Anjing lembu Australia
Anjing lembu Australia[a] ialah satu baka anjing gembala yang pada asalnya dikembangkan di Australia untuk penggiringan lembu di sepanjang jarak panjang melalui rupa bumi mencabar. Baka ini ialah anjing bersaiz sederhana dan berbulu pendek yang terdapat dalam dua bentuk warna utama. Ia sama ada mempunyai bulu merah atau hitam yang tertabur dengan agak sekata di serata lapis bulu putih yang memberikan penampilan anjing "merah" atau "biru".
Nama lain | ACD Anjing lembu Cattle dog Anjing penumit biru Anjing penumit merah Anjing penumit Queensland | ||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | Australia | ||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Seperti anjing daripada baka-baka pekerja lain, anjing lembu Australia adalah bertenaga dan cerdas dengan unsur berdikari. Ia bergerak balas dengan baik terhadap pelatihan berstruktur, khususnya sekiranya menarik dan mencabar. Ia pada asalnya dibiakbakakan untuk menggembala dengan menggigit, dan diketahui menggigit kanak-kanak. Ia membentuk ikatan kuat dengan pemiliknya dan dapat bersifat pelindung terhadap pemiliknya dan harta milik pemiliknya. Bulunya mudah diaturkan dan dijaga dengan keperluan yang sedikit lebih daripada pemberusan semasa tempoh salin bulu. Masalah kesihatan paling umum merupakan kepekakan dan kebutaan progresif (kedua-duanya keadaan kebakaan) dan kecederaan tidak sengaja.
Thomas Simpson Hall, ahli pastoral dan anak kepada kolonis perintis rantau Hawkesbury, George Hall, mengembangkan anjing pekerja Australia untuk penternakan lembu semasa pertengahan tahun 1800-an. Robert Kaleski, yang mengarang piawaian pertama untuk anjing lembu ini (kemudian, anjing lembu Australia), memanggil anjing Hall "Halls heeler" ("[anjing] penumit Hall").[1] Thomas Hall mengimport anjing dari United Kingdom,[2] khususnya collie Tanah Tinggi berbintik biru, dan menyilangkan anjing itu dengan dingo terpilih untuk menghasilkan baka ini.[3][4] Halls heeler kemudian dikembangkan, khususnya oleh Jack dan Harry Bagust dari Sydney pada tahun 1880-an, menjadi dua baka moden, anjing lembu Australia dan anjing lembu berekor kontot Australia. Bagust bersaudara "membiakbakakan banyak dan melemaskan banyak" untuk menghasilkan baka ini.[3]
Anjing lembu Australia telah diberi nama gelaran "anjing penumit merah" atau "anjing penumit biru" atas dasar pewarnaannya dan amalan penggiringan lembu yang enggan dengan menggigit tumit. Nama gelaran "anjing penumit Queensland" mungkin telah berasal daripada sebuah buku kecil popular yang diterbitkan di Victoria.[5]
Ciri
suntingPenampilan
suntingAnjing lembu Australia ialah anjing tegap, berotot, dan padat yang memberikan kesan ketangkasan dan kekuatan. Ia mempunyai tengkorak lebar yang merata hingga stop jelas di antara mata, dengan pipi berotot dan muncung sederhana panjang, dalam, dan berkuasa. Telinganya mencucuk, bersaiz kecil hingga sederhana, dan merenggang lebar-lebar, dengan litupan bulu di bahagian dalam. Matanya bujur dan gelap, dengan ekspresi berwaspada dan tajam. Leher dan bahu kuat dan berotot; tungkai hadapan lurus dan selari; dan kaki membulat dan melengkung, dengan jari kaki dan kuku kecil dan tegap.[6]
Piawaian baka anjing lembu Australia menyatakan bahawa ia patut mempunyai otot terlazim dengan baik, walaupun apabila dibiakbakakan untuk pendampingan atau pertunjukan dan penampilannya patut bersimetri dan seimbang tanpa bahagian individu anjing itu yang melebih-lebih. Ia tidak patut kelihatan sama ada halus atau menyusahkan, kerana salah satu ciri tersebut membatasi ketangkasan dan daya ketahanan yang diperlukan untuk anjing pekerja.[6]
Saiz
suntingAnjing lembu Australia betina berukuran hampir-hampir setinggi 43–48 sentimeter (17–19 in) pada paras kelasa dan jantan berukuran hampir-hampir setinggi 46–51 sentimeter (18–20 in) pada paras kelasa]]. Anjing ini patut lebih panjang daripada ketinggiannya, iaitu panjang tubuh dari tulang dada hingga punggung lebih besar daripada ketinggian pada paras kelasa, dalam nisbah 10 dengan 9.[6]
Bulu dan warna
suntingTerdapat dua warna lapis bulu yang diterima, merah dan biru. Coklat dan krim dianggap sebagai kecacatan. Anjing biru dapat berwarna biru, berbelak biru, atau berbintik-bintik biru dengan sawo matang pada tungkai dan dada dan tanda-tanda putih dan tompok hitam atau "topeng" pada salah satu atau kedua-dua sisi kepala. Anjing merah berbintik sama rata dengan tanda-tanda merah padu dan, serupa dengan anjing biru, dapat mempunyai "topeng" tompok perang (merah) pada salah satu atau kedua-dua sisi kepala dan kadang-kadang pada tubuh.[7]
Kedua-dua anjing merah dan anjing biru lahir dengan berwarna putih (kecuali mana-mana tanda badan atau muka berwarna padu) dan bulu merah atau hitam muncul dari kira-kira usia empat minggu apabila seiring dengan tumbesaran dan kematangan. Pewarnaan distingtif dewasa ialah hasil daripada bulu hitam atau merah yang berselang-seli rapat-rapat melalui lapis bulu yang kebanyakannya berwarna putih. Ini bukan pewarnaan merle (kesan berbintik-bintik yang mempunyai isu kesihatan berkaitan), tetapi sebaliknya merupakan hasil daripada gen bintikan. Sebilangan baka menunjukkan bintikan, iaitu kehadiran warna melalui kawasan putih, walaupun kesan keseluruhan bergantung pada gen-gen lain yang akan mengubah suai saiz, rupa bentuk, dan ketumpatan bintik.[8]
Sebagai tambahan kepada pewarnaan primer, anjing lembu Australia memaparkan sesetengah tompok berwarna padu atau hampir padu. Pada kedua-dua anjing merah dan anjing biru, yang paling umum merupakan topeng pada salah satu atau kedua-dua mata, hujung putih pada ekor, tompok padu di pangkal ekor, dan kadang-kadang tompok padu pada tubuh, walaupun ini tidak diingini pada anjing yang dibiakbakakan untuk pertunjukan pengakuran. Anjing biru mungkin mempunyai warna sawo matang ke atas sehingga pertengahan tungkai dan memanjang ke arah bahagian hadapan hingga dada dan tekak, dengan sawo matang pada rahang, dan kening sawo matang.[6] Kedua-dua bentuk warna dapat mempunyai "bintang" putih pada dahi yang dipanggil "Bentley Mark", iaitu anjing yang dikatakan pernah dimiliki oleh Tom Bentley yang tidak berasas yang keturunannya didakwa dapat dikenal pasti melalui tompok putih pada dahi dan palang ekor hitam.[9] Warna salah umum pada anjing lembu Australia merupakan bulu hitam pada anjing berlapis bulu merah, termasuk pelana hitam ekstrem pada anjing merah, dan sawo matang berlebihan pada muka dan tubuh pada anjing biru, yang dipanggil "sawo matang menjalar".[10] Anjing lembu Australia mempunyai lapis bulu ganda—rerambut pengawal luar pendek dan lurus yang bersifat pelindung untuk menghalang unsur-unsur luaran daripada kulit anjing manakala lapis bulu bawahnya pendek, halus, dan padat.
Topeng terdiri daripada tompok hitam pada salah satu atau kedua-dua mata (untuk warna lapis bulu biru) atau tompok merah pada salah satu atau kedua-dua mata (untuk warna lapis bulu merah). Bergantung pada sama ada salah satu atau kedua-dua mata mempunyai tompok, ini dipanggil, masing-masing, topeng "tunggal" (atau "separuh") dan topeng "ganda" (atau "penuh"). Anjing tanpa topeng dipanggil bermuka kosong. Mana-mana daripada ini dapat diterima menurut piawaian baka. Dalam pertunjukan pengakuran, tanda-tanda sekata lebih diutamakan daripada tanda-tanda tidak sekata.[6]
Ekor
suntingPiawaian baka kelab-kelab kenel Australia, Amerika,[11] dan Kanada[12] menyatakan bahawa anjing lembu Australia patut mempunyai ekor semula jadi, panjang, dan tidak terpotong. Kerap terdapat tompok berwarna padu di pangkal ekor dan hujung putih. Ekornya patut terletak sederhana rendah, mengikut cerun belakangnya. Ekornya patut tergantung dalam lengkungan ringan semasa berehat, walaupun anjing teruja mungkin mengangkat ekornya dengan lebih tinggi. Ekornya patut mempunyai paras berus baik.[6]
Di Amerika Syarikat, ekornya kadang-kadang terpotong pada ternakan pekerja.[perlu rujukan] Pemotongan ekor dilarang, kecuali dalam keadaan keadaan khas, di semua negeri dan wilayah di Australia.[13]
Anjing lembu Australia mengongsi keleluhuran dan sejarah awal dengan anjing lembu berekor kontot Australia. Piawaian baka, yang terpakai di Queensland semasa tahun 1930-an, memerihalkan dua keragaman anjing lembu, iaitu "berekor panjang" dan "berekor pendek". Keragaman berekor pendek adalah sama dengan keragaman berekor panjang kecuali panjang ekor.[14] Kedua-dua keragaman dipamerkan dalam kelas berasingan. Pada tahun 1963, Australian National Kennel Council membezakan kedua-dua keragaman dalam piawaian baka berasingan.[perlu rujukan]
Perangai
suntingSeperti kebanyakan anjing pekerja, anjing lembu Australia mempunyai paras tenaga tinggi, minda aktif, dan tahap kebebasan.[15] Baka ini menduduki tempat ke-10 dalam The Intelligence of Dogs karya Stanley Coren setelah dinilai sebagai salah satu baka anjing paling cerdas yang dinilai menurut kebolehlatihan perintah kepatuhan.[16] Anjing lembu memerlukan banyak senaman, pendampingan, dan kerja untuk dilakukan, jadi anjing bukan pekerja mungkin menyertai sukan anjing, pembelajaran trik, atau aktiviti lain yang merangsang tubuh dan mindanya.[15]
Apabila berada di pekarangan rumah, anjing lembu Australia ialah anjing peliharaan penyayang dan suka bermain.[15] Walau bagaimanapun, ia menjauhi orang asing dan secara semula jadi berhati-hati dalam situasi baharu. Sikapnya terhadap orang asing menjadikannya anjing pengawal cemerlang apabila dilatih untuk tugas ini, dan ia dapat disosialisasi untuk membiasakan diri terhadap pelbagai orang dari usia muda sebagai anjing peliharaan keluarga. Ia baik dengan kanak-kanak lebih tua dan bertimbang rasa, tetapi akan menggembala orang dengan menggigit tumit mereka, khususnya kanak-kanak lebih muda yang berlari dan menjerit.[17] Pada masa cerai susu anak anjing, ia patut sudah belajar bahawa kehadiran orang ramai adalah menyenangkan dan bahawa tindak balas terhadap isyarat daripada seseorang adalah bermanfaat.[18] Ikatan yang dapat dijalin oleh baka ini dengan pemiliknya adalah erat dan akan membuat anjing berkenaan bersikap pelindung bagi pemiliknya, biasanya menyebabkan anjing berkenaan kekal tidak pernah berada terlalu jauh dari sisi pemiliknya. Anjing lembu Australia dapat menjadi teman paling ramah walaupun ia cepat bertindak balas terhadap emosi pemiliknya dan mungkin mempertahankan mereka tanpa menunggu arahan.[19] Ia pada asalnya dibiakbakakan untuk menggerakkan lembu enggan dengan menggigit dan ia akan menggigit jika dilayan dengan kasar.[17] Sifat pelindung anjing lembu Australia dan kecenderungannya untuk menggigit tumit dapat menjadi berbahaya apabila anjing berkenaan membesar menjadi dewasa jika tingkah laku yang tidak diingini dibiarkan tanpa kawalan.[20]
Walaupun anjing lembu Australia pada umumnya bekerja secara senyap, ia akan menyalak sebagai amaran atau untuk menarik perhatian.[perlu rujukan] Salakan dapat menjadi tanda kebosanan atau kekecewaan, walaupun penyelidikan telah menunjukkan bahawa anjing peliharaan meningkatkan penyuaraannya apabila dibesarkan dalam persekitaran hingar.[21] Ia bergerak balas dengan baik terhadap anjing kenalan, tetapi apabila berbilang anjing hadir, pengasasan tatatingkat dapat mencetuskan agresi. Ia bukan baka yang hidup dalam kawanan dengan anjing lain.[17]
Sebagai anjing peliharaan
suntingPenjagaan bulu
suntingDengan gelaran anjing "cuci dan pakai", anjing lembu Australia memerlukan sedikit penjagaan bulu. Ia bukan penggugur sepanjang tahun tetapi ia "meniup lapis bulunya" sekali setahun (dua kali dalam kes betina utuh).[22]
Pelatihan
suntingSeperti baka pekerja lain, anjing lembu Australia adalah cerdas dan responsif; kedua-dua trait ini dapat menjadi kelebihan dalam pelatihan yang mempunyai program berstruktur dan pelbagai yang digunakan, tetapi dapat membawa kepada hasil yang tidak diingini jika pelatihan tidak tekal atau berulang-ulang dan membosankan untuk anjing berkenaan.[23] Anjing lembu Australia mudah patuh dan bergerak balas dengan baik terhadap pelatihan.[24]
Kegiatan
