Anjing gembala Maremma-Abruzzo

baka anjing dari Itali

Anjing gembala Maremma-Abruzzo,[a] juga dikenali sebagai anjing Maremma, anjing gembala Maremma, atau anjing gembala Abruzzo, ialah satu baka anjing penjaga haiwan ternakan Itali. Ia peribumi di Itali Tengah, terutamanya di rantau Maremma di Toscana dan di Lazio dan di kawasan utara Itali Selatan, khususnya Abruzzo. Ia telah digunakan selama berabad-abad oleh gembala Itali untuk menjaga biri-biri daripada serigala. Rujukan "Maremma" pada namanya diterbitkan daripada tanah rawa Maremma yang, sehingga baru-baru ini, menjadi tempat untuk gembala, anjing, dan beribu-ribu biri-biri menetap sepanjang musim sejuk[2]:33 dan tempat yang masih mempunyai banyak anjing baka ini walaupun penternakan biri-biri sudah berkurangan dengan banyak. Walau bagaimanapun, baka ini masih digunakan secara meluas di rantau Abruzzo yang berdekatan dan berkait rapat secara kebudayaan dengan rantau itu, yang masih mempunyai penggembalaan biri-biri yang kekal penting kepada ekonomi pedalaman dan serigala (khususnya serigala Apennino) yang kekal sebagai pemangsa giat dan terlindung.

Anjing gembala Maremma-Abruzzo
Seekor anjing pekerja di Gran Sasso di Abruzzo
Nama lain
  • Anjing Maremma
  • Anjing gembala Abruzzo
  • Anjing gembala Maremma
  • Mastif Abruzzo
Negara asalItali
Trait
Berat Jantan 35–45 kg (77–99 lb)[1]
Betina 30–40 kg (66–88 lb)[1]
Tinggi Jantan 65–73 cm (26–29 in)[1]
Betina 60–68 cm (24–27 in)[1]
Bulu panjang, tebal
Warna putih[1]
Anjing (Canis lupus familiaris)

Ia mungkin mengongsi leluhur bersama dengan baka-baka lain dengan penampilan serupa termasuk anjing gunung Pyrénées, kuvasz dari Hungary, anjing gembala Tatra Poland, čuvač dari Slovakia, anjing Pergunungan Šar (walaupun ini tidak putih),[3][4] dan akbash dari Turki.[perlu rujukan]

Sejarah sunting

Sejarah dan ikonografi purba sunting

Keterangan tentang anjing putih penjaga kawanan ternakan ditemukan dalam kesusasteraan Rom kuno dalam karya seperti karya Columella, Varro, dan Palladius. Anjing serupa digambarkan dalam banyak arca dan lukisan dari zaman Rom hingga kini. Antara yang terawal ialah siri patung besar (dua buah di Rom, sebuah di Firenze, sebuah – Anjing Duncombe – di England) yang disalin daripada gangsa Helenistik dari Pergamon.[5]

Sumber ikonografi yang dikenal pasti relevan dengan sejarah anjing gembala Maremma termasuk:[5]

Sejarah terkini sunting

 
Anjing gembala Abruzzo sekitar tahun 1915
 
Kepala besar anjing gembala Maremma-Abruzzo

Pendaftaran pertama anjing Maremma dalam Libro delle Origini Italiano bagi Kennel Club Italiano, seperti yang dipanggil ketika itu, adalah untuk empat ekor anjing pada tahun 1898. Tiada pendaftaran lanjut selama bertahun-tahun. Pada tahun 1940, terdapat 17 ekor anjing yang didaftarkan. Piawaian pertama untuk baka ini dirangka pada tahun 1924 oleh Luigi Groppi dan Giuseppe Solaro.[12]

