Vercingetorix (bahasa Latin[wɛrkɪŋˈɡɛtɔriːks]; Yunani: Οὐερκιγγετόριξ [u.erkiŋɡeˈtoriks]; s. 80 – 46 SM) ialah seorang raja Gaul dan ketua suku Arverni [en] yang menyatukan orang Gaul dalam pemberontakan menentang pasukan Rom semasa fasa terakhir Perang Galia tetapi akhirnya tewas kepada angkatan Julius Caesar. Beliau dengan rela menyerahkan diri kepada Caesar tetapi dihukum bunuh di Rom.

Vercingetorix
Syiling emas berwajah Vercingetorix, disimpan di Muzium Perpustakaan Negara Perancis. Gambaran ini bersifat ideal dan simbolik.[1]
Raja Arverni
Maklumat peribadi
Lahirkira-kira 80 SM[2]
Tidak diketahui
Mati46 SM (berusia 36–37)
Rom, Itali, Republik Rom
Cause of deathDicekik sampai mati

Vercingetorix ialah anak kepada Celtillus, ketua puak-puak Gaul. Vercingetorix berkuasa selepas dilantik secara rasmi sebagai ketua Arverni di oppidum Gergovia [en] pada 52 SM. Beliau segera menubuhkan pakatan dengan puak-puak Gaul yang lain, mengambil alih perintah, menggabungkan semua angkatan dan memimpin mereka semua dalam menjalankan penentangan paling signifikan oleh kaum Celt terhadap kuasa Rom. Beliau memenangi Pertempuran Gergovia [en] di mana beribu-ribu orang Rom dan sekutu mereka terbunuh dan legion-legion Rom pun berundur.

Akan tetapi, Caesar telah dapat memanfaatkan perbezaan sesama puak Gaul untuk menundukkan negeri mereka dengan mudah, maka percubaan Vercingetorix untuk menyatukan seluruh Gaul menentang serangan Rom sudah terlambat.[3][4] Di Pertempuran Alesia, juga pada 52 SM, angkatan Rom mengepung dan mengalahkan bala tentera beliau; demi menyelamatkan anak-anak buahnya seramai yang mungkin, beliau menyerahkan diri kepada orang Rom. Beliau dipenjarakan selama lima tahun; kemudian pada 46 SM, sebagai tanda kemenangan Caesar, beliau dibawa berarak melalui jalan-jalanan di kota Rom, kemudian dibunuh secara dikujut. Vercingetorix terutamanya dikenali melalui Commentarii de Bello Gallico (Komentar mengenai Perang Gallic) yang ditulis oleh Caesar sendiri. Sehingga hari ini, beliau dianggap sebagai wira rakyat di Auvergne, iaitu wilayah asal beliau.

Nama Vercingetorix dalam bahasa Gaul secara literal bermaksud 'raja/pemimpin pahlawan terulung'. Ia terdiri daripada awalan ver- ('di atas'; cf. Irish Kuno for, Wales Kuno/Breton Kuno guor, Cornish gor), -cingeto- ('pahlawan, wira', daripada dasar PIE yang bermaksud 'melangkah, berjalan'; cf. Irish Kuno cinged), dan -rix ('raja'; cf. Celtiberia reiki, Irish Kuno , Wales Kuno ri).[5][6][7] Plutarch dalam riwayat Caesarnya menerjemahkan nama itu sebagai Vergentorix (Ουεργεντοριξ).[8] Menurut Florus, beliau "dikurniai dengan nama yang seolah-olah bertujuan untuk mencetuskan ketakutan".[9]

Sejarah

sunting

Konteks

sunting
 
Gallia Celtik dan Republik Rom pada 58 SM
 
Patung Vercingetorix oleh Frédéric Bartholdi, di Place de Jaude, di Clermont-Ferrand, Perancis