suntingAnjing lembu Australia menuntut paras tinggi aktiviti fizikal. Seperti kebanyakan baka anjing gembala lain, anjing lembu mempunyai minda aktif dan subur dan, jika tidak diberi pekerjaan untuk dilakukan, ia akan mencari aktivitinya sendiri. Ia menghargai sesei berjalan di sekitar kawasan kejiranan, tetapi memerlukan aktiviti berstruktur yang merangsang dan mencabarnya dan interaksi nalar dengan pemiliknya. Walaupun anjing individu mempunyai keperibadian dan kebolehan sendiri, sebagai baka, anjing lembu Australia sesuai untuk sebarang aktiviti yang memerlukan atletisisme, kecerdasan, dan daya ketahanan.[15]
Ujian penggembalaan tajaan kelab kenel dengan pelbagai acara adalah sesuai dengan kebolehan penggiringan anjing lembu. Naluri dan kebolehlatihan penggembalaan diukur dalam ujian penggembalaan tanpa persaingan dan arahan asas kadang-kadang diajarkan melalui permainan mengembala, dengan peraturan seperti "stay" ("tinggal", "duduk"), "get it" ("dapatkannya"), dan "that'll do" ("itu sudah cukup") yang digunakan untuk mengutip bola atau mengejar penyapu halaman.[25]
Anjing lembu Australia telah dikembangkan kerana keupayaannya untuk menggiring lembu berkeengganan untuk melalui perjalanan jauh dan mungkin merupakan baka terbaik di dunia untuk kerja ini.[18] Walau bagaimanapun, sesetengah jurulatih anjing pekerja telah menyatakan kebimbangan bahawa anjing yang dibiakbakakan untuk gelanggang pertunjukan memiliki semakin tungkai terlalu pendek dan tubuh terlalu gempal untuk melaksanakan kerja yang merupakan tujuan pembiakbakaan aslinya.[18]
Antara aktiviti paling popular untuk anjing lembu Australia ialah ketangkasan anjing. Ia amat sesuai untuk mengharungi balapan berhalang, kerana, sebagai anjing penggembala, ia reaktif terhadap bahasa tubuh daripada pengendali dan sanggup bekerja dengan tepat pada jarak tertentu dari pengendali. Ketangkasan telah digunakan oleh pemilik anjing lembu untuk menyemai keyakinan pada anjing mereka dan meningkatkan prestasinya dalam pelatihan dan pertandingan.[26]
Anjing lembu Australia berdaya hidup dengan perubahan dan pengalaman baharu dan ramai pengendali mendapati bahawa pelatihan baka ini mencabar atas sebab ini. Anjing lembu Australia dapat menjadi cemerlang dalam pertandingan kepatuhan. Ia menikmati cabaran, seperti pemerolehan artikel berbau, tetapi kebolehan penyelesaian masalah pada baka ini mungkin membawanya kepada penyelesaian masalah yang tidak semestinya diberi ganjaran oleh hakim kepatuhan. Rally obedience menawarkan lebih banyak interaksi dengan pemilik dan kurang pengulangan berbanding dengan ujian kepatuhan tradisional.[27]
Anjing lembu Australia telah berjaya dalam pelbagai sukan anjing termasuk penarikan berat, flyball, dan schutzhund.[28] Baka ini khususnya sesuai untuk aktiviti yang dapat dikongsi oleh anjing berkenaan dengan pemiliknya seperti canicross, anjing cakera, dan skijoring atau bikejoring. Ia merupakan teman pendakian berkesan kerana daya ketahanan semula jadinya, kekurangan minat umum dalam perburuan, dan keinginan untuk kekal di sisi pemiliknya.[27] Kebanyakan anjing lembu Australia menyukai air dan merupakan perenang cemerlang.[29] Ia bukan baka hiperaktif dan, setelah senaman, ia gembira untuk berbaring di kaki pemiliknya atau berehat di atas katil atau di dalam sangkar sambil mengekalkan kewaspadaan telinga dan mata untuk tanda-tanda aktiviti menanti. Anjing lembu Australia ialah anjing yang mudah menyesuaikan diri yang dapat menerima keadaan hidup di bandar atau di ruangan dalaman, jika keperluan senaman dan persahabatannya sesuai dipenuhi.[30]
Anjing lembu Australia dapat digunakan untuk kerja dalam beberapa cara. Anjing lembu ialah anjing khidmat untuk orang kurang upaya atau anjing terapi,[28] sesetengahnya bekerja untuk agensi kastam dalam pengesanan dadah, sesetengahnya sebagai anjing polis,[27] yang lain mengusir haiwan perosak, seperti angsa, untuk agensi bandar raya atau negeri,[31] dan sesetengah pula bekerja sebagai anjing pengesan tinja yang menjejaki spesies hidupan liar terancam.[32]
Kesihatan dan jangka hayat
suntingJangka hayat
suntingDalam sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mengenai 50 ekor anjing, baka ini mempunyai purata jangka hayat sebanyak 14 tahun berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[33] Banyak anjing baka ini masih sihat dan aktif pada usia 12 atau 14 tahun dan sesetengah anjing mengekalkan penglihatan, pendengaran, dan juga gigi sehingga hari-hari terakhir.[34]
Masalah kesihatan lazim
suntingAnjing lembu Australia membawa alel piebald resesif yang menghasilkan warna putih pada lapis bulu dan kulit serta dirangkaikan dengan kepekakan keturunan kongenital, walaupun ada kemungkinan bahawa terdapat punca berbilang gen untuk kepekakan pada anjing dengan gen pigmen piebald.[35] Sekitar 10.8% daripada populasi anjing lembu dalam sebuah kajian Australia didapati pekak di sebelah telinga atau di kedua-dua belah telinga.[36]
Anjing lembu Australia ialah salah satu baka anjing yang terjejas akibat atrofi retina progresif. Ia mempunyai bentuk paling umum, iaitu degenerasi batang-kon progresif (PRCD), keadaan yang menyebabkan batang dan kon di dalam retina mata merosot di kemudian hari, lalu menyebabkan buta. PRCD ialah trait resesif autosom dan anjing dapat menjadi pembawa gen terjejas tanpa menghidap keadaan tersebut.[37]