Sehingga tahun 1958, pastore maremmano ("anjing gembala Maremma") dan pastore abruzzese ("anjing gembala Abruzzo") dianggap sebagai baka berasingan. Sebuah persatuan pembiak baka untuk pastore abruzzese dibentuk pada tahun 1950, dan sebuah lagi untuk pastore maremmano pula pada tahun 1953. Pada 1 Januari 1958, baka-baka tersebut disatukan oleh ENCI, Ente Nazionale della Cinofilia Italiano, iaitu persatuan anjing kebangsaan Itali. Penjelasan yang diberikan ialah bahawa "penyatuan semula jadi" kedua-dua jenis ini telah berlaku oleh sebab pergerakan anjing-anjing ini kerana pindah ternak kawanan biri-biri dari rantau ke rantau, khususnya selepas penyatuan Itali.[1] Sehingga tahun 1860, pergunungan Abruzzo dan dataran Maremma terletak di negara berlainan. Walaupun sesetengah terbitan lama merujuk pastore maremmano dan pastore abruzzese sebagai baka bebas yang digabungkan untuk menghasilkan pastore maremmano-abruzzese, telah ada catatan bahawa pastore maremmano berbulu lebih pendek hanya pernah diperhatikan semasa bulan-bulan musim sejuk, apabila kawanan ternakan meragut di padang ragut musim sejuk di Toscana di pinggir laut lebih yang lebih sederhana, manakala pastore abruzzese bertubuh lebih panjang yang diperkatakan hanya diperhatikan pada bulan-bulan musim panas, apabila kawanan ternakan meragut di pergunungan Abruzzo.[13][14]

Apabila penternakan biri-biri berkembang menjadi perjalanan atau pindah ternak tahunan dari padang rumput gunung di Abruzzo dan di Molise (dan di bahagian lain di Itali tengah) ke selatan ke padang ragut pamah di Puglia, tempat keberadaan biri-biri sepanjang musim sejuk,[perlu rujukan] anjing-anjing ini memainkan peranan utama dalam penghijrahan berabad-abad lamanya, acara tahunan yang penting kepada budaya Abruzzo. Anjing Maremma terus digunakan secara meluas oleh para penternak biri-biri Itali di kawasan yang umumnya mengalami pemangsaan, seperti Pergunungan Appennine di Itali tengah dan kawasan terbuka di taman-taman negara di Abruzzo. Anjing-anjing ini juga telah digunakan untuk menjaga haiwan di Australia, di Kanada, dan di Amerika Syarikat.[15]

Ciri sunting

Anjing Maremma mempunyai tubuh padu dan berotot, lapis bulu putih tebal, kepala besar, dan hidung hitam. Mengikut piawaian baka, jantan patut berukuran seberat 35–45 kg (77–99 lb) dan berdiri setinggi 65–73 cm (26–29 in) pada paras bahu, manakala betina pula seberat 30–40 kg (66–88 lb) dan berdiri setinggi 60–68 cm (24–27 in). Sesetengah anjing mungkin jauh lebih besar. Lapis bulunya panjang dan tebal, kasar kepada sentuhan dan membentuk kolar tebal di sekeliling leher. Warnanya mestilah putih padu; sedikit kekuning-kuningan kecil mungkin ditoleransi.[16]

Sesetengah pihak membahagikan baka ini kepada pelbagai subjenis, sebahagian besarnya berdasarkan perbezaan kecil dari segi sifat fizikal dan dengan nama subjenis yang berdasarkan nama kampung dan provinsi yang mempunyai anjing berkenaan, cth. maremmano ("[anjing] Maremma"), marsicano ("[anjing] Marsica"), aquilano ("[anjing] L'Aquila"), pescocostanzo ("[anjing] Pescocostanzo"), maiella ("[anjing] Maiella"), dan peligno ("[anjing] Peligna").[17] Walau bagaimanapun, ahli biologi mempertikaikan pembahagian ini, serta kebergantungan berlebihan pada perbezaan fizikal kecil, kerana anjing ini dibiakbakakan selama berabad-abad untuk ciri-ciri tingkah laku sebagai penjaga kawanan ternakan.[perlu rujukan]