Setelah dilantik sebagai gabenor wilayah Rom Gallia Narbonensis (kini Provence) pada tahun 58 SM, Julius Caesar terus menakluki puak-puak Gaul dalam beberapa tahun akan datang serta memelihara kuasanya melalui strategi pecah perintah yang teliti. Caesar memanfaatkan fahaman berpuak-puak di kalangan pembesar Gaul dengan mengutamakan golongan bangsawan tertentu berbanding golongan lain secara pemberian sokongan politik dan kenikmatan Rom seperti wain. Cubaan-cubaan memberontak seperti yang dilakukan oleh Ambiorix pada tahun 54 SM, hanya mendapat sokongan tempatan, tetapi Vercingetorix, yang kematian bapanya, Celtillus, setelah dihukum bunuh oleh rakyat senegaranya sendiri kerana cuba menguasai seluruh Gaul, berjaya menyatukan puak-puak Gaul untuk menentang orang Rom dan menggunakan lebih banyak gaya peperangan sezaman.

Bangsawan Averni

sunting

Pemberontakan yang dipimpin oleh Vercingetorix bermula pada awal tahun 52 SM ketika Caesar sedang menaikkan tentera di wilayah Gallia Cisalpina. Langkah pertama dilakukan oleh puak Carnuti di bawah Cotuatus dan Conetodunus yang menduga bahawa Caesar akan terpaksa menangani pergolakan di Rom berikutan kematian Publius Clodius Pulcher [en], lalu mereka membantai orang-orang Rom yang menduduki wilayah mereka.

Vercingetorix, seorang bangsawan muda dari kota Gergovia yang diduduki kaum Arverni, menggalakkan anak-anak buahnya untuk menyertai pemberontakan, tetapi beliau dan pengikutnya telah diusir oleh bapa saudara Vercingetorix, Gobanitio, dan seluruh bangsawan kerana khuatir akan menanggung risiko terlalu besar jikalau menentang Caesar. Tanpa berputus asa, Vercingetorix membangunkan tentera dari kalangan orang miskin, mengambil alih pemerintahan Gergovia, lalu dijulang sebagai raja.[10]

Pakatan sesama puak

sunting

Vercingetorix menjalin pakatan dengan puak-puak lain, dan dengan itulah beliau menyatukan Gaul atas alasan membebaskan diri dari kekuasaan Rom. Selepas sebulat suara diberi kuasa pemerintahan tertinggi ke atas tentera mereka, beliau menguatkan kuasanya melalui disiplin yang keras dan pengambilan tebusan. Kepimpinan dan penyatuan pada tahap ini tidak pernah berlaku di negeri Gaul dan tidak akan berlaku lagi selama dekad-dekad mendatang.

Vercingetorix mengamalkan dasar berundur ke perkubuan semula jadi, dan menjalankan suatu contoh awal strategi bumi hangus dengan membakar bandar-bandar untuk menghalang legion-legion Rom daripada bergantung hidup pada hasil bumi Gaul.[11] Beliau menghanguskan sebahagian besar tanah yang berarak ke utara bersama bala tenteranya dari Gergovia dalam usaha untuk menyekat Caesar daripada mencapai sumber-sumber dan tempat-tempat selamat di bandar dan kampung di sepanjang kemaraan Caesar ke selatan.

Pengepungan Avaricum

sunting

Walau bagaimanapun, ibu kota Bituriges [en], iaitu pekan Avaricum [en] (berhampiran Bourges masa kini), sebuah penempatan Gaul secara langsung di laluan Caesar, telah terhindar. Disebabkan tentangan hebat dari kalangan penduduk tempatan, rupa bumi yang senang dipertahankan, serta pengukuhan buatan manusia yang tampak utuh, Vercingetorix memutuskan untuk tidak memusnahkan dan membakar pekan berkenaan. Membiarkan Avaricum dengan nasibnya, Vercingetorix berkhemah jauh di luar pekan dan menumpukan perhatian pada menyerbu-nyerbu unit-unit Rom yang sedang mara diketuai oleh Caesar dan ketua leftenannya Titus Labienus [en]. Walau bagaimanapun, Avaricum dikepung dan akhirnya ditawan oleh orang Rom yang sebaik sahaja sampai.