Displasia pinggul tidak lazim pada baka ini,[22] tetapi berlaku dengan cukup kerap sehingga ujian penyaringan radiografi khusus bagi pelvis ditawarkan kepada para pembiak baka dan pemilik.[38] Anjing lembu mempunyai sebilangan keadaan terwaris,[39] tetapi kebanyakannya daripada ini adalah tidak umum. Polioensefalomielopati keturunan pada anjing lembu Australia ialah keadaan sangat jarang yang disebabkan oleh kecacatan biokimia terwaris. Anjing yang dikenal pasti dengan keadaan ini sepenuhnya lumpuh dalam tahun pertamanya.[40] Berdasarkan sampel yang terdiri daripada 69 ekor anjing yang masih hidup, isu kesihatan paling umum yang diperhatikan oleh pemilik merupakan isu otot rangka (spondilosis, displasia siku, dan artritis), isu pembiakan (piometra, ketidaksuburan, dan kehamilan palsu), dan kebutaan.[41] Sebuah kajian terhadap anjing yang didiagnosis di kolej-kolej veterinar di Amerika Syarikat dan di Kanada dalam tempoh tiga puluh tahun memerihalkan keretakan, ketempangan, dan koyakan ligamen krusiat sebagai keadaan paling umum pada anjing lembu Australia yang dirawat.[42]
Sejarah
suntingDi Australia
suntingKolonis British George Hall dan keluarga beliau tiba di Koloni New South Wales pada tahun 1802. Menjelang tahun 1825, Halls telah mengasaskan dua buah stesen lembu di Upper Hunter Valley dan telah memulakan pengembangan ke utara ke Liverpool Plains, ke New England, dan ke Queensland. Pemindahan lembu beliau ke pasar-pasar Sydney menimbulkan masalah kerana lembu perlu diggerakkan di sepanjang laluan ternakan tidak berpagar melalui semak belukar dan banjaran gunung kadang-kadang berceranggah. Gerombolan lembu adalah kecil (pusat populasi adalah kecil) dan jaraknya pendek berbanding dengan prestasi penggiringan jarak jauh keluarga Durack, dan lain-lain, pada lewat abad kesembilan belas.[43][44][45] Sehingga penciptaan pembuatan air batu dan penyejukan pada tahun 1850-an (oleh seorang pendatang Scotland ke Australia, James Harrison),[46] para tukang daging, dan pelanggan mereka, tidak mempunyai pilihan selain membeli daging mereka dalam kuantiti kecil dan penternak lembu, termasuk keluarga Hall, tidak mempunyai pilihan selain mengekalkan bekalan lembu berterusan, namun kecil, ke pasaran mereka.[perlu rujukan]
Anjing penggiring yang digunakan pada masa itu biasanya merupakan anjing Smithfield yang sering menyalak dan menggigit hidung lembu yang mengganggu ternakan.[3] Pengganti diperlukan, dan Hall bersedia untuk cabaran ini. Thomas Simpson Hall, salah seorang anak lelaki kepada George, telah mengasaskan stesen Dartbrook di Upper Hunter Valley pada tahun 1820-an. Beliau telah membawa anjing bersama-sama, serta lembu, dan telah mengasah potensi pengendalian lembu pada anjing beliau. Beliau membiakbakakan collie Tanah Tinggi berbintik biru dengan dingo, sejenis anjing purba yang jarang menyalak dan secara naluri menggigit tumit atau belakang sukuan pada haiwan yang dikejar. Hasilnya ialah penciptaan Halls heelers pertama yang bekerja secara senyap dan menggigit tumit lembu untuk menekankan kuasa. Pada tahun 1880-an dan tahun 1890-an, Jack dan Harry Bagust dari Sydney, menyilangkan Halls heelers dengan baka-baka lain seperti kelpie dan dalmatian untuk menghasilkan anjing pertama yang dikenali sebagai Australian cattle dog ("anjing lembu Australia").[3]
Menjelang tahun 1890-an, anjing keturunan Halls heeler telah menarik perhatian sekumpulan lelaki yang mempunyai minat rekreasi terhadap amalan baru penunjukan anjing secara kompetitif. Tiada seorang pun yang bekerja dengan lembu setiap hari, dan pada mulanya mereka berminat dengan pelbagai anjing pekerja. Ahli-ahli terkemuka kumpulan itu tertumpu kepada pembiakbakaan susur galur ini.[47] Sesama pembiak baka ini, keluarga Bagust merupakan yang paling berpengaruh.[48]
Robert Kaleski, dari Moorebank, sekutu muda Harry Bagust, menulis "pada tahun 1893 apabila saya menyingkirkan anjing lembu baka silang saya dan mengambil blue ("anjing biru"), pembiak baka blue ini telah mula membiakbakakan [anjing] ... untuk menetapkan jenis. Saya merangka piawaian untuk mereka berdasarkan susur galur itu".[49] Piawaian baka pertama untuk baka cattle dog ini diterbitkan, dengan fotograf, oleh Jabatan Pertanian New South Wales pada tahun 1903. Piawaian Kaleski menekankan bahawa anjing ini patut mengekalkan penampilan umum keseluruhan bagi 'dingo gempal kecil'.[50][51]
Piawaian Kaleski diterima pakai oleh kelab-kelab baka di Queensland dan di New South Wales dan dikeluarkan semula sebagai milik mereka, dengan perubahan tempatan. Tulisan beliau dari tahun 1910-an memberikan gambaran tentang sejarah awal baka ini. Yang paling penting, Kaleski mengenal pasti perkaitan Thomas Simpson Hall dengan Halls heeler.[perlu rujukan]
Pada tahun 1890-an, anjing lembu daripada terbitan Halls heeler terlihat di kenel-kenel anjing pembiak baka anjing Queensland untuk pameran seperti William Byrne. Ini merupakan populasi berbeza daripada yang ditunjukkan di New South Wales dan termasuk pameran berekor panjang dan berekor pendek. Anjing ini mungkin berasal dari hartanah Hall di Queensland. Byrne, walau bagaimanapun, memulakan trend yang menggemari anjing lembu yang dibiakbakakan di New South Wales dan, pada tahun 1920-an, ramai pembiak baka mengikuti trend ini.
