Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz
Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ialah sebuah galeri di Klang, Selangor, Malaysia yang mempamerkan pelbagai koleksi DiRaja Selangor.[1] Sebahagian besar daripada pameran Galeri Diraja berkisar mengenai riwayat hidup Sultan Salahuddin Abdul Aziz yang telah memerintah Selangor selama lebih 39 tahun sebagai Sultan Selangor ke-8 dan hampir 3 tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-11.
Galeri ini wujud hasil dari buah fikiran Yang di-Pertuan Agong XI, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Lokasi asal adalah di Jalan Kota Raja, Syahbandaraya (Kampung Jawa) di Klang. Bertempat di dalam kawasan istana, Galeri Diraja dahulunya dikenali sebagai Muzium Kenangan. Ia siap dibina pada tahun 1988 dan dibiayai sepenuhnya oleh baginda. Pada tahun 1996, kerja-kerja pengubahsuaian dimulakan agar premis ini dapat dibuka kepada rakyat jelata.
Pada tahun 1998, baginda telah berkenan menukar nama Muzium Kenangan kepada Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz mengambil sempena nama kelahiran baginda. Dengan sokongan kerajaan negeri, Galeri Diraja siap diubah suai dan dibuka kepada umum pada tahun 2000. Setahun kemudian, baginda telah mangkat lalu Galeri Diraja telah ditutup buat sementara.
Setelah Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menaiki takhta pada tahun 2001, baginda telah menitahkan agar inisiatif almarhum ayahanda baginda diteruskan. Baginda telah menitahkan agar Bangunan Sultan Suleiman, bangunan yang dibina pada tahun 1909, dijadikan lokasi Galeri Diraja yang baru.
Pada awal tahun 2005, dengan kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya Negeri dan pihak perunding, kerja-kerja konservasi dimulakan. 17 bulan kemudian, semua kerja pembinaan dan pengubahsuaian selesai dilaksanakan ke atas bangunan seluas 17,000 kaki persegi ini termasuk pembinaan bangunan pentadbiran dan stor baru.
Pada tanggal 17 Oktober 2007, Sultan Sharafuddin merasmikan Galeri Diraja yang dibuka kepada umum pada 1 November tahun yang sama.
Pengerusi Galeri Diraja terkini ialah anak saudara kepada Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Tengku Indera Pahlawan Diraja Selangor, Yang Amat Dihormati Tengku Dato' Setia Putra Alhaj bin Tengku Azman Shah Al-Haj.
Rujukan
sunting- ^ "Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz". VisitSelangor.com. Dicapai pada 25 April 2017.
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz |