Kematian Aminulrasyid Amzah

Aminulrasyid Amzah (Ogos 1995–26 April 2010) ialah seorang pelajar Malaysia dari Shah Alam, Selangor yang ditembak mati oleh anggota Polis Diraja Malaysia semasa dikatakan melarikan diri daripada sebuah kereta terlanggar yang dipandunya. Kejadian ini menjadi bahan berita hangat, sehingga tekanan awam mendorong Kementerian Dalam Negeri untuk menubuhkan panel khas yang diketuai oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Abu Seman Yusop untuk membuat siasatan.[1] Kematian Aminulrasyid menjadi isu politik, yang mana kedua-dua parti pemerintah persekutan, Barisan Nasional dan pemerintah Selangor, Pakatan Rakyat menawarkan bantuan kepada keluarga arwah. Karpal Singh kemudiannya dilantik sebagai peguam keluarga Aminulrasyid. Beberapa ahli politik Pakatan Rakyat turut menggesa Ketua Inspektor Polis agar meletak jawatan ekoran kejadian ini.[2][3][4][5]

Insiden sunting

Pada jam 2 pagi 26 April 2010, Aminulrasyid Amzah (15) (suspek) mati ditembak oleh anggota peronda polis (2 kereta 4 orang) berhampiran rumahnya di Jalan Makyong, Seksyen 11, Shah Alam, Selangor. Aminulrasyid memandu kereta Proton Iswara milik kakaknya, tanpa lesen pada malam hari bersama rakannya. Polis peronda yang menaiki kereta peronda polis (MPV)[6] mengejar dan mengarahkan suspek berhenti tetapi Aminulrasyid ketakutan lalu melarikan diri dan membahayakan anggota polis.[7]

Kereta peronda polis mengejar kereta itu sejauh 6 km dalam kelajuan yang tinggi sebelum ia terlanggar sebuah motosikal. Kereta itu enggan berhenti. Tembakan tepat di bahagian belakang kepala mangsa. Rakannya Muhammad Azamuddin Omar (15) yang duduk di sebelah melarikan diri dan hanya mengalami kecederaan ringan di tangan dan badan. N.Surendran dan Lathefa Koya bertindak sebagai peguam.

Banyak kes pecah rumah telah berlaku di seksyen 11 terutama sekitar pukul 2 - 3 pagi. Aktiviti meragukan akan menimbulkan syak kepada anggota polis.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar menyatakan polis telah meneliti keterangan 20 saksi dan masih berharap saksi-saksi yang lain. Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sendiri pergi ke lokasi untuk memdapatkan gambaran sebenar selepas Peguam Negara Malaysia menerima kertas siasatan awal.[8] Sebahagian kereta peronda polis dilengkapkan dengan kamera sejak 2006 .

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan polis menjalankan siasatan lanjut sekali lagi selepas menerima kertas siasatan awal. Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mencadangkan sebuah inkues ditubuhkan sebagaimana inkues Teoh Beng Hock.

Maklumat daripada polis sunting

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyatakan bahawa polis perlu mempertahankan diri daripada sebarang ancaman. Kereta juga adalah senjata yang boleh digunakan untuk melanggar dan membunuh seseorang. Pada waktu malam, seseorang pemandu tidak dapat dipastikan seorang dewasa atau remaja. Sesiapa yang ditahan oleh pihak polis hendaklah berhenti dan tidak takut disaman. Jika tidak mempunyai lesen sekalipun, hendaklah berhenti apabila ditahan oleh anggota polis. Jika melarikan diri, pemandu akan disyakki sebagai penjenayah apatah lagi membawa kereta secara berbahaya.

Panel khas sunting

Panel khas memantau insiden remaja ditembak ditubuhkan oleh Kementerian Dalam Negeri Malaysia pada 30 April 2010. Panel itu terdiri daripada kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak berkepentingan politik mahupun Polis Diraja Malaysia (PDRM), iaitu:

  • Datuk Wira Abu Seman Yusop - Pengerusi , Timbalan Menteri Dalam Negeri.
  • Datuk Ahmad Fuad Ab. Aziz - Timbalan Pengerusi , Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN)
  • Tun Haniff Omar - Bekas Ketua Polis Negara
  • Datuk Denison Jayasooria - Bekas pesuruhjaya Suhakam
  • Kamal Affendi Hashim - Penganalisis jenayah
  • Datuk Muhammad Shafee Abdullah - Peguam , anggota Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR)
  • Datuk Dr Michael Yeoh - anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) , Ketua pegawai eksekutif ASLI
  • Prof Abdul Halim Sidek - Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) [9][10]

