk menyediakan kelas terpisah untuk terier Ireland. Menjelang tahun 1880-an, terier Ireland merupakan baka keempat paling popular di Great Britain dan di Ireland.[1]
Nama lain | Terier merah Ireland | ||||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | Ireland | ||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Terier Ireland ialah anjing giat dan bersaiz padat yang sesuai untuk kehidupan di persekitaran pedalaman dan bandar raya. Lapis bulu merah kasarnya melindunginya daripada semua jenis cuaca.
Perihal
suntingPenampilan
suntingPiawaian baka memerihalkan terier Ireland unggul sebagai anjing kuat, merah, dan berbentuk segi empat tepat. Kuat: Terier Ireland patut kelihatan berkuasa tanpa menjadi tegap atau berat. Segi empat tepat: garis luar terier Ireland berbeza dengan ketara daripada terier lain. Tubuh terier Ireland secara perkadaran adalah lebih panjang daripada tubuh terier rubah, dengan kecenderungan terhadap garis kuat tetapi tanpa kekurangan isi. Dada dalam adalah distingtif.
Dahulu, ekornya lazimnya dipotong sejurus selepas kelahiran kepada hampir-hampir dua pertiga daripada panjang asli. Di negara-negara yang melarang pemotongan ekor, para hakim pengakuran menekankan gaya angkat ekor. Ekornya patut bermula dengan agak tinggi, tetapi tidak patut memacak lurus ke atas atau melingkar ke atas belakang atau ke mana-mana sisi tubuhnya. Telinganya kecil dan terlipat ke hadapan tepat-tepat di atas paras tengkorak. Telinganya lebih baik sedikit lebih gelap daripada selebih lapis bulu.
Bulu dan warna
suntingTerier Ireland berwarna merah keemasan, gandum merah, atau gandum. Merah gelap kerap disalah anggap sebagai satu-satunya warna betul, mungkin kerana lapis bulu gandum kerap mempunyai kualiti lebih teruk. Seperti banyak baka berwarna padu lain, tompok putih kecil diizinkan pada dada. Tiada bahagian putih patut muncul di tempat lain. Semakin terier Ireland menua, uban mungkin muncul di sana-sini.
Bahagian luar lapis bulu ganda patut lurus dan bertekstur dawai, tidak sekali-kali lembut, bak sutera, keriting, beralun, atau mirip wul seperti yang mungkin dijangkakan pada terier biru Kerry. Lapis bulunya patut terbentang merata pada kulit, dan, walaupun mempunyai sedikit panjang, sama sekali tidak patut terlalu panjang sehingga menyembunyikan rupa bentuk sebenar anjing. Terdapat bulu lebih panjang pada tungkai, tetapi tidak sepanjang yang pada terier rubah dawai atau schnauzer. Ini bermakna bahawa lapis bulunya perlu dipangkas yang mungkin dapat menjadi mahal.
Bahagian dalaman lapis bulunya, yang dipanggil wul bawah atau lapis bulu bawah, juga patut berwarna merah. Wul bawah mungkin sukar dilihat dengan mata tidak berpengalaman. Lapis bulunya patut agak padat dan, "apabila dipisahkan dengan jari, kulitnya jarang terlihat".[2]
Terier Ireland yang dipangkas dengan betul patut mempunyai sedikit "jumbai" pada tungkai dan kepala. Bulu lebih panjang sedikit pada tungkai hadapan patut membentuk tiang sekata, manakala tungkai belakang hanya patut mempunyai bulu lebih panjang dan tidak terpangkas terlalu dekat dengan kulit. Dagunya terserlah dengan janggut kecil. Janggut tidak patut selebat yang pada schnauzer.
Mata patut berwarna perang gelap dan agak kecil dengan ekspresi "berapi-api". Matanya berhias dengan kening cukup rapi. Seluruh kepala patut mempunyai pempigmenan baik.
Saiz
suntingKebanyakan negara mempunyai perihal baka yang mengatakan bahawa terier Ireland tidak patut lebih tinggi daripada 48 cm (19 in) yang diukur pada paras kelasa. Walau bagaimanapun, betina yang setinggi 50 cm (20 in) atau jantan yang malah setinggi 53 cm (21 in) tidaklah luar biasa. Generasi lebih muda lebih hampir kepada yang unggul, tetapi terdapat kelemahan untuk ini: apabila terier Ireland sangat kecil dan bertulang ringan, ia kehilangan jenis kuat betul.
Terier Ireland yang hanya seberat 11–12 kg (24–26 lb) sangat jarang terlihat, seperti yang ternyata dalam perihal baka asli The Kennel Club. 13 kg (29 lb) untuk anjing betina dan 15 kg (33 lb) untuk anjing jantan dapat diterima.
Perangai
suntingTerier Ireland ialah anjing aktif dan memerlukan serta menikmati cabaran mental dan fizikal tekal; Terier Ireland yang terlatih dengan baik mungkin berjaya dalam pelbagai sukan anjing, seperti ketangkasan anjing. Terier Ireland penuh dengan kehidupan, tetapi tidak hiperaktif; ia patut dapat bersantai di dalam rumah dan terangsang ke paras aktiviti penuh secepatnya.
