Bola keranjang

sukan berpasukan yang dimainkan di gelanggang di mana penghujungnya terdapat keranjang

Bola keranjang (atau bola basket) adalah satu sukan di mana dua pasukan yang setiapnya mempunyai 5 orang pemain yang berusaha untuk menjaringkan mata antara satu sama lain melalui sebuah keranjang (atau bakul) berdasarkan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

Sara Giauro melakukan lontaran tiga mata, Piala Eropah FIBA peringkat Akhir Wanita 2005.

Mata diperolehi dengan melontar bola menerusi keranjang dari atas; dan pasukan yang markahnya lebih banyak apabila tamat permainan dikira pemenang. Lontaran lompat yang biasa dari dalam lengkungan bernilai 2 mata, di luar lengkungan bernilai 3 mata. Bola digerakkan di dalam gelanggang dengan melantunkannya (mengelecek) atau menghantarnya kepada rakan sepasukan. Gangguan sentuhan fizikal (faul) tidak dibenarkan dan terdapat sekatan bagaimana bola-bola dikawal (penalti).

Sejarah

sunting

Permulaan

sunting
 
Gelanggang bola keranjang pertama di Kolej Springfield

Permainan bola keranjang bermula sejak tahun 1892. Permainan ini dicipta oleh Dr. James Naismith yang merupakan seorang jurulatih di sekolah latihan Pertubuhan Belia Pemuda Kristian dan guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di Kolej Springfield (dahulu dikenali sebagai sekolah untuk pekerja Kristian). Mss. Luther H. Gulick, ketua bidang sukan sekolah tersebut telah memberi Naismith tugas untuk mencipta satu permainan berpasukan yang boleh dimainkan semasa musim sejuk. Oleh itu, permainan ini harus dimainkan dalam gelanggang sesebuah bangunan.

Untuk permainan baru ini, James Naismith menggunakan bola yang digunakan untuk permainan bola sepak. Ini disebabkan oleh saiz bola tersebut yang cukup besar dan mudah untuk ditangkap. Naismith meminta pegawai penyelenggara bangunan sekolah tersebut untuk menyediakan dua kotak besar sebagai gol. Namun begitu, pegawai tersebut tidak mempunyai dua buah kotak seperti yang diminta oleh Naismith. Oleh itu, Naismith telah menggunakan dua buah bakul untuk permainan ini. Kedua-dua bakul tersebut dipasang pada balkoni gimnasium kira-kira 10 kaki dari aras tanah. Permainan bola keranjang pertama yang tercatat berlangsung antara pelajar-pelajar Naismith dalam kelas beliau pada Disember 1891. Naismith telah menamakan permainan ciptaannya, basketball (Bahasa Melayu:Bola Keranjang).

Markah diberikan kepada pemain pasukan yang menjaringkan bola di petak lawan. Pasukan yang memperolehi markah tertinggi akan menjuarai permainan tersebut.

Selepas permainan eksperimen pertama, Naismith telah menyediakan draf peraturan pertama untuk permainan bola keranjang yang mengandungi 13 fasal. Peraturan-peraturan ini diterbitkan dalam surat khabar sekolah, The Triangle pada 15 Januari 1892. Permainan ini mendapat sambutan ramai melalui penerbitan ini. Tidak lama kemudian, bola keranjang mula dimainkan oleh pasukan Pertubuhan Belia Pemuda Kristian, sekolah menengah, kolej, universiti, dan pasukan professional dari Amerika Syarikat dan Kanada.

Permainan rasmi yang pertama pula berlangsung di gimnasium Pertubuhan Belia Pemuda Kristian pada tarikh 20 Januari 1892. Hanya ada 9 orang pemain sahaja yang terbabit dalam permainan ini gelanggang bola keranjang yang hanya separuh saiz gelanggang National Basketball Association pada hari ini.

Perubahan dalam permainan

sunting

Selepas James Naismith mencipta bola keranjang, terdapat beberapa perubahan yang telah dilakukan dalam permainan tersebut. Pada tahun 1893, gegelang besi yang dipasangkan beg jaring digunakan untuk mengantikan bakul. Korda diletakkan bersama jaring supaya bola dapat jatuh ke tanah.