Tujuan panel ini ialah sebagai jambatan penyalur maklumat kepada orang ramai hasil siasatan yang dilakukan oleh polis termasuk memantau dan menilai hasil siasatan itu supaya tidak berlaku penyelewengan. Panel ini mula bertugas dengan melawat tempat kejadian iaitu sekitar Seksyen 11 pada 4 Mei 2010 untuk tujuan siasatan awal.[11] Mereka menyerahkan laporan awal siasatan mereka kepada jemaah menteri pada 10 Mei.[12]

Setelah empat bulan menyiasat, panel khas ini bermesyuarat buat kali terakhir pada 3 September untuk membuat usul supaya membuat penambahbaikan terhadap Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) dengan memasukkan beberapa pendekatan yang diguna pakai di negara-negara maju,[13] di samping menyerahkan laporan akhir mereka kepada Kementerian Dalam Negeri tidak lama selepas itu.

Perbicaraan sunting

Perbicaraan kes pembunuhan Aminulrasyid Amzah bermula di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 12 Oktober 2010, yang mana Korporal Jenain Subi didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.[14] Perbicaraan ini dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Latifah Mohd Tahar dengan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar sebagai pendakwa dan M. Athimulan sebagai peguambela yang mewakili yang tertuduh. Pada hari pertama perbicaraan, Detektif Lans Koperal Ahmad Zamzami Abdul Wahab, seorang jurufoto polis memberitahu mahkamah bahawa dua peluru hidup dan 17 kelongsong peluru adalah antara bahan-bahan yang dijumpai dan dirakam dalam foto di tempat kejadian pada 26 dan 28 April.[15] Pada 14 Oktober, seorang saksi mengaku terdengar 10 das tembakan yang begitu dekat dengan rumahnya di Jalan Silat Gayung.[16]

Pada 21 Oktober, mahkamah diberitahu bahawa sebanyak 21 butir peluru telah digunakan oleh sepucuk submesin-gan HK MP5 A3 yang didaftarkan atas nama Korporal Jenain, setelah mendapati bahawa senjata yang berisi 100 peluru dipulangkan dengan 79 butir pada 26 April setelah digunakan oleh Jenain untuk meronda pada 25 April.[17] Pada 21 Oktober juga, tiga ahli keluarga Aminulrasyid, iaitu kakaknya Tuty Shaninza Anom Amzah, Muzafar Mahali iaitu suami Tuty dan Mahali Ramlan iaitu bapa mentua Tuty, disoal tentang parang dalam kereta yang ditemui dalam kereta yang dipandu oleh mangsa sewaktu kejadian (iaitu kereta milik Tuty), lalu menjawab bahawa parang itu bukan mereka punya. Apatah lagi, Tuty mengaku tidak pernah melihat adiknya membawa parang sebelum kejadian.[18]

Pada 28 Oktober, Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Dr Khairul Azman Ibrahim memberitahu mahkamah bahawa Aminulrasyid meninggal dunia disebabkan luka di tembakan kepala dan mungkin menghembuskan nafas terakhir beberapa saat selepas ditembak.[19] Pada 9 November, Ketua unit Senjatapi dan Kesan Alat dari Seksyen Kriminalistik, Bahagian Forensik, Jabatan Kimia, Shaari Desa memberitahu mahkamah bahawa sebanyak 32 lubang dan lekukan peluru ditemui pada kereta yang dipandu Aminulrasyid Amzah pada hari dia dikatakan ditembak mati oleh seorang anggota polis;[20] pada hari keesokannya, Shaari mengulas bahawa tindakan menembak ke arah kereta itu mungkin sekali bertujuan memberhentikan kenderaan itu.[21] Pada 10 November juga, Hakim Latifah Mohd Tahar meluangkan kira-kira sejam melihat sendiri kesan tembakan dan kerosakan pada kereta Proton Iswara berwarna putih yang dipandu oleh Aminulrasyid.[22]

Pada 11 November, Cif Ins. Mazli Jusoh dari Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang merupakan salah seorang penyiasat kejadian itu memberitahu mahkamah bahawa mayat mangsa dalam keadaan tertiarap dengan mukanya tersembam pada tempat duduk pemandu manakala badannya berada di luar kereta.[23]

Pada 6 Disember, Azamuddin Omar, rakan karib Aminulrasyid dan saksi utama dalam kes kematiannya, sewaktu disoal oleh timbalan pendakwa raya Idham Abdul Ghani, mendakwa bahawa dirinya dipukul oleh anggota polis dalam kejadian di mana rakannya mati ditembak polis di kepalanya.[24]

Pada 14 Disember, seorang rakan sejawat tertuduh, Konstabel Mohd Hafizd Mohd Yusoff memberitahu mahkamah bahawa tertuduh memang melepaskan tembakan ke arah mangsa.[25] Pada hari berikutnya, Hafizd menyangkal soalan bahawa dirinya turut melepaskan tembakan pada malam kejadian; tambahnya, cara pemanduan Aminulrasyid yang agresif dan melulu serta beberapa kali menghimpit kereta peronda polis menggambarkan seolah-olah pemandu kereta itu adalah seorang penjenayah.[26] Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 30 Disember 2010.[27]

Perbicaraan bersambung pada 28 Januari 2011, untuk mendengar hujah pembelaan. Pada 29 Januari 2011, Peguam M. Athimulan yang mewakili Jenain, pakar forensik dan ahli kimia sebelum ini gagal mengesahkan dari senjata mana anak peluru yang ditemui di dalam kepala mangsa dilepaskan kerana "Tiada bukti forensik untuk mengaitkan bahawa anak peluru itu telah dilepaskan sama ada oleh senjata Jenain atau Mohd Izham."[28]

Jenain diperintah oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk membela diri pada 28 Februari 2011.[29] Tertuduh menerangkan mahkamah bahawa dia tidak berniat untuk membunuh sesiapa, sebaliknya bahawa beliau hanya bertindak jujur dan munasabah ketika melepaskan tembakan pada hari kejadian. Pada 14 April, setelah disoal oleh peguam bela, Jenain dan rakannya Hafizd diarah untuk membantu kereta peronda lain untuk menahan sebuah kereta Iswara BET 5023 yang dipandu laju setelah tidak berhenti di satu sekatan pemeriksaan polis. Tambahnya, kereta Iswara itu dipandu laju, kereta terhoyong-hayang ke kanan dan kiri, dipandu secara berbahaya serta tidak berhenti di beberapa lampu isyarat. Menurutnya, ketika sampai di Bulatan Persiaran, beliau nampak seorang anggota peronda dari kereta peronda SL 589 telah mengeluarkan senjata sub mesingan dan melepaskan tembakan ke arah belakang kereta Iswara berkenaan. Kereta itu masih tidak berhenti dan dipandu laju sebelum masuk ke Jalan Wau dan akhirnya terbabas di Jalan Tarian setelah melanggar tembok.[30]

Norsiah Mohamad, ibu kepada mangsa, membuat laporan polis pada 29 April kerana mendakwa pasukan penguatkuasa itu mengeluarkan kenyataan fitnah dan cuba menutup kes kematian anaknya.[31] Pada 10 Jun, Mahkamah Sesyen memutuskan untuk tidak membenarkan laporan polis yang dibuat Koperal Jenain semasa perbicaraan, atas alasan bahawa "pihak pendakwaan sepatutnya mengemukakan dengan lebih awal segala dokumen yang akan digunakan dalam perbicaraan kepada pihak pembelaan, terutama dokumen yang berkemungkinan akan digunakan untuk menyangkal keterangan pembelaan" mengikut Seksyen 51 (a) Kanun Prosedur Jenayah, kerana "Mengemukakan (laporan polis) di tahap ini akan memprejudiskan pembelaan.Pihak pendakwaan tidak menepati Seksyen 51 (a) dan justeru dokumen (laporan polis) tidak boleh dikemuka pada perbicaraan".[32]

Pada 15 September, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman lima tahun ke atas Korporal Jenain Subi atas kesalahan menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, setelah diyakinkan bahawa pendakwaan telah berjaya membuktikan di luar keraguan munasabah bahawa peluru yang menyebabkan kematian pelajar sekolah itu merupakan salah satu daripada 21 peluru yang ditembak oleh Jenain daripada selaras senapang submesin-gan pada malam itu.[33]