Terier Ireland baik dengan orang. Ia mempunyai rasa kesetiaan tinggi dan ia sebaiknya mempunyai pemimpin kuat bertanggungjawab, yang dihormati olehnya. Kebanyakan terier Ireland menyayangi kanak-kanak dan mentoleransi permainan kasar sehingga takat tertentu. Terier Ireland memerlukan senaman dan jumlah berjalan banyak. Ia menikmati latihan dan cepat belajar dengan makanan dan mainan yang berfungsi sama baik sebagai motivasi. Terier Ireland kurang bersemangat untuk menggembirakan orang berbanding dengan baka lain tetapi mempunyai keupayaan mental dan menikmati penyelesaian teka-teki. Ia bergerak balas dengan paling baik terhadap pelatihan tekal berdasarkan ganjaran daripada orang santai dan berwibawa. Seperti semua baka anjing, keganasan tidak patut sama sekali digunakan kerana ia lebih memilih peralihan perhatian dan ganjaran untuk tingkah laku yang diingini. Sentiasa ada kebaikan untuk memperdaya dan mengumpan. Apabila mencari jurulatih, seseorang yang mempunyai pengalaman dengan terier patut dirujuk.
Terier Ireland kerap dominan dengan anjing lain. Seperti mana-mana anjing, individu yang tersosialisasi dengan lemah dapat memulakan pergaduhan dan sosialisasi awal ialah keperluan. Kebanyakannya mempunyai naluri penjagaan kuat yang, apabila dikawal, menjadikannya anjing pengawas cemerlang.
Terier semakin popular dalam sukan anjing tersusun. Pelatihan kepatuhan yang diperlukan pada kebanyakan paras dalam kebanyakan sukan anjing adalah agak mudah dicapai, walaupun kejituan dan dorongan berpanjangan yang diperlukan dalam tahap lebih tinggi mungkin sukar dicapai. Banyak terier Ireland cemerlang dalam ketangkasan anjing, walaupun mungkin ada kesukaran untuk menyeimbangkan kelajuan, kebebasan, dan kejituan yang diperlukan dalam tahap lebih tinggi.
Terier Ireland mempunyai hidung bagus dan dapat belajar untuk menjejak sama ada bau haiwan atau manusia. Banyak terier Ireland menikmati lure coursing, walaupun tidak layak untuk pertandingan. Di Finland, seekor terier Ireland ialah anjing penyelamatan berkelayakan yang pakar dalam penyelamatan di laut.
Sejarah
suntingAsal usul baka ini tidak diketahui. Ia dipercayai telah diturunkan daripada anjing jenis terier hitam dan sawo matang di Britain dan di Ireland, sama seperti terrier biru Kerry dan terier gandum berbulu lembut Ireland di Ireland atau terier Wales, terier Lakeland, dan terier Scotland di Great Britain. Terdapat juga sangkaan bahawa baka ini mungkin mengongsi susur galur dengan anjing pemburu serigala Ireland.[1]
F. M. Jowett menulis dalam The Irish Terrier, 'Our Dogs' Publishing Co. Ltd., Manchester, England 1947 – Edisi ke-7: Ia diperihalkan oleh seorang penulis lama Ireland sebagai penjaga orang miskin, sahabat petani, dan kegemaran budiman...Anjing ini pada asalnya dibiakbakakan bukan semata-mata untuk penampilannya tetapi untuk kualiti kerja dan gameness-nya, terier Ireland yang secara naluri merupakan pembunuh haiwan perosak menyeluruh. Ia dahulunya terdiri daripada semua jenis dan semua warna – hitam-dan-sawo-matang, kelabu-dan-brindle, gandum daripada semua cahaya warna, dan merah sebagai warna paling banyak. Warna atau saiz jelas-jelas tidak penting sama ada ia tahan lasak dan game."
Proses pemilihan lengkap bagi baka ini bermula hanya pada lewat abad ke-19. Ia ditunjukkan dari semasa ke semasa, kadang-kadang dalam satu kelas, kadang-kadang dalam kelas berasingan untuk anjing kurang dan lebih daripada 9 paun.
Kelab baka pertama didirikan di Dublin pada tahun 1879. Terier Ireland ialah anggota pertama bagi kumpulan terier yang diiktiraf oleh The Kennel Club Inggeris sebagai baka asli Ireland – ini berlaku sejurus sebelum penghujung abad ke-19. Terier Ireland pertama dibawa ke Amerika Syarikat pada lewat abad kesembilan belas dan dengan secepatnya menjadi agak popular.
Penjagaan
suntingApabila didandani dengan betul, lapis bulu terier Ireland akan melindungi anjing daripada hujan dan kesejukan. Terier Ireland yang dijaga dengan betul juga tidak keguguran. Lapis bulu dawainya agak mudah untuk diurus dengan anjing peliharaan (bukan anjing pertunjukan) yang memerlukan pelucutan hanya sekali atau dua kali setahun.
