Tuan Hassan Besut

Syeikh Wan Hasan bin Wan Ishak al-Fathani atau lebih dikenali sebagai Tuan Hasan Besut ialah seorang agamawan Islam di Nusantara kelahiran Patani. Beliau merupakan penasihat Raja Besut di bawah kerajaan Tengku Abdul Kadir ibni Sultan Mansur I.

KeluargaSunting

Wan Hasan al-Fatani atau lebih umum dikenali sebagai Tuan Hasan Besut merupakan anak kedua kepada Wan Ishak al-Fatani. Keluarga ulama ini yang mencangkupi Wan Ishaq (bapa), Wan Ali (abang) dan Wan Hasan mempunyai talian kekeluargaan dengan keluarga Abdul Mubin bin Jailani yang terkenal sebagai pengasas Pondok Pauh Bok di Patani. Sewaktu kecil lagi, kedua-dua bersaudara Wan Ali dan Wan Hasan telah memulakan pengajian mereka di Pondok Pauh Bok[1].

PendidikanSunting

Mereka telah menimba ilmu dari bapa mereka sendiri, Wan Ishak al-Fatani yang merupakan antara tenaga pengajar di Pondok Pauh Bok. Kira-kira pada awal abad ke 19, Wan Ali dan Wan Hasan telah pergi ke Mekah bagi melengkapkan syarat keilmuan mereka[1]. Di kota Mekah, mereka berguru dengan ulama-ulama Arab di samping turut menimba ilmu dari sebilangan ulama Melayu yang bergiat di Tanah Haram seperti Muhammad Salih bin Abdul Rahman Pauh Bok dan Daud bin Abdullah al-Fatani sendiri. Sebilangan manuskrip peninggalan Syeikh Wan Ali al-Fatani, antaranya manuskrip Kayfiyyah Khatam al-Qur’ān, telah membuktikan hubungan keilmuan ini di Mekah.

Karya dan kerjayaSunting

Bermula tahun 1820-an di kota Mekah, Wan Hasan telah menghasilkan karya selain bergiat dalam bidang penterjemahan manuskrip Arab. Karya yang menjadi karang pertama Wan Hasan al-Fatani adalah sebuah manuskrip mengenai ilmu Firasat, berjudul Kitāb al-Fa’al, yang diselesaikan pada bulan Muharam 1240 H bersamaan September 1824M. Karya ini ditulis dalam sebuah manuskrip bersama-sama naskhah salinan karya sahabat beliau, iaitu Abbas Kota Karang, Aceh, yang berjudul Sirāj al-Ẓulām fī Ma‘rifat al-Sa‘d wa al-Nahs fī al-Shahr wa al-Ayyām. Manuskrip ini telah disimpan oleh Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur sebelum ia diserah untuk disimpan di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia dengan nombor pendaftaran MSS 1637. Terjemahan yang dilakukan pula adalah terjemahan karya Arba‘ūn Ḥadīthan fī Faḍl Ṭalab al-‘Ilm oleh alMundhirī (1833) dan terjemahan risalah Ayyuhā al-Walad oleh Imam al-Ghazali (1850M).Cetakan pertama karya terjemahan Ayyuhā al-Walad ini telah diusahakan oleh Abdullah Idris Tikat, Kelantan, di al-Matba„ah al-Miriyyah al-Kayniyyah, Mekah pada 17 Rabi‟ul Awal 1311 H / 27 September 1893 M[2].

Dalam masa yang sama, Wan Hasan turut mengajar di Mekah dan keilmuannya turut diiktiraf dalam kalangan ulama Indonesia. Muhammad Zainuddin Aceh adalah sahabat seperguruannya di Mekah dan Syeikh Nawawi Banten pula merupakan antara pelajarnya yang berasal dari Indonesia. Setelah kira-kira setengah abad di Mekah,

Penasihat raja BesutSunting

Wan Hasan pulang ke tanah air meninggalkan saudara kandungnya, Wan Ali yang bercadang menetap di Mekah. Tatkala sampai di Patan, Wan Hasan mendapati Patani dan Kedah sedang menghadapi "zaman payah" akibat kalah dalam beberapa siri pemberontakan 1831-1840M melawan kerajaan Siam Singgora. Ramai rakyat Patani melarikan diri akibat benci kerana terpaksa duduk dibawah pemerintahan Raja Siam ketika itu. Pada tahun 1842 pula, Kelantan menghadapi pergolakan akibat perang saudara yang berlarutan beberapa tahun. Kekalutan politik di utara semenanjung ini menyebabkan Wan Hasan berpindah ke daerah Besut, Terengganu.

Di Besut, beliau sangat dihormati dan kedatangan beliau disambut baik oleh Tengku Abdul Kadir ibni Sultan Mansur I yang merupakan Raja Besut di bawah kekuasaan Sultan Terengganu ketika itu[3]. Sebagai menghargai kedudukan beliau, Istana telah melantik Wan Hasan sebagai penasihat Raja Besut dan masyarakat pula menganggap beliau sebagai "guru pertama" mereka. Hal ini menyebabkan gelaran beliau sebagai Tuan Hasan Besut terkenal sehingga ke pulau Sumatera dan institusi pondok yang dibinanya di Kampung Palembang (dalam Kampung Raja, Besut) mendapat tarikan paling ramai masyarakat berbanding institusi-institusi pondok yang lain.

Di samping menjadi penasihat Sultan dan mengajar ilmu di pondok persendirian, beliau juga dilantik sebagai imam di Masjid Raja, Besut. Tuan Hasan Besut mahir ilmu kebatinan di samping merupakan seorang pengamal perubatan tradisional yang pintar. Dikatakan bahawa walaupun beliau mendapat penghormatan tinggi dari pihak Istana dan masyarat, namun Wan Hasan tidak pernah meninggi diri dan tidak memilih bulu dalam bergaul.

Meninggal duniaSunting

Tuan Hasan Besut wafat pada tahun 1280H/1863M dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Palembang, Besut[4].

NotaSunting

  1. ^ a b (Amer, pp. 6)
  2. ^ (Amer, pp. 7)
  3. ^ (Amer, pp. 11)
  4. ^ (Amer, pp. 12)

RujukanSunting

  • TOKOH-TOKOH ULAMA' SEMENANJUNG MELAYU (1), Ismail Che Daud, Percetakan ZulRahim Sdn. Bhd., ISBN 983-2391-00-8
  • Amer Hudhaifah Hamzah; Ahmad Arifin Sapar (2018). "Karya Terjemahan Hadis Abad ke-19: Penyelenggaraan Teks Karya Nadir Hidāyat al-Mukhtār oleh Tuan Hasan Besut". Jurnal Usuluddin. 46 (2): 1–26.

Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah ia dengan templat tunas yang lebih spesifik.