Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) (Tulisan Jawi: جابتن ڤرانچڠن بندر دان ديسا; singkatan: JPBD atau PLANMalaysia) ialah sebuah jabatan kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia.

PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa)
جابتن ڤرانچڠن بندر دان ديسا
Kerajaan Malaysia
Intisari agensi
Dibentuk18 Januari 1921; 103 tahun yang lalu (1921-01-18)
JenisKerajaan
Ibu pejabatBlok F5, Kompleks F, Presint 1, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62675 Putrajaya.
Kakitangan700 (2018)
Belanjawan tahunanMYR 62,384,100 (2018)
Eksekutif Kerajaan
  • Dato' TPr Dr. Alias bin Rameli, Ketua Pengarah
Agensi induk
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia
Laman sesawang
www.townplan.gov.my

Sejarah sunting

Perkhidmatan terawal perancangan bandar

Rekod terawal aktiviti perancangan bandar di negara Malaysia ialah pada tahun 1801, apabila sebuah Jawatankuasa Penilai ditubuhkan di Pulau Pinang bagi menjalankan perkhidmatan awal perancangan bandar. Jawatankuasa ini telah menyusun atur bandar kepada keadaan yang paling sesuai untuk keadaan penduduk.

Detik permulaan

Pada tahun 1912, anggota Majlis Persekutuan Walter F. Nutt[1] memohon Majlis Persekutuan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB) mengambil tindakan terhadap pembangunan dan perluasan perbandaran yang tidak terancang. Lalu satu perundangan perancangan bandar disediakan supaya bandar tersebut dapat disusun aturkan mengikut kawasan perkedaian dan lain-lain aktiviti. Pada 1913 Ketua Setiausaha E. L. Brockman mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Perancang Bandar yang berkuatkuasa bagi kawasan Kuala Lumpur dengan bertujuan untuk menjalankan perkhidmatan perancangan bandar.

Pada September 1920, Kerajaan British di Tanah Melayu memohon supaya Government Town Planner, Charles Reade dari Kerajaan Australia Selatan datang ke Tanah Melayu dan menjadi Pesuruhjaya pertama. Pada 18 Januari 1921, pejabat pertama yang terletak di bangunan Sekretariat, Kuala Lumpur. Dari 1921 hingga 1927, Reade dibantu oleh pegawai-pegawai Juru Ukur dan Jurutera Awam yang dipinjam daripada Jabatan Ukur dan Jabatan Kerja Raya. Pegawai Tadbir daripada Pejabat Tanah juga telah dilibatkan dalam mentadbir aktiviti perancangan semula dan agihan lot sebagai Town Planning Administrator. Tahun 1923 menyaksikan penggubalan Enakmen Perancangan Bandar yang memperkenalkan General Town Plans dan menjalankan aktiviti penyusunan semula lot-lot di Kuala Lumpur dan di beberapa pekan di NMB. Susun atur bandar baharu pertama telah disediakan di Kuala Kubu Baru pada tahun 1924 bagi menempatkan semula pekan lama di Ampang Pechah yang sering dilanda banjir.

Enakmen Perancang Bandar 1927 telah digubal mengganti Enakmen 1923 di mana Jawatankuasa Perancang Bandar telah dimansuhkan dan aktiviti perancangan telah diperkukuhkan. Pada penghujung tahun 1929, jabatan telah mempunyai lima pegawai perancang bertauliah dari Britain dan ditempatkan di NMB. Dengan persaraan Reade pada 1929, R. P. Davis menjadi ketua jabatan. Semua pegawai perancang bandar telah ditamatkan perkhidmatan. Pada 1933, Khidmat Perancangan berpusat di Kuala Lumpur di mana tugas-tugas perancangan hanya meliputi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Perang Dunia Kedua

Tahun 1941, jabatan terpaksa ditutup akibat Perang Dunia Kedua dan dibuka semula di bawah pentadbiran Jepun. Ia dibuka semula pada 3 Mei 1944 sebagai sebahagian daripada Jabatan Kerja Raya sehingga T.H.H. Hancock, seorang arkitek dan jururancang, tiba pada September 1946.

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, aktiviti jabatan diperluaskan merangkumi kawasan-kawasan Lembaga Bandaran dan Majlis Bandaran dalam Malayan Union dan jawatan pegawai perancang dikenali sebagai Pegawai Perancang Bandar Malayan Union. Selepas T.H.H. Hancock, T.A.L. Concannon telah mengambil alih dan di antara tahun 1955 hingga 1956 beliau telah menubuhkan tiga pejabat wilayah iaitu di Johor Bahru, Ipoh dan Pulau Pinang. Pejabat di Kuala Lumpur kekal sebagai ibu pejabat di samping menjalankan tugas-tugas perancangan bagi Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Pelan susun atur perumahan FELDA dan bandar baru Petaling Jaya diletak di bawah penyeliaan T.A.L. Concannon sehingga seorang jurutera kanan diperolehi pada penghujung tahun 1954 iaitu Francis McWilliams (yang kemudiannya menjadi Datuk Bandar London dari 1992-1993).