Lapis bulunya mesti dilucutkan dengan tangan atau pisau bukan potong untuk mengekalkan kualiti tahan cuacanya. Ini tidak menyakitkan anjing apabila dilakukan dengan betul. Pengekalan kulit di atas bahagian terlucut tetap tegang dengan tangan lain membantu terutamanya di kawasan dengan kulit lebih longgar, iaitu perut dan dada. Lapis bulunya tidak patut sekali-kali dipotong - jari atau pisau bukan potong perlu digunakan. Jika lapis bulunya digunting, lapis bulunya kehilangan warna dan menjadi lebih lembut, sekali gus kehilangan ciri tahan cuacanya. Atas sebab sama, lapis bulunya tidak patut dicuci dengan terlalu kerap, kerana detergen menanggalkan minyak kulit semula jadi. Kebanyakan terier Ireland hanya perlu dicuci apabila kotor.
Semasa pelucutan, lapis bulu mungkin "ditanggalkan" sepenuhnya untuk meninggalkan anjing dengan lapis bulu bawah sehingga lapis bulu baharu tumbuh. Untuk anjing peliharaan, ini patut dilakukan sekurang-kurangnya dua kali setahun. Apabila lapis bulu kualiti persembahan diperlukan, ini dapat dicapai dengan pelbagai cara. Salah satunya adalah dengan "menggulungkan lapis bulu", iaitu melucutkan anjing setiap X minggu untuk menanggalkan bulu mati. Sebelum pertunjukan, pemangkas pakar diperlukan untuk membentuk terutamanya kepala dan tungkai.
Sesetengah terier Ireland perlu menjalani pelatihan telinga semasa muda.[3]
Kesihatan
suntingSebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 13.5 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[4]
Kemunculan dalam seni dan kebudayaan
sunting- Filem tahun 2021, Finch, yang membintangkan Tom Hanks termasuk seekor silangan terier Ireland yang dipanggil Goodyear.
- Buku Jack London, Jerry of the Islands dan Michael, Brother of Jerry adalah tentang terier Ireland yang, menurut susur galur yang tercatat di permulaan buku, mungkin sebenarnya pernah hidup.
- Filem tahun 2007 Firehouse Dog menampilkan seekor terier Ireland sebagai watak judulan, yang digambarkan oleh empat ekor terier Ireland berlainan.
- Bekas Perdana Menteri Kanada William Lyon Mackenzie King memiliki beberapa ekor terier Ireland (kesemuanya bernama Pat) dan menjalani séance untuk "berkomunikasi" dengan Pat pertama selepas kematian anjing itu.[5]
- Puisi William Wordsworth "Fidelity" dikarang selepas kematian Charles Gough, yang jatuh dari Striding Edge, Helvellyn pada tahun 1805. Jasad beliau ditemukan di bawah Red Tarn beberapa bulan kemudian oleh seorang gembala dalam keadaan masih dijaga oleh terrier Ireland beliau, Foxey. Tulang-temulang anak-anaknya yang mati ditemukan berdekatan.
- Universiti Notre Dame menggunakan seekor terier Ireland sebagai maskotnya sehingga tahun 1960-an apabila ia digantikan oleh Notre Dame Leprechaun. Anjing-anjing ini mempunyai pelbagai nama, yang terkini merupakan Clashmore Mike. Dua ekor terier Ireland digambarkan pada batu kapur di ketinggian timur Dewan Alumni.
Lihat juga
suntingCatatan
sunting- ^ Jawi: تيريئر اءيرلند ; Ireland: brocaire Gaelach ; bahasa Inggeris: Irish terrier
- ^ Jawi: تيريئر ميره اءيرلند ; Ireland: brocaire rua, lit. 'terier merah' ; bahasa Inggeris: Irish red terrier
Rujukan
suntingWikimedia Commons mempunyai media berkaitan Terier Ireland |
- ^ a b Pelbagai (19 Oktober 2011). The Irish Terrier: A Complete Anthology of the Dog [Terier Ireland: Antologi Lengkap tentang Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Read Books. m/s. 123. ISBN 9781447491781. OCLC 936199779.
- ^ "Irish Terrier Club of America Breed Standard" [Piawaian Baka Irish Terrier Club of America] (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Oktober 2006. Dicapai pada 7 Mac 2024.
- ^ "Ear Training" [Pelatihan Telinga]. Stephanie's Irish Terriers (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Oktober 2022. Dicapai pada 7 Mac 2024.
- ^ McMillan, Kirsten Marie; Bielby, Jon; Williams, Carys Louisa; Upjohn, Melissa Mary; Casey, Rachel Alison; Christley, Robert Matthew (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death" [Kelanjutan usia baka anjing teman: yang berisiko untuk kematian awal]. Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 14 (1): 531. Bibcode:2024NatSR..14..531M. doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check
|pmc=
value (bantuan). PMID 38302530 Check|pmid=
value (bantuan). S2CID 267382263 Check|s2cid=
value (bantuan). - ^ Pat I (1924–1941) (dalam bahasa Inggeris) Diarkibkan 1 Oktober 2007 di Wayback Machine Library and Archives Canada. Dicapai pada 7 Mac 2024.