Tubau merupakan sebuah daerah kecil yang terletak di daerah Sebauh, Sarawak, Malaysia.

Sejarah sunting

Setelah Batang Kemena dijajah oleh Raja James Brooke pada 1861, kebanyakkan pedagang Brunei yang berniaga di Batang Kemena berkurun lamanya kian berkurangan. Paling terkenal adalah "Burung Pingai", yang kemudiannya mula berpindah ke Sungai Baram. Namun kehadiran mereka di Baram tidak begitu disenangi oleh kaum Kenyah (Sebob) dan Berawan di ketuai oleh Aban Jau. Aban Jau sering mengancam menyerang mereka.

Maka peniaga Burung Pingai beralih kembali ke Batang Kemena, menjalin semula hubungan rapat dengan Punan (bukan Penan) di Melurong, hulu Sungai Jelalong dan Pandan. Sejarahnya, Burung Pingai mempunyai pertalian perkahwinan dengan Punan di Batang Kemena berabad lamanya; Orang Kaya Saghieng berkahwin dengan Sisa, adik kepada Pangeran Juatan Gador (SG 1878), dan makcik kepada Orang Kaya Saghieng pula adalah isteri kepada Pangeran Dipa, anak kepada Pangeran Arshad yang terbunuh di Mukah pertengahan abad kesembilan belas (Mail 2011 - PhD thesis). Orang Kaya Mohamad, sepupu Orang Kaya Saghieng juga antara orang penting kerajaan Brunei di Batang Kemena.

Penghujung tahun 1876, Burung Pingai mula kembali ke hulu Jelalong. Mereka membina deretan kedai, berhampiran rumah panjang Punan di Melurong, ketika itu diketuai oleh Avit Baran, anak Baran (Ake' Tiro).

Namun, keadaan yang kacau-bilau di Baram, menyebabkan perdagangan di hulu Baram, Kemena dan Belaga tergendala. Risau akan keselamatan mereka, peniaga Brunei banyak kembali ke Brunei semula. Pemergian mereka dengan cepat di isi oleh pedagang Melayu (para Abang) dari Sarawak (kawasan Kuching dan Samarahan sekarang) dan pedagang Cina. Antara yang terawal mula berniaga ke hulu Tubau dan Jelalong, mengganti pedagang Brunei adalah seorang Cina yang telah masuk Islam bernama "Hassan".

Hassan, awalnya berniaga di sekitar kawasan Pandan. Di situ masih terdapat peniaga Brunei, pengikut Pangeran Panji yang telah berkahwin wanita tempatan, iaitu Kedo. Isteri Pangeran Panji adalah, cucu kepada Orang Kaya Saghieng, dan anak kepada laja Punan di Pandan, iaitu Dieng Nyipa. Bapa Dieng, lebih dikenali sebagai Akam Nyipa. Dieng adalah anak Akam Nyipa dengan Bulan Balieng, laja Punan Ba. Di kalangan kaum Punan di Rejang Akam Nyipa dikenali sebagai Bateang (Nicolaisen 1976), atau Oman Dian, Kayan panggil Tama Dian (Beccari 1904).

Kehadiran Hassan di Tubau, di alu-alukan oleh pihak Kerajaan, kerana yakin beliau dapat merancakkan kembali perdagagan di situ. Hassan kemudian dilantik sebagai "Junior Native Officer" - setara jawatan SAO sekarang. Namun Akam Jok dan Akam Nyipa tidak senang dengan kehadiran Hassan, yang merancang untuk membawa orang Melayu ke Tubau.

Walaupun dibantah oleh Kayan dan Punan, kehadiran Cina, Melanau, Melayu di Tubau disokong oleh Raja Brooke. Akhirnya Akam Nyipa mengalah, lalu berpindah ke Belaga. Dalam masa yang sama, kebanjiran Dayak Iban dan pergolakkan yang berlaku di Tinjar, menyebabkan petempatan Punan di Melurong ditinggalkan. Mereka diarah oleh Residen Bintulu ke kawasan berdekatan Tubau Station, demi keselamatan. Avit Baran kemudiannya membawa mereka menetap di Sungai Sebuang, dan kekal di situ sehinggalah ke hari ini.

Demografi sunting

Antara etnik penduduk yang menetap di Tubau termasuk etnik Kayan, Punan, Cina, Kenyah, Iban, Kejaman, Penan, Melayu dan Melanau.