Iwan
Iwan (Parsi: إيوان eyvān) merupakan binaan kekubah atau ruangan mihrab yang besar. Ia selalunya terdapat pada pintu gerbang utama masjid. Binaannya seperti tembok besar dengan 3 sisi (dua depan dan satu di belakang) serta di bahagian depannya terbuka luas sambil melengkuk tirus ke belakang dan ke atas.
Iwan merupakan mercu tanda keagungan seni bina Empayar Sasan Parsi, seterusnya dianggap sebagai sebahagian daripada seni bina Islam. Peralihan seni bina ini semakin berkembang dan mencapai kemuncak semasa era pemerintahan Saljuk, apabila iwan diangkat menjadi salah satu unit asas seni bina Islam. Kebiasaannya, ruangan terbuka pada bahagian tengah serta lapangan di sekitarnya digunakan bagi aktiviti umum seperti rekreasi.
Iwan juga turut digunakan dalam seni bina bangunan-bangunan awam dan kediaman.