Datuk Akbar Ali (1949–5 April 2019) merupakan seorang ahli politik Malaysia dan bekas senator Dewan Negara. Beliau juga ialah pakar perunding Majlis Perundingan Melayu (MPM). Sepanjang kerjayanya, beliau aktif dalam pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat jabatan kerajaan, kampung, daerah, negeri, nasional dan antarabangsa.[1]

Pendidikan sunting

Beliau merupakan lulusan Universiti Malaya dan Sarjana Sains dari London School of Economics (LSE).[1]

Kerjaya sunting

Beliau mula memasuki Perkhidmatan Awam pada 1973 sebagai Perangkawan di bawah Skim Perkhidmatan Perangkawan sehingga beliau bersara sebagai Timbalan Ketua Perangkawan pada 2005. Bliau dipilih mewakili negara dalam pelbagai persidangan, perundingan dan kumpulan pakar yang merangkumi ekonomi, perdagangan antarabangsa, pertanian, alam sekitar dan pembangunan modal insan.[1]

Antara badan antarabangsa yang beliau turut terlibat adalah UN Economic and Social Commission for Asia-Pacific (ESCAP), UN Asia-Pacific Commission on Agricultural Statistics (APCAS), Bank Pembangunan Asia (ADB), Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan Institut Perangkaan Asia-Pasifik (SIAP).[1]

Beliau kemudian dibawa ke Unit Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERU), Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Perdana Menteri, Institut SEDAR di bawah KEMAS dan seterusnya ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka pada 2001. Akbar seterusnya diberi kepercayaan untuk melaksanakan pelbagai tugas di Melaka termasuk Ketua Pegawai Eksekutif IMM, Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Pengarah Eksekutif MTEN, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan, Pengurus MAIM Travel, Ketua Pengarang MHI dan Setiausaha Akhbar.[1]

Akbar merupakan satu-satunya veteran Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) yang dilantik Senator pada 2009. Keprihatinan beliau kepada perjuangan, nasib dan masa depan orang Melayu dan bumiputera sering menjadi perhatian terutama kalangan orang politik. Pada akhir 2018, beliau melahirkan kebimbangan terhadap langkah dicadangkan dalam Belanjawan 2019 yang dianggapnya tidak menangani secara khusus isu-isu menangani jurang kekayaan antara kumpulan, sekali gus melebarkan jurang.[1]

Meninggal dunia sunting

Beliau meninggal dunia di Hospital Melaka pada 5 April 2019 selepas diserang angin ahmar. Beliau menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.05 pagi di sisi isterinya, Datin Kalsom Aziz, serta beberapa ahli keluarga lain. Jenazah Akbar dibawa ke kampung halamannya di Kampung Tedong, Serkam, untuk disembahyangkan di Masjid Jamek Tedong sebelum dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Tedong, kira-kira jam 3.30 petang.[2] Menurut anak kedua beliau, Syamsul Azly, bapanya menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka setelah dimasukkan ke hospital itu pada 3 April.[3]

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d e f Zulkifli Jalil (5 April 2019). "Akbar Ali meninggal dunia selepas diserang angin ahmar". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-08-28. Dicapai pada 28 Ogos 2019.
  2. ^ Amir Mamat (5 April 2019). "Bekas Senator Melaka meninggal dunia". Berita Harian. Dicapai pada 28 Ogos 2019.
  3. ^ "Bekas Anggota Dewan Negara Akbar Ali meninggal dunia". Bernama. 5 April 2019. Dicapai pada 28 Ogos 2019.