Kemahiran asas

sunting

Jaringan

sunting
 
Seorang pemain sedang melakukan jaringan jenis jump shot

Kemahiran menjaring (shooting) melibatkan percubaan pemain untuk memperoleh mata dengan membuat jaringan atau balingan bola ke dalam bakul. Setiap pemain mempunyai kaedah yang berbeza-beza untuk melakukan jaringan bergantung kepada adaptasi persekitarannya.

Lazimnya, seorang pemain akan menghadap jaring atau bakul dengan keadaan kedua-dua kakinya menghadap ke arah hadapan jaring itu. Seorang pemain akan meletakkan bola di hujung jari tangan dominan dengan mendongak sedikit ke atas menghadap jaring. Tangan yang lain digunakan untuk menyokong permukaan bola. Bola akan dijaringkan apabila pemain melakukan lonjakan atau lompatan untuk membuat jaringan dan lengan dipanjangkan sedikit. Lengan pemain yang digunakan untuk menjaringkan akan dipanjangkan sepenuhnya dan pergelangan tangan akan difleksikan ke bawah sepenuhnya dan kekal statik seketika sejurus bola dilepaskan ke dalam jaring; ia dikenali sebagai follow-through.

Hantaran

sunting

Hantaran (passing) ialah kemahiran menggerakkan bola antara pemain-pemain. Kebanyakan hantaran disertai dengan langkah ke hadapan untuk meningkatkan kuasa, lalu diikuti dengan tangan untuk memastikan ketepatannya.

Gelecekkan

sunting
 
Pemain wanita pasukan Nevada menggelecek bola dan dalam masa yang sama diadangi oleh pemain pasukan Air Force

Menggelecek (dribbling) melibatkan pemain untuk melantunkan bola secara berterusan ke atas lantai dengan menggunakan sebelah tangan dominan sahaja. Kemahiran ini penting sebagai satu strategi yang digunakan untuk mengambil bola. Untuk menggelecek, pemain perlu menolak bola ke atas lantai dengan menggunakan hujung jari dan bukannya ditepuk permukaan bola tersebut dengan tapak tangan.

Apabila pemain melakukan gelecek untuk mengadangi pihak lawan, pemain perlu menggelecek menggunakan tangan yang paling jauh untuk dicapai dari pihak lawan. Ia juga bertujuan untuk menyukarkan pemain pertahanan untuk mendapatkan bola.

Adangan

sunting
 
Percubaan untuk mengadang oleh seorang pemain apabila seorang pemain dari pihak lawan sedang menggelecek bola

Kemahiran mengadang (blocking) dilakukan apabila pemain pertahanan berjaya mengubah arah jaringan bola dengan menyentuh bola tersebut selepas percubaan untuk melakukan jaringan yang dilakukan oleh pihak lawan. Dalam hampir semua permainan, adalah menyalahi undang-undang untuk menyentuh bola selepas pemain berada di laluan ke bawah lengkoknya; ini dikenali sebagai goaltending. Ia juga menyalahi undang-undang di bawah bola keranjang NBA dan NCAA Lelaki untuk mengadang jaringan selepas bola terkena papan belakang, atau apabila mana-mana bahagian bola berada tepat di atas rim jaring. Di bawah peraturan antarabangsa adalah menyalahi undang-undang untuk menghalang jaringan yang berada di laluan ke bawah arkanya atau yang telah menyentuh papan belakang sehingga menyebabkan bola terkena rim. Selepas bola terkena rim, sekali lagi sah untuk menyentuhnya walaupun ia tidak lagi dianggap sebagai adangan yang dilakukan.

Untuk mengadang jaringan, pemain perlu mencapai titik yang lebih tinggi daripada tempat jaringan dilepaskan oleh pihak lawan. Oleh itu, ketinggian seseorang pemain menjadi kelebihan dalam menyekat pergerakan bola memasuki jaring. Pemain yang lebih tinggi dan berperanan sebagai kedudukan kuasa hadapan atau tengah biasanya merekodkan lebih banyak adangan daripada pemain yang lebih pendek dan memainkan posisi pengawal. Walau bagaimanapun, dengan masa yang baik dan lompatan menegak yang cukup tinggi, pemain yang lebih pendek boleh menjadi pengadang jaringan yang berkesan.

Lihat juga

sunting