Bulterier katik

baka anjing dari England
(Dilencongkan dari Bulterier kecil)

Bulterier katik atau bull terrier katik[a] ialah satu baka dengan asal usulnya pada terier putih Inggeris yang pupus, anjing Dalmatia, dan buldog. Kewujudan pertamanya didokumenkan pada tahun 1872 dalam The Dogs of British Island.

Bulterier katik
Bulterier katik Inggeris
Nama lainBull terrier katik
Bulterier katik Inggeris
Bull terrier katik Inggeris
Mini bull
Negara asalEngland
Trait
Tinggi Tidak melebihi 35.4 cm (14 in)
Bulu Pendek, rata, sekata, dan kasar kepada sentuhan
Warna Putih, hitam, brindle, merah, perang kekuning-kuningan, dan triwarna
Jangka hayat 11–14 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Perihal sunting

Penampilan sunting

 
Bulterier piawai di sebelah kiri, bulterier katik di sebelah kanan
 
Bulterier katik berwarna hitam, putih, dan sawo matang (triwarna)

Bulterier katik mempunyai lapis bulu pendek, halus, dan licau yang sangat rapat dengan kulit, seperti bulterier. Ia diterima dalam gelanggang dengan warna putih, putih dengan warna lain, atau sepenuhnya berwarna. Walau bagaimanapun, seperti bulterier, sebarang lapis bulu berwarna biru atau hati tidak diingini. Anjing ini memerlukan penjagaan bulu minimum.

Pada awal tahun 1900-an, perbezaan antara baka ditentukan oleh berat anjing. Walau bagaimanapun, ini menyebabkan bulterier katik menjadi sangat kecil dan halus sehinggakan kelihatan lebih seperti anjing Chihuahua daripada bulterier. Oleh itu, pada tahun 1970-an, batas berat digantikan dengan batas ketinggian kurang daripada empat belas inci. Ia biasanya tidak lebih kecil daripada sepuluh inci. Menurut AKC, berat bulterier katik mesti berperkadaran dengan ketinggiannya. Walau bagaimanapun, ia cenderung untuk berkisar dalam lingkungan 20–35 lb (9.1–15.9 kg).

Bulterier katik mempunyai binaan sangat galak. Ia mempunyai bahu sangat berotot dan tubuh lengkap. Seperti bulterier, ia mempunyai kepala yang diperihalkan "berbentuk telur". Kepalanya rata di atas dengan hidung Rom. Matanya berbentuk segi tiga dan terletak dekat-dekat. Telinganya terangkat menegak dan tidak terpotong atau terubah. Ekornya terangkat secara mendatar dan bukannya menegak.

Perangai sunting

Seperti bulterier, bulterier katik bersikap penyayang dan, seperti banyak baka terier, ia kadang-kadang dapat menjadi degil; tetapi walaupun demikian, ia merupakan anjing hebat untuk orang dengan ruang terbatas.

Bulterier katik terkenal sebagai anjing degil dan berani. Walaupun pendiriannya kenit, ia sedia mencabar anjing lebih besar. Walau bagaimanapun, seperti mana-mana anjing, pemilik dapat mengurangkan kemungkinan konfrontasi dengan menyediakan pelatihan sesuai. Ia sangat bertenaga dan suka bermain serta menyayangi orang, tetapi perlu ada perhatian kerana ia berubah-ubah di sekeliling anjing lain.

Bulterier katik memerlukan sedikit penjagaan bulu. Pemberusan pantas sekali sehari atau beberapa kali seminggu sudah memadai. Pelindung matahari mesti digunakan pada mana-mana bahagian bulu putih jarang di sekeliling muka, telinga, sukuan belakang, atau perut apabila berada di ruangan luaran (terutamanya pada musim panas pada antara jam 10 pagi dengan 2 petang) untuk mengelakkan selaran matahari dan kanser.

Kesihatan sunting

Bulterier katik terdedah kepada banyak masalah kesihatan (fisiologi dan psikologi) dan sesiapa yang mempertimbangkan untuk membela bulterier mesti menyedari isu-isu ini. Kepekakan berlaku pada kedua-dua bulterier berwarna dan bulterier putih. Anak anjing dapat lahir dengan kepekakan di sebelah telinga atau di kedua-dua belah telinga. Anjing pekak tidak patut dibiakbakakan kerana kepekakan ialah keadaan keturunan.[1] Pengujian BAEP (atau BAER) dilakukan ke atas anak anjing sebelum penjualan untuk mengenal pasti anak anjing yang mempunyai masalah pendengaran.

Akrodermatitis maut (LAD) ialah penyakit genetik degeneratif maut yang terdapat pada bulterier katik. Ini mula muncul pada anak anjing pada usia sekitar 4 minggu. Warna hitam biasa pada anak anjing terjejas mula kelihatan cair dan menjadi warna hati kerana kekurangan zink yang mengakibatkan keadaan kulit teruk, disfungsi sistem keseluruhannya, dan akhirnya kematian pramatang. Ujian DNA baharu dikeluarkan untuk menguji ternakan pembiakbakaan dan memastikan anak anjing bebas LAD.[2]

Bulterier katik juga rentan terhadap tempurung lutut terkehel. Ini ialah masalah lutut yang lazim pada anjing kecil. Ini dapat dirawat melalui pembedahan.

