Anjing pemburu berkaki pendek Switzerland

baka anjing dari Switzerland

Anjing pemburu berkaki pendek Switzerland[a] atau anjing pemburu kecil Switzerland[b] ialah satu baka anjing jenis anjing pemburu bau dari Switzerland. Baka ini mempunyai sebilangan keragaman berlainan (semua daripada baka sama).

Anjing pemburu berkaki pendek Switzerland
Anjing pemburu kecil Switzerland
Anjing pemburu berkaki pendek Schwyz, salah satu keragaman anjing pemburu berkaki pendek Switzerland
Negara asalSwitzerland
CatatanEmpat keragaman, satu baka
Anjing (Canis lupus familiaris)

Perihal sunting

Anjing pemburu berkaki pendek Switzerland merupakan anjing pemburu cemerlang yang digunakan untuk mencari dan mengikuti bau malah melalui rupa bumi mencabar. Anjing ini juga kerap digunakan untuk mengejar dan mencari haiwan cedera.

Penampilan sunting

 
Anjing pemburu berkaki pendek Bern

Anjing ini berdiri setinggi 35–43 cm (14–17 in) untuk yang jantan dan setinggi 33–40 cm (13–16 in) untuk yang betina. Baka ini berpenampilan umum seperti hound serupa dengan anjing pemburu Switzerland, dengan tubuh lebih kecil dan kaki (tungkai) lebih pendek. Ia kelihatan seimbang tetapi lebih panjang sedikit berbanding dengan ketinggian dan mempunyai binaan baik. Kepalanya jelas berbentuk baik dan mengagumkan dengan wajah ramah dan waspada. Tungkainya kuat dengan struktur tegap. Dengan rentak tenang, anjing ini mengangkat ekornya rendah-rendah; apabila berlari ekornya terangkat sedikit. Baka ini mempunyai telinga labuh panjang dan ekor panjang.

Bulunya boleh pendek dan licin atau lebih panjang sedikit dan tegang bergantung pada jenis.

Keragaman-keragaman anjing pemburu berkaki pendek Switzerland tersusun menurut warna dan tekstur bulu:

  • Anjing pemburu berkaki pendek Bern[c] atau Anjing pemburu kecil Bern[d] – triwarna: putih, hitam dan sawo matang, tanda-tanda sawo matang di bahagian atas mata
    • berbulu pendek – bulu pendek dan licin
    • berbulu dawai – lapis bulu tunggal kasar, janggut kecil di muka
  • Anjing pemburu berkaki pendek Jura[e] atau Anjing pemburu kecil Jura[f] – lapis bulu tunggal licin, hitam dengan tanda-tanda sawo matang di bahagian atas mata, sedikit putih
  • Anjing pemburu berkaki pendek Luzern[g] atau Anjing pemburu kecil Luzern[h] – bulu putih licin berbintik kelabu atau hitam yang memberikan penampilan biru, dengan tompok-tompok hitam dan tanda-tanda sawo matang di bahagian atas mata
  • Anjing pemburu berkaki pendek Schwyz[i] atau Anjing pemburu kecil Schwyz[j] – bulu putih licin dengan tompok-tompok antara merah-kuning dengan merah-jingga. Pernah ada keragaman berbulu dawai bagi anjing pemburu kecil Schwyz, tetapi kini pupus.

Bern sunting

Jenis ini dibiakbakakan dalam kedua-dua keragaman berbulu pendek dan berbulu dawai dan kedua-duanya sentiasa triwarna: putih, hitam, dan sawo matang. Warna dasarnya ialah putih dengan tompok-tompok hitam besar. Sesetengah tompok kecil diizinkan. Di atas bahagian mata dan di pipi anjing ini mempunyai tompok berwarna merah manggis. Mantel hitam diizinkan. Kulitnya berpigmen hitam di bawah lapis bulu gelap dan bertelau di bawah lapis bulu putih.

Jura sunting

Jenis ini biasanya mempunyai bulu licin. Warna hitam gelap dengan sesetengah tompok berwarna merah manggis di atas bahagian mata dan di pipi, di dada, dan di tungkai lebih diutamakan. Warna dasar merah manggis dengan mantel hitam juga diizinkan. Tompok-tompok putih ditoleransi hanya jika di dada dan jika tidak terlalu besar. Kulitnya berpigmen gelap di bawah lapis bulu hitam dan lebih pudar di bawah tompok.

