Keruntuhan tingkah laku

Keruntuhan tingkah laku (daripada bahasa Inggeris: behavioral sink) merupakan istilah yang dicipta oleh ahli etologi John B. Calhoun untuk kemerosotan tingkah laku yang boleh terjadi akibat kepadatan penduduk yang terlalu tinggi. Istilah dan konsep ini berasal daripada satu siri uji kaji kesesakan penduduk yang Calhoun jalankan ke atas tikus Norway dari tahun 1958 ke 1962.[1] Dalam uji kaji itu, Calhoun dan kumpulan penyelidik beliau mencipta beberapa siri "utopia tikus"—sebuah ruang yang tertutup di mana tikus-tikus mempunyai makanan dan air tanpa had, membolehkan populasi untuk bertumbuh tanpa halangan. Calhoun mencipta istilah "behavioral sink" atau "keruntuhan tingkah laku" dalam laporannya pada 1 Februari 1962 di dalam rencana yang bertajuk "Population Density and Social Pathology (Kepadatan Penduduk dan Patologi Sosial)" di dalam Scientific American[2] mengenai uji kaji tikus tersebut.[3] Beliau kemudiannya melakukan uji kaji yang serupa terhadap mencit, dari tahun 1968 hingga 1972.

Kajian Calhoun telah digunakan sebagai sebuah model haiwan bagi keruntuhan masyarakat, dan kajian beliau telah menjadi titik rujukan dalam sosiologi bandar dan psikologi secara umumnya.[4]

Eksperimen sunting

Dalam kajian 1962-nya, Calhoun menerangkan tingkah laku tikus seperti berikut:

Banyak [tikus betina] tidak dapat mengandung cukup bulan atau, jika mereka berjaya mengandung cukup bulan, hidup selepas melahirkan anak. Sebilangan besar, selepas berjaya melahirkan anak, gagal memenuhi tugas keibuan mereka dengan sempurna. Dalam kalangan jantan, gangguan tingkah laku mereka merangkumi perbuatan sumbang seksual hingga kanibalisme, dan merangkumi hiperaktif sehingga hendak gila hingga masalah mengasingkan diri, yang mana individu itu hanya akan muncul untuk makan, minum dan bergerak apabila ahli masyarakatnya yang lain sedang tidur. Organisasi masyarakat mereka juga menunjukkan gangguan. ...

Punca semua gangguan ini menjadi paling ketara di dalam populasi siri yang pertama antara tiga uji kaji kami, yang mana kami nampak satu perkembangan yang kami sebutkan sebagai "keruntuhan tingkah laku." Mereka berasak secara beramai-ramai di satu daripada empat kandang yang saling bersambung, tempat tikus-tikus tersebut dikurung. Sebanyak 60 daripada 80 ekor tikus dalam setiap populasi uji kaji akan berkumpul di dalam satu kandang semasa waktu makan. Tikus-tikus jarang sekali makan kecuali ditemani oleh tikus lain. Akibatnya, kepadatan populasi yang sangat tinggi terjadi di dalam kandang yang digunakan untuk makan, manakala kandang-kandang yang lain mempunyai populasi yang sangat rendah.

... Dalam uji kaji yang mengalami keruntuhan tingkah laku, kematian bayi mencapai sehingga 96 peratus dalam kumpulan yang paling ternanar dalam populasi mereka.[5]

Uji kaji terawal Calhoun dengan tikus dijalankan di tanah pertanian di Rockville, Maryland, bermula dari tahun 1947.[6]

Semasa Calhoun bekerja di Institut Kesihatan Mental Kebangsaan AS (NIMH) pada tahun 1954, beliau menjalankan pelbagai uji kaji dengan tikus dan mencit. Dalam ujian-ujian terawalnya, beliau meletakkan kira-kira 32 hingga 56 ekor tikus di dalam sebuah sangkar berukuran 3.0 m × 4.3 m di sebuah bangsal di Montgomery County. Beliau memisahkan ruang tersebut menjadi empat bilik. Setiap bilik direka khas untuk menampung sekitar dua belas ekor tikus Norway coklat dewasa. Tikus-tikus dapat bergerak dari bilik ke bilik menggunakan tanjakan. Kerana Calhoun membekalkan sumber keperluan seperti air, makanan tanpa had dan perlindungan daripada pemangsa serta penyakit dan cuaca, tikus-tikus tersebut dikatakan berada di dalam "utopia tikus" atau "syurga mencit", jelas seorang ahli psikologi lain.[7]

Selepas uji kaji awalnya dengan tikus, Calhoun kemudian mencipta "Persekitaran Penghambat Kematian untuk Mencit" pada 1968: sebuah sangkar mencit berukuran 260 cm × 260 cm dengan makanan dan air yang selalu diisi semula untuk menyokong pertambahan populasi,[8] membantu eksperimen beliau untuk mencapai takat ekstrem. Dalam uji kajinya yang paling terkenal antara semua siri, "Alam Semesta 25", populasi memuncak ke 2200 ekor mencit dan selepas itu menunjukkan pelbagai tingkah laku yang tidak normal, malah bersifat perosak, seperti keengganan untuk memikat pasangan, betina meninggalkan anak, dan kehomoseksualan. Pada hari ke-600, populasi itu sedang menuju kepupusan. Walaupun boleh membiak dari segi fizikal, mencit-mencit itu telah hilang kemahiran sosial yang diperlukan untuk mengawan.[6]