Anjing leluhur awal ketara bagi pedigri anjing lembu termasuk Brooklyn Dandy, Blue Rock, Little Gem, Little Sally, Little Logic, dan Logic Return.[52][53]
Prominens Little Logic dan Logic Return dalam pedigri bagi anjing lembu Australia moden dikekalkan oleh Wooleston Kennels. Woleston membekalkan anjing pembiakbakaan asasi dan tambahan, seperti Wooleston Blue Jack, kepada para pembiak baka di Australia, di Amerika Utara, dan di Eropah Benua.[54]
Di Amerika Syarikat
suntingPada tahun 1940-an, Alan McNiven, seorang doktor haiwan Sydney, memperkenalkan dingo, kelpie, anjing gembala Jerman, dan anjing pemburu kanggaru ke dalam program pembiakbakaan beliau; walau bagaimanapun, Royal Agricultural Society Kennel Club (RASKC) tidak ingin mendaftarkan baka silang itu sebagai anjing lembu Australia, walaupun McNiven berhujah bahawa ia benar kepada pengakuran, warna, dan perangai. McNiven bergerak balas dengan memberikan kertas pendaftaran anak anjing beliau daripada anjing mati dan akibatnya telah dibuang daripada RASKC dan kesemua anjing beliau disingkirkan daripada daftar. Sementara itu, Greg Lougher, seorang penternak lembu dari Napa, California yang bertemu dengan Alan McNiven semasa ditempatkan di Australia semasa Perang Dunia Kedua, telah mengimport beberapa ekor dewasa dan beberapa perinduk daripada McNiven. Selepas pembatalan pendaftaran beliau, McNiven terus mengeksport anjing beliau yang "diperbaiki" ke Amerika Syarikat. Ramai askar Amerika Syarikat yang ditempatkan di Queensland atau di New South Wales semasa peperangan menemukan anjing lembu Australia dan membawa pulang seekor apabila mereka pulang.[55]
Pada lewat tahun 1950-an, seorang doktor haiwan di Santa Rosa, California, Jack Woolsey, diperkenalkan kepada anjing milik Lougher. Bersama dengan rakan kongsi, beliau membeli beberapa ekor anjing dan mula membiakbakakan anjing tersebut. Pembiak baka mengiklankan anjing tersebut dalam Western Horsemen dengan menyatakan bahawa anjing tersebut dijamin untuk bekerja dan memanggil anjing tersebut Queensland heelers ("[anjing] penumit Queensland"). Woolsey mengimport beberapa anjing lembu Australia baka tulen untuk ditambahkan ke dalam program pembiakbakaan beliau, termasuk Oaklea Blue Ace, Glen Iris Boomerang, dan beberapa ekor anjing betina Glen Iris. National Stock Dog Registry of Butler, Indiana, mendaftarkan baka ini dengan memberikan nombor Amerika tanpa merujuk pendaftaran Australia.[55]
Anjing lembu Australia telah dikelaskan dalam kategori "lain-lain" dalam American Kennel Club (AKC) sejak tahun 1930-an; untuk mendapatkan pengiktirafan penuh baka, AKC mensyaratkan agar sebuah kelab induk baka kebangsaan disusun untuk promosi dan perlindungan baka ini.[55] Pada tahun 1967, Esther Ekman bertemu dengan Chris Smith-Risk dalam pameran AKC dan kedua-duanya terlibat dalam perbualan tentang anjing lembu Australia mereka dan proses pengasasan kelab induk untuk baka ini. Menjelang tahun 1969, kelab mentah itu mempunyai 12 orang anggota dan secara rasmi memohon kepada AKC untuk mendapatkan arahan. Salah satu syarat ialah supaya kelab itu perlu mula menyimpan daftarnya sendiri untuk baka ini dan agar semua anjing dalam daftar menjadi lanjutan bagi daftar Australia dengan menjejak kembali anjing berdaftar di Australia.[55] Para anggota kelab induk AKC mula menyelidik anjing mereka, termasuk bertukar surat-menyurat dengan McNiven dan mendapati bahawa sedikit anjing mereka mempunyai anjing yang dapat dikesan kembali kepada anjing yang didaftarkan di Australia. AKC mengambil alih daftar kelab itu pada tahun 1979 dan baka ini diiktiraf sepenuhnya pada September 1980. Australian Cattle Dog Club of America masih aktif dalam promosi baka ini dan penyelenggaraan piawaian baka. National Stock Dog Registry terus mengiktiraf anjing lembu tanpa pautan prasyarat kepada anjing berdaftar Australia dengan syarat bahawa mana-mana anjing dengan keleluhuran yang tidak diketahui dipersembahkan untuk pendaftaran akan didaftarkan sebagai "American Cattle Dog" ("anjing lembu Amerika") dan semua yang lain masih didaftarkan sebagai "Australian Cattle Dog" ("anjing lembu Australia").[55]
Di Kanada
suntingBaka ini mendapat pengiktirafan rasmi daripada Canadian Kennel Club pada Januari 1980 selepas lima tahun pengumpulan pedigri, pengumpulan sokongan, dan pelobian pegawai oleh dua orang pembiak baka dan penggemar.[56] Sebilangan kecil anjing lembu Australia di Kanada pada masa itu terutamanya merupakan anjing pekerja di ladang dan di ranco yang bertaburan di sepanjang jarak besar. Walau bagaimanapun, kelab baka yang masih mentah itu mengadakan pertunjukan pengakuran, pertandingan kepatuhan dan ketangkasan, dan memasukkan anjing mereka dalam sukan termasuk flyball dan lure coursing. Pada penghujung tahun 1980, Landmaster Carina dinamai anjing lembu Australia pertama di Kanada yang mendapatkan kedua-dua gelaran pengakuran dan kepatuhannya.[56]
Di United Kingdom
suntingAnjing lembu Australia berdaftar pertama yang tiba di United Kingdom merupakan dua ekor anak anjing biru, Lenthel Flinton dan Lenthel Darlot, yang diimport pada tahun 1980 oleh Malcolm Duding. Anjing-anjing ini diikuti sejurus selepas itu oleh Landmaster Darling Red sebagai anak anjing.[27] Landmaster Darling Red diimport oleh John dan Mary Holmes dan terbukti sebagai anak anjing betina luar biasa. Dalam beberapa tahun berikutnya, anjing lembu tambahan tiba di United Kingdom dari Belanda, Kenya, Jerman, dan Australia, namun sebelum kelonggaran peraturan mengenai permanian beradas, takungan gen United Kingdom adalah terhad. Pada tahun 1985, Australian Cattle Dog Society of Great Britain dibentuk dan diiktiraf secara rasmi oleh The Kennel Club; sebelum ini, mereka perlu bersaing dalam kategori "Any Variety Not Separately Classified" ("Sebarang Keragaman Tidak Dikelaskan secara Terpisah"). Anjing lembu Australia berjaya bersaing dalam kepatuhan dan ujian kerja di United Kingdom pada tahun 1980-an.[27]
Lihat juga
suntingCatatan
sunting- ^ Jawi: انجيڠ لمبو اءوستراليا ; bahasa Inggeris: Australian cattle dog
Rujukan
sunting- ^ Kaleski, Robert (1938). Foundation Dogs of Australia (dalam bahasa Inggeris). Sydney Mail 13 April 1938 hlm. 26, 30.