Kegunaan sunting

 
Roccale jenis berbeza
 
Roccale atau vreccale, kolar besi berpacak

Penggunaan tradisional bagi anjing Maremma adalah sebagai penjaga untuk perlindungan kawanan biri-biri menentang serigala. Columella, yang menulis pada abad pertama Masihi, mengesyorkan anjing putih untuk tujuan ini, kerana gembala dapat semudahnya membezakannya daripada serigala, manakala Varro mencadangkan agar anjing putih mempunyai "aspek mirip singa" dalam kegelapan.[18] Anjing ini bekerja dalam kumpulan; tiga atau empat ekor anjing merupakan pertahanan mencukupi terhadap serigala dan anjing terbiar. Fungsi ini kebanyakannya adalah untuk penegahan sementara pertempuran fizikal sebenar dengan pemangsa adalah agak jarang berlaku.[19] Walau apa pun, anjing pekerja mungkin dipakaikan roccale (atau vreccale), iaitu kolar besi berpacak yang melindungi leher dalam pertempuran.[19] Sehingga pemotongan telinga menjadi haram di Itali, telinga anjing pekerja biasanya dipotong.[5]:139

Anjing yang digunakan untuk perlindungan kawanan ternakan diletakkan sesama biri-biri sebagai anak anjing muda – usia tidak lebih daripada 40 hari – supaya terikat dengan kawanan biri-biri; hubungan manusia dikekalkan pada tahap minimum yang sangat diperlukan.[20] Jika sudah ada anjing penjaga dalam kawanan, anak anjing itu meniru dan belajar daripada tingkah laku anjing sedia ada itu.[20] Penggunaan tradisional anjing Maremma adalah dengan biri-biri, tetapi anjing ini dapat menjalin ikatan serupa dengan lembu dan pernah digunakan untuk melindungi lembu.[21] Sebilangan kecil telah digunakan sejak tahun 2006 di Middle Island, di luar Warrnambool, di Victoria, Australia, untuk melindungi populasi kecil penguin kecil Australia (Eudyptula novaehollandiae) daripada rubah invasif.[22][23] Di Patagonia, ia telah digunakan untuk melindungi biri-biri daripada puma.[24]

Sebuah kajian yang dipimpin oleh para penyelidik di Universiti Tasmania, Zoos Victoria, dan Universiti Melbourne menentukan bahawa kesan anjing Maremma sebagai anjing penjaga haiwan ternakan membolehkan pemangsa liar wujud bersama dengan pertanian. Kehadiran anjing Maremma mewujudkan suasana ketakutan terhadap rubah yang serupa dengan yang dikenakan oleh pemangsa liar besar secara semula jadi, lalu menghalang pemangsa daripada menyerang haiwan ternakan.[25] Kajian juga mencadangkan bahawa penggunaan anjing Maremma dapat memanfaatkan spesies hidupan liar kecil lain di kawasan berkenaan.

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: انجيڠ ݢمبالا ماريما-ابروتسو; Itali: cane da pastore maremmano-abruzzese; pastore maremmano-abruzzese; bahasa Inggeris: Maremma and the Abruzzes sheepdog; Maremma and Abruzzes sheepdog; Maremmano-Abruzzese sheepdog

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d e f Standard del cane da pastore maremmano abruzzese (Itali). Ente Nazionale dell Cinofilia Italiana. Diarkbikan pada 22 Jun 2016.
  2. ^ Graeme Barker, Tom Rasmussen (2000). The Etruscans (Inggeris). Wiley-Blackwell.
  3. ^ Ancona, George (1985). Sheep Dog (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). New York, Amerika Syarikat: Lothrop, Lee & Shepard. ISBN 9780688041199.
  4. ^ Le Origini del cane Pastore - Maremmano Abruzzese (Itali). Circolo del Pastore Maremmano - Abruzzese. Diarkibkan pada 25 Ogos 2016.
  5. ^ a b c d Breber, Paolo (1983). Il Cane da Pastore Maremmano-Abruzzese, second edition (in Italian). Firenze: Olimpia.
  6. ^ Max von Stephanitz (1901) Der deutsche Schäferhund in Wort und Bild: Herausgegeben im Auftrage des Vereins für deutsche Schäferhunde (Jerman). Augsburg, Jerman: Lampart
  7. ^ V[illot], F[rédéric] (1855) Guide through the galleries of paintings of the Imperial museum of the Louvre (Inggeris) Paris, Perancis: De Soye dan Bouchet, hlm. 620, entri 387
  8. ^ Gobin, Alphonse (1869) Traité pratique du chien; histoire, races, emploi, hygiène et maladies Paris: Mme Ve. Bouchard-Huzard (Perancis) "Karangan amali anjing; sejarah, baka, kegunaan, kesihatan, dan penyakit"; dikutip oleh Breber (1983), hlm. 27
  9. ^ Dandolo, Conte Vincenzo (1804). Del governo delle pecore spagnuole e italiane e dei vantaggi che ne derivano (Itali). Milan, Itali: L. Veladini; cited by Breber (1983), hlm. 173–175
  10. ^ Charles Knight (penyunting) (1833). Penny magazine of the Society for the diffusion of useful knowledge Volume 2 (Inggeris) London, United Kingdom: Charles Knight hlm. 200
  11. ^ Coleman, Charles (1850). A Series of Subjects peculiar to the Campagna of Rome and Pontine Marshes, designed from nature and etched by C. Coleman (Inggeris) Rom, Itali: [s.n.]
  12. ^ Franco Simoni (1987). "Storia ed etimologia" (Itali), dalam: Fiorenzo Fiorone (1987). I pastori italiani: il maremmano-abruzzese e il bergamasco. Milano: De Vecchi Editore. ISBN 978-88-412-2316-1.
  13. ^ Coppinger, Raymond; Coppinger, Lorna (2001). Dogs: a startling new understanding of canine origin, behavior & evolution (dalam bahasa Inggeris). New York, Amerika Syarikat: Scribner. m/s. 124. ISBN 0-684-85530-5.
  14. ^ Hancock, David (2014). Dogs of the shepherds: a review of the pastoral breeds (dalam bahasa Inggeris). Ramsbury, Wiltshire, United Kingdom: The Crowood Press Ltd. m/s. 42. ISBN 978-1-84797-808-0.
  15. ^ Livestock guarding dogs: their current use world wide by Robin Rigg 2001 (Inggeris) Diarkibkan 30 Jun 2007 di Wayback Machine
  16. ^ Cane da pastore Maremmano Abruzzese - Lo Standard (Itali). Circolo del Pastore Maremmano - Abruzzese. Diarkibkan pada 31 Oktober 2017.
  17. ^ Abruzzese Shepherd Dog - Types and Subtypes by Marco Petrella (Inggeris)
  18. ^ dipetik dalam: Lorna Coppinger and Raymond Coppinger, Dogs: A New Understanding of Canine Origin, Behavior and Evolution (Inggeris) (2002), University of Chicago Press, ISBN 0-226-11563-1, halaman 120.
  19. ^ a b Caratteristiche del Cane da difesa del gregge (Itali). Circolo del Pastore Maremmano–Abruzzese. Diarkibkan pada 5 November 2013.
  20. ^ a b L'Allevamento del Cane da difesa del gregge (Itali). Circolo del Pastore Maremmano–Abruzzese. Diarkibkan pada 5 November 2013.
  21. ^ Coppinger, R. dan L. Coppinger. 1995. Interaction between livestock guarding dogs and wolves (Inggeris). Halaman 523–526 dalam L.N. Carbyn, S.H. Fritts dan D.R. Seip, penyunting. Wolves in a changing world (Inggeris). Canadian Circumpolar Institute, Edmonton, Alberta, Kanada.
  22. ^ Penguin numbers up after world-first maremma trial - 13/12/2006 (Inggeris). Warrnambool City Council. Diarkibkan pada 27 September 2007.
  23. ^ [Rural Reporters from Canberra 2600] (25 Jun 2010). National Landcare Winners 2010 (Inggeris). ABC Rural. Diarkibkan pada 28 Jun 2010.
  24. ^ Liam Miller (3 Julai 2021). Lights, dogs, action! Patagonia project to keep pumas from preying on sheep (Inggeris). The Guardian. Dicapai pada 15 Januari 2024.
  25. ^ van Bommel, Linda; Magrath, Michael; Coulson, Graeme; Johnson, Chris N. (Januari 2024). "Livestock guardian dogs establish a landscape of fear for wild predators: Implications for the role of guardian dogs in reducing human–wildlife conflict and supporting biodiversity conservation". Ecological Solutions and Evidence (dalam bahasa Inggeris). 5 (1). doi:10.1002/2688-8319.12299. ISSN 2688-8319.