Jalan tanah, juga dikenali sebagai jalan tanah merah merupakan istilah bagi jalan raya tidak berturap yang dibina menggunakan permukaan tanah asal yang dilaluinya. Jalan tanah sesuai digunakan oleh kebanyakan kenderaan; varian lebih sempit yang boleh digunakan oleh pejalan kaki, haiwan, basikal dan motosikal pula dikenali sebagai denai. Jalan tidak berturap dengan permukaan lebih keras seperti batu kerikil dan agregat (batu-batan) juga ada kalanya dianggap sebagai jalan tanah, tetapi jalan-jalan tersebut dibezakan dengan nama-nama mengikut bahan permukaan oleh jurutera jalan.

Sekawan lembu menghalang laluan di sebatang jalan tanah di Paraguay.
Jalan tanah di Switzerland yang digunakan sebagai jalan pertanian.
Jalan tanah di Brazil.

Berbanding jalan berturap serta jalan batu kerikil, jalan tanah tidak mempunyai landaian yang berarah ke tepi untuk mengalirkan air hujan ke tepi jalan, dan sistem perparitan selalunya tidak dibina sama sekali. Akibatnya, lopak air mudah terbentuk dengan banyaknya selepas hujan, dan jalan tanah mudah dibanjiri lumpur di beberapa tempat, menyebabkan ia tidak boleh dilalui sama sekali walaupun oleh kenderaan luar jalan. Atas sebab inilah jalan tanah juga dikenali sebagai jalan musim kering.

Jalan tanah mempunyai perwatakan berbeza mengikut keadaan tanah dan geologi yang dilaluinya. Permukaannya boleh jadi berpasir, berbatu-batan, atau terdedah sama sekali, menyebabkannya sangat berlumpur dan licin ketika hujan dan keras ketika kering. Jalan tanah mungkin tidak boleh dilalui selepas hujan. Ia sering didapati di kawasan luar bandar (terutamanya kawasan pedalaman) di kebanyakan negara, dan ada kalanya boleh didapati di kawasan metropolitan di negara-negara mundur di mana ia turut dijadikan sebagai jalan raya utama dengan lebar jalan yang munasabah.

Memandu di jalan tanah sunting

Sementara kebanyakan jalan batu kerikil adalah jalan semua musim serta boleh digunakan oleh kereta biasa, jalan tanah mungkin hanya boleh dilalui oleh lori atau kenderaan pacuan empat roda seperti SUV, terutama semasa cuaca hujan, atau di bahagian yang berbatu-batan atau sangat berpasir. Kenderaan mudah tersangkut di dalam pasir sebagaimana lumpur; kelegaan yang tinggi di bawah kenderaan mungkin diperlukan di kawasan berbatu-batan.

Memandu di jalan tanah memerlukan perhatian yang sangat tinggi terhadap perbezaan permukaan jalan, memandangkan pemandu mudah hilang kawalan di jalan tanah berbanding jalan batu kerikil. Selain daripada bahaya yang telah dinyatakan di atas, termasuklah lubang, masalah yang sering dikaitkan dengan pemanduan di jalan tanah termasuklah:

  • batu-batu besar boleh memancitkan tayar, merosakkan bahagian bawah tepi kenderaan serta boleh menebuk tangki bahan api jika tidak dilindungi
  • batu-batu boleh meloncat dan mengenai badan kereta, lampu-lampu atau cermin pemuka semasa kenderaan berselisih
  • habuk yang dilayangkan kenderaan yang berselisih boleh mengurangkan jarak penglihatan
  • permukaan jalan yang kasar boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan serta boleh merosakkan sistem gantungan dan stereng
  • pemandu mudah tergelincir (hilang cengkaman) di atas lumpur selepas hujan.

Lihat juga sunting