Selepas itu, sebagai pembalasan atas 25 hari menanggung kelaparan dan mencurahkan titik peluh ke atas usaha pengepungan yang diperlukan untuk menembusi pertahanan Avaricum, tentera Rom menyembelih hampir keseluruhan penduduk, iaitu kira-kira 40,000 orang, dan hanya membiarkan kira-kira 800 orang terselamat.[12]

Pertempuran Gergovia

sunting

Pertempuran besar seterusnya adalah di Gergovia [en], ibu kota Arverni. Ketika ini, Vercingetorix dan para pahlawannya menyebabkan Rom kehilangan besar dengan menghancurkan legion-legion dan sekutu-sekutu Caesar. Vercingetorix kemudiannya memutuskan untuk mengekori Caesar tetapi sendiri menanggung kehilangan besar (seperti yang dilakukan oleh Rom dan sekutunya[13]) dalam pertempuran berkuda, lalu beliau berundur dan berpindah ke kubu kuat lain, iaitu Alesia [en].

Pertempuran Alesia

sunting

Dalam pertempuran Alesia pada September 52 SM, Caesar membina kubu di sekeliling bandar untuk mengepungnya. Walau bagaimanapun, Vercingetorix telah memanggil sekutu-sekutu Gaulnya untuk menyerang tentera Rom yang mengepung. Antaranya ialah tentera Arverni yang diketuai oleh sepupu Vercingetorix, Vercassivellaunos [en], dan angkatan 10,000 orang Lemovices [en] yang diketuai oleh Sedullos [en].

Memandangkan lingkaran benteng Rom dikelilingi oleh seluruh Gaul, Caesar membina satu lagi kubu yang menghadap ke luar (kontravalensi) terhadap tentera pengganti yang dijangka sampai, maka terbinanya sebuah kubu berbentuk gelang tebal (donat). Tentera pengganti Gaul tiba tetapi jumlahnya tidak mencukupi, iaitu dianggarkan seramai 80,000 hingga 250,000 orang. Vercingetorix selaku ketua taktikal telah terpisah daripada mereka di bahagian dalam, maka serangan pada awalnya tidak berjaya tanpa bimbingan beliau. Bagaimanapun, serangan itu mendedahkan kelemahan dalam kubu pertahanan musuh, maka angkatan dalam dan luar bergabung dan hampir berjaya menembusinya. Hanya setelah Caesar sendiri mengetuai angkatan simpanan terakhir ke dalam pertempuran, barulah dia berjaya. Ini adalah pertempuran yang menjadi penentu dalam pembentukan Empayar Rom.

 
Lukisan Vercingetorix meletakkan senjata di hadapan Julius Caesar (1899) oleh Lionel Royer

Menurut Plutarch, Caes . 27.8-10, Vercingetorix menyerah diri secara dramatik, yang mana beliau menunggang kudanya yang berhias indah keluar dari Alesia dan mengelilingi perkhemahan Caesar sebelum turun di hadapan Caesar, menanggalkan baju zirahnya dan duduk di hadapan kaki lawannya, kemudian kekal di situ sehingga dibawa pergi.[14][15] Kisah ini disangkal secara langsung oleh Caesar menerusi De Bell. Gal . 7.89 yang menggambarkan bahawa Vercingetorix menyerah diri dengan bersahaja.[16]

Pemenjaraan dan kematian

sunting
 
Plak yang terdapat di bahagian muzium Penjara Mamertine menunjukkan bahawa Vercingetorix dipenggal di situ pada tahun 49 SM.

Vercingetorix dipenjarakan di penjara Tullianum [en] di Rom selama hampir enam tahun, kemudian diperagakan secara terbuka dalam yang pertama daripada empat tanda kejayaan Caesar pada tahun 46 SM. Beliau dikujut hingga mati dalam sebuah upacara di Kuil Jupiter Optimus Maximus [en] sejurus selepas peragaan itu.[17] Sebuah plak yang terdapat di Tullianum menunjukkan bahawa dia dipenggal pada 49 SM.

Legasi

sunting

Peringatan

sunting
 
Tugu Vercingétorix di Alesia, berhampiran desa Alise-Sainte-Reine, Perancis
 
Poster untuk filem Perancis Vercingétorix oleh Cândido de Faria untuk Pathé, 1909. Koleksi EYE Film Institute Belanda

Pada tahun 1865, sebuah patung tugu peringatan Vercingétorix yang diarcakan oleh Aimé Millet [en] di bawah telunjuk arkitek Eugène Viollet-le-Duc [en],[18] didirikan oleh Napoleon III di tapak yang dipercayai pernah terletaknya Alesia. Patung tersebut masih ada, dan terdapat suratan di tapaknya yang ditulis oleh Viollet-le-Duc dan meniru kata-kata terkenal Julius Caesar, berbunyi (dalam bahasa Perancis):

La Gaule unie
Formant une seule nation
Animée d'un même esprit,
Peut défier l'Univers.

Bumi Gaul yang bersatu
Terbentuk sebuah bangsa
Dibangkitkan oleh semangat bersama,
Mampu melawan Alam Semesta.

Banyak lagi patung tugu Vercingetorix telah didirikan di Perancis pada abad ke-19, termasuk satu yang dicipta oleh Frédéric Bartholdi di Place de Jaude [en] di Clermont-Ferrand.[19]

Asteroid

sunting

Asteroid 52963 Vercingetorix [en] yang ditemui oleh OCA–DLR Asteroid Survey [en], diberi nama sempena beliau. Petikan penamaan rasminya telah diterbitkan oleh Minor Planet Center [en] pada 25 September 2018 ( M.P.C. 111800 ).

Rujukan

sunting
  1. ^ Bakker, Marco. "Reportret: Vercingetorix". www.reportret.info. Dicapai pada 1 April 2018.
  2. ^ Goudineau 2009, m/s. 278.
  3. ^ "France: The Roman conquest". Encyclopædia Britannica Online. Encyclopædia Britannica. Dicapai pada April 6, 2015. Because of chronic internal rivalries, Gallic resistance was easily broken, though Vercingetorix's Great Rebellion of 52 BC had notable successes.
  4. ^ "Julius Caesar: The first triumvirate and the conquest of Gaul". Encyclopædia Britannica Online. Encyclopædia Britannica. Dicapai pada February 15, 2015. Indeed, the Gallic cavalry was probably superior to the Roman, horseman for horseman. Rome's military superiority lay in its mastery of strategy, tactics, discipline, and military engineering. In Gaul, Rome also had the advantage of being able to deal separately with dozens of relatively small, independent, and uncooperative states. Caesar conquered these piecemeal, and the concerted attempt made by a number of them in 52 BC to shake off the Roman yoke came too late.
  5. ^ Evans 1967.
  6. ^ Delamarre 2003.
  7. ^ Matasović 2009.
  8. ^ Plutarch, Life of Caesar 25; 27.
  9. ^ Florus, Epitome of Roman History, 1:45.
  10. ^ Julius Caesar, Commentaries on the Gallic War Book VII, sect. 4.
  11. ^ "Vercingetorix". penelope.uchicago.edu. Dicapai pada 2022-11-12.
  12. ^ Julius Caesar, Commentaries on the Gallic War vii.
  13. ^ "The Internet Classics Archive | Caesar by Plutarch". classics.mit.edu. Dicapai pada 2021-03-31.
  14. ^ Plutarch's Lives; Caes. 27.8-10; Flor. 1.45.26; Dio 40.41.3.
  15. ^ Plutarch. "The Life of Julius Caesar". The Parallel Lives. Loeb Classical Library Edition. Dicapai pada 15 July 2015.
  16. ^ Commentaries on the Gallic Wars, Everyman's Edition, 1953 (Trans: John Warrington); Book VII, sect. 89.
  17. ^ Dio 40.41.3, 43.19.4
  18. ^ Statue of Vercingetorix, Art and Architecture, 2006
  19. ^ Dietler, Michael, "Our ancestors the Gauls": archaeology, ethnic nationalism, and the manipulation of Celtic identity in modern Europe (7.3M), American Anthropologist, 1994, 96: 584–605.

Sumber primer

sunting

Bibliografi

sunting

Pautan luar

sunting