Luzern sunting

Jenis ini mempunyai bulu licin dan pendek. Warna dasarnya ialah putih, putih dan berbelak kelabu, atau putih dan berbelak hitam. Sesetengah tompok hitam lebih besar atau mantel hitam diizinkan. Tompok-tompok berwarna merah manggis di atas bahagian mata dan di pipi boleh muncul. Kulitnya berpigmen gelap di bawah lapis bulu hitam dan lebih pudar di bawah lapis bulu berbelak.

Schwyz sunting

Jenis ini mempunyai bulu licin. Warna dasarnya ialah putih dengan tompok berwarna kemerah-merahan. Sesetengah tompok lebih kecil dan mantel diizinkan. Kulitnya berwarna kelabu gelap di bawah lapis bulu kemerah-merahan dan bertelau di bawah lapis bulu putih.

Perangai sunting

Anjing pemburu ini mempunyai deria bau hebat; ia pemburu pantas, tangkas, dan ghairah yang pandai kekal menjejak bau yang patut diikuti. Suaranya elok. Anjing ini ramah, berani, dan tidak pernah agresif. Sesetengah spesimen malah lebih tenang daripada yang lain.

Sejarah sunting

 
Franz Rudolf Frisching dalam pakaian seragam pegawai Kor Pemburu Bern dengan anjing pemburu Bern-nya, dilukis oleh Jean Preudhomme pada tahun 1785

Pada sekitar tahun 1900, kegiatan perburuan terhad ke daerah masing-masing, dan oleh sebab anjing pemburu yang digunakan sehingga waktu itu adalah terlalu pantas untuk kawasan-kawasan terhad, keputusan dibuat untuk mengasaskan jenis anjing pemburu baharu. Dengan menggunakan spesimen-spesimen terpilih daripada anjing pemburu Switzerland yang bersaiz sederhana, anjing pemburu lebih kecil yang berkaki pendek dihasilkan. Kelabu Anjing Pemburu Berkaki Pendek Switzerland ditubuhkan pada 1 Julai 1905.[1][2][3]

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو برکاکي ڤينديق سوءيتزرلند; Jerman: Schweizer Niederlaufhund; schweizerischer Niederlaufhund; bahasa Inggeris: Swiss short-legged hound
  2. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو کچيل سوءيتزرلند; Perancis: petit chien courant suisse; bahasa Inggeris: small Swiss hound
  3. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو برکاکي ڤينديق بيرن; Jerman: Berner Niederlaufhund
  4. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو کچيل بيرن; Perancis: petit chien courant bernois; bahasa Inggeris: small Bernese hound
  5. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو برکاکي ڤينديق يورا; Jerman: Jura-Niederlaufhund
  6. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو کچيل يورا; Perancis: petit chien courant du Jura; bahasa Inggeris: small Jura hound
  7. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو برکاکي ڤينديق لوتسيرن; Jerman: Luzerner Niederlaufhund
  8. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو کچيل لوتسيرن; Perancis: petit chien courant lucernois; bahasa Inggeris: small Lucerne hound
  9. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو برکاکي ڤينديق شوءيت‌س; Jerman: Schwyzer Niederlaufhund
  10. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو کچيل شوءيت‌س; Perancis: petit chien courant de Schwyz; bahasa Inggeris: small Schwyz hound

Rujukan sunting

  1. ^ "FCI - Standard Nr. 60 SCHWEIZER NIEDERLAUFHUND" [Piawaian FCI No. 60 Anjing Pemburu Berkaki Pendek Switzerland] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Perancis). 13 Oktober 2015. Dicapai pada 20 Disember 2023.
  2. ^ "Standard-FCI N° 60 SCHWEIZER NIEDERLAUFHUND (Petit Chien Courant Suisse)" [Piawaian FCI No. 60 Anjing Pemburu Berkaki Pendek Switzerland] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Dr. J.-M. Paschoud dan Prof. R.Triquet, disemak oleh Skrivanek Belgium. 8 Julai 2016. Dicapai pada 20 Disember 2023.CS1 maint: others (link)
  3. ^ "FCI-Standard N° 60 SCHWEIZER NIEDERLAUFHUND (Swiss Short-Legged Hound)" [Piawaian FCI No. 60 Anjing Pemburu Berkaki Pendek Switzerland] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Christina Bailey. 13 Oktober 2015. Dicapai pada 20 Disember 2023.CS1 maint: others (link)

Pautan luar sunting