Selepas merdeka

Sistem perkhidmatan perancangan telah dijalankan berdasar kepada dua peringkat iaitu Persekutuan dan Negeri di bawah "senarai bersama" Perlembagaan Persekutuan. Selaras dengan ini, organisasi jabatan telah disusun semula dengan mengadakan pejabat-pejabat di peringkat negeri di seluruh Semenanjung Malaysia. Ini telah dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 1958. Dato' Rosli Buyong menjadi Ketua Pengarah tempatan pertama pada tahun 1970. Unit Landskap ditubuhkan pada tahun 1981 (kemudian menjadi Jabatan Landskap Negara pada tahun 1996).

Prof. Dato' Zainuddin Muhammad menjadi Ketua Pengarah pada tahun 1993. Rancangan tempatan rancak disediakan oleh pejabat-pejabat cawangan rancangan pembangunan. Pelan Susunatur Putrajaya dan Cyberjaya telah dirancang pada awal tahun 1990-an. Pindaan Akta Perancangan Bandar dan Desa telah dibuat menyentuh aspek-aspek pemeliharaan alam sekitar, fizikal, topografi, landskap dan pemeliharaan pokok (Akta A933) dan Akta Perancangan Bandar (Akta 538) juga digubal untuk mengawal mutu profesionalisme para pengamal perancang bandar. Pada tahun 1990-an tumpuan juga diberikan kepada perancangan mapan melalui penyediaan Doktrin Perancangan Sejagat dan juga pelbagai Garis Panduan Perancangan bagi rujukan dan panduan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Perancangan kawasan-kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) telah dijalankan melalui pewujudan garis panduan Kawasan Sensitif Alam Sekitar. Negeri Selangor telah mempelopori dengan mengambil inisiatif dengan melaksanakan Agenda 21, Strategi Pembangunan Mapan Selangor. Teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) telah diterapkan dalam penyediaan rancangan pemajuan. Penyelidikan indikator bandar mapan melalui program Malaysia Urban Indicator Network (MURNInet) telah dijalankan pada penghujung 90-an dan diperkembangkan pada tahun-tahun berikutnya.

Dato' Wan Mohamad Mukhtar Mohd. Nor dilantik menjadi Ketua Pengarah pada tahun 2001. Pada tahun 2001, Akta Perancang Bandar telah dipinda bagi mengimbangi kuasa kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri dalam hal ehwal perancangan bandar dan desa. Antara perkara baru ialah kewujudan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN), Jawatankuasa Perancang Wilayah, Rancangan Fizikal Negara, kewajipan untuk berunding, nasihat MPFN tentang

(a) pembangunan bandar baru lebih dari 10 000 penduduk atau lebih dari 100 hektar
(b) pembangunan di puncak atau lereng bukit dalam kawasan sensitif alam sekitar, dan
(c) pembinaan apa-apa infrastruktur atau kemudahan utama.

Reka bentuk dan penilaian opsyen-opsyen pembangunan telah dilaksanakan menggunakan teknik-teknik sains pemutusan dan GIS. Contoh teknik ialah multi-criteria decision making (MCDM).[2]

Ringkasan kronologi penubuhan jabatan dan perundangan sunting

Tahun penubuhan jabatan dan perundangan perancangan

  • 1921 - Jabatan Perancang Bandar di Kuala Lumpur (18 Januari 1921)
  • 1923 - Enakmen Perancang Bandar
  • 1925 - Cawangan Jabatan Perancangan Bandar di Ipoh (16 Februari 1925)
  • 1927 - Enakmen Perancang Bandar (ganti 1923)
  • 1937 - Enakmen Lembaga Bandaran (CAP 137)
  • 1947 - Perang Dunia Kedua, semua pejabat ditutup
  • 1956 - Pejabat wilayah di Johor Bahru, Ipoh dan Pulau Pinang

Tahun penubuhan JPBD negeri selepas merdeka

  • 1958 - Perak, Johor, Selangor
  • 1959 - Pulau Pinang
  • 1960 - Pahang
  • 1963 - Kelantan
  • 1965 - Kedah
  • 1969 - Terengganu
  • 1974 - Unit Perancangan Bandar-Bandar Baru di Kuantan
  • 1976 - Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172)
  • 1977 - Melaka
  • 1978 - Perlis
  • 1981 - Unit Landskap ditubuhkan di Ibu Pejabat
  • 1987 - Pejabat Cawangan Rancangan Pembangunan di Alor Setar, Kuala Lumpur, Melaka dan Kuantan
  • 1990 - Bhg. Penyelarasan dan Pengawasan Taman-Taman Awam ditubuhkan di Ibu Pejabat
  • 1995 - Akta Perancang Bandar (Akta 538)
  • 1996 - Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 1995 (Akta A933), Jabatan Landskap Negara
  • 2001 - Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2001 (Akta A1129)[2]

Rujukan sunting

  1. ^ "Tidak Berjudul". The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser (1884-1942). 24 Mei 1915. m/s. 4. Dicapai pada 10 Mac 2014.[pautan mati kekal]
  2. ^ a b "Mengenai JPBD > Sejarah Penubuhan". Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa. 20-12-2012. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-04-19. Dicapai pada 10 Mac 2014. Check date values in: |date= (bantuan)

Pautan luar sunting