- ^ Kaleski, Robert (1907). The Australian Cattle Dog (dalam bahasa Inggeris). The Bookfellow jil. 1. bil. 1, 3 Januari 1907, hlm. 10–11.
- ^ a b c d Rolls, Eric Charles (2011). A Million Wild Acres: 200 Years of Man and an Australian Forest [Sejuta Ekar Liar: 200 Tahun Manusia dengan Sebuah Hutan Australia] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ulang tahun ke-30). McMahons Point, New South Wales, Australia: GHR Press. ISBN 9780868064642. OCLC 697698894.
- ^ "EBENEZER PIONEERS Of The Hakesbury". Windsor and Richmond Gazette (dalam bahasa Inggeris). 37 (1963). New South Wales, Australia. 5 Jun 1925. m/s. 10. Dicapai pada 15 Januari 2024 – melalui Perpustakaan Negara Australia.
- ^ Barrett, Charles; Latchford, Leonard A. (1930-an). The Sun Dog Book: Featuring Over 40 Breeds [Buku Anjing The Sun: Menampilkan Lebih daripada 40 Baka] (dalam bahasa Inggeris). Melbourne, Victoria, Australia: The Sun News-Pictorial. OCLC 220641765. Check date values in:
|date=
(bantuan) - ^ a b c d e f "ANKC Breed Standard for the Australian Cattle Dog" [Piawaian Baka ANKC untuk Anjing Lembu Australia] (dalam bahasa Inggeris). Australian National Kennel Council. 14 Disember 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Oktober 2011. Dicapai pada 31 Januari 2024.
- ^ "FCI-Standard N° 287 AUSTRALIAN CATTLE DOG" [Piawaian FCI No. 287 Anjing Lembu Australia] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 5 Disember 2012. Dicapai pada 15 Jun 2024.
- ^ Ruvinsky & Sampson 2001, halaman 80
- ^ Kaleski, Robert (1958). Cattle Dogs in The Australian Encyclopaedia (dalam bahasa Inggeris). Sydney, Australia, Grolier.
- ^ "Coat Color and Patterns in Australian Cattle Dogs" [Warna dan Corak Bulu pada Anjing Lembu Australia]. Australian Cattle Dog Club of America (dalam bahasa Inggeris). Australian Cattle Dog Club of America. 27 Mac 2018. Dicapai pada 27 April 2024.
- ^ "Australian Cattle Dog Breed Standard" [Piawaian Baka Anjing Lembu Australia] (PDF). American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 27 April 2024.
- ^ "Australian Cattle Dog Breed Standard" [Piawaian Baka Anjing Lembu Australia] (PDF). Canadian Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 27 April 2024.
- ^ "Queensland's ban on docking dogs' tails" [Larangan Queensland ke atas pemotongan ekor anjing]. business.qld.gov.au (dalam bahasa Inggeris). Pemerintah Queensland. 21 April 2011. Dicapai pada 27 April 2024.
- ^ Cattle Dog and Kelpie Club of Queensland (1923) (dalam bahasa Inggeris). Cattle Dog, in The Kennel, Brisbane Courier 1 Disember 1923, hlm. 12.
- ^ a b c d Robertson 1999, halaman 14
- ^ Coren 1995, halaman 182
- ^ a b c Lowell 1991, halaman 166
- ^ a b c Lithgow 1991, halaman 5–6, 25–28
- ^ Buetow 1998, halaman 136
- ^ Beauchamp 2007, halaman 46
- ^ Dehasse, Joël (1994). "Sensory, Emotional and Social Development of the Young Dog" [Perkembangan Deria, Emosi, dan Sosial Anjing Muda]. The Bulletin for Veterinary Clinical Ethology (dalam bahasa Inggeris). 2 (1–2): 6–29. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Februari 2010. Dicapai pada 31 Januari 2024.
- ^ a b Beauchamp 1997, halaman 67, 77
- ^ Schwartz 2004, halaman 78–102
- ^ Stockman 2000, halaman 102
- ^ "Getting Started in Herding" [Bermula dalam Penggembalaan] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Januari 2010. Dicapai pada 31 Januari 2024.
- ^ Simmons-Moake 1992, halaman 1–8
- ^ a b c d e Holmes & Holmes 1993, halaman 132–155
- ^ a b Shaffer 1984, halaman 53
- ^ Hamilton-Wilkes & Cumming 1982, halaman 77
- ^ Coren, Stanley (25 April 2000). Why We Love the Dogs We Do: How to Find the Dog that Matches Your Personality [Sebabnya Kita Menyayangi Anjing yang Kita Sayangi: Cara untuk Mencari Anjing yang Memadani Keperibadian Anda] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Free Press. ISBN 9780684855028. OCLC 123175233.
- ^ Woodruff, Roger A.; Green, Jeffrey S. (10 April 1995). "LIVESTOCK HERDING DOGS: A UNIQUE APPLICATION FOR WILDLIFE DAMAGE MANAGEMENT" [ANJING GEMBALA HAIWAN TERNAKAN: PENERAPAN UNIK UNTUK PENGURUSAN KEROSAKAN HIDUPAN LIAR]. Great Plains Wildlife Damage Control Workshop Proceedings (dalam bahasa Inggeris). Ardmore, Oklahoma, Amerika Syarikat: Noble Foundation. 12: 43–45. S2CID 14237392.
- ^ Wasser, Samuel K. (Oktober 2008). "Lucky dogs: Rescued from the pound, single-minded dogs sniff out the scat of endangered animals, trumping more technical tracking methods" [Anjing bertuah: Setelah diselamatkan daripada tempat kurungan binatang, anjing berdedikasi menghidu najis haiwan terancam, mengatasi kaedah penjejakan lebih teknikal.]. Natural History (dalam bahasa Inggeris). Muzium Sejarah Semula Jadi Amerika. 117 (8): 48–53. ISSN 0028-0712. S2CID 83026837.
- ^ McMillan, Kirsten M.; Bielby, Jon; Williams, Carys L.; Upjohn, Melissa M.; Casey, Rachel A.; Christley, Robert M. (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death" [Kelanjutan usia baka anjing teman: yang berisiko untuk kematian awal]. Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 14 (1): 531. Bibcode:2024NatSR..14..531M. doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check
|pmc=
value (bantuan). PMID 38302530 Check|pmid=
value (bantuan). S2CID 267382263 Check|s2cid=
value (bantuan). - ^ Beauchamp 1997, halaman 57–58
- ^ Strain, George M. (24 Jun 2003). "Deafness prevalence and pigmentation and gender associations in dog breeds at risk" [Prevalens kepekakan dan perkaitan pempigmenan dan jantina pada baka anjing yang berisiko]. The Veterinary Journal (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 167 (1): 23–32. doi:10.1016/S1090-0233(03)00104-7. ISSN 1532-2971. PMID 14623147. S2CID 17694078.
- ^ Sommerlad, Susan F.; Morton, John M.; Haile-Mariam, Mekonnen; Johnstone, Isobel; Seddon, Jennifer M.; O'Leary, Caroline Ann (29 Oktober 2012). "Prevalence of congenital hereditary sensorineural deafness in Australian Cattle Dogs and associations with coat characteristics and sex" [Prevalens kepekakan saraf deria keturunan kongenital pada anjing lembu Australia dan perkaitan dengan ciri lapis bulu dan jantina]. BMC Veterinary Research (dalam bahasa Inggeris). BioMed Central. 8 (1): 202. doi:10.1186/1746-6148-8-202. ISSN 1746-6148. PMC 3489614. PMID 23107143. S2CID 1624013.
- ^ Petersen-Jones, Simon M. (2003). "Progressive Retinal Atrophy: an overview" [Atrofi Retina Progresif: gambaran keseluruhan]. Proceedings of the 28th World Congress of the World Small Animal Veterinary Association (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 31 Januari 2024.
- ^ Higgs, Veronica. "Australian Cattle Dog breed health and care" [Kesihatan dan penjagaan baka Anjing Lembu Australia]. petmd.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 27 April 2024.
- ^ Sargan, David Richard (1 Jun 2004). "IDID: Inherited Diseases in Dogs: Web-based information for canine inherited disease genetics" [Penyakit Terwaris pada Anjing: Maklumat berasaskan web untuk genetik penyakit terwaris anjing]. Mammalian Genome (dalam bahasa Inggeris). Springer Science+Business Media. 15 (6): 503–506. doi:10.1007/s00335-004-3047-z. ISSN 1432-1777. PMID 15181542. S2CID 19306779.
- ^ Brenner, O.; de Lahunta, Alexander; Summers, Brian A.; Cummings, John F.; Cooper, Barry J.; Valentine, Beth A.; Bell, Jerold S. (Jun 1997). "Hereditary polioencephalomyelopathy of the Australian Cattle Dog" [Polioensefalomielopati keturunan anjing lembu Australia]. Acta Neuropathologica (dalam bahasa Inggeris). Springer Science+Business Media. 94 (1): 54–66. doi:10.1007/s004010050672. ISSN 1432-0533. PMID 9224531. S2CID 20918157.
- ^ Kennel Club (2004). "Pure-bred Dog Health Survey" [Tinjauan Kesihatan Anjing Baka Tulen] (dalam bahasa Inggeris). Jawatankuasa Sains British Small Animal Veterinary Association. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Ogos 2013. Dicapai pada 31 Januari 2024.
- ^ Dorn, C. Richard (2002). "Canine Breed-Specific Risks of Frequently Diagnosed Diseases at Veterinary Teaching Hospitals" [Risiko Spesifik Baka Anjing bagi Penyakit Kerap Terdiagnosis di Hospital-hospital Pengajar Veterinar] (PDF) (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. m/s. 1–27. Dicapai pada 31 Januari 2024.
- ^ Mary Durack, 'Durack, Patrick (1834–1898)', Australian Dictionary of Biography (dalam bahasa Inggeris), Pusat Biografi Kebangsaan, Universiti Kebangsaan Australia, https://adb.anu.edu.au/biography/durack-patrick-3457/text5281, diterbitkan pertama kali dengan kulit keras pada 1972, dicapai dalam talian pada 31 Januari 2024.
- ^ Durack, Mary (1959). Kings in Grass Castles [Raja di Istana Rumput] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Constable. OCLC 2788021.
- ^ Australian Bureau of Census and Statistics (2008) (dalam bahasa Inggeris). 3105.0.65.001 - Australian Historical Population Statistics, https://www.abs.gov.au/AUSSTATS/abs@.nsf/DetailsPage/3105.0.65.0012008?OpenDocument. Dicapai pada 31 Januari 2024.
- ^ James Harrison, Australia, and the World’s First Patented Refrigerator. https://dynamicrefrigeration.com.au/blog/james-harrison-ice-machine/ (dalam bahasa Inggeris), dicapai dalam talian pada 31 Januari 2024.
- ^ Howard 1990, halaman 26–28
- ^ "Sir Bedivere". The Australian Cattle Dog (dalam bahasa Inggeris). The Town and Country Journal 9 September 1903. hlm. 34.
- ^ Kaleski 2005
- ^ Templat:Cite Australian Dictionary of Biography
- ^ "CATTLE DOG STANDARD" [PIAWAIAN ANJING LEMBU]. The Queenslander (dalam bahasa Inggeris) (2115). Queensland, Australia. 22 September 1906. m/s. 38. Dicapai pada 27 April 2024 – melalui Perpustakaan Negara Australia.
- ^ "Pedigree Database Australian Cattle Dog" [Pangkalan Data Pedigri Anjing Lembu Australia]. dogfiles.com (dalam bahasa Inggeris). Dog Files. Dicapai pada 27 April 2024.
- ^ "1917 Stock Dog Show" [Pertunjukan Anjing Ternakan 1917]. The Sydney Stock and Station Journal (dalam bahasa Inggeris). XXIX (28). New South Wales, Australia. 13 Julai 1917. m/s. 8. Dicapai pada 27 April 2024 – melalui Perpustakaan Negara Australia.
- ^ "The Standard of the Australian Cattle Dog" [Piawaian Anjing Lembu Australia]. Australian Cattle Dog and Kelpie Club of Queensland (dalam bahasa Inggeris). Australian Cattle Dog and Kelpie Club of Queensland. Dicapai pada 27 April 2024.
- ^ a b c d e Ekman, Esther. "Can An American Kennel Club Registration Save A Herding Breed?" [Dapatkah Pendaftaran American Kennel Club Menyelamatkan Baka Gembala?]. Working/Herding Dogs (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Januari 2009. Dicapai pada 31 Januari 2024.