Penyakit ginjal polisista (PKD) dan nefritis keturunan bulterier (BTHN) merupakan penyakit dominan autosom. PKD didiagnosis melalui imbasan ultrasonik oleh doktor haiwan pakar. BTHN didiagnosis dengan ujian UPC. Anjing dengan skor .3 atau ke bawah dianggap bebas daripada penyakit ini. Pemastian status bebas pada ternakan pembiakbakaan sebelum penggunaan memastikan bahawa keturunan tidak terjejas akibat penyakit ini.

Bulterier katik juga rentan terhadap masalah mata seperti kehelan kanta primer (PLL). PLL ialah penyakit permulaan lewat yang biasanya menyerang anjing pada usia antara pertengahan 2 tahun dengan 7 tahun. Kes lebih muda dan kes lebih tua diketahui. Pada September 2009, ujian DNA muktamad dikeluarkan oleh Animal Health Trust. Ujian ini memberikan tiga keputusan: bebas, pembawa, atau terjejas.

Stenosis injap aorta dan displasia injap mitra merupakan penyakit jantung. Diagnosis dibuat dengan pengimbasan ekokardiografi doppler berwarna oleh doktor haiwan pakar.

Gangguan pada kulit bulterier katik dapat berlaku. Dermatitis piotraumatik (tompok panas), tindak balas alahan, dan geligata dapat menjadi masalah. Tinjauan baka United Kingdom dan Amerika Syarikat menunjukkan purata jangka hayat sebanyak 10–14 tahun.[3]

Akrodermatitis maut, yang juga dikenali sebagai akrodermatitis bulterier, ialah penyakit terwaris autosom monogen genodermatosis jarang yang terdapat secara eksklusif pada bulterier putih (termasuk bulterier katik). Keadaan ini biasanya membawa maut dan bercirikan pertumbuhan lemah, penurunan paras kuprum serum dan paras zink serum, keimunodefisienan, bronkopneumonia, lesi kulit, dan penghakisan pada hujung-hujung distal. Gejala lain yang berlaku hanya kemudian termasuk kerakan, papul, pustul, eritema, hiperkeratosis, dan pencairan warna. Keadaan ini menjelma dalam beberapa minggu pertama kehidupan dan kebanyakan anak anjing yang terjejas mati sebelum usia 2 tahun. Saiz anak anjing ini kira-kira separuh daripada rakan seperinduk tidak terjejas pada usia setahun. Tidak seperti keadaan manusia, iaitu akrodermatitis enteropatika, suplemen zink tidak memperbaik gejala.[4][5]

Sejarah sunting

Semasa baka bulterier pertama kali diwujudkan pada abad ke-19 England, ia adalah kira-kira sama saiz dengan bulterier katik.[6] Bulterier katik diberikan keahlian dalam American Kennel Club (AKC) pada 14 Mei 1991 (berkuat kuasa 1 Januari 1992).[7][8]

Pembiakbakaan saling sunting

Pembiakbakaan saling, iaitu proses pengawanan bersama bulterier katik dengan bulterier, diizinkan, tetapi hanya untuk masa singkat, di Australia, di New Zealand, dan di United Kingdom. Pembiakbakaan saling dijalankan untuk mengurangkan kejadian kehelan kanta primer pada bulterier katik. Bulterier tidak membawa gen PLL, oleh itu, semua progeni adalah normal secara fenotip untuk penyakit ini.

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: بول تيريئر کاتيق; بولتيريئر کاتيق; bahasa Inggeris: miniature bull terrier

Rujukan sunting

  1. ^ "Bull Terrier Health: Deafness" (dalam bahasa Inggeris). Bull Terriers Health UK. Dicapai pada 7 Mac 2024.
  2. ^ "Miniature Bull Terrier" (dalam bahasa Inggeris). Miniature Bull Terrier Club UK. Dicapai pada 7 Mac 2024.
  3. ^ "Breed Longevity Data" (dalam bahasa Inggeris).
  4. ^ Rhodes, Karen Helton; Werner, Alexander H. (25 Januari 2011). Blackwell's Five-Minute Veterinary Consult Clinical Companion (dalam bahasa Inggeris). Ames, Iowa, Amerika Syarikat: Wiley-Blackwell. m/s. 473–474. ISBN 978-0-8138-1596-1.
  5. ^ Bauer, Anina; Jagannathan, Vidhya; Högler, Sandra; Richter, Barbara; McEwan, Neil A.; Thomas, Anne; Cadieu, Edouard; André, Catherine; Hytönen, Marjo K.; Lohi, Hannes; Welle, Monika M.; Roosje, Petra; Mellersh, Cathryn; Casal, Margret L.; Leeb, Tosso (22 Mac 2018). "MKLN1 splicing defect in dogs with lethal acrodermatitis". PLOS Genetics (dalam bahasa Inggeris). Public Library of Science (PLoS). 14 (3): e1007264. doi:10.1371/journal.pgen.1007264. ISSN 1553-7404. PMC 5863938.
  6. ^ "Miniature Bull Terrier History" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 April 2008. Dicapai pada 7 Mac 2024.
  7. ^ "Miniature Bull Terrier Breed Standard" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 November 2014. Dicapai pada 7 Mac 2024.
  8. ^ "Miniature Bull Terrier (coloured)" (dalam bahasa Inggeris). Dog.com. Dicapai pada 7 Mac 2024.

Pautan luar sunting