Rencana Scientific American tahun 1962 beliau diterbitkan sewaktu isu kesesakan penduduk menjadi fokus khalayak awam dan mempunyai pengaruh budaya yang besar.[9]

Calhoun telah membahasakan kajian beliau dalam bahasa mudah dan membandingkannya dengan perilaku manusia, supaya ia mudah difahami oleh orang biasa dan mudah diakses oleh orang awam.[6]

Calhoun bersara daripada NIMH pada tahun 1984 tetapi terus mengusahakan hasil penyelidikan beliau sehingga beliau meninggal dunia pada 7 September 1995.[10]

Penjelasan sunting

Kesesakan tikus yang berlaku khususnya secara sukarela, yang dimaksudkan dengan istilah "keruntuhan tingkah laku" dipercayai berpunca daripada penyesakan secara tanpa rela yang berlaku sebelum itu: tikus-tikus menjadi terbiasa berada hampir dengan individu-individu lain semasa makan sehingga mereka mula mengaitkan perbuatan makan dengan kehadiran tikus lain. Calhoun akhirnya jumpa cara untuk mencegah perkara ini dengan mengubah beberapa tetapan dan kadar kematian berkurangan sedikit, namun masalah patologi akibat kesesakan masih kekal.[11]

Kebolehterapannya pada manusia sunting

Calhoun sendiri melihat nasib populasi mencit sebagai metafora untuk apa yang mungkin berlaku pada manusia. Beliau menggambarkan kemusnahan sosial sebagai "kematian rohani",[8] dan memanggil kematian jasmani sebagai "kematian kedua" seperti yang disebutkan di dalam Alkitab ayat Wahyu 2:11.[8]

Terdapat kontroversi mengenai implikasi uji kaji beliau. Uji kaji lain oleh seorang ahli psikologi bernama Jonathan Freedman mengumpulkan pelajar-pelajar sekolah menengah dan universiti untuk menjalankan beberapa siri uji kaji untuk mengukur kesan-kesan kepadatan terhadap tingkah laku manusia. Beliau mengukur tekanan, ketidakselesaan, keagresifan, persaingan dan ketidaksenangan mereka. Pada tahun 1975, beliau mengumumkan bahawa beliau tidak menemui sebarang kesan negatif yang ketara.[12] Para penyelidik berpendapat bahawa "kajian Calhoun bukan sahaja mengenai kepadatan fizikal semata-mata—iaitu 'berapa ramai individu yang berada dalam satu unit keluasan?'—tetapi mengenai takat interaksi sosial."[13]

Rujukan sunting

  1. ^ Hall, Edward, T. (1966). The Hidden Dimension: An Anthropologist Examines Humans' Use of Space in Public and in Private. Anchor Books. m/s. 25. ASIN B0006BNQW2.
  2. ^ "Population Density and Social Pathology" (PDF). Scientific American. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2019-11-21. Dicapai pada 2015-12-14.
  3. ^ Calhoun, John B. (1962). "Population density and social pathology". Scientific American. 206 (3): 139–148. doi:10.1038/scientificamerican0262-139 (Tidak aktif 31 December 2022). PMID 13875732.CS1 maint: DOI inactive as of Disember 2022 (link)
  4. ^ Hock, Roger R. (2004). Forty Studies that Changed Psychology : Explorations into the History of Psychological Research (ed. 5th). Prentice Hall. ISBN 978-0-13-114729-4.
  5. ^ Calhoun, J. B. (1970). "Population density and social pathology". California Medicine. 113 (5): 54. PMC 1501789. PMID 18730425.
  6. ^ a b c "The Behavioral Sink". Cabinet Magazine. Summer 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-02-15. Dicapai pada 2012-08-24.
  7. ^ Medical Historian Examines NIMH Experiments in Crowding Diarkibkan 2013-03-27 di Wayback Machine, nih record, 2013-10-13.
  8. ^ a b c Calhoun, J. B. (1973). "Death squared: The explosive growth and demise of a mouse population". Proceedings of the Royal Society of Medicine. 66 (1 Pt 2): 80–88. doi:10.1177/00359157730661P202. PMC 1644264. PMID 4734760.
  9. ^ Ramsden, Edmund; Adams, Jon (2009). "Escaping the Laboratory: the rodent experiments of John B. Calhoun & their cultural influence" (PDF). Journal of Social History. 42 (3): 761–797. doi:10.1353/jsh/42.3.761. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2019-11-21. Dicapai pada 2019-08-12.
  10. ^ NLM Announces the Public Release of the Papers of John B. Calhoun Diarkibkan 2018-09-11 di Wayback Machine, U.S. National Library of Medicine, 2013-10-13.
  11. ^ Ramsden, Edmund and Jon Adams. 2009. Escaping the Laboratory:The Rodent Experiments of John B. Calhoun & Their Cultural Influence, p.22. Diarkibkan 2021-03-28 di Wayback Machine
  12. ^ Freedman, Jonathan (November 1975). "Population density and pathology: Is there a relationship?". Journal of Experimental Social Psychology. 11 (6): 539–552. doi:10.1016/0022-1031(75)90005-0.
  13. ^ Garnett, Carla. (2008). Plumbing the 'Behavioral Sink', Medical Historian Examines NIMH Experiments in Crowding. Diarkibkan 2020-08-15 di Wayback Machine. NIH Record. Retrieved 2013-07-07.

Pautan luar sunting