- ^ a b Redhead 1988, halaman 116
Rujukan umum dan kutipan
suntingWikimedia Commons mempunyai media berkaitan Anjing lembu Australia |
- Beauchamp, Richard G. (15 Mei 1997). Australian Cattle Dogs: A Complete Pet Owner's Manual [Anjing Lembu Australia: Panduan Lengkap Pemilik Haiwan Peliharaan] (dalam bahasa Inggeris). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: B.E.S. Publishing. ISBN 9780812098549. OCLC 36103769.
- Beauchamp, Richard G. (1 Oktober 2007). Australian Cattle Dogs: A Complete Pet Owner's Manual [Anjing Lembu Australia: Panduan Lengkap Pemilik Haiwan Peliharaan] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: B.E.S. Publishing. ISBN 9780764136498. OCLC 122974174.
- Buetow, Katherine (23 Mac 1998). The Australian Cattle Dog: An Owner's Guide to a Happy Healthy Pet [Anjing Lembu Australia: Panduan Pemilik untuk Haiwan Peliharaan Sihat Bahagia] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Howell Book House. ISBN 9780876054468. OCLC 39005023.
- Clark, Noreen R. (31 Julai 2003). A Dog Called Blue: The Australian Cattle Dog and the Australian Stumpy Tail Cattle Dog 1840–2000 [Anjing yang Dipanggil Blue: Anjing Lembu Australia dan Anjing Lembu Berekor Kontot Australia 1840–2000] (dalam bahasa Inggeris). Blackheath, New South Wales, Australia: WriteLight Publishers. ISBN 9780958193436. OCLC 223710224.[sumber terbitan sendiri]
- Coren, Stanley (1995). The Intelligence of Dogs: A Guide to the Thoughts, Emotions, and Inner Lives of Our Canine Companions [Kecerdasan Anjing: Panduan untuk Fikiran, Emosi, dan Kehidupan Dalaman Teman Anjing Kita] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Bantam Books. ISBN 9780553374520. OCLC 30700778.
- Hamilton-Wilkes, Monty; Cumming, David (1982). Kelpie and Cattle Dog: Australian Dogs at Work [Kelpie dan Anjing Lembu: Anjing Australia dalam Pekerjaan] (dalam bahasa Inggeris) (ed. semakan). London, United Kingdom: Angus & Robertson. ISBN 9780207144905. OCLC 27501094.
- Holmes, John; Holmes, Mary (15 Oktober 1993). The Complete Australian Cattle Dog [Anjing Lembu Australia Lengkap] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Howell Book House. ISBN 9780876050149. OCLC 27814398.
- Howard, A. J. (Bert) (1990). "Halls Heelers". Dalam Warner, Russell Mackenzie (penyunting). Over-halling the Colony: George Hall, Pioneer [Membaik Pulih Koloni : George Hall, Perintis] (dalam bahasa Inggeris). Sydney, New South Wales, Australia: Australian Documents Library. ISBN 9780908219070. OCLC 220844965.
- Kaleski, Robert Lucian Stanislaus (Julai 2005). Australian Barkers & Biters [Penyalak dan Penggigit Australia] (dalam bahasa Inggeris). Read Books. ISBN 9781905124756.
- Lithgow, Scott (1991). Training and Working Dogs for Quiet Confident Control of Stock [Melatih dan Mengerjakan Anjing untuk Kawalan Yakin Senyap bagi Haiwan Ternakan] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). St Lucia, Queensland, Australia: University of Queensland Press. ISBN 9780702223945. OCLC 973645949.
- Lowell, Michele (Oktober 1991). Your Purebred Puppy: A Buyer's Guide [Anak Anjing Baka Tulen Anda: Panduan Pembeli] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). New York, New York, Amerika Syarikat: Henry Holt and Company. ISBN 9780805018929. OCLC 24568052.
- Pearse, Emma (2011). Sophie, Dog Overboard: The Incredible True Adventures of the Castaway Dog [Sophie, Anjing yang Terjatuh dari Kapal: Pengembaraan Benar Anjing Terdampar yang Sukar Dipercayai] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Hodder & Stoughton. ISBN 9781444715200. OCLC 754888745.
- Redhead, Connie (1988). The Good Looking Australian: The Australian Cattle Dog [Si Australia yang Tampan: Anjing Lembu Australia] (dalam bahasa Inggeris). Adelaide, Australia Selatan, Australia: C. Redhead. ISBN 9780731622207. OCLC 220551281.
- Renna, Christine Hartnagle (30 Disember 2008). Herding Dogs: Selecting and Training the Working Farm Dog [Anjing Gembala: Memilih dan Melatih Anjing Ladang Pekerja] (dalam bahasa Inggeris). Freehold, New Jersey, Amerika Syarikat: Kennel Club Books. ISBN 9781593787370. OCLC 191927380.
- Robertson, Narelle (1999). A New Owner's Guide to Australian Cattle Dogs [Panduan Pemilik Baharu untuk Anjing Lembu Australia] (dalam bahasa Inggeris). Neptune City, New Jersey, Amerika Syarikat: TFH Publications. ISBN 9780793828081. OCLC 42366414.
- Ruvinsky, Anatoly; Sampson, Jeff, penyunting (Oktober 2001). The Genetics of the Dog [Genetik Anjing] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). Wallingford, Oxfordshire, United Kingdom: CAB International. ISBN 9780851995205. OCLC 45707635.
- Schwartz, Charlotte (1 Mac 2004). Australian Cattle Dog: A Comprehensive Guide to Owning and Caring for Your Dog [Anjing Lembu Australia: Panduan Komprehensif untuk Memiliki dan Menjaga Anjing Anda] (dalam bahasa Inggeris). Allenhurst, New Jersey, Amerika Syarikat: Kennel Club Books. ISBN 9781593783686. OCLC 54929278.
- Shaffer, Mari (1984). Heeler Power: A Guide to Training the Working Australian Cattle Dog [Kuasa Heeler: Panduan untuk Melatih Anjing Lembu Australia Pekerja] (dalam bahasa Inggeris). Waterloo, Wisconsin, Amerika Syarikat: Countryside Publications. OCLC 12987177.
- Simmons-Moake, Jane (11 Februari 1992). Agility Training: The Fun Sport for All Dogs [Pelatihan Ketangkasan: Sukan Menyeronokkan untuk Semua Anjing] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Howell Book House. ISBN 9780876054024. OCLC 23974401.
- Stockman, Mike J. R. (2000). Dog Breeds of the World: The Complete Reference to Pedigree Dogs [Baka Anjing di Dunia: Rujukan Lengkap kepada Anjing Pedigri] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Hermes House. ISBN 9781840388718. OCLC 53884990.