Rujukan sunting

  1. ^ Lee, Regina (2010-05-05). "Panel makes late-night visit to scene of teen shooting". Malaysiakini. Dicapai pada 2010-05-05. Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan)
  2. ^ Kamal, Shazwan Mustafa (2010-05-05). "With young boy's death, Pakatan seen pushing multiracial platform". The Malaysian Insider. Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-04-29. Dicapai pada 2010-05-05. Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan)
  3. ^ "Cop's trial in Aminul shooting case on Oct 12". thestar.com.my. The Star Online. 23 June 2010. Dicapai pada 2010-07-14. Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan)
  4. ^ "Investigation papers on Amunlrasydi's death submitted to DPP for court action". mysinchew.com/. My Sinchew. 12 July 2010. Dicapai pada 2010-07-14. Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan)
  5. ^ "Friend recounts eventful night out with Aminulrasyid". thestar.com.my. The Star nline. May 4, 2010. Dicapai pada 2010-07-14. Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan)
  6. ^ Saksi terlibat langgar kereta Aminulrasyid dicari Utusan Malaysia
  7. ^ Lapan anggotai panel khas pantau siasatan Utusan Malaysia
  8. ^ Peguam Negara arah siasatan kes Amirulrasyid dilanjutkan Utusan Malaysia
  9. ^ Panel khas panggil saksi, kaji SOP polis malaysiakini
  10. ^ Saksi Utama Kes Tembak Remaja Beri Kenyataan Buat Kali Ketiga, Kata Peguam Bernama
  11. ^ Panel khas mulakan tugas lawat lokasi kejadian Aminulrasyid terbunuh[pautan mati kekal], Berita Harian 4 Mei 2010. Dicapai pada 15 September 2011.
  12. ^ Aminulrasyid: Laporan Penuh Dijangka Siap Julai Ini, mStar Online, 5 Jun 2010. Dicapai pada 15 September 2011.
  13. ^ Panel khas cadang penambahbaikan IGSO dari negara maju, Utusan Malaysia, 3 September 2010. Dicapai pada 15 September 2011.
  14. ^ Perbicaraan Kes Aminulrasyid Bermula, SelangorKini Online, 12 Oktober 2010. Dicapai pada 15 September 2011.
  15. ^ Dua peluru hidup, 17 kelongsong ditemui di kawasan Aminulrasyid ditembak Diarkibkan 2010-10-17 di Wayback Machine, The Malaysian Insider, 12 Oktober 2010. Dicapai pada 15 September 2011.
  16. ^ Saksi kes kematian Aminulrasyid dengar 10 tembakan Diarkibkan 2010-10-22 di Wayback Machine, The Malaysian Insider, 14 Oktober 2010. Dicapai pada 15 September 2011.
  17. ^ Kes Aminulrasyid: ‘Submachine gun’ Jenain lepaskan 21 peluru Diarkibkan 2010-10-27 di Wayback Machine, Bernama (The Malaysian Insider), 20 Oktober 2010. Dicapai pada 15 September 2011.
  18. ^ Tiga nafi pemilik parang ditemui dalam kereta dipandu Aminulrasyid Diarkibkan 2010-12-25 di Wayback Machine, Bernama, 21 Oktober 2010. Dicapai pada 15 September 2011.
  19. ^ Aminulrasyid Meninggal Dunia Disebabkan Luka Tembakan Di Kepala, Bernama, 28 Oktober 2010. Dicapai pada 15 September 2011.
  20. ^ Sebanyak 32 Lubang, Lekukan Peluru Ditemui Pada Kereta Dipandu Aminulrasyid, Bernama, 9 November 2010. Dicapai pada 15 September 2011.
  21. ^ Kes Aminulrasyid: Tembakan mungkin untuk hentikan kenderaan, Bernama, 10 November 2010. Dicapai pada 15 September 2011.
  22. ^ Hakim luangkan masa sejam lihat kereta dipandu Aminulrashid, SelangorKini Online, 10 November 2010. Dicapai pada 15 September 2011.
  23. ^ Pegawai forensik sebak ceritakan kedudukan mayat Aminulrasyid Diarkibkan 2010-11-15 di Wayback Machine, Bernama, 11 November 2010. Dicapai pada 15 September 2011.
  24. ^ "Kes Aminulrasyid: "Polis Pukul Saya", kata saksi utama". SelangorKini Online. 6 Disember 2011. Dicapai pada 15 September 2011.
  25. ^ "Rakan akui Korporal Jenain lepaskan tembakan". SelangorKini Online. 14 Disember 2010. Dicapai pada 15 September 2011.
  26. ^ "Kes Aminulrasyid : Tidak jangka Jenain lepaskan tembakan". SelangorKini Online. 15 Disember 2010. Dicapai pada 15 September 2011.
  27. ^ "Kes Aminulrasyid : Pendakwaan ditutup". SelangorKini Online. 30 Disember 2010. Dicapai pada 15 September 2011.
  28. ^ "Kes Aminulrasyid: Pakar gagal buktikan peluru milik siapa". Dicapai pada 15 September 2011.
  29. ^ "Kes Aminulrasyid : Jenain subi diperintah bela diri". SelangorKini Online. 28 Februari 2011. Dicapai pada 15 September 2011.
  30. ^ "Kes Aminulrasyid : Tertuduh Dakwa Tiada Niat Membunuh Ketika Lepas Tembakan". SelangorKini Online. 14 April 2011. Dicapai pada 15 September 2011.
  31. ^ "Ibu Aminulrasyid Buat Laporan Dakwa Polis Cuba Tutup Kes". SelangorKini Online. 29 April 2011. Dicapai pada 15 September 2011.
  32. ^ "Kes Aminulrasyid : Pendakwaan Tidak Dibenar Kemuka Laporan Polis Jenain Di Mahkamah". SelangorKini Online. 10 Jun 2011. Dicapai pada 15 September 2011.
  33. ^ "Kes Aminulrasyid: Kpl Jenain Didapati Bersalah". SelangorKini Online. 15 September 2011. Dicapai pada